Menjadi lumrah bagi setiap pasangan suami isteri apabila menikah untuk berasa gugup dan memiliki perasaan gementar, khususnya di saat-saat waktu hari pertama dan awal pernikahan. Di campur dengan budaya yang kadang-kadang membantu memberi tekanan mental tidak kurang pelbagai cerita dan pengalaman orang memberikan gambaran yang mendebarkan untuk diharungi.
وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ
“Dan jika kamu hanya mengikut orang ramai di muka bumi ini nescayalah mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah” (Al-An’am : 116).
وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ
“Dan jika kamu hanya mengikut orang ramai di muka bumi ini nescayalah mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah” (Al-An’am : 116).
Dimulakan dengan permulaan berjumpa bakal keluarga isteri dan suami, masing-masing mula mengenali tabir belakang pasangan masing-masing. Bagi yang bercinta dengan pasangan mereka adakalanya tempoh awal pernikahan itulah mungkin perasaan cuak dan terkejut muncul. Tentunya ada yang mempersoalkan anaknya comel dan cantik, mengapa bapanya hitam, comot dan hodoh ? Atau ada pula yang timbul rasa, rimas takala mendapat ibu-bapa mertua yang terlalu over ramah, adik beradik baru yang entah mana datang mengucapkan tahniah selamat masuk ke ahli keluarga mereka dan menyoal dengan pelbagai macam soalan cepu emas yang tidak dapat dijawab.
Tidak mudah.
Budaya Melayu agak melucukan, sewaktu berakad nikah perlu pula bersalam di antara kadi dan pengantin lelaki. Hal ini adalah tidak perlu sebenarnya kerana pernikahan sudah cukup sah dengan lafaz dan tidak perlu pula menyebut nama penuh menurut kad pengenalan. Kebiasaannya Tok Kadi yang mewakili bapa perempuan bukannya bapa si perempuan itu sendiri. Kemudian mahu pula sesetengah kadi atau jurunikah itu memaksa si pengantin lelaki menghabiskan lafaz nikah dengan senafas.
Lafaz nikah yang panjang dengan nama penuh perempuan yang terkadang sukar disebut, bilangan mahar dengan ada sen pula yang menambah panjang perkataan, sungguh ada yang terpaksa mengulang nikahnya berkali-kali kerana jurunikah tidak berpuas hati atau saksi merasa tidak begitu lancar ucapan pengantin, macam-macam.
Sabda baginda : “Sesungguhnya agama ini ialah mudah dan tidaklah yang (sengaja) menyusahkan dirinya dalam hal agama ini melainkan dia akan dikalahkan (tidak mampu)”.
(hadith sahih riwayat bukhari syarah ibn hajar jilid 1 m/s 93).
Tidak hilang lagi gemuruh akad nikah tiba pula masanya upacara membatalkan air sembahyang. Adegan bersentuhan tangan dengan pasangan isteri. Bagi yang belum pernah bersentuhan lelaki dan perempuan sebelum nikah, saat inilah waktu yang cukup manis. Sejuk seram terasa bagi lelaki yang menyentuh kulit perempuan buat pertama kali terasa kulit lembut bagai sutera, rasa macam ada elektrik dan mahu sahaja dipegang tidak mahu lepas. Tetapi terpaksa bersabar masih banyak halangan perlu diharungi.
Buat pula ada keluarga yang mengada-gada, sewaktu upacara menyarung cincin dan menangkap gambar itulah akan diminta macam-macam aksi untuk diabadikan di dalam gambar. Mahu disuap dan menyuap pula suami isteri untuk dirakam gambar dan video oleh ahli keluarga, mahu itu dan ini. Seterusnya setelah itu sesi bersolat sunat pasangan suami isteri diikuti dengan menghadiri jamuan makan atau kenduri perkahwinan bagi sesetengah pasangan yang langsung mengadakannya sejurus selepas akad.
Badan Mulai Berpeluh
Setelah sesi jamuan selesai menjadi kewajipan untuk pihak keluarga lelaki pulang lalu meninggalkan si hero seorang diri di rumah pengantin perempuan untuk diuji keteguhan dan kelakiannya. Sejauh mana si romeo yang pandai memikat si perempuan dulu berhadapan dengan sejumlah angkatan keluarga dan adik beradik perempuan yang bersiap sedia dengan pelbagai soalan dan perasaan “ ingin tahu”.
Kalau dahulu boleh lagi bertemberang dan “bertakiyah” dengan si perempuan akan perihal kehidupannya namun kini di hadapan sejumlah adik beradik, pelbagai cerita dan isi peribadi bagai disiat-siat keluar untuk diteliti bagaikan pemeriksaan post-motem mayat. Semuanya dicungkil keluar habis-habisan oleh pihak keluarga si perempuan. Kebijaksanaan si lelaki menjawab persoalan dan memberikan jawapan sangat penting bagi mengelakkan dirinya dari terjerumus dalam kancah kegugupan dan kekantoian yang total.
Tentu lucu memberitahu anda seorang peguam kepada ahli keluarga perempuan apabila ada pakciknya yang juga merupakan peguam hadir bersama, pasti terbongkar rahsia bahawa pengetahuan anda hanyalah setakat kerani di pejabat guaman yang sememangnya itu memang kedudukan sebenar anda.
Rahsiakanlah apa yang tidak perlu diceritakan dan beritahulah apa yang boleh menjadi jawapan kepada banyak persoalan yang masih belum ditanyakan kerana selain menjimatkan masa boleh mematikan segala buah kunci dan modal mereka. Ceritakan yang baik-baik sekalipun ada ahli keluarga perempuan yang mahu tahu perihal yang tidak baik tentang diri anda seakan-akan mahu mengorek semua rahsia anda.
Kegelisahan anda sememangnya berbaloi, segala cerita, keramahan yang membuatkan anda berdebar, kegugupan dan perasaan cuak memanggil seorang tua yang tidak anda kenali sebelum ini atau seorang lelaki yang tidak pernah dijumpai sebagai bapa atau ayah dengan tiba-tiba sememangnya menyukarkan lidah buat kali pertama. Tetapi ianya berbaloi apabila anda sebagai hero akhirnya berjaya membolosi halangan keluarga selepas pernikahan dengan melangkahkan kaki ke bilik pengantin dengan si isteri sudah tersiap menantikan suami.
Diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Amru ra bahawa baginda rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda : الدنيا متاع وخير متاع الدنيا المرأة الصالحة “Dunia ini ialah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia itu ialah perempuan yang solehah” . (Hadith sahih riwayat Muslim no. 1467 dan Nasaie, Ibn Majah dan Ibn Hibban serta lain-lain).
Segalanya berbaloi bagi mereka yang mencari nikmat yang halal, ternyata manis, mulia dan suci apa yang ditetapkan oleh Islam dari perkahwinan dan hukumnya. Menyentuh pasangan masing-masing dan seterusnya bersama pada malam pertama sekaligus memberikan anda satu ketenangan, kebahagiaan yang sukar digambarkan dan kepuasan yang menyenangkan tanpa dihantui oleh apa-apa rasa bersalah.
Kekuatan dari malam pertama ini akan pastinya membantu dalam memberikan keyakinan mendepani hari-hari hadapan dan menghadapi ahli keluarga perempuan dari sudut mental. Sudah tentu anak gadis itu kini menjadi milik suaminya secara rasmi dan juga adat apabila telah melalui malam pertama, kegadisan sudah hilang sebaliknya kini bergelar isteri orang.
Berborak sakan dengan bapa mertua, bertukar janji dengan ibu mertua dan memberikan jaminan akan menjaga si isteri dengan baik. Melayani dan beramah-tamah dengan adik beradik si isteri, membuat jenaka dan lelucon mudah jika mempunyai bakat atau mempamerkan rasa gembira dan terima kasih serta berusaha menyesuaikan diri menyertai ahli keluarga perempuan semampu yang bisa.
Perjalanan cerita hanya bermula setelah perpisahan isteri dari ahli keluarganya untuk berpindah ke rumah suami atau bersama dengan keluarga suaminya. Di situlah salam dan pelukan, ciuman tangan dengan tangisan keluarga perempuan sebagai ucapan selamat tinggal dan selamat menjalani kehidupan baru sebagai isteri orang dengan doa jangan dilupakan keluarga dan hendaklah selalu berhubung dan mendoakan kebahagiaan anak mereka.
Bergelar Menantu
Pengalaman saya menjadi menantu belumlah mencukupi untuk ditulis, sekalipun pernah menjadi anak menantu kepada dua orang yang soleh, seorang ialah ulama arab Yaman yang alim dan seorang lagi ialah jurutera Melayu yang soleh. Adapun menempatkan diri sebagai menantu kepada keluarga arab tidaklah terlalu susah sekalipun budaya berbeza kerana sungguh menjadi rezeki saya dikahwinkan dengan anak gadis seorang ulama yang cukup memahami sunnah dan dijalankan segala upacara pernikahan dengan begitu mudah dan menyelesakan.
Malangnya menempatkan diri sebagai anak menantu kepada seorang ulama itulah yang payah, menjadi kewajipan mencontohi bapa mertua sekalipun sedar diri kita hanyalah siapa. Mereka orang arab tidak memanggil bapa mertua dengan panggilan “bapa” sebaliknya dengan gelaran “ammu” iaitu pakcik. Maka dari sudut panggilan kita lebih mudah berkomunikasi ditambah arab punya stail tidak begitu menjaga soal remeh temeh jadi mereka terbuka dan pernikahan ini ibarat menyerah anak gadis sepenuhnya kepada si lelaki.
Malangnya tradisi kabilah sahaja yang menjadikan kemanisan itu kadang-kadang berubah menjadi tawar apabila terpaksa mengikuti sistem mereka yang kolot dan ada kalanya bertentangan dengan Islam. Perkahwinan dengan gadis arab sangat susah, khasnya apabila terpaksa memahami budaya yang berbeza yang pasti buat pertama kalinya ada waktu benar-benar menguji kesabaran kita.
وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لاَ يَحْتَسِبُ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
“ Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah maka sesungguhnya Allah akan menyediakan baginya jalan keluar (dari kesusahan) dan memberikannya rezeki dari jalan-jalan yang tidak disangkai olehnya” (Surah Thalaq : 2-3).
Menikahi gadis Melayu ialah yang terbaik jika diukur dari aspek keserasian dan kesesuaian baik dari sudut adat dan budaya atau cara hidup dan persefahaman yang mudah dicapai. Pengalaman saya menjadi menantu untuk kali yang kedua pun belumlah benar-benar matang dan berjaya untuk dituliskan sebagai pengajaran.
Bahkan terasa yang kedua lebih susah dari yang pertama apabila mendapat seorang jurutera muslim Melayu yang soleh sebagai bapa mertua yang begitu baik dan soleh berbanding diri sendiri. Pasti hal ini sedikit menyukarkan apabila ada orang yang lebih baik dari kita dan mereka mengharapkan perkara yang sama dari kita untuk menjadi seperti mereka.
Rezeki Allah kepada saya mendapat isteri yang solehah cemerlang dalam akhlak dan mentaati suami dengan baik hasil dari didikan ibubapanya yang memahami sunnah dan berusaha menerapkan akhlak Islam di dalam keluarga. Mereka berusaha gigih untuk mendapatkan yang terbaik sedang adakalanya saya yang sudah memiliki apa yang terbaik yang telah diberikan oleh Allah tidaklah begitu bersyukur dengan berlengah dan banyak mengabaikan kewajipan saya.
Memperolehi keluarga baru bermakna saya mendapat ibu mertua dan bapa mertua disamping adik-beradik lelaki dan perempuan yang disebut sebagai ipar. Memiliki adik-beradik yang unik dan pelbagai dari pihak isteri saya sendiri ada kalanya tidak tahu bagaimana mahu memainkan peranan sebaiknya atau apa harus dibuat. Hendak berlagak sebagai abang masih terasa kurang sekali pengalaman saya disebabkan sejak kecil saya kurang mempunyai masa bersama ahli keluarga saya sendiri dan jauh dari kemesraan adik-beradik yang sepatutnya disebabkan pengajian saya yang selalu jauh dari keluarga.
Kemudiannya era perjuangan dan pengajian menjadikan saya menjauh lagi dari kedua-dua adik perempuan kesayangan saya sekaligus menjadikan saya cetek sekali dari memiliki ilmu “keabangan” (ilmu menjadi seorang abang yang cemerlang). Tidak tahu saya bagaimana hendak mencampuri urusan adik beradik isteri saya dan ada kalanya menjadi pertanyaan perlukah saya mencampuri urusan mereka atau cukup sekadar mengambil tahu dan cukup memerhatikan dari jauh.
Ibu saya pula semenjak kecil mendidik saya supaya berdikari dan membuat keputusan sendiri dalam kehidupan serta faktor anak yatim apabila kematian arwah bapa saya menjadikan saya kurang memiliki perasaan “father and son relation” atau pengetahuan atau pengalaman mengenai hubungan ayah dan anak. Ditambah pula hubungan saya dengan bapa-bapa saudara agak dingin dan kurang mesra maka tidak hairan saya kurang memiliki sikap (senses) sebagai seorang anak dengan berkesan.
Kini berhadapan dengan bapa mertua saya membuatkan diri ini terasa seolah menghadapi seorang yang asing yang sukar saya temui cara dan bagaimana harus mendekatinya dan apakah pula caranya dan kenapa mesti mendekatinya dan apa yang mahu saya bicarakan dengannya. Beliau seorang yang lurus dan mudah, berjenaka tetapi serius dalam kerja berbeza dengan saya yang berjenaka dalam kerja tetapi serius setiap masa. Beliau rajin dan kuat ibadahnya serta mempunyai dedikasi dan istiqamah yang tinggi berbeza dengan saya yang mengikut musim dan situasi. Kita mempunyai seorang yang wajar dipanggil bapa dan bagaimanakah mahu membentuk jalinan hubungan dengannya dan apakah caranya dan sejauh mana kita perlu membentuk hubungan tersebut ?
Sabda rasulullah salallahualaihiwasalam : خيركم خيركم لأهله وانا خيركم لأهلى
“ Sebaik-baik kamu ialah orang yang baik terhadap ahli keluarganya dan aku merupakan orang yang terbaik daripada kamu terhadap keluarga” .
(Hadith sahih riwayat Tirmidzi no. 3892 dan Ibn Hibban).
Adakalanya kata isteri saya, hubungan kami kurang mesra dan tidak seperti ayah dan anak (son and father) saya ketawa bahkan menjawab bangga kepada dia bahawa saya dan bapanya kami sama-sama “sporting”. Tetapi di dalam hati terasa sangsi apakah benar kami tidak mesra dan bagaimanakah mesra itu sepatutnya ? Tentu tidak ada kayu ukur yang tepat dalam mengambarkan darjah emosi dan ukuran hubungan yang perlu dimainkan oleh seseorang.
Bagaimanakah saya perlu lakukan ? Sejauh mana perlu saya capai untuk mendapat apa yang disebutkan kemesraan ayah dan anak di antara bapa mertua dan diri saya ? Ini ialah soalan objektif dari seorang yang mahukan segalanya tepat dan tetap iaitu melakukan apa yang perlu dan kemudian menganggap ianya sudah dilaksanakan dan selesai begitu sahaja. Sedangkan di dalam masalah hubungan di antara manusia ianya bukan objektif tetapi selalunya subjektif kerana melibatkan perasaan dan emosi pelbagai.
Tidak boleh hanya melaksanakan sesuatu lalu mendapat hasil yang kita jangkakan dengan mudah kerana manusia berwatak emosi pelbagai. Tidak pasti dengan memberikan hadiah kepada ibu-bapa mertua boleh membuatkan dia gembira bahkan mungkin sebaliknya. Juga dengan mencapai hubungan seperti beramah-mesra dan bergurau senda riang ria belum tentu menjamin hubungan sudah siap terjalin dan terjamin kerana boleh jadi ianya hanya luaran sebaliknya dalaman masih kosong dari kasih sayang.
Ibu mertua saya seorang yang mudah mesra, cepat ramah, senang dihampiri dan mudah disukai oleh sesiapa sahaja tetapi hatinya lebih lembut dari sutera dan awas perasaannya macam kapas mudah sekali terkoyak dan terluka sangat menghairankan saya bagaimanalah beliau boleh menjadi askar bahkan kata isteri saya pernah pula sampai ke pangkat Leftenan. Sangat sentimental dan sensitive pendek cerita sangat menyenangkan tetapi merisaukan bila hatinya terguris dan perasaannya tersentuh. Maka saya lebih senang mengambil jarak dan bersembunyi di belakang isteri kerana diri saya yang kasar ini pasti bukan matching yang sesuai untuk menjadi team yang rapat dengan beliau.
Demikianlah lumrah pasangan suami isteri, bagi mereka yang belum bersedia menghadapi keluaga mertua dan belum rapat ukhuwah mereka biasanya lebih senang dan selesa membiarkan isteri sahaja mengendalikan urusan dan perhubungan dengan keluarga dan ibu-bapa mertua. Anehnya kita akan melihat hal yang sebaliknya pula terjadi kepada pihak isteri kita apabila mereka dengan mudah sahaja diterima dan dapat menyesuaikan diri dengan pihak keluarga kita iaitu mertuanya.
Si Isteri biasanya dengan mudah akan menjadi “kamcing” dan mesra dengan ibu kita dan bila-bila sahaja tanpa sedar segala rahsia lahir kita sehingga dewasa terbocor satu-persatu dikorek oleh si isteri dari telaga simpanan si ibu. Tidak perlu menghairankan kita bahawa si isteri juga akan segera rapat dengan bapa kita sedangnya kita sendiri tidak serapat itu dan boleh jadi bapa kita yang terkenal garang, ego dan ditakuti selama ini serta mempunyai jurang seluas “jurang Mindanao” dengan kita tiba-tiba sahaja mesra dan “kamcing” dengan isteri kita, jangan terkejut.
Mungkin komposisi otak orang perempuan dan hatinya diciptakan untuk mudah menjalinkan hubungan silaturahim dan fizikal mereka yang keperempuanan itu mudah diberi simpati dan kasih sayang oleh sesiapa sahaja. Boleh sahaja kita sebut teori dan perihal ini sebagai dasar keperempuanan.
Islam Menjaga Martabat Wali & Keluarga Perempuan
Di dalam Islam bapa mertua memainkan peranan yang penting, pertamanya dia ialah wali yang sah dan utama bagi wanita yang bergelar isteri kita. Sekalipun anak gadisnya sudah bernikah, dia masih mempunyai peranan sebagai penasihat dan pembantu di dalam keluarga anaknya khasnya yang masih baru pembinaannya dan memerlukan kepada sokongan yang kuat dari pihak keluarga perempuan supaya memberikan kekuatan kepada isteri dalam memainkan tugasnya sebagai isteri dengan berkesan.
Daripada Abdullah ibn Amru ibn As ra bahawa rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda : “ dan bagi isteri kamu itu mempunyai hak ke atas kamu” .
(hadith sahih riwayat Bukhari no. 4903 dan Muslim no. 1159).
Bahkan di dalam kehidupan, tidak dapat lari dari pergaduhan rumahtangga dan juga permasalahan serta ujian seperti bala bencana, kemalangan, sakit demam yang memerlukan sokongan dan bantuan dari ahli keluarga khasnya wali perempuan yang akan menguatkan si isteri dalam istiqamahnya bersama suami dan rumahtangga yang dibina.
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى
“Dan hendaklah kamu saling bantu-membantu di dalam mengerjakan kebaikan dan taqwa” (Al-maidah : 2).
Bayangkan sekiranya si suami seorang pendakwah, maka di dalam menghadapi menhah dan tribulasi tanpa mempunyai sokongan ibu-bapa mertua dan keluarga isteri dengan baik pastinya akan menyusahkan si pendakwah dan rumahtangganya dalam menjalankan syariat Allah sebaliknya dengan kekuatan dan sokongan ibubapa mertualah maka si isteri akan tetap bersama suami sekalipun si suami jatuh sakit atau ditimpa musibah seperti dipenjarakan dan sebagainya.
Demikian juga sebagai ibu-bapa mertua maka dia mempunyai hak berikut daripada menantunya untuk dipenuhi iaitu :
1) Dihormati sebagai ibu dan bapa kepada isterinya
2) Menjaga hubungan yang baik dengan pihak mertua dan tidak menghalang hubungan isteri dengan ibubapanya serta tidak menghalang isteri dari meneruskan kasih sayangnya kepada kedua ibubapanya.
3) Membalas jasa baik mereka yang sudi menyerahkan anak gadis kesayangan mereka kepada kita
4) Meneruskan kebajikan dan hubungan kebaikan dengan mereka
5) Membantu mereka apabila di dalam kesusahan
6) Mengasihi mereka dan anak-anak mereka yang lain (adik beradik ipar)
7) Menunaikan janji dan harapan mereka
Menjadi seorang menantu tidaklah mudah sebaliknya kita harus berusaha memastikan diri kita menunaikan harapan ibu-bapa mertua kita yang mahukan anak gadisnya hidup bahagia di bawah jagaan kita dan selamat serta sentosa. Bagi yang beragama tentunya mahukan anak perempuannya dipelihara dan dijaga serta dididik dengan didikan kasih sayang menurut syariat Islam serta dibentuk menjadi seorang muslimah yang berkeperibadian Islam dan boleh mendokong syariat Islam di dalam keluarganya seterusnya diterapkan kepada anak-anak dan keluarga.
Sabda baginda salallahualaihiwasalam kepada Tamim Ad-Dari ra : الدين النصيحة , الدين النصيحة, الدين النصيحة
“ Sesungguhnya Agama itu ialah nasihat, sesungguhnya agama itu ialah nasihat, sesungguhnya Agama itu ialah nasihat.”
(Hadith Sahih, riwayat Muslim no. 95 Bab 55).
Semua ibu-bapa yang menikahkan anak perempuan mereka yang disayangi kepada si lelaki menantu mereka pastinya berhajatkan kepada harapan kebahagiaan anak gadis mereka di masa depan di dunia dan di akhirat. Mahukan kebaikan dan ingin melihat perkara yang baik terhasil dari pernikahan tersebut. Maka menjadi kewajipan bagi si menantu menjaga dan memastikan hasrat dan matlamat untuk kebahagian si isteri itu tercapai dengan menjadikan syariat Allah sebagai landasan hidup apabila kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat itu hanyalah dengan Islam.
وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الإِسْلاَمِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنْ الْخَاسِرِينَ
“ Barangsiapa yang mencari agama selain daripada Islam maka tidaklah dia diterima (disisi kami) dan dia di hari akhirat kelak akan termasuk di kalangan mereka yang rugi” (Ali-Imran : 85).
Suatu masa akan tiba apabila kita sendiri akan berubah menjadi tua dan akan sampai waktu putaran masa kita pula memiliki anak-anak gadis dan menikahkannya kepada lelaki-lelaki yang kemudiannya menjadi menantu kita. Kita akan mempunyai harapan dan perasaan yang sama, matlamat dan keinginan yang sama dengan apa yang dimiliki oleh ibu-bapa mertua kita hari ini. Di waktu itu barulah kita akan fahami nilai hidup dan erti pusingan waktu maka oleh itu berubahlah segera menjadi menantu yang soleh.
No comments:
Post a Comment