24 November 2010

Sekeping Hati Untuk Suraya


Hasil Karya: Eikiagi
Disenarai Pada: 15 July, 2004


Assalamualaikum…..Suraya, Syah datang ni..maafkan Syah...sebab dah lama Syah tak jumpa Suraya. Syah bukan dah lupakan Suraya..tidak sekali-kali. Selagi Syah masih bernafas di bumi ini, Syah janji....Syah tidak akan lupakan Suraya. Walau sejauh mana pun Syah pergi, Suraya tetap berada di hati Syah. Di hati Syah sudah terpahat indah nama Suraya. Suraya tau kan itu semua?? Suraya.. dengar tak apa yang Syah cakap ni?? 


Suraya….tengoklah,  Syah datang dengan siapa hari ni.. Syah bawa Ayu..cinta hati kita. Hari ni Ayu genap 2 tahun. Ayu semakin pintar dan lincah. Suraya tau, semua orang jatuh sayang pada Ayu. Ayu sempurna di mata semua orang yang menyayanginya. Rambutnya yang lurus, lebat dan hitam berkilat..seperti ada kuasa magnet yang mampu menarik tangan sesiapa jua untuk membelainya. Sepasang mata Ayu yang kuyu, mampu menumpahkan rasa sayang pada setiap orang yang merenungnya. Hidungnya kecil comel. Kulitnya halus mulus. Putih bersih. Semua yang Suraya miliki, tumpah pada cinta hati kita yang seorang ini. Suraya  tau..Ayu  juga semakin pandai berkata-kata…. walau pun kadang-kadang Syah tidak memahaminya. Tapi Suraya jangan bimbang..Syah janji, Syah akan didik Ayu agar sempurna budi bicaranya. Lembut dan sopan..sama seperti Suraya.
 Suraya..rasanya sekejap sahaja  masa berlalu pergi kan...Ayu sudah pun berusia 2 tahun. Rasanya seperti baru semalam kita berangan-angan untuk memiliki cinta hati..sebagai bukti betapa tulusnya benih cinta yang kita semai bersama… Syah ingat lagi betapa gembiranya Syah malam itu bila Suraya berbisik pada Syah bahawa ada satu nyawa yang akan bernafas bersama-sama kita di dunia ini. Satu nyawa yang akan Suraya lahirkan untuk kita.
 Demi  tuhan..Syah terlalu gembira Suraya...hanya tuhan yang tahu betapa gembiranya Syah. Mengalir mutiara mahal dari mata Syah kala itu. Demi tuhan juga..kasih sayang Syah pada Suraya semakin mendalam…terlalu sukar untuk Syah zahirkan dengan untaian kata-kata. Andai diberikan emas permata, Syah pilih senyuman Suraya..andai Syah miliki mahligai indah, Syah hadiahkan untuk Suraya..Dalam berjuta bintang berkelipan..Suraya bagaikan kejora..antara ribuan emas menikam.. takkan Syah biarkan Suraya tenggelam..
 Suraya….Suraya ingat lagi tak..itu di antara madah yang Syah berikan masa kita mula-mula memintal tali kasih dulu?? Tentu Suraya ingat kan….Suraya..walau pun sekarang Syah sudah lama tidak menulis madah cinta untuk Suraya..Syah harap Suraya tau bahawa hati Syah tidak pernah berubah.. masih seperti dulu. Malah hati Syah semakin utuh untuk Suraya. Tapi kala ini hati Syah bukan milik Suraya seorang..Suraya tak marah pada Syah kan?? Sekeping hati milik Syah kini juga milik cinta hati kita..Ayu….
 Suraya....kadang-kadang Syah terasa sudah tidak mampu menempuhi liku-liku hidup yang mendatang…Syah perlu berkerja bertungkus-lumus saban hari.  Dalam masa yang sama Syah juga perlu membahagiakan Ayu. Tapi tidak mengapa...kerana cinta hati kita.. Syah rela berkorban apa sahaja....Suraya jangan sedih..Syah tidak pernah  marahkan Suraya walau pun Suraya tidak menjalankan tanggungjawab sebagai isteri yang mithali dan mama yang sempurna. Syah tidak akan merungut kerana Syah  tau..Suraya tidak berdaya.. Syah juga tidak akan mengungkit kerana Syah tau Suraya lagi tersiksa menanggung beban bermula dari saat pertama Ayu bernaung di dalam rahim Suraya,  sehingglah Ayu lahir ke dunia menyedut udara milik tuhan.
 Syah tau..Suraya yang saban waktu merasai pergerakan Ayu di dalam perut, yang seirama dengan degupan jantung. Suraya juga yang akan merasai kesakitan bila Ayu menendang dari dalam perut...  Syah ingat lagi..pada suatu malam tu, Suraya menangis kesakitan. Syah tergesa-gesa membawa Suraya ke hospital. Kata doktor, sudah sampai masanya untuk Suraya melahirkan. Syah lihat Suraya tidak bermaya. Baju Suraya semakin basah dengan keringat..bercampur dengan hujan air mata Suraya yang juga semakin lebat. Syah tau..Suraya sakit..tapi Syah tidak ada kuasa untuk menghilangkan atau sekurang-kurangnya berkongsi kesakitan itu. Tangan Suraya semakin kuat mencengkam lengan Syah..maafkan Syah Suraya..Syah tidak mampu berbuat apa-apa selain terus berada di sisi untuk meniupkan semangat dan kekuatan.
 Syah dapat melihat..betapa kesakitan yang berpaut di tubuh Suraya saat itu tidak terucap bisanya. Demi melihat wajah Suraya..Syah tau..kesakitan itu tidak mampu Suraya ceritakan.. Syah sendiri terasa bagaikan tercabut jantung, saat melihat Suraya berusaha meneran dengan sepenuh kudrat yang ada.. bertarung dengan nyawa yang tiada galang-gantinya demi melahirkan nyawa milik cinta hati kita…
 Syah panik melihat Suraya tercungap-cungap. Doktor yang kelihatan tenang, mula mempamerkan bimbang melihat betapa azabnya keadaan Suraya ketika itu. Darah membuak-buak keluar tapi Suraya belum juga melahirkan. Darah, keringat dan air mata Suraya..bagai berlumba-lumba untuk mengiringi saat-saat yang mendebarkan itu. Suraya ingat tak lagi? Suraya semakin tidak berdaya....masa tu, tanpa sedar..Syah bangun..mengucup dahi Suraya dan berbisik “Syah sayangkan Suraya sepenuh nyawa Syah.. Suraya kena kuat menghadapi saat ini..Syah ada kat sini..Syah tidak akan tinggalkan Suraya..Syah tunggu Suraya..”
 Kala itu juga Suraya tiba-tiba meraung….mencengkam kuat lengan Syah..Suraya menarik nafas panjang dan menghembus deras, melepaskan beban kesakitan itu. Tatkala itu juga, pecah tangisan satu nyawa yang selama ini kita nantikan. Pada bibir pucat tak berdarah itu..Syah lihat Suraya tersenyum dalam kepayahan....Suraya tau, Syah resah saat itu..Syah berdoa agar Suraya tidak akan ditimpa apa-apa yang tidak diingini. Suraya membuka mulut mahu berbicara..tapi Suraya cuma mampu mengukir senyum. Senyum yang saban hari menemani  Syah untuk menempuhi hari-hari yang mendatang dan hari-hari yang telah berlalu pergi.
 Dengan menghimpun sisa kudrat yang tinggal..Suraya membelai cinta hati kita yang telah Syah iqamatkan..Terpancar kasih seorang ibu dari sinar mata Suraya. Syah ingat lagi..selepas sahaja menyentuh cinta hati kita.. Suraya seakan-akan pulih dan bertenaga semula. Suraya sempat berbisik pada Syah..bahawa cinta hati kita akan dinamakan Hanna Ayuni. Syah angguk. Cantik nama itu. Nama yang kita rancangkan sekian lama semasa kita terlanjur berbicara tentang rumah tangga, tentang anak-anak. Sedangkan masa itu kita perlu berbicara tentang kuliah, tentang tugasan dan tentang ijazah yang perlu digenggam.
 Suraya..Suraya ingat lagi tak semua itu?? Syah tau Suraya tak kan lupa.. Cuma Suraya tidak berdaya untuk membalas kata-kata Syah. Tidak apa Suraya..Syah faham..Syah tak marah..Mana mungkin Syah akan melepaskan amarah pada insan yang Syah cintai sepenuh nyawa..
Suraya….Ayu sudah merengek resah..Suraya dengar tak?? Dia lapar agaknya. Nampaknya Syah kena balik dulu Suraya..Syah pun dah lama ganggu Suraya dekat sini…Suraya jangan lah sedih..lain kali Syah datang lagi bawa Ayu.... Syah balik dulu Suraya… Lain kali Syah datang lagi.. Assalamualaikum..
  



-PERGILAH BINTANG KEJORA-


Kala hadirmu dalam hidupku jiwa ini bergoncang
Tidak pernah kupuja seindah dirimu,
Tidak pernah kunanti sesiapa sebelummu
Belum pernah kurindu bayang yang lain

Tautan ini terus terjalin...
Kau bagai mentari penyuluh pagiku
Hilangmu di malam hari pasti resah terasa
Namun, aku tahu kau masih tetap disisiku
Aku masih dapat merasa kehangatan sinar itu.

Masa terus berlalu...
Kau masih tidak pernah berubah...
Belaian kasihmu membuat aku seakan bukan di dunia ini,
Aku seakan terbang...indah sekali, tenang, asyik...ohh..
Kau...memang kau yg tercipta untuku. Terima kasih TUHAN.

Ikatan suci termeterai sudah,
Lautan rindu telah berpadu
Usikan manja pasti telah menunggu
Rajuk sayang menanti dipujuk.
Akukah yg berada disisimu?
Alam...sedarkanlah aku..jangan pisahkan aku dan dia.

Berita gembira kau khabarkan,
Jurang pemisah musnahlah kini.
Zuriat kita sudah mula bertanda.
Riangmu adalah harapan untukku;
Resahmu pastilah padah menunggu.

Sembilan bulan sudah berlalu...
Kini tangisan pertama itu menggelar dirimu sebagai seorang IBU
Matanya, hidungnya, bibirnya, rambutnya ...
Sama, sebati, seiras… dua jiwa dalam zaman yg berbeza.

Sungguh alam bukan penentu, hanya ALLAH yg lebih tahu.
Kebahagian kini harus berakhir..
Aku harus redha, harus tabah, harus yakin.
Tapi mengapa di waktu begini?
Mengapa disaat yg kudamba sudah kuperolehi?

Pergilah sayang... jangan menoleh berkata jangan.
DIA lebih menyayangi dirimu, DIA lebih berhak.
Ketahuilah, selagi darah ini masih berwarna merah.
Selagi hembusan nafasku masih belum bernoktah
Takkan kusia-siakan harapan amanahmu.
Semua pasti bagai direncana;insyAllah itulah kehendakNYA.
Bersabarlah, aku pasti akan menyusul.

No comments:

Post a Comment