27 January 2013

HADIAH PALING BERHARGA


 Oleh: Abdullatip 

SEORANG wanita muda melangkah turun dari sebuah bas yang berhenti di sebuah pekan kecil di Jelebu. Dia menjinjing sebuah beg kecil sambil menapakkan kakinya berjalan menyusuri lorong yang bersambung dengan deretan rumah kedai. Di pekan kecil yang terletak jauh di pedalaman itu tidak ada yang menarik perhatiannya kecuali suasananya yang tenang, udaranya yang nyaman, dikelilingnya pohon-pohon kayu yang subur menghijau. Sengaja dipilihnya daerah yang terpencil itu dengan harapan dapat mengubati jiwanya yang terluka serta melupakan kemelut hidup yang melanda dirinya. 
Namun dia tidak pasti apakah kedatangannya diterima dengan baik oleh penduduk tempatan atau kehadirannya bagaikan makhluk asing yang tidak disenangi. Namun walau apapun risikonya dia pasrah. 

Wanita muda berpakaian seluar Jean dengan baju T tidak berlengan itu masuk ke sebuah kedai makan lalu mengambil tempat duduk. Dia memesan roti canai dan air kopi kegemarannya. Perut yang tadinya kosong kini sudahpun berisi. Dia berasa segar dan bertenaga semula. Timbul persoalan di hatinya, di manakah tempat hendak menginap?. 

Dia ingin bertanya sesuatu kepada lelaki India Muslim, tuan punya kedai makanan itu. Tetapi dia membatalkan hasratnya apabila sorang pemuda yang sebaya dengannya masuk lalu duduk di meja yang sama. Dia tidak tahu kenapa pemuda itu memilih tempat itu sedangkan masih banyak meja yang kosong kerana pelanggan dalam kedai itu tidak ramai. 

Ternyata kehadiran pemuda itu sama dengan kehadirannya kerana tidak siapa di situ yang pedulikannya kecuali pelayan yang datang bertanyakan menu. Mungkin pemuda itu juga orang luar. Begitu telahan wanita itu. Kalau tidak masakan tidak siapa dalam kedai itu yang menyapanya. 

Pemuda itu memesan Roti Canai dengan Air Kopi. Ternyata selera mereka ada persamaannya. Dia memandang sambil tersenyum namun pemuda itu bermuka selamba sahaja. Mungkinkah ada sesuatu yang tidak kena?. Antara mereka memang tidak pernah bertemu tetapi mahal sangatkah untuk membalas senyuman?. 

Namun dia hendak juga bertanyakan sesuatu kepada pemuda itu. Di manakah tempat hendak bermalam?. Di manakah tempat yang menarik untuk dilawati?. Dan banyak lagi maklumat daerah itu yang perlu diketahuinya. Namun dia membiarkan dulu pemuda itu menghabiskan makanannya. Tambahan pula dia seperti orang yang lapar menyuap makanan dan meneguk minuman tanpa menghiraukan orang lain. Atau pemuda berbadan gempal, berkulit sawo matang itu memang seorang yang pendiam. 

“ Nama saya Hawa,” kata wanita muda itu memperkenalkan dirinya. 

“ Saya Adam,” balas pemuda itu masih tunduk sambil mengunyah makanan. 

“ Saya seorang musafir. Boleh tunjukkan di mana letaknya hotel atau chalet yang sesuai untuk saya bermalam?” 

Kini barulah pemuda itu mengangkat mukanya memandang tepat ke arah muka wanita di depannya. Ternyata mereka memang tidak pernah saling mengenali. Terbetik rasa simpati di hati Adam. 

“ Di pekan kecil ini tak ada hotel atau chalet,” katanya. “Awak dari mana dan hendak ke mana?” 

Wanita itu berasa keberatan untuk berterus terang kerana dia tidak mahu orang lain tahu siapa dirinya. 
“ Rasanya tak perlu saya beritahu awak dari mana asal saya dan apa tujuan saya ke sini. Saya Cuma nak awak tunjukkan tempat yang sesuai untuk bermalam.” 

Ternyata pemuda bernama Adam itu berasa kurang senang mendengarnya. Dia kembali tunduk menyuap makanannya. Dia seolah ingin mengatakan, aku tidak akan menolong seorang wanita yang tinggi egonya. Melihat sikap dingin lelaki itu maka wanita bernama Hawa itu mula bersikap mesra. 

“ Maafkan saya kalau kata-kata saya tadi menyinggung.. Saya datang dari jauh. Di sini tidak ada sesiapa yang saya kenal. Saudara mara jauh sekali. Saudara tolong tunjukkan di mana tempat untuk saya bermalam.” 

“ Saya dah kata tadi di sini tak ada hotel atau chalet.” 

“ Tolonglah saudara. Saya perlukan tempat untuk bermalam.”. 

Pemuda itu termenung sejenak barangkali sedang memikirkan sesuatu. Kemudian dia merenung muka wanita itu seolah ingin mentafsir adakah dia boleh dipercayai?. 

“ Awak boleh bermalam di Masjid atau Surau. Kalau awak mahu saya boleh tolong hantarkan.” 

“ Sampainya hati awak suruh saya tidur di masjid seorang diri.” 

“ Selain tempat beribadat, masjid juga tempat musafir singgah bermalam.” 

“ Saya tak berani tidur di masjid seorang diri.”. 

“ Pilihan kedua. Awak boleh bermalam di rumah saya. Itupun kalau awak sudi kerana bilik tidur di rumah saya tidak seperti di hotel.” 

Ternyata wanita itu berasa serba salah untuk menerima atau menolaknya. Namun dia tidak ada pilihan. “ Pilihan kedua itu lebih baik dari pilihan pertama. Tapi saya bimbang apa kata isteri awak nanti.” 

“ Saya tak ada isteri dan saya sendirian di rumah itu.” 

Wanita itu seperti ingin ketawa. “ Awak janganlah nak bergurau dengan saya,’ katanya. 

“ Saya tak bergurau. Saya ikhlas.” 

“ Gila!”. 

“ Kalau begitu awak tidur saja di masjid. Tapi elok awak berhati-hati. . Kabarnya masjid itu selalu didatangi oleh makhluk jin. Pernah seorang musafir yang bermalam di masjid itu, bila tersedar pagi esoknya dia berada dalam bilik air.” 

“ Mungkin dia mengigau lalu berjalan ke bilik air.” 

“ Dia diangkat oleh makhluk Jin lalu dipindahkan ke bilik air.” 

Wanita itu berasa takut mendengarnya. Dia melihat jam di tangannya hampir pukul 7 malam. Sebentar lagi senja akan menjelma. Dia tidak ada pilihan. “ Okeylah, saya terima cadangan awak yang kedua.” 

“ Awak jangan buruk sangka kerana saya ingin menolong secara ikhlas. Kebetulan di rumah saya ada bilik kosong. Awak boleh bermalam di situ.” 

“ Terima kasih. Tapi saya tak mahu menumpang secara percuma. Berapa sewa bilik itu akan saya bayar.” 

“ Awak tak perlu bayar apa-apa kerana awak akan jadi tetamu di rumah saya. Tetapi untuk selama tiga hari sahaja. Selepas itu awak bukan lagi tetamu saya.” 

“ Maknanya saya akan dihalau pada hari yang ke empat?” 

“ Awak akan dikenakan bayaran pada hari yang ke empat dan seterusnya.Tapi saya yakin awak tak akan selesa tinggal lama di rumah saya. Mungkin awak Cuma tahan semalam saja.” 

“ Bagaimana pula dengan jiran tetangga?. Tidakkah nanti timbul syak wasangka atau mungkin juga fitnah?” 

“ Rumah saya agak terpencil. Tidak siapa tahu awak ada di rumah saya kecuali kalau awak keluar.” 

“ Awak mahu saya berkurung dalam rumah awak siang dan malam?” 

“ Kalau begitu awak tidur saja di Masjid. Itu lebih selamat.” 

Akhirnya mereka mencapai kata sepakat. Wanita itu bersetuju bermalam di rumah Adam, lelaki yang baru saja dikenalinya. Lelaki itu juga sanggup menerima wanita itu sebagai tetamu di rumahnya walaupun dia tahu berbagai risiko yang akan dihadapinya. Dan sebelum mereka keluar dari kedai makan itu, Adam membayar harga makanan termasuk kepunyaan wanita itu. 

“ Kenderaan saya Cuma sebuah motoisikal buruk. Kalau awak sudi boleh membonceng di belakang atau awak berjalan kaki saja ikut arah saya.” 

Sekali lagi wanita itu berasa serba salah. Tetapi akhirnya dia terpaksa juga membonceng di belakang motosikal Adam kerana tidak sanggup berjalan kaki. Tambahan pula dia tidak pasti berapa jauhkah rumah lelaki itu. 

Bermalam di rumah lelaki yang tidak dikenali memang sesuatu yang menakutkan. Berbagai sangkaan yang buruk melanda fikirannya. Namun apalah yang perlu ditakutkan lagi kerana dia pernah berasa putus asa untuk meneruskan kehidupan. Malah pernah dia berfikir untuk menamatkan riwayat hidupnya dengan menelan berpuluh biji pil tidur. 

Dan pada malam itu untuk pertama kali dalam hidupnya, dia bermalam di sebuah rumah yang sederhana besarnya terletak jauh di kawasan pedalaman. Ketika dia membaringkan dirinya di atas katil yang lengkap dengan tilam, bantal dan selimut, kedengaran suara lelaki itu membaca ayat suci al Quran. Dia berasa tenang dan terlena. 

Tiba-tiba dia terjaga apabila terdengar pintu bilik tidurnya di ketuk berulang kali. Ketukan pada pintu bilik itu masih kedengaran. Walaupun nada ketukan itu tidak keras namun mengganggu emosinya. Tambahan pula dia berasa letih dan mengantuk. Pada mulanya dia berharap ketukan itu akan berhenti apabila dia tidak memberikan apa-apa reaksi. Namun sangkaannya meleset kerana bunyi ketukan itu terus kedengaran. Dia bingkas bangun lalu duduk di birai katil. Di rumah itu hanya dia dengan Adam sahaja yang jadi penghuninya. Mustahil orang luar berani datang mengetuk pintu bilik tidurnya. Apa tujuan Adam berbuat begitu?.. 

Tiba-tiba dia berasa takut. Bulu romanya meremang dan seluruh badannya berasa sejuk. Peristiwa hitam yang berlaku ke atas dirinya kembali menjelma dalam ingatannya. Mungkinkah peristiwa yang amat menyakitkan itu akan berulang lagi?. Dia tidak sanggup lagi merasai kepedihan itu. Dia bukan saja telah kehilangan sesuatu yang paling berharga pada dirinya malah kehilangan keyakinan terhadap orang yang selama ini paling dipercayainya. Sungguh tidak disangka orang yang dianggap seperti ayah sendiri sanggup melakukannya. Dia tidak akan memafkan kesalahan ayah saudaranya itu. 

Bunyi ketukan pada pintu itu kedengaran lagi. Bunyinya sama seperti yang pernah didengarnya pada malam kejadian itu. Dia masih ingat ketika itu dia masih belum tidur kerana asyik membaca sebuah novel kisah cinta yang begitu menyentuh perasaannya. Dia bercadang untuk menghabiskan bacaannya. Kerana cuaca pada malam itu agak panas dia Cuma mengenakan pakaian yang nipis sahaja. Dan tanpa mengesaki apa-apa, dia terus membuka pintu bilik tidurnya. Dan sebaik saja pintu itu terbuka, Bapa saudaranya menerpa masuk. 

Walaupun dia cuba meronta untuk melepaskan diri dari menjadi mangsa lelaki berusia 50an yang sedang mabuk dan di rasuk Syaitan itu namun tidak berjaya. . Apatah lagi bila mulutnya di tekup dengan tapak tangan yang kasar. Dan akhirnya berlaku sesuatu yang amat menyakitinya. Dan peristiwa itu terus menghantui fikirannya. Lamunannya terhenti apabila pintu bilik itu diketuk lagi... 

“ Kalau awak masih belum tidur tolong buka pintu ini,” kedengaran suara Adam dari luar. 

Dia terus mendiamkan diri dengan harapan pemuda itu menyangka dia sedang tidur. Tambahan pula dia memang takut hendak membuka pintu itu. Dia dapat agak apa tujuan seorang lelaki masuk ke bilik tidur perempuan kalau tidak ingin melakukan seperti apa yang pernah dilakukan oleh bapa saudaranya?. Tidak. Dia tidak sanggup peristiwa itu berulang lagi. 

Kerana itu pada mulanya dia berasa keberatan untuk menerima pelawaan pemuda itu untuk bermalam di ruimahnya. Tetapi kerana tidak ada hotel atau rumah tumpangan maka terpaksa dia menerimanya walau dengan hati yang berat. Tambahan pula dia tidak sanggup menumpang tidur dalam masjid seorang diri kerana takut diganggu makhluk Jin seperti yang diceritakan oleh Adam. 

“ Saya tahu awak masih belum tidur!,” kata pemuda itu lagi. ” Tapi kalau tak mahu buka pintu pun tak mengapa. Saya Cuma nak bagi ubat nyamuk sebab di rumah ni nyamuk berkeliaran. Kalau awak perlukan ubat nyamuk saya ada letakkan di balik pintu.” 

Sejurus kemudian suasana sepi. Setelah yakin pemuda itu tidak ada lagi di situ barulah senang rasa hatinya. Benar seperti kata pemuda itu, dalam rumah itu banyak nyamuk yang kelihatan berterbangan di bawah sinaran lampu kalimantang. Beberapa ekor nyamuk yang kekenyangan hinggap di dinding. Kerana keletihan dia tidur nyenyak sehingga tidak sedar digigit nyamuk.. 

Dia bangun menghampiri pintu bilik itu lalu memulas tombolnya. Benarlah seperti kata pemuda itu. ada sebungkus ubat nyamuk dan sekotak mencis api. Dia segera mengambilnya dan menutup semula pintu itu. Setelah membakar ubat nyamuk dia ingin tidur semula. Namun entah kenapa matanya tidak mahu terlena. Di luar rumah itu kedengaran bunyi suara katak dan cengkerik memanggil hujan. Sayup-sayup kedengaran bunyi anjing menyalak. Suasana waktu malam di kawasan pedalaman itu agak menyeramkan. Namun dia berasa selamat kerana berada dalam bilik yang boleh dikunci dari dalam. 

Rumah itu sederhana besarnya diperbuat dari papan dan beratap zing. Kalau di kota tempat kelahirannya, rumah seperti itu banyak terdapat di kawasan setinggan. Dia memang tidak pernah tinggal di rumah seperti itu kerana sejak dilahirkan tempat kediamannya ialah di sebuah Kondominium mewah milik bapanya yang terletak di tengah kota. 

Tiba-tiba dia terbayang wajah ayah dan ibunya. Sejak dilahirkan dia mendapat kasih sayang sepenuhnya dari mereka. Dia amat disayangi oleh ayah dan ibunya. Dia juga mendapat seorang pengasuh bernama Mak Yam yang bersedia pada bila-bila masa menurut arahannya. Dari pengasuh itu dia belajar cara-cara memasak, membasuh kain serta mengemas rumah. 

Namun keadaan hidupnya mula berubah apabila ayah dan ibunya meninggal dunia dalam satu nahas di jalan raya apabila kereta mewah yang di pandu oleh bapanya bertembung dengan sebuah bas. Ibunya yang turut berada dalam kereta itu juga meninggal di tempat kejadian. Hidupnya lebih menderita kerana bapa saudara yang sepatutnya jadi pelindung bersifat tamak serta ingin membolot semua harta yang ditinggalkan oleh bapanya. Kalau ayah dan ibunya masih hidup tentu dia tidak sampai ke daerah yang terpencil itu.. . 

Tiba-tiba dia berasa perutnya sakit. Mulanya sekadar rasa memulas tetapi lama kelamaan semakin sakit. Dia memerhatikan di sekitar bilik itu kalau ada minyak angin atau ubat yang boleh disapukan pada perutnya, Namun hampa. 

Apabila tidak tertahan lagi menahan kesakitan itu dia nekad untuk keluar dari biliknya bagi mendapatkan pertolongan. Dan orang yang diharapkan dapat menolongnya ialah Adam. Dia berasa yakin pemuda itu masih belum tidur kerana lampu di biliknya masih menyala. 

Apabila dia berdiri di muka pintu bilik pemuda itu, timbul pula rasa serba salah di hatinya. Mungkin ketukan itu akan menimbulkan kemarahan. Atau mungkin juga Adam akan mendiamkan diri seperti yang dilakukan sebentar tadi. Namun dia tidak ada pilihan lain lalu diketuknya pintu bilik itu dengan belakang jari tangan. kanan. 


Ketika itu Adam baru saja terlena. Sengaja dibiarkannya lampu dalam bilik itu terpasang. Apabila pintu itu diketuk dia pun terjaga. Sebenarnya dalam lenanya tadi dia bermimpi didatangi oleh seorang bidadari yang cantik jelita. Kerana itu pada mulanya dia menyangka masih di alam mimpi. Lalu digosok tapak tangannya dan dicubit pipinya untuk membuktikan dia memang berada di alam nyata. 

Kenapa wanita muda itu begitu berani mengetuk pintu biliknya?. Dia bertanya pada dirinya sendiri. Sebaik saja pintu bilik tidur itu dibuka, Adam tergamam bila melihat wanita itu tercegat di muka pintu. Mukanya nampak pucat sambil tapak tangan kanannya menekan bahagian perutnya yang sakit. 

“ Kenapa?. Awak sakit?” tanya Adam seolah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. 

“ Mungkin dimasuki angina,” jawab wanita itu. “ Tolong berikan saya minyak angin atau apa saja ubat yang boleh menahan rasa sakit.” 

Adam segera membuka laci meja tulisnya lalu diambilnya sebotol minyak angin dan beberapa biji Panadol. Memang sengaja disimpannya ubat-ubatan itu untuk digunakan apabila diperlukan. . 

“ Telan ubat ini,” kata Adam sambil menghulurkannya kepada Hawa. “ Saya ke dapur untuk mengambil air suam.” 

Sebentar kemudian Adam datang semula sambil membawa segelas air suam lalu diberikannya kepada Hawa. Wanita itu mengucapkan terima kasih lalu menelan 2 biji pil panadol untuk menahan kesakitannya. Kemudian diteguknya air suam itu supaya ubat tersebut masuk ke dalam perutnya. 

“ Terima kasih atas pertolongan saudara,” kata wanita muda itu. “ Saya nak masuk semula ke bilik. Terima kasih sekali lagi.” 

“ Jangan lupa gosok minyak angin itu pada perut awak.. Atau kalau sudi biar saya yang tolong gosokkan,” kata Adam sepereti bergurau. 

Gila!. Jerit wanita itu dalam hati. Namun dia tidak marah, malah senang dengan gurauan anak muda itu. Hawa masuk semula ke bilik tidurnya. Sengaja tidak dikuncinya pintu bilik itu kerana kalau terjadi sesuatu pada dirinya tentulah pemuda itu mudah untuk memasukinya dan memberikan pertolongan. Timbul pula pertanyaan dalam hatinya, bagaimana kalau ditakdirkan dia meninggal di rumah pemuda itu?. Dia yang sudah mati tentu tidak jadi masalah tetapi bagaimana pula dengan Adam?. Pastinya pemuda itu akan disoal siasat oleh pihak polis. 

Dia sedar dirinya kini sedang dicari oleh bapa saudaranya. Mungkin pihak polis juga sedang mengesannya di seluruh Negara. Mungkin esok keluar berita tentang kehilangnnya dalam surat kabar. 

Wanita muda itu masih belum terlena apabila dia mendengar langkahan kaki pemuda itu menuju ke biliknya. Dadanya bergemuruh dan rasa cemas menguasai dirinya. Pintu bilik itu memang tidak dikunci dari dalam dan sebentar lagi pemuda itu pasti akan masuk. Dan selepas itu apa akan terjadi ke atas dirinya?. 

Sebelum sempat dia berbuat apa-apa, Adam sudah membuka pintu bilik itu dan melangkah masuk. Dia hampir menjerit ketakutan tapi mujur dapat ditahan perasaan takutnya. Lalu dia melelapkan mata pura-pura tidur dengan harapan pemuda itu menyangka dia sedang terlena. Dia pasrah namun berharap pemuda itu tidak sekejam bapa saudaranya. 

Dia dapat merasakan kain cadar di hujung kakinya ditarik dengan perlahan lalu tubuhnya diselimutkan. Sejurus kemudian pemuda itu keluar sambil menutup pintu bilik itu. 



2. EPILOG CINTA
EPILOG CINTA 


Tujuh tahun kemudian, keadaan sudah banyak berubah. Lembah Ranum yang dulunya hutan tebal kini telah bertukar menjadi ladang kelapa sawit. Di tengah ladang itu kelihatan sebuah banglo dua tingkat. Atapnya warna biru manakala dindingnya dicat dengan warna putih. Di halamannya .terdapat pokok-pokok bunga yang dijaga dengan rapi. Tidak jauh dari kediaman mewah itu terdapat sebatang sungai yang masih jernih airnya. Di seberang sungai itu terdapat beberapa buah bangunan yang digunakan sebagai pejabat, stor dan bangsal kediaman pekerja. 

Kerana ladang kelapa sawit itu sudah mengeluarkan hasil maka ramailah tenaga pekerja yang diperlukan. Ada yang kerjanya memetik buah kelapa sawit, ada yang kerjanya membersih kawasan ladang dan ada yang memelihara tanaman. Mereka terdiri dari penduduk kampung yang berhampiran. Namun ada juga yang datang dari jauh. Para pekerja dari luar disediakan tempat kediaman.. 

Di bangunan pejabat itu terdapat kira-kira 20 orang kakitangan yang bertanggung jawab menguruskan bahagian kewangan, pemasaran dan pentadbiran ladang tersebut. Terdapat juga beberapa buah lori yang digunakan untuk mengangkut buah sawit daripada ladang ke kilang. 

Kerana ladang itu luas maka sebuah Kilang memproses Kelapa Sawit telah didirikan dan kilang itu beroperasi 24 jam. Selain memproses buah kelapa sawit yang dikeluarkan oleh ladang tersebut, kilang itu juga memproses buah kelapa sawit dari ladang-ladang kecil yang berhampiran. 

Rumah Banglo dua tingkat yang terletak di puncak bukit itu sentiasa diselubungi suasana riang gembira. Sesiapa saja yang berkunjung ke situ pasti dapat merasakan betapa bahagianya pasangan suami isteri itu. Tambahan pula mereka telah dikurniakan dua orang anak yang lincah dan comel. Yang sulung anak lelaki bernama Fajar, berusia 5 tahun manakala adiknya seorang perempuan bernama Delima berusia 4 tahun. Pasangan yang bahagia itu ingin memiliki anak seramai yang boleh. Tetapi entah kenapa setakat ini mereka Cuma dikurniakan anak dua orang anak sahaja. Mungkin juga disebabkan kesibukan jadual tugas masing-masing menyebabkan berlakunya penjarangan anak. Si isteri bertanggung jawab dalam hal ehwal kerja-kerja di pejabat.manakala suami sibuk menguruskan ladang dan kilang. Namun kesibukan itu tidak merenggangkan perhubungan mereka apatahlagi mengurangkan kasih sayang sebagai suami isteri. 

Seperti biasa tengah hari itu Syafiq dan Aghata pulang ke rumah untuk makan tengah hari. Namun Aghata pulang lebih awal dari suaminya untuk menyediakan makanan. Dia tidak perlu mengambil masa yang lama untuk menyediakan makanan kerana ada seorang tukang masak dan seorang pengasuh kanak-kanak. Kawasan Kediaman itu pula dijaga oleh seorang tukang kebun yang rajin. 

Aghata dan Syafiq merupakan pasangan paling bahagia. Hidup mereka sentiasa diselubungi dengan kegembiraan. Kediaman mewah itu sentiasa dihiasai dengan gurau senda dan ketawa anak-anak. Setelah sekian lama mengharungi pelbagai suka duka kini pasangan tersebut berada di puncak bahagia. Mereka adalah pemilik ladang kelapa sawit itu. Kini mereka memiliki segala-galanya. Rumah mewah, kereta dan apa saja keperluan hidup semuanya dapat mereka miliki. 

Jadual kerja harian mereka sememangnya sebuk.. Pagi-pagi lagi Syafiq sudah keluar untuk menguruskan ladang dan kilang. Begitu juga dengan Aghata yang bertanggung jawab di bahagian pentadbiran, pemasaran dan kewangan. 

Pada hujung minggu Syafiq dan Aghata membuat kerja-kerja amal. Dengan dibantu oleh penduduk tempatan mereka menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti mengadakan gotong royong, menziarahi mereka yang sakit dan memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan. Jika ada majlis keramaian Syafiq dan Aghata pasti dijemput hadir. 

Masa berlalu begitu pantas. Dalam masa tujuh tahun perkampungan Nanga Setia sudah banyak perubahannya. Penduduk rumah panjang tidak lagi bergantung hidup daripada hasil buruan binatang di hutan atau tangkapan ikan di sungai. Kini rezeki masing-masing berada di ladang kelapa sawit. Pendapatan yang mereka perolehi daripada kerja-kerja yang mereka lakukan dapat menampung kehidupan keluarga masing-masing. Bila ekonomi meningkat taraf kehidupan mereka juga meningkat. Kesihatan mereka juga lebih terjamin. 

Kalau dulu rumah panjang itu kelihatan buruk dan kebersihan tidak terpelihara tetapi kini berlaku sebaliknya. Dengan aktiviti gotong royong yang diadakan rumah panjang yang dulunya beratap rembia telah diganti dengan atap zink. Kayu atau papan yang reput diganti dengan yang baru. Mereka juga bergotong royong membersihkan kawasan sekitar. Parit yang tersumbat dibetulkan. Air yang bertakung dibuat saliran. Jalan yang sempit dilebarkan. Semuanya dilakukan dengan cara bergotong royong. 

. . Pihak kerajaan pula memberikan pelbagai kemudahan. Kalau dulu penduduk kampung terpaksa menggunakan jalan sungai untuk keluar tetapi kini sudah dibina jalan yang berturap tar. Dengan adanya jalan raya itu memudahkan mereka membawa hasil tanaman ke bandar. 

Kalau dulu mereka menggunakan air sungai atau jeram tetapi kini sudah mendapat bekalan air bersih yang disalurkan melalui paip. Dengan adanya kemudahan eletrik hampir kesemua keluarga di rumah panjang itu memiliki radio, tv dan telefon. 

Sebuah sekolah rendah juga sudah didirikan di kampung tersebut. Dengan ini anak-anak mereka tidak perlu naik bot lagi kerana sekolah berhampiran dengan rumah. Selain itu terdapat klinik desa, dewan orang ramai dan komplek sukan. Ada yang mengatakan perkampungan Nanga Setia jauh lebih maju dari perkampugan lain. 

Syafiq dan Aghata yang menjadi tulang belakang kemajuan tersebut. Mereka tidak mementingkan diri sendiri. Kekayaan yang mereka perolehi dari ladang Kelapa Sawit itu digunakan untuk membantu penduduk kampung tersebut. Syafiq dan Aghata yang membelikan kayu, simen dan zink untuk mencantikkan rumah panjang itu. Penduduk kampung Cuma menyediakan tenaga kerja secara bergotoing royong. Ibu-ibu tunggal dan mereka yang tidak berdaya lagi berkerja, diberi bantuan makanan dan pakaian. Anak-anak yatim diberi bantuan untuk meneruskan persekolahan. 

Syafiq dan Aghata juga membantu menaikkan taraf ekonomi penduduk tempatan dengan menyediakan peluang pekerjaan di ladang. Tidak ada lagi yang menganggur kerana masing-masing sudah mempunyai pekerjaan tetap. Anak-anak muda juga diberi peluang. Mereka yang berkelulusan diambil berkerja di pejabat dan yang tidak ada kelulusan berkerja di ladang atau di kilang. 

Ramai juga orang luar yang datang ke situ untuk mencari pekerjaan. Mereka disediakan sebuah bangsal yang lengkap dengan kemudahan air dan api serta dapur..Mereka tinggal di situ secara percuma. Penduduk kampung itu menganggap pasangan suami isteri itu berhati mulia. Mereka sangat menghormati dan menyayanginya. 

Syafiq pula tidak berpuas hati dengan kejayaan yang sedia ada. Dia mempertingkatkan ilmu pengurusan ladang. Dia juga sering memberi ceramah kepada penduduk kampung mengenai pertanian dan cara-cara menggunakan tanah dengan betul. Penduduk kampung itu mengagumi kebijaksanaannya. 

Syafiq dan Aghata tidak berpuas hati dengan kejayaan yang ada. Mereka merancang hendak membuka kawasan baru. Tambahan pula kawasan hutan di sekeliling mereka masih luas. Dengan kemudahan untuk mendapatkan tenaga pekerja Syafiq meluaskan lagi ladang kelapa sawit itu. Kawasan hutan dibuka dan lereng-lereng bukit sudah dipugar. 

Apabila manusia semakin bertambah maka banyak permintaan terhadap makanan. Syafiq meluaskan perniagaannya dengan mendirikan sebuah pasar raya. Di situlah pekerja ladang dan penduduk kampung membeli barang-barang keperluan harian mereka. . 

Syafiq dan Aghata juga bijak mempelbagaikan penggunaan tanah. Ladang kelapa sawit yang luas itu diusahakan dengan ternakan lembu. Projek itu bukan saja berjaya menampung permintaan daging di nkalangan penduduk tempatan malah dapat dijual ke tempat lain. 

Syafiq dan Aghata tidak melupakan seorang tua yang tinggal dalam gua di kaki bukit. Sesekali mereka menziarahi Akik yang kini semakin tua. Walupun semakin tua tetapi orang tua itu masih kaya dengan nasihat. 

“ Tuhan sayang kepada mereka yang berhati mulia. Yakinlah bahawa satu kebaikan yang kita lakukan akan dibalas dengan seribu kebaikan oleh Tuhan,” katanya sambil memuji apa yang dilakukan oleh pasangan suami isteri itu. 

“ Setiap kali saya menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan saya berasa bahagia. Itulah satu kepuasan bagi diri saya,” kata Syafiq puila. 

“ Maknanya dalam diri kamu sudah ada sifat malaikat yang suka melakukan kebaikan. Sebaliknya kalau kamu dikuasai oleh syaitan maka cenderung melakukan kejahatan,” kata orang tua itu. 

“ Akik percaya adanya Malaikat?. Akik percaya adanya Tuhan yang Maha Berkuasa?” tanya Aghata pula. 

“ Akik tidak bersendirian di gua ini. Ada malaikat yang bersama Akik. Dan ada Tuhan yang melindungi diri Akik,” jawab oranbg tua itu sambil tersenyum. 

Dan seperti biasa sebelum meninggalkan orang tua itu, Syafiq akan menghulurkan buah tangan termasuk sejumlah duit. Tetapi Syafiq tahu orang tua itu juga berhati mulia. Kabarnya duit yang dia dapat akan diberikannya kepada kanak-kanak dan orang tua. Dia lebih selesa dengan cara hidupnya. 

Pada suatu hari Syafiq didatangi oleh seorang utusan dari pejabat menteri yang membawa bersamanya sepucuk surat. “ Encik baca dulu surat ini kalau setuju sila tanda tangan pada borang ini,” kata utusan itu. 

Dengan dada yang berdebar Syafiq membuka surat itu lalu membacanya. Fahamlah dia bahawa pihak kerajaan negeri Sarawak akan mengurniakan darjah kebesaran kepadanya sebagai tanda penghargaan di atas sumbangan yang telah dilakukannya. 

“ Majlis tersebut akan diadakan tak lama lagi. Pembesar negeri akan hadir untuk mengurniakan darjah kebesaran tersebut. Kalau Encik Syafiq setuju untuk hadir sila tanda tangan pada borang ini,” kata pegawai itu lagi. 

Namun Syafiq tidak bermegah dengan bintang kebesaran yang akan diterimanya. Dia tidak menghebahkan perkara tersebut melainkan kepada Aghata sahaja. 

“ Abang lakukan dengan ikhlas bukan minta dikurniakan darjah kebesaran,” kata Syafiq sewaktu mereka hendak tidur. 

“ Apa yang kita lakukan telah dihargai oleh manusia. Semoga Tuhan juga menghargainya,” balas Aghata pula. 

Syafiq berasa malam itu sungguh indah dan dia dapat tidur dengan nyenyaknya.. 



3. MASIH ADAKAH CINTA 
MASIH ADAKAH CNTA?. 

ADAM melihat rumah itu sepi. Tingkap dan pintunya tertutup rapat. Pada mulanya dia menyangka rumah itu sudah didiami oleh emak saudaranya. Tambahan pula dia yang beriya sangat menuntut haknya sebagai pewaris tanah pesaka adat. Puaslah hatinya kerana rumah pesaka itu menjadi miliknya. 

Adam berjanji pada dirinya sendiri tidak akan menuntut apa-apa kerana dia sedar sebagai anak lelaki yang dilahirkan dalam masyarakat Adat Perpatih, dia tidak berhak mewarisi apa-apa yang diistilahkan sebagai pesaka adat. .Tujuan dia pulang hanya untuk melihat rumah itu buat kali yang terakhir kerana dia sudah bertekad tidak akan menjejakkan kakinya lagi ke kampung itu buat selamanya. 

Beberapa hari sebelum dibebaskan Adam sudah merangka apa yang akan dilakukannya. Mula-mula dia akan pulang ke kampung tempat kelahirannya untuk menziarahi pusara ayah dan ibunya. Kemudian dia akan melihat rumah peninggalan arwah ibunya buat kali yang terakhir. Dan selepas itu dia akan membawa diri jauh dari kampung halamannya. Dia akan berserah pada nasib. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Dia pasrah. 

Bukan dia tidak sayang kepada kampung halamannya. Kalau boleh dia ingin menetap di situ sehingga ke akhir hayat tetapi apakan daya kerana pada pendapatnya tertutup sudah pintu harapan.. Tidak ada lagi peluang untuk membina kehidupoan baru. Semua yang diusahakannya selama ini sia-sia sahaja. Adam berpendapat lebih baik dia merantau jauh dari kampung halamannya untuk memulakan kehidupan baru. 

Adam tahu, selama dia berada dalam penjara pernah beberapa kali Siti Hawa hendak melawatnya. Tetapi Adam menolaknya. Dia sengaja tidak mahu dilawati oleh sesiapa lebih lagi Siti Hawa. Adam ingin melupakan semua orang yang terlibat dengan dirinya sebelum di hukum penjara. Bukan dia sudah lupa kepada insan yang telah banyak menolongnya.. Dia tidak akan melupakan budi baik yang diberikan oleh Siti Hawa. Cuma dia tidak mahu Siti Hawa membuang masa menunggu dia dibebaskan dari penjara. Tambahan pula dia sedar status dirinya sebagai banduan tidak layak untuk berdampingan dengan seorang jutawan muda seperti Siti Hawa. Bagi Adam biarlah semuanya menjadi kenang-kenangan dalam hidupnya.. 

Kerana itu pada hari dia dibebaskan tidak siapa yang menunggunya di luar penjara. Dan dia tidak berasa sedih bila melihat kawan-kawan yang sama-sama keluar dengannya disambut oleh keluarga masaing-masing. Dia sengaja tidak memberitahu sesiapa pada hari pembebasannya. Tambahan pula dia dipendekkan hukuman kerana berkelakuan baik. Adam sudah bertekad hendak memulakan kehidupan baru secara bersendirian. 

Adam berasa sedih bila melihat rumah pesaka peninggalan arwah ibunya terbiar. Halaman rumah itu semak samun. Sampah sarap bertaburan kerana tidak pernah disapu. Rumput dan tumbuhan liar memenuhi halaman rumah kerana tidak pernah dibersihkan. Kelihatan sarang anai-anai bersalut di tiang rumah. Ketika dia mendiami rumah itu dulu, setiap petang selepas Solat Asyar, Adam akan membersihkan halaman rumah. Menarah rumput yang tumbuh meliar dan sebagainya. Hasilnya, rumah itu nampak bersih walaupun rumah lama. 

Adam menaiki tangga rumah itu dengan hati yang berdebar. Terketar-ketar tangannya mengetuk pintu. Dan seperti yang dijangkanya tidak ada jawapan menandakan rumah itu tidak berpenghuni. Pintu dan tingkap tertutup rapat. Terlintas juga pada fikiran Adam hendak memecah masuk melalui pintu rumah itu tetapi dia segera membatalkan niatnya kerana kuatir rumah itu sudah bertukar hak milik. Lebih baik dia pergi dari situ sebelum dituduh cuba memecah rumah.. 

Tiba-tiba Adam teringat kawasan paya di belakang rumah. Dia ingin melihat projek impiannya itu sebelum pergi. Ketika dia ditahan polis kerja-kerja mengeringkan air di kawasan paya itu sedang dijalankan. Kini sudah dua tahun berlalu. Mungkin kawasan paya itu terbiar semula. 

Adam terpegun. Dia seperti tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Digosok matanya berkali-kali untuk mempastikan dia tidak bermimpi. Di hadapannya kini terbentang ladang Kelapa Sawit. Kawasan paya dan kawasan hutan yang dulunya semak samun kini berubah wajah. Pokok-pokok Kelapa Sawit subur menghijau menunggu masa untuk mengeluarkan hasil. Di tengah ladang itu ada sebuah rumah yang besar dan cantik. Siapakah tuan punya ladang ini?. Siapakah pemilik istana itu?. Tanya Adam pada dirinya sendiri. 

Adam berjalan menghampiri rumah itu. Ia bukan rumah tapi lebih layak dipanggil sebuah istana. Adam berdiri di halamannya. Dia teringat mimpi yang pernah diceritakan oleh ibunya. Berjurus lamanya Adam berdiri di halaman rumah itu. Kembali dia sedar siapa dirinya. Sebagai bekas seorang banduan, kehadirannya di situ boleh menimbulkan rasa curiga kepada penghuni rumah tersebut. Dengan satu panggilan telefon ke Balai Polis dia boleh disumbatkan semula ke dalam penjara. Lalu Adam mengambil keputusan untuk meninggalkan tempat itu. Tiba-tiba seorang perempuan berumur keluar dari rumah itu lalu menghampiri Adam. 

“ Awakkah yang bernama Adam?” tanya perempuan itu. 

“ Macam mana Mak Cik tahu nama saya Adam?” tanya Adam pula. 

“ Saya Mak Yam. Saya ditugaskan untuk menjaga rumah ini. Dan saya disuruh menunggu kepulangan Adam,” jawab Mak Yam. 

“ Saya masih berasa hairan,” kata Adam. “ Macam mana Mak Yam tahu nama saya Adam?” 

“ Tuan punya rumah ini selalu menyebut nama Adam. Dan hati Mak Yam kuat mengatakan awaklah pemuda yang bernama Adam itu.” 

“ Siapa tuan punya rumah ini?. Dan siapa pemilik ladang ini?” 

“ Namanya Siti Hawa. Dia lakukan semua ini kerana Adam. Awak bertuah kerana ada seorang perempuan yang mencintai awak dengan sepenuh hatinya.” 

Adam tertawa. Geli hatinya mendengar kata-kata Mak Yam. “ Jangan nak bergurau dengan saya. Antara saya dengan Siti Hawa sudah tidak ada apa-apa hubungan lagi.” 

“ Jangan cakap macam itu, Adam,” kata Mak Yam. “ Awak sepatutnya menghargai apa yang telah dilakukan oleh Siti Hawa.” 

“ Apa yang dia dah lakukan?” 

“ Ladang dan rumah ini adalah lambang cintanya kepada Adam.” 

Adam terpegun mendengarnya. Namun hatinya masih berbelah bahagi antara percaya dengan tidak. Mak Yam mempersilakan Adam masuk ke dalam rumah. Pada mulanya Adam berasa segan hendak memijakkan kakinya ke dalam istana itu. Tetapi setelah didesak berkali-kali oleh Mak Yam, akhirnya Adam setuju. Dan hatinya berasa kagum bila melihat hiasan dalaman rumah itu. Persis bagaikan istana. 

“ Duduklah, Adam. Nanti Mak Yam ambilkan air. Kau tentu haus dan lapar,” kata Mak Yam sambil berlalu ke dapur. 

Tidak lama kemudian Mak Yam datang semula membawa seteko air kopi dan sepiring biskut. “ Jemputlah Adam. Jangan malu-malu,” pelawa Mak Yam. 

Tiba-tiba telefon berbunyi. Mak Yam segera menyambutnya..“ Ada orang nak bercakap dengan Adam,” kata Mak Yam sambil menghulurkan telefon di tangannya kepada Adam. Dengan dada yang berdedar Adam meyambut telefon tersebut. 

“ Hallo,” katanya. 

Tetapi tidak ada apa-apa jawapan. “ Hallo,” kata Adam lagi. 

“ Assalamualaikum,” kedengaran suara di gagang telefon. 

Adam segera menjawab salam. Dia sudah dapat mengecam suara yang bercakap dengannya ialah Siti Hawa. 

“ Selamat pulang, selamat bertemu kembali dan selamat memulakan kehidupan baru,” begitu lunak Siti Hawa menuturkannya. 

“ Terima kasih,” balas Adam “ Siti Hawa di mana?” 

“ Di halaman rumah.” 

Adam segera keluar dan kelihatan Siti Hawa, Pak Abu dan Tuan Haji Basir berdiri di halaman. Adam mendapatkan mereka lalu bersalaman. “ Sebaik saja kami mendapat berita Adam dibebaskan terus datang ke sini,” kata Tuan Haji Basir. 

“ Bersyukurlah kerana Adam sudah dibebaskan,” kata Pak Abu pula. 

“ Lupakan kenangan lalu. Mari kita mulakan hidup baru,” kata Siti Hawa pula. . 

“ Tetapi bukan di sini,” kata Adam. “ Saya sudah tidak ada tempat lagi di kampung ini.” 

“ Kenapa Adam cakap macam itu?” tanya Siti Hawa. 

“ Rumah dan tanah pesaka adat peninggalan arwah ibu saya akan diserahkan kepada yang berhak mengikut sistem Adat Perpatih. Dan saya akan pergi jauh dari sini.” 

“ Adam nak pergi ke mana?. Cuba cakap pada Pak Cik?” tanya Pak Abu. 

Adam termenung. Dia berasa serba salah hendak menjawabnya. Tambahan pula dia sendiri belum tahu ke mana arah tujuannya hendak membawa diri. Apa yang terlintas pada fikirannya ialah meninggalkan kampung itu. 

“ Pada pendapat Pak Cik, Adam lebih selamat berada di sini dari berada di luar sana. Tambahan pula di sini Adam dilahirkan, di sini Adam dibesarkan. Rezeki Adam berada di sini bukan di luar sana.” 

“ Apa maksud, Pak Cik?” tanya Adam. 

“ Lebih baik kalau Siti Hawa sendiri yang menjelaskannya,” jawab Pak Abu. 

“ Lebih elok kita berbincang dalam rumah,” kata Tuan Haji Basir pula. 

Mereka masuk ke dalam rumah dan masing-masing mengambil tempat duduk di ruang tamu. Kemudian Siti Hawa pun berkata; 

“ Tentulah tidak menjadi satu kesalahan kalau seseorang itu berkorban untuk orang yang disayanginya. Khadijah sanggup mengorbankan seluruh hartanya untuk seorang lelaki yang dicintainya bernama Muhammad. Shah Jehan sanggup membina Taj Mahal untuk orang yang dicintainya.” 

Siti Hawa diam. Dia menunggu reaksi dari Adam. Namun pemuda itu terus berdiam diri. Tuan Haji Basir segera mencelah. “ Adam sanggup masuk penjara kerana sayangkan seseorang. Siti Hawa sanggup mengorbankan hartanya untuk membina rumah dan ladang ini juga kerana sayangkan seseorang. Betapa agongnya cinta.” 

Perasaan Adam tersentuh bila mendengar kata-kata itu. Dia memandang Siti Hawa. Dan Siti Hawa juga membalas pandangan Adam. Mata mereka bertentangan. 

“ Memang benar kata Tuan Haji Basir,” kata Siti Hawa. “ Ladang dan rumah ini untuk Adam. Terimalah ini sebagai hadiah dari Siti.” 

Adam merasa lidahnya kelu untuk mengucapkan kata-kata. Perasaannya amat terharu mendengarnya. Haruskah dia menerima atau menolak hadiah itu?. Adam teringat mimpi yang diceritakan oleh ibunya. 

T A M A T

CERPEN 
4.
GADIS NEGERI SEMBILAN 
Oleh: Abdullatip 
Suasana di daerah pedalaman ini tenang dan tenteram. Alam di kelilingku di hiasi dengan pohon-pohon kayu yang segar menghijau. Tidak jauh dari rumah kediamanku kelihatan sawah yang luas terbentang di pagari oleh Banjaran Titiwangsa. Aku merasa bertuah dapat mencurahkan khidmat bakti di negeri Adat Perpatih ini. Keramahan penduduknya dan keindahan alam semula jadinya menjadikan aku merasa bahagia bertugas di sini. 
Namun aku sedar, sejak aku menjejakkan kaki di sebuah perkampungan yang letaknya jauh di pedalaman ini, hati ibuku kerap dilanda perasaan bimbang. Dia bimbang jika anak kesayangannya terpikat dengan gadis Negeri Sembilan. 
Kerana itulah, sejak aku menerima surat tawaran bertugas di kawasan pedalaman ini, ibuku melambakkan pesanan supaya aku berhati-hati jangan sampai terpikat dengan gadis negeri Adat Perpatih. 
" Teruk sangatkah Gadis negeri sembilan itu,?" tanyaku sekadar memancing perbualan. 
Ibuku yang sedang memasukkan pakaian ke dalam beg kelihatan termenung seketika sebelum menjawab pertanyaanku. " Mak dah dengar macam-macam cerita mengenai gadis Negeri Sembilan ni." 
Menurut ibuku, sesiapa yang berkahwin dengan gadis Negeri Sembilan kena ikut Adat Perpatih. Kena masuk suku, harta pusaka mesti diwarisi oleh orang perempuan. Jika bercerai, suami kena keluar dari rumah hanya dengan sehelai sepinggang. Dan apa yang paling menakutkan hati ibuku bila jiran kami Mak Joyah mengatakan gadis Negeri Sembilan pandai menggunakan ilmu pengasih untuk memikat jejaka yang berkenan di hatinya. 
Kata Mak Joyah lagi, bila sudah berkahwin Gadis Negeri Sembilan pandai menggunakan ubat guna-guna untuk menundukkan hati suami. Akibatnya suami kena kontrol oleh isteri. Si suami lupa hendak balik ke rumah orang tuanya dan takut hendak menghulurkan duit gaji kepada orang tua atau adik beradiknya. 
Sesungguhnya, itulah yang paling membimbangkan hati ibuku. Dia takut sungguh kalau aku berkahwin dengan gadis Negeri Sembilan. Bagi ibu kalau boleh biarlah aku berkahwin dengan gadis pilihan hatinya. Gadis yang sudah dikenal hati budi dan jurai keturunannya. Kerana itu siang malam, pagi petang ibu berdoa semoga aku tidak berkahwin dengan gadis Negeri Sembilan. Dan setiap kali aku balik ke rumah bila cuti ibu tidak lupa memberi nasihat kepada aku, anak kesayangannya. 
Kata ibuku, pandai-pandailah menjaga diri bila berada di negeri orang. Mulut jangan celupar, berhati-hati memilih kawan, berwaspada bila makan minum di rumah orang dan paling penting, kata ibu berulangkali, jangan berkawan rapat dengan gadis Negeri Sembilan. 
Selalunya bila diberi nasihat oleh ibu, aku hanya tersenyum sambil mengatakan Insyaallah. Memang begitu sikapku tidak banyak cakap bila berhadapan dengan ibu. Apatahlagi membantah kata-katanya. Tambahan pula aku tak mahu jadi anak derhaka kerana aku tahu anak derhaka tidak dapat mencium syurga. Sikap dan pengakuanku itu dapat meredakan perasaan ibu. Tetapi berlainan pula dengan ayahku. Dia selalu membela aku. 
" Anak kita tu bukannya budak-budak. Dia sudah dewasa dan ada pelajaran. Fikirannya sudah matang untuk merancang masa depannya. Lebih lagi dalam hal memilih pasangan hidupnya. Kita doakan sahaja semoga dia hidup bahagia dunia dan akhirat." Kata ayah sambil matanya terus menatap akhbar Jawi di tangannya.. 
" Saya takut Amri berkahwin dengan gadis Negeri Sembilan," kata ibuku pula. 
" Jodoh pertemuan Allah yang menentukan. Jika ditakdirkan Amri bertemu jodoh dengan gadis Negeri Sembilan, apa boleh buat. Kita terima sajalah!," ayah juga tak mahu mengalah. Aku faham benar sikap ayah. Dia suka berterus terang dan bersikap terbuka. 
Tetapi ibuku masih berkeras. Ibu mengatakan dia tidak mahu aku berkahwin dengan gadis Negeri Sembilan. " Saya pun tahu jodoh pertemuan Allah yang menentukan. Tetapi Allah beri peluang untuk kita berusaha. Dan saya akan berusaha supaya anak kita tidak beristerikan gadis Negeri Sembilan." 
Hari demi hari yang berlalu terasa begitu cepat peredarannya. Di siang hari aku menghabiskan masa mencurahkan ilmu mendidik anak bangsa yang hauskan ilmu pengetahuan. Di malam hari aku ke masjid solat berjemaah atau menghadiri majlis ilmu untuk bekalan akhirat. Kini sudah genap satu tahun aku bertugas di Negeri Sembilan. Dan apa yang paling ditakuti oleh ibuku sudah menjadi kenyataan. Kepulanganku pada pagi hari minggu itu membawa berita yang sungguh tidak menyenangkan hati ibu. Aku melahirkan hasrat di hati untuk menyunting gadis Negeri Sembilan. 
" Saya berkenan pada dia, Mak. Kami dah sama-sama jatuh cinta," kataku berterus terang. 
" Kalau dia dah suka, kita ikut sahaja. Baik kata dia, baiklah kata kita. Sebab yang nak kahwin, dia, bukannya kita," Seperti yang kuduga, ayah akan menyebelahi aku. 
" Saya tak setuju dengan gadis pilihan anak kita itu," bentak ibuku. 
" Mak tak setuju kerana dia gadis Negeri Sembilan?" tanyaku pula dengan nada suara yang lembut. 
" Gadis Negeri Johor ni apa kurangnya. Gadis macam mana berkenan di hati kau?. Hendak yang kulitnya putih melepak, nak yang hitam si tampuk manggis, yang kurus atau yang gemuk semuanya ada. Serahkan saja kepada mak untuk mencarinya," kata ibuku. 
" Kenapa kamu ni benci sangat dengan gadis Negeri Sembilan?. Bukankah mereka juga manusia seperti kita, bangsa Melayu dan beragama Islam..." kata ayah dengan nada suara yang masih ditahan-tahan. 
Sebenarnya aku juga ingin menanyakan perkara yang sama. Tetapi ayah yang mendahuluinya. Lagipun masih ada perasaan hormatku terhadap ibu. Sesungguhnya aku ingin menjadi anak yang baik. Seingatku sejak kecil tidak pernah menyakiti hati ibu. Cuma kali ini sahaja mungkin sikapku telah menyakiti hatinya. 
" Saya takut anak kita kena kontrol nanti. Sebab orang Negeri Sembilan berpegang kepada Adat Perpatih yang bertentangan dengan syariat islam," ibuku meluahkan kebimbangannya. 
" Mana awak tahu Adat Perpatih bertentangan dengan syariat Islam?" tanya ayah pula. 
" Memang betul, bang. Contohnya dalam pembahagian harta pusaka. Mereka tak ikut hukum faraid. Anak lelaki lansung tak dapat mewarisi harta pusaka sebab yang berhak menerimanya orang perempuan sahaja," jawab ibu sambil melahirkan rasa kesalnya. 
" Sebenarnya, begini, Mak…." Aku cuba meredakan suasana. Paling aku bimbang jika terjadi pertengkaran antara ibu dengan ayah disebabkan aku. " Selama setahun sayang bertugas di Negeri Sembilan, saya dapat memahami adat istiadat mereka termasuk sistem adat perpatih." 
" Betul ke Adat Perpatih tu bertentangan dengan hukum Islam?" tanya ayah pula. 
" Masyarakat Melayu di Negeri Sembilan juga seperti kita. Beragama Islam dan mengamalkan ajaran islam. Sembahyang mereka, puasa mereka dan pegangan agama mereka sama seperti kita." 
" Bagaimana pulak dengan pembahagian harta pusaka?. Apakah mereka ikut hukum Islam?. Hukum agama kita?" tanya ibuku. 
" Dalam sistem Adat Perpatih diutamakan hak kaum wanita. Tujuannya supaya nasib kaum wanita itu terpelihara dan terjamin masa depannya. Kerana itu kebanyakan wanita di negeri sembilan tidak ada yang teranianya kerana dilindungi oleh keluarga mereka." 

" Aida anak Pak Cik Seman kau tu apa kurangnya. Dia bersopan santun dan berbudi bahasa. Orangnya pun cantik. Mak berkenan sangat dengan budak tu. Kalau Amri bersetuju mengambil dia menjadi isteri, biar mak yang menguruskan segalanya," Ibuku cuba mengalih tajuk perbualan. 
" Ini soal masa depan saya, Mak. Berilah peluang kepada saya untuk memilih siapa ibu kepada anak-anak saya. Apa yang penting, bakal isteri saya tu orang yang saya cintai. Dan dia menyintai saya. Apa gunanya perkahwinan jika tidak ada rasa saling cinta mencintai antara satu sama lain." kataku berterus terang. 
" Benar kata kau tu, Amri. Tetapi mak tidak kenal siapa gadis pilihan kau tu. Entah macam mana hati budinya. Siapa keluarga dan bagaimana keturunannya. Semuanya perlu kita selidiki kerana mak tidak mahu kau menyesal di kemudian hari nanti," ibu masih tidak berputus asa memujuk aku. 
" Saya sudah lama berkawan dengan Hayati, Mak. Tambahan pula kami bekerja di tempat yang sama. Saya sudah tahu hati budinya dan saya sudah kenal rapat dengan keluarganya. Percayalah bahawa Hayati itu baik orangnya dan dia daripada keturunan yang baik pula," kataku cuba meyakinkan ibu. 
" Masa bercinta ni semua nampak baik. Tetapi bila sudah berkahwin nanti barulah kau tahu keadaan yang sebenarnya. Mak tidak mahu kau menyesal nanti kerana berkahwin dengan gadis Negeri Sembilan," balas ibu. 
" Kenapa perkara itu yang mak nak persoalkan?. Bukankah mereka juga ada pegangan agama. Punya hati dan perasaan seperti kita. Apakah bezanya antara gadis Negeri Sembilan dengan gadis di negeri lain?" aku masih cuba meyakinkan ibu. 
" Mereka dikongkong oleh Adat Perpatih. Mak sudah banyak mendengar cerita tentang keburukan mereka yang berkahwin dengan gadis Negeri Sembilan!" ibu masih tidak mengubah fikirannya. 
" Jangan dengar cerita orang, Mak," pujukku. " Saya sudah lama bergaul dengan masyarakat Negeri Sembilan. Mereka tidak seburuk seperti yang mak sangkakan. Percayalah cakap saya ni." 
" Amri sudah besar. Biarlah dia buat pilihan sendiri. Baik katanya, baiklah kata kita. Dia bahagia, kita tumpang gembira," balas ayah. 
" Nampaknya abang bersetuju dengan gadis pilihan anak kita tu?" tanya ibuku pula. 
" Kita nak buat macam mana kalau orang yang punya diri sudah berkenan dengan budak tu. Amri yang nak berkahwin, bukannya kita. Lagipun anak kita tu sudah besar panjang. Sudah mampu mendirikan rumah tangga. Biarlah dia sendiri memilih calun isterinya. Baik kata Amri, baiklah kata saya. Orang nak mendirikan masjid, berdosa kalau kita menghalangnya." kata ayah. 
" Tetapi, saya takut kalau Amri salah membuat pilihan. Banyak benar yang saya dengar tentang cerita gadis Negeri Sembilan. Itulah yang membuatkan saya susah hati. Menyesal kemudian tidak ada faedahnya." kata ibuku pula. 
" Dengar suara enggang, makan buah beluluk. Dengar cerita orang, awak nanti yang masuk lubuk," kata ayah sambil ketawa. 
" Janganlah ketawa. Saya susah hati ni," ujar ibuku. 
" Kalau anak kita dah berkenan awak nak buat macammana?. Awak nak minta tolong kepada dukun Mamat supaya Amri membenci gadis Negeri Sembilan tu?" tanya ayah. 
" Tidak sekejam itu hati saya ni, bang. Saya masih tahu hukum hakam agama kita. Cuma yang saya kuatir kalau benar seperti cerita yang saya dengar tu." 
" Abang tidak kisah siapa orang yang dipilih oleh Amri untuk menjadi isterinya. Asalkan dia bahagia, sudah." 
" Habis tu, macam mana saya nak buat, bang?" tanya ibu. Dia nampak gusar. 
" Suruh Amri bawa budak tu ke rumah kita pada hari Ahad depan ni. Nanti kita sama-sama tengok bakal menantu kita tu. Lepas tu baru awak buat keputusan. Ini belum apa-apa lagi awak dah kata tidak setuju!" jawab ayah. 
" Baiklah," kataku pula sambil tersenyum. " Hari Ahad depan saya bawa gadis pilihan saya tu. Mak dan ayah boleh bertemu bual dengannya. Saya yakin mak dan ayah mesti berkenan dengan gadis Negeri Sembilan tu." 
Paaada pagi Ahad itu ayah dan ibuku tidak keman-mana. Mereka menanti kedatangan Gadis Negeri Sembilan. Masing-masing seolah tidak sabar lagi hendak melihat tetamu istimewa yang akan berkunjung ke rumah kami. 
Tepat jam 11 pagi kereta yang kami naiki sampai di halaman rumah. Ayah dan ibu segera datang menyambut kami. Ibuku merenung Hayati seolah sedang membuat penilaian. 
"Saya perkenalkan, inilah Hayati bakal isteri Amri," kataku memperkenalkan Hayati kepada ayah dan ibu. 
" Apa khabar Mak Cik," tanya Hayati sambil mencium tangan ibuku. 
" Baik..." jawab ibu sambil matanya terus merenung gadis di hadapannya. 
" Kenapa biarkan mereka tercegat saja di laman rumah. Jemputlah tetamu kita tu naik," kata ayah pula. 
Ibu menjemput Hayati naik ke rumah. Kami duduk di ruang tamu. Dan sejak tadi mata ibu masih tidak pernah lekang mengawasi gerakgeri Hayati. Mungkin ibu mahu melihat keburukan atau menilai kebaikan bakal menantunya. Tetapi aku yakin ibu tidak nampak cacat celanya gadis Negeri Sembilan yang menjadi pilihanku. Orangnya nampak baik dan berbudi bahasa. Dan hati ibuku merasa senang bila Hayati membantunya membuat kerja-kerja di dapur. Hayati juga yang menyediakan masakan tengahhari. 
Ibu dan ayah nampak berselira menikmati makanan tengah hari. Gulai masak lemak cili api yang dimasak oleh Hayati benar-benar membuka selera. Selesai makan Hayati juga yang ke dapur membasuh dan mengemas pinggan mangkuk. Kemudian Hayati membantu mengemaskan rumah. Selesai menunaikan sembahyang Asar barulah kami meminta diri untuk pulang. Hayati sekali lagi bersalaman dengan ibuku. 
" kalau begini baik budi bahasanya, mak setuju Hayati menjadi isteri kamu," kata ibu ketika aku dan Hayati masuk ke dalam kereta. 
" Alhamdulillah…minggu depan giliran kami pulak ke rumah kamu, Hayati," balas ayah pula. 
Itulah saat yang aku rasa paling gembira. 





TAMAT 






5. MENJELANG HARI PERKAHWINAN 

Benarkah perkahwinan itu satu perjudian?. Jika bernasib baik akan bahagia tetapi jika tersalah pilih akan merana seumur hidup. Benarkah begitu?. Sesungguhnya dia tidak pasti kerana dia belum berkahwin. Tetapi saat bahagia itu akan menjelang tidak lama lagi. 
Pagi itu dia bangun dari tidur lalu melihat wajahnya dalam cermin. Dia terkejut kerana wajahnya nampak hodoh. Mukanya pucat, bibirnya kering, rambutnya mengerbang kusut masai dan mulutnya berbau masam. 
Dia berfikir sejenak. Bagaimana kalau suaminya melihat wajahnya dalam keadaan begini?. Mungkinkah kasih sayangnya akan pudar?. Selama ini setiap kali pertemuan dia akan menghiasi wajahnya dengan alat-alat solek. Dia menjaga tutur katanya supaya sentiasa sopan. Dia mengawal tingkah lakukan supaya disenangi oleh tunangnya. Tetapi setelah mereka menjadi suami isteri nanti, semuanya akan terserlah dan tidak ada lagi yang dapat disembunyikan. Dia menjadi cemas bila memikirkan semua itu. 
Dia bergegas keluar lalu berkereta menuju ke rumah tunangnya. Dia berdiri di depan pintu dengan dada yang berdebar sambil memberi salam. Apabila pintu terbuka dia dan tunangnya sama-sama terkejut. 
"Kenapa engkau datang ke rumah aku dipagi begini dan dalam keadaan begini?" tanya tunangnya. 
"Aku perlu berjumpa engkau," jawabnya. 
"Untuk apa?" tanya tunangnya lagi. 
"Jemputlah aku masuk dulu." 
"Jemputlah masuk tapi maaf kerana aku baru bangun dari tidur." 
Dia masuk lalu duduk di sofa. 
"Engkau belum menjawab pertanyaanku," kata tunangnya. 
"Aku tidak mahu menipu engkau lagi." 
"Menipu? Apa maksud awak?" 
"Lihatlah wajahku ini. Aku mahu engkau melihat wajahku yang sebenar." 
Tunangnya tiba-tiba ketawa. "Aku sudah melihat wajah awak sejak pertama kali kita bertemu." 
" Tetapi itu bukan wajahku yang sebenar. Setiap kali kita bertemu aku solek wajahku supaya nampak cantik. Sekarang aku datang dengan wajah aku yang sebenar." 
"Aku masih tidak faham. Berterus teranglah." 
"Selama ini bila kita bertemu aku solek wajahku supaya engkau terpesona. Aku wangikan badanku supaya engkau terpukau. Sekarang aku tak mahu menipu lagi. Engkau lihatlah diriku yang semula jadi." 
"Sekarang baru aku faham," kata tunangnya sambil tersenyum. "Awak juga boleh melihat keadaan diriku selepas bangun dari tidur. Aku juga belum mandi dan masih berseluar pendek. Adakah saya nampak hodoh?" 
" Awak masih tampan." 
" Awak juga masih cantik." 
Dia dan tunangnya tertawa terbahak-bahak,. 
Negeri Sembilan, 20hb Februari 2003 
TAMAT. 

6. HADIAH PALING BERHARGA 
Oleh: Abdul Latip Talib

Rumah teres dua tingkat yang dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik mandi itu adalah hadiah untuk isteriku pada hari jadinya yang ke 41. Aku fikir itulah hadiah paling berharga untuk seorang isteri yang telah memberi kebahagiaan dalam hidupku. Dan pada hari itu sebaik saja aku sampai di rumah isteriku pun bertanya, "Lupakah abang bahawa hari ini hari jadi saya?" 
"Abang tidak lupa," jawabku cuba menyembunyikan kegembiraanku. 
" Abang belum dapat gaji?" tanya isteriku lagi. 
" Sudah…" jawabku sambil duduk di sofa. Penat lelah seharian bekerja terasa hilang bila melihat wajah isteri dan anak. 
"Biasanya pada setiap hari jadi saya abang belikan hadiah. Apakah abang sudah tidak sayang lagi?" 
" Abang tidak lupa dan abang masih sayang." 
" Habis tu…mana hadiahnya?" tanya isteriku lagi sambil menunjuk pada tanganku yang kosong. 
" Kali ini abang akan beri hadiah yang paling berharga." 
" Mana hadiahnya? Saya dah tak sabar ni. Cepatlah bagi hadiah tu…" 
Oleh kerana aku juga tidak sabar hendak menyampaikan berita gembira itu maka aku pun menghulurkan sampul surat besar yang aku kepit sejak dari tadi. 
" Hadiahnya ada dalam sampul surat ini," 
" Abang, janganlah bergurau." 
" Buka dulu dan tengok apa isinya." 
Isteriku mengambil sampul surat itu lalu membuka dan membaca surat yang terkandung didalamnya. Dahinya nampak berkerut. 
" Surat apa pulak ni. Abang nak kawin lagi satu ke?" 
" Surat perjanjian sewa beli rumah. Dan rumah itu adalah hadiah sempena hari jadi awak." 
Isteriku nampak terkejut dan gembira. Dia melahirkan kegembiraanya dengan meletakkan surat itu ke dada sambil mendongak ke langit lalu mengucapkan kesyukuran dengan linangan air mata. 
Dapat kurasakan dia semakin sayang kepadaku. Gerak gerinya menjadi lebih pengasih dan lebih riang. Dia segera menghebahkan berita gembira itu kepada ayah,ibu dan adik beradiknya. 
" Kami sudah memiliki rumah sendiri. Ayah, Mak,adik,kakak dan abang bolehlah datang selalu ke rumah kami," beritahu isteriku melalui telefon dan mereka juga turut gembira. 
Keesokannya, aku membawa isteri dan anakku melihat rumah itu. Sebaik saja kami sampai maka isteriku pun berkata; " Rumah macam inilah yang saya impikan. Ia jauh dari kesibukan kota dan suasananya yang tenteram baik untuk pembesaran anak kita." 
Kami berdiri di halaman rumah dan isteriku berdiri di sisiku sambil tersenyum riang manakala Syafiq pula meronta-ronta dari peganganku minta dilepaskan namun aku merasa bimbang melepaskan dia berjalan di sekitar kawasan rumah yang belum dibersihkan itu. 
Isteriku pun membayangkan masa depan kami di rumah itu. " Rumah ini mempunyai tiga bilik tidur. Tetapi apabila anak-anak kita bertambah maka rumah ini perlu diubah suai supaya anak-anak kita merasa selesa. Mereka akan dapat seorang satu bilik ." 
" Umur awak sudah 41 tahun mana mungkin dapat anak lagi," balasku pula. 
Entah kenapa selepas 20 tahun kami berkahwin barulah mendapat seorang anak. Bagiku itu sudah memadai daripada tidak mendapat anak lansung. Isteriku cuba mengalih tajuk perbualan. 
" Kita akan bena taman bunga di halaman rumah ini. Saya akan menanam pokok- pokok bunga dan saya akan menjaganya sendiri. Oh ya, abang suka bunga apa?. Sudah lama kita kahwin saya masih belum tahu bunga yang abang suka." 
" Bunga hanya indah di mata." 
" Habis tu, apa yang abang suka?" 
" Abang akan tanam pokok buah-buahan dikeliling rumah kita." 
" Pokok bunga juga mesti ditanam supaya halaman rumah kita nampak cantik dan wangi." 
" Abang ingat semasa kecil dulu di belakang rumah kami ada dusun buah-buahan. Bayangkan betapa seronoknya abang setiap kali buah bermusim." 
Namun isteriku seolah tidak mendengar kata-kataku. " Rumah ini adalah Syurga kita. Kita akan bahagia tinggal disini sehingga ke akhir hayat." 
Selepas itu aku juga tidak pasti apa lagi yang dikatakan oleh isteriku. Fikiranku melayang jauh dan sesekali aku cuma menjawab ‘ya’ dan ‘tidak’ tanpa menghiraukan butir-butir percakapannya. 
Aku teringat zaman kanak-kanakku yang jauh dari segi masa dan ruang. Rumah kami hanya berdinding papan dan beratap zing yang sederhana besarnya. Tetapi rumah itu tidak ada garaj kerana ayahku tidak pernah memiliki kereta seumur hidupnya dan tidak ada bilik pembantu rumah kerana ibuku suri rumah sepenuh masa. Rumah kami terletak berhampiran sebuah pekan kecil dan tidak jauh dari situ terdapat kawasan tanah lapang. 
Aku masih ingat di belakang rumah kami ada 5 pokok rambutan yang rendang, 3 pokok manggis, 4 pokok langsat dan berpuluh batang pokok durian. Di tengah dusun itu ada sebuah pondok kecil tempat ayah melepas penat atau menunggu buah durian gugur. Dan tidak jauh dari pondok itu ada sebuah sungai yang jernih airnya. 
Ayahku seorang yang tidak betah duduk di rumah kerana dia lebih suka menghabiskan masanya di luar. Setiap hari ada saja kerja yang dilakukannya. Kalau tidak menebas anak-anak kayu, ayah menarah rumput atau menabur baja di perdu pokok buah-buahan. Apabila penat ayah mandi di sungai dan selepas mengambil wuduk dia menghabiskan masa di pondok itu dengan berzikir atau membaca al Quran. 
Aku tidak pasti bila rumah itu dibena. Tetapi yang aku masih ingat ibuku amat sayang pada rumah itu dan selalu berkata bahawa rumah itu adalah hadiah paling berharga daripada ayahku. 
Sering aku dengar ibu berkata; " Apabila kita berpindah ke rumah ini, hati Mak merasa tenang. Dan di rumah inilah kamu dilahirkan" 
Namun ketenangan hidup yang kami rasakan tidak berkekalan kerana berlaku suatu peristiwa yang mengubah kehidupan kami serta merta. Aku masih ingat pada suatu petang jiran-jiran datang berkumpul di rumah kami. Mereka berbincang dengan serius manakala aku dan rakan-rakan sebaya yang tidak tahu apa-apa asyik bermain di halaman rumah. Sesekali aku terhidu bau buah durian kerana ketika itu musim buah durian gugur. Namun yang pasti kedatangan musim buah-buahan kali itu tidak mengembirakan hati ayah. 
Peristiwa yang berlaku itu bukan sahaja telah mengubah hidup kami, malah telah meragut kedamaian dan kasih sayang antara kami. Sebenarnya aku pun tidak dapat mengingati peristiwa itu dengan terperinci, cuma yang aku ingat perkataan ‘ perang dunia kedua’ yang sering diucapkan oleh ayah dan kawan-kawannya. Malah kata-kata yang asing bagiku itu bukan sahaja selalu disebut-sebut oleh orang ramai yang berkumpul di rumah kami malah di surau dan di masjid juga mereka memperkatakannya. 
Kulihat ayah tidak berminat lagi dengan dusun buah-buahan sebab dia lebih suka berkumpul dengan kawan-kawannya. Bila kutanya apa yang dibualkan oleh mereka, ayah berkata; " Tidak lama lagi askar Jepun akan masuk ke negara kita untuk berperang dengan Inggeris. Ayah harap Inggeris akan kalah." 
Walaupun begitu Pak Senik jiran terdekat kami sering membantah cakap ayah. Kata Pak Senik " Jika Inggeris kalah, Jepun pula akan menjajah negara kita." Antara pendapat ayah dengan Pak Senik sering dibahaskan oleh orang dewasa dan mereka boleh berbincang perkara itu terus menerus berjam-jam lamanya. 
Biasanya apabila orang ramai berkumpul, aku dan kawan-kawan yang sebaya akan membahagi diri kami kepada dua kumpulan iaitu ‘ Askar Inggeris’ dan " Askar Jepun’. Sudah tentu aku berada di pihak askar jepun kerana menyebelahi ayahku. Kemudian kami bermain perang olok-olok sehingga kami tercungap-cungap kepenatan. 
Apabila tiba waktu malam aku akan masuk ke bilik tidur lebih awal dan sambil berbaring di katil aku memasang telinga mendengar perbualan ayah dengan kawan-kawannya di luar. Aku merasa seronok mendengar suara ayah memuji orang Jepun yang katanya akan membebaskan negara kita dari cengkaman penjajah Inggeris. Kemudian aku pun bayangkan rupa orang Jepun. Mereka tentunya lebih besar dan lebih tinggi daripada orang Inggeris. Kemudian aku terlena. 
Tiba-tiba aku dikejutkan dari tidur. Terdengar bunyi semboyan serangan udara. Namun aku masih menganggap itu perkara biasa kerana beberapa hari sebelumnya, semboyang serangan udara selalu dibunyikan sebagai latihan perang. Tetapi bila kulihat rumah-rumah di keliling kami gelap gulita maka aku mula merasakan sesuatu yang aneh sedang berlaku. 
" Kapal terbang jepun sudah datang!" jerit ayahku dan aku memasang telinga. Kedengaran bunyi dengungan enjin kapal terbang membelah keheningan pagi.. Bunyinya semakin lama semakin kuat. 
" Askar-askar Jepun akan mengebom rumah kita!" ibuku nampak cemas sambil memeluk aku. 
" Tidak," jawab ayahku dengan nada suara orang yang benar-benar yakin. 
" Askar Jepun datang untuk membebaskan negara kita dari penjajah Inggeris." 
Apabila cuaca semakin cerah aku lihat askar Inggeris berada dimana-mana. Wajah mereka nampak muram dan letih. Tiba-tiba kedengaran bunyi dengungan kapal terbang diikuti bunyi letupan yang amat kuat. 
" Kapal terbang Jepun menggugurkan bom di kubu askar Inggeris," kata ayah gembira 
Aku dengar bunyi tembakan yang tak henti-henti diikuti dengan bunyi letupan kuat yang semakin hampir pada rumah kami. . 
" Kita mesti keluar dari rumah ini !" jerit ayah sambil menarik tangan aku dan tangan ibu. 
" Bagaimana dengan barang-barang kita?" tanya ibu dengan nada suara yang cemas. 
" Nyawa kita lebih berharga," jawab ayah tegas. 
Kami segera keluar dari rumah lalu menggabungkan diri dengan orang ramai yang dalam ketakutan menuju kawasan lapang. Kata Pak Senik, lebih selamat kalau kami berada di kawasan lapang daripada berlindung dalam rumah kerana sasaran askar Jepun ialah rumah-rumah kediaman dan kubu askar Inggeris. 
Aku tidak pasti berapa ramaikah yang berhimpun di kawasan lapang itu. Tetapi apa yang aku ingat kawasan itu penuh sesak dengan orang ramai. Masing-masing masuk ke lubang perlindungan yang disediakan. 
" Asmah, mari kita masuk dalam lubang ini!" jerit ayahku sambil menarik tangan ibu. 
Kami bersesak-sesak dalam lubang perlindungan itu. Ada yang menangis dan ada yang membaca ayat suci al Quran. Bunyi letupan tidak putus-putus dan asap hitam naik ke langit. Ketika aku mendongak ke langit kelihatan banyak kapal terbang berlegar di ruang udara betul-betul di atas kepala kami. 
" Kenapa askar Jepun mengebom kita kalau hendak melawan Inggeris?" Ayah tidak menjawab pertanyaan ibuku. 
"Ayah kata askar Jepun datang hendak menolong kita," kataku pula. 
" Pergi jahanam dengan Jepun!" jerit Ayahku dengan marah bila melihat kapal terbang Jepun menggugurkan bom di kawasan rumah kami.. 
" Itu kapal terbang Jepun!" kata ibuku sambil menuding jarinya kearah sebuah kapal terbang yang terbang rendah betul-betul di atas kepala kami. 
Dengan pantas aku keluar dari tempat perlindungan kerana ingin melihat askar Jepun dalam kapal terbang itu.. Adakah dia seperti yang aku bayangkan?. Namun semuanya berlaku dengan pantas. Ketika aku keluar dari lubang perlindungan ibuku menjerit lalu ikut keluar dan menghempapkan badannya ke atas tubuhku. Ketika itulah kapal terbang Jepun melayap begitu rendah sehingga dapat kurasakan bunyi enjinnya menggegarkan tubuhku. Tiba-tiba kapal terbang itu melepaskan tembakan ke arah kami diikuti bunyi jeritan. 
Betapa pantasnya masa berlalu. Datangnya secara tiba-tiba dan perginya juga secara tiba-tiba. Dalam sekelip mata kapal terbang Jepun hilang dari pandangan. Letupan dari langit sudah tidak ada lagi diganti pula oleh suara jeritan dan hingar bingar di bumi. 
" Ya Allah, isteriku parah!" Jerit ayahku sambil memangku tubuh ibuku. 
Kulihat darah bercucuran keluar dari kepala dan belakang ibuku.. Ayah mendukung ibu dan membawanya pulang ke rumah. Tetapi alangkah hampanya kerana rumah kami sudah musnah. Dari bekas runtuhan rumah itu aku nampak seekor kucing sedang merayau-rayau mencari anaknya. 
Ayahku seperti orang kebingungan. Dia berdiri sambil memandang rumah kami yang sudah musnah. Kemudian ayah menatap wajah ibuku yang masih dalam dukungannya. Ayah menangis terisak-isak. Sesuatu yang tak pernah kulihat sebelum itu. 
" Kehidupan aku sudah musnah!" jerit ayah dengan nada suara yang amat pilu. 
Setelah semua mayat-mayat dikebumikan, ayah mendakap erat tubuhku sambil berkata; " Ayah akan pergi menuntut bela. Apabila perang tamat ayah akan kembali untuk membina hidup baru." 
Tetapi setelah perang tamat dan setelah negara kita mencapai kemerdekaan, ayah tidak pernah mengotakan janjinya. Aku tidak pasti samaada ayah masih hidup atau sudah tidak ada lagi. 
Tiba-tiba aku merasa bahuku digoncang; " Apa yang abang menungkan??" tanya isteriku. 
Bayangan rumah yang musnah dan darah ibu yang membasahi bajunya masih segar dibenakku. 
" Peperangan hanya akan memusnahkan kehidupan kita!". 
" Apa yang abang cakap ni?" 
" Mereka mencipta senjata hanya untuk memusnahkan harta dan nyawa." " 
" Peperangan hanya berlaku di negara lain, bang. Negara kita aman dan kita hidup bahagia di sini." 
" Awak tahu tak?" tanyaku dan sebelum dia sempat menjawab aku menyambung kata-kataku. 
" Keamanan yang kita nikmati sekarang adalah hadiah paling berharga." 
TAMAT 


7. AYAH DAN KMM 
CERPEN 
AYAH DAN KMM 

Oleh: Abdul Latip bin Talib 

MAK dan adik-adikku mengatakan ayah sekarang sudah berubah. Dia tidak seperti dulu lagi. Dulu ayah seorang yang bertanggung jawab terhadap keluarga dan masyarakat. Kasih sayangnya terhadap isteri dan anak-anak tidak pernah berbelah bagi. Tetapi kini ayah sudah jauh berubah. Tanggung jawab terhadap keluarga telah diabaikannya. Keperluan rumah tangga iaitu nafkah untuk isteri dan anak-anak tidak lagi dihiraukannya. Bukan itu sahaja, cara dia berpakaian, cara dia bercakap malah cara pergaulannya dengan masyarakat semuanya sudah berubah. Ada yang mengatakan ayah terlibat dengan gerakan bawah tanah yang hendak menjatuhkan pemerintah dengan cara kekerasan. Benarkah begitu?. 
Ayah pernah bercerita, semasa dia belajar di Pakistan dulu pernah ke Afghanistan membantu Mujahidin melawan tentera Komunis Russia. Setelah askar Russia berjaya di halau keluar dari bumi Afghanistan ayah meneruskan pengajiannya sehingga tamat. Setelah balik ke Malaysia dan setelah berkahwin dengan Mak atas pilihan orang tua, ayah menumpukan sepenuh perhatiannya terhadap tugas murninya mendidik anak bangsa di sebuah sekolah agama swasta. 
Setahu aku ayah cuma asyik dengan kerjayanya sahaja. Pulang dari sekolah dia menghabiskan masa di dusun buah-buahan di belakang rumah. Selain menanam pokok buah-buahan ayah juga mengusahakan tanaman kontan seperti tebu, pisang dan ubi kayu. Pada sebelah malam ayah mengajar agama di masjid. Setahu aku ayah tidak ambil kisah pasal politik tanah air apatah lagi terlibat dalam mana-mana parti politik. Kerana itu mustahil ayah boleh terlibat dengan gerakan bawah tanah. 
" Cubalah nasihatkan ayah kamu tu," kata Mak sambil mengesat air matanya. 
Aku merasa serba salah. Kalau beri nasihat kepada adikku Nurul dan Muis biasa aku lakukan. Tetapi untuk memberi nasihat kepada seorang ayah sungguh berat rasanya sebab ayah tentu lebih berpengalaman. Dia sepatutnya yang menasihati aku bukan sebaliknya. 
" Mak sajalah yang nasihatkan ayah," aku cuba mengelak. 
" Hati ayah kamu dah keras. Dia tak mahu dengar cakap Mak." 
" Bagaimana kalau kita serahkan kepada pihak ketiga?" 
" Mak tak mahu orang luar masuk campur hal rumah tangga kita." 
Rasa simpatiku terhadap mak semakin menebal. Setahu aku Mak bukan jenis manusia yang mudah mengalah. Mak seorang wanita yang paling penyabar dan tabah menghadapi dugaan. Mak juga bukanlah seorang isteri yang suka menceritakan keburukan suami kepada orang lain. Kerana itu bila Mak mengadu hal tentulah ada sesuatu yang benar-benar telah menyakitkan hatinya. 
" Sejak kebelakangan ini ayah kamu jarang balik ke rumah. Kadang-kadang berminggu-minggu lamanya dia menghilang entah kemana. Rumah tangga dan madrasah tempat dia mengajar tidak lagi dihiraukannya," kata ibu meluah rasa. 
" Kemana pulak ayah pergi?" aku seperti tidak percaya mendengarnya. 
" Mak pun tak tahu. Tapi bila ditanya ayah kamu marah-marah. Katanya jangan ada sesiapa yang cuba menghalang dia keluar di jalan Allah." 
" Kalau betul ayah keluar di jalan Allah apa salahnya. Bukankah itu kerja yang mulia?" 
" Ayah kamu tidak pedulikan kami. Makan minum dan belanja sekolah adik-adik kamu tidak lagi dihiraukannya. Inilah yang merisaukan hati mak." 
" Cara ayah berpakaian juga sudah berubah. Ayah sentiasa memakai jubah dan serban warna hitam. Janggutnya dibiar panjang," kata Muis adikku yang belajar dalam tingkatan tiga. 
" Memakai jubah dan serban serta menyimpan janggut itu merupakan sunnah nabi. Sesiapa yang mengamalkannya mendapat pahala," aku bersikap menyebelahi ayah. 
" Tapi Adi..." balas Mak. " Ayah kamu cuma berkawan dengan ahli kumpulannya sahaja. Dia menjauhkan diri dari masyarakat." 
" Kami orang perempuan disuruhnya memakai kelubung bila keluar rumah. Kalau kami enggan ayah marah," kata adikku Nurul yang akan menduduki peperiksaan S.P.M tidak lama lagi. 
" Orang perempuan wajib menutup aurat bila keluar rumah. Haram hukumnya mendedahkan aurat kepada lelaki yang bukan muhrim," balasku pula. 
" Nurul pun tahu, bang," kata Nurul. "Tetapi masalahnya, ayah lansung tidak menghiraukan kami. Duit belanja sekolah pun tidak diberinya." 
" Kenapa ayah jadi begitu?" aku mula kesal dengan sikap ayah. 
" Mak dah kata ayah kamu tidak seperti dulu lagi. Dia sekarang sudah jauh berubah. Kawan-kawannya dalam kumpulan jubah hitam itu telah berjaya meracun fikirannya," kata Mak sambil melahirkan rasa jengkelnya. 
Kutatap wajah Mak. Mukanya nampak cengkung. Badannya kurus. Rambutnya seperti tidak terurus. Aku sungguh simpati terhadap Mak. Oh Tuhan, berilah kami ketabahan untuk menghadapi dugaan ini. 
" Di mana ayah sekarang?" tanyaku. 
" Katanya pergi berkursus." Jawab Mak. 
" Di mana?" 
" Mak pun tak tahu sebab ayah kamu merahsiakannya kepada kami." 
" Dengan siapa dia pergi? 
" Siapa lagi kalau tidak dengan kawan-kawannya dalam kumpulan jubah hitam itu." 
" Bila agaknya ayah balik?" 
" Manalah Mak tahu. Cuma sebelum pergi ayah kamu berpesan supaya jangan beritahu sesiapa ke mana dia pergi. Ayah kamu benar-benar sudah dipengaruhi oleh kumpulan Jubah Hitam itu," Jawab Mak berwajah hiba. 
" Siapa kumpulan jubah hitam itu?" tanyaku lagi. 
" Sebuah kumpulan militan yang hendak menghuru-harakan negara. Mereka yang meracun fikiran ayah sehingga sanggup mengabaikan tanggung jawabnya terhadap keluarga," jawab Nurul seperti memuntahkan lahar dari dadanya. 
Aku merasa amat terharu mendengarnya. Rasa simpati terhadap ibu dan adik-adikku semakin menebal. Rasa jengkel terhadap ayah mula bersarang di hatiku. Kenapa ayah boleh berubah secara tiba-tiba?. Mustahil ayah boleh terpengaruh dengan kumpulan KMM itu… 
Perasaanku sungguh terharu bila mendapati barang-barang keperluan di dapor sudah kehabisan. Beras dalam tempayan sudah habis. Gula dalam balang kaca sudah licin. Bawang, ikan bilis dan sebagainya sudah tidak bersisa lagi. 
" Apa kita nak makan malam ini, Mak?" tanyaku kerana ketika itu perutku juga sudah lapar. Habis waktu pejabat aku terus pulang ke kampung untuk memenuhi permintaan Mak. Kalau tak mustahak masakan Mak sanggup bersusah payah menelefon ke pejabat. 
" Inilah yang Mak risaukan," jawab Mak. " Duit dalam tangan Mak pun sudah habis." 
" Nurul pergi sekolah tidak pernah bawa duit belanja," kata Nurul mengadu hal. 
" Adik pun macam tu," kata Muis pula. " Macam mana nak belajar kalau perut kosong." 
Aku segera ke kedai Pak Samad yang terletak di Simpang Empat jalan masuk ke Kampung Ulu Seperi. Mak dan adik-adikku nampak gembira bila melihat aku pulang membawa banyak barang yang kami perlukan. 
" Abang sudah dapat gaji ke?" tanya Nurul sambil tersenyum manis. 
" Sudah," jawabku sambil mempamirkan rasa bangga. " Abang belanjakan separuh daripada gaji bulan pertama abang untuk membeli barang-barang keperluan kita." 
Mak nampak terharu. Kulihat air jernih menitis dari kelopak matanya. Aku, Nurul dan Muis membantu Mak memasak di dapur dan selepas Solat Maghrib kami sama-sama menikmati makanan. Masing-masing nampak sungguh berselera. Tambahan pula masing-masing sudah lapar. Dan sedang kami menikmati makanan, tiba-tiba ayah muncul di muka pintu. 
" Assalamualaikum...." ucap ayah sambil melangkah masuk ke dalam rumah. 
" Waalaikum Salam...." jawab kami serentak. 
Masing-masing nampak gembira dengan kepulangan ayah. Entah kenapa perasaan marah yang tadinya berjeluak di dada kami tiba-tiba hilang sebaik saja melihat wajah ayah. 
" Marilah kita makan bersama, bang," pelawa Mak sambil menghulurkan salam kepada ayah.. 
" Aku dah makan," balas ayah. " Kamu dah Solat Maghrib?" 
Belum sempat kami menjawab ayah bersuara lagi. 
" Subhanallah....kalau kamu mati kelaparan Allah tidak marah. Tetapi kalau kamu tidak Solat, tidak ada nilainya diri kamu di sisi Allah." 
" Janganlah cakap macam tu, bang," kata ibu dengan nada suara yang lembut. 
" Aku mesti bercakap perkara yang benar walaupun pahit," balas ayah. 
" Sebenarnya kami sudah Solat Maghrib. Cuma solat Isyak saja yang belum..." aku cuba meredakan suasana. 
" Sekarang sudah masuk waktu solat Isyak. Berhenti makan dan mari kita Solat Isyak berjemaah," kata ayah dengan nada yang tegas. 
" Tunggulah anak-anak kita tu habis makan dulu. Kemudian baru kita sembahyang bersama," kata Mak dengan nada suara yang lembut. 
" Sesiapa yang sengaja melengahkan waktu Solat maka nerakalah tempatnya," di balas pula oleh ayah dengan nada suara yang keras. 
" Baiklah, ayah," kataku sambil menggesa Nurul dan Muis menghabiskan makanan dalam pinggan masing-masing. . 
Kami mendirikan Solat Isyak secara berjemaah. Ayah menjadi imam dan kami menjadi makmum. Bila ayah membaca doa kami sama-sama mengaminkannya. Kemesraan antara kami terasa erat semula terutama bila kami bersalaman. Kami bergilir-gilir mencium tangan ayah. 
" Jangan ke mana-mana sebab lepas sembahyang sunat nanti ayah nak berbincang dengan kamu," pesan ayah sebelum dia berdiri untuk sembahyang sunat. 
Selesai sembahyang sunat ayah duduk berzikir. Agak lama juga kami menunggu. Kemudian ayah menyuruh kami duduk di depannya. Lagak ayah seperti seorang Tok Guru sedang berhadapan dengan anak-anak muridnya. Kusangka ayah akan memberi kuliah agama kepada kami tetapi rupanya tidak. Ayah mencapai beg hitam yang tersandar di dinding lalu membukanya dan mengeluarkan beberapa keping borang. 
" Awak tanda tangan borang ini," kata ayah sambil menghulurkan borang itu kepada Mak. 
" Borang apa ni, bang?" dahi Mak nampak berkerut. 
" Jangan banyak soal. Ikut saja cakap aku. Bukankah aku ni suami awak?" jerkah ayah. Mak nampak seperti tidak puas hati. 
" Tolong bacakan Adi," kata Mak sambil menghulurkan borang itu kepada aku. Kulihat ayah gelisah. Dia nampak serba salah. 
Tersirap darahku bila meneliti borang tersebut. Kutatap wajah ayah inginkan kepastian. Ayah menganggukkan kepalanya seolah meminta sokongan daripada aku. 
" Suruh Mak kamu tanda tangan," kata ayah. 
" Bagaimana kalau Mak tak setuju?" tanyaku pula. 
" Bersetuju apanya, Adi?" tanya Mak minta kepastian. 
" Ayah nak kahwin lagi, Mak," Aku terpaksa berterus terang. 
" Berpoligami dibolehkan oleh agama kita. Malah isteri yang membenarkan suaminya berpoligami di akhirat kelak dia mendapat payung emas untuk melindungi dirinya dari kepanasan cahaya matahari di padang Mahsyar," jawab ayah sambil memandang wajah Mak. 
" Sanggupkah abang berlaku adil?" tanya Mak sekaligus semacam mencabar ayah. 
" InsyaAllah…" jawab ayah. " Lagipun mungkin abang tidak lama lagi hidup di dunia ini." 
" Apa maksud abang?" Mak mengerutkan keningnya.. 
" Abang sedang berjuang di jalan Allah. Entah esok atau lusa abang di jemput mengadap Ilahi. Sebelum abang pergi abang nak tinggalkan banyak zuriat untuk meneruskan perjuangan abang," jawab ayah. 
" Cuma itu sahaja alasan, abang?" soal Mak. 
" Jangan banyak soal. Awak tanda tangan saja borang tu," jawab ayah. 
Mak nampak termenung. Wajahnya muram. Tiba-tiba Mak bangun lalu masuk ke bilik tidur. Ayah juga bangun ikut Mak. Sebentar kemudian kedengaran suara pertengkaran antara Mak dengan ayah. Dan malam itu hampir semalaman aku tidak dapat melelapkan mata. 
Esoknya pagi-pagi lagi ayah mengejutkan kami dari tidur untuk mengerjakan Solat Subuh. Tetapi masing-masing seolah tidak menghiraukan suruhan ayah. Tambahan pula cuaca di pagi hari minggu itu dingin membuatkan masing-masing enggan menanggalkan selimut dari badan. Akhirnya ayah Solat sendirian. Kemudian Mak juga Solat sendirian. Aku dan adik-adikku juga Solat sendirian. Sekali lagi ayah meluahkan rasa marahnya. 
" Kenapa kamu tak mahu sembahyang berjemaah?. Bukankah sembahyang berjemaah itu dua puluh tujuh kali ganda lebih baik dari sembahyang sendirian?" jerkah ayah dengan nada suara yang keras. 
Melihat kami cuma berdiam diri maka ayah menyambung lagi kata-katanya. " Kita mempunyai tanggung jawab masing-masing. Berdosa besar sesiapa yang mengabaikan tanggung jawabnya." 
" Bagaimana pulak tanggung jawab abang kepada keluarga?. Sudah ditunaikan ke?" Mak bersuara. 
" Insyaallah, sudah abang tunaikan," jawab ayah. " Sebagai ayah abang sudah beri didikan kepada anak-anak kita. Sebagai suami abang sudah sediakan rumah dan keperluan lain untuk awak. Apa lagi yang awak nak?. Tak cukupkah lagi dengan apa yang ada?" 
" Abang pergi meninggalkan kami tanpa sebarang nafkah. Adakah itu maknanya abang sudah tunaikan tanggung jawab terhadap kami?" tanya Mak lagi. 
" Aku sengaja buat begitu sebab nak ajar awak berdikari. Awak mesti yakin bahawa hidup kamu bergantung kepada Allah, bukan kepada abang. Bila abang dah tak ada nanti kamu boleh teruskan hidup sendiri." 
" Bagaimana pulak dengan tanggung jawab abang kepada anak dan isteri?" 
" Jangan banyak soal. Turunkan saja tanda tangan awak pada borang itu." 
" Kalau saya tak mahu?" 
" Awak pilih antara dua. Setuju turunkan tanda tangan atau awak saya ceraikan !" 
Mak menangis sambil memeluk adik-adikku. 
" Boleh saya bercakap, ayah?" tanyaku memberanikan diri untuk mencelah. 
" Apa salahnya," jawab ayah. 
" Boleh saya tahu kemana ayah pergi selama ini?" 
" Ayah keluar di jalan Allah." 
" Apa maksud ayah keluar di jalan Allah?" 
" Sia-sia saja kamu belajar di Universiti. Keluar di jalan Allah pun kamu tak tahu." 
" Setahu saya mencari rezeki yang halal untuk menyara keluarga juga adalah ibadat dan mendapat pahala jika dilakukan kerana Allah." 
" Pada mulanya itulah yang ayah lakukan. Ayah tak mahu terlibat dengan politik tanah air kita. Tapi bila melihat kezaliman dan penyalahgunaan kuasa berlaku maka ayah tak ada pilihan." 
" Siapa yang zalim, ayah?. Siapa yang menyalahgunakan kuasa?" 
" Pemerintah kita yang zalim. Mereka menindas rakyat, membolot harta negara dan menyalahgunakan kuasa. Mereka mesti ditumbangkan dengan kekerasan." 
" Tapi ayah," balasku. " Negara kita mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Pemerintah di pilih oleh rakyat melalui pilihanraya dan kalau rakyat tak puas hati boleh menyuarakan pendapat. Kalau mereka berlaku zalim, rakyat boleh tukar pemerintah dalam pilihanraya akan datang. Itu cara yang lebih baik berbanding kekerasan kerana kita tak mahu negara kita jadi huru hara." 
Melihat ayah berdiam diri, aku menyambung kata-kata. 
" Mereka adalah satu bangsa dan satu agama dengan kita. Adakah agama kita membenarkan kita berbunuhan kerana perbezaan fahaman politik?. 
Cuba ayah bandingkan pemerintah kita dengan pemerintah di negara islam yang lain. Mereka jauh lebih zalim hingga sanggup membunuh rakyat yang menentangnya. Ada diantara mereka membolot kekayaan negara sehingga ada yang membena istana peribadi hingga berpuluh buah banyakknya." 
" Itu ayah tak tahu," kata ayah. " Apa yang ayah tahu ialah matlamat perjuangan kami untuk menegakkan negara islam." 
" Bukankah baru-baru ini para ulamak dan cerdik pandai Islam di negara kita telah mengakui bahawa negara kita adalah negara Islam?." 
" Bagaimana hendak dikatakan negara Islam kalau undang-undang yang dipakai diambil dari negara barat yang dicipta oleh manusia?" 
Aku cuba menerangkan kepada ayah bahawa undang-undang Islam masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya di negara kita sebab rakyatnya berbilang bangsa dan menganut berbagai kepercayaan agama. Tetapi ayah tidak dapat menerima alasan itu dan ayah masuk ke bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sambil menjinjing beg hitamnya. 
" Ayah nak ke mana?" tanyaku kerana merasa belum puas berhujah. Banyak lagi yang perlu aku jelaskan. 
" Ayah nak keluar," jawab ayah. " Mungkin kali ini ayah lambat balik atau tak balik lansung." 
Kata-kata ayah membuatkan aku jadi hairan. Aku ingin berbicara lagi dengan ayah tetapi kulihat beberapa buah kenderaan polis berhenti di halaman rumah. Kemudian beberapa orang anggota polis segera masuk ke rumah kami. 
" Ini rumah Encik Hamid?" tanya salah seorang daripada mereka. 
" Benar, encik…" jawabku. 
" Dia ada di rumah?" soal anggota polis itu lagi. 
" Apa halnya?" ayah yang sejak tadi berdiri di balik pintu besar menampakkan dirinya. 
" Kami datang hendak menjemput encik ke balai," balas anggota polis itu. 
" Untuk apa?" tanya ayah pula. 
" Kami ingin mengambil keterangan daripada encik." 
" Keterangan apa?" tanya ayah lagi. 
" Kami nak tahu sejauh mana penglibatan encik dengan kumpulan militan malaysia atau KMM," jawab anggota polis itu. 
Dengan tenang ayah berkata kepada mak; " Nampaknya ujian yang sebenar telah pun bermula." 
Kami bertambah hairan melihat gelagat ayah. 

8. JIHAD 
CERPEN 
JIHAD 
Oleh: Abdul Latip Talib 

" HAI, begitu tekun abang membaca surat khabar?. Ada berita menarik ke?" tanya Mak Ngah sambil menghidangkan sarapan pagi.Tok Ngah tersentak. Surat khabat di tangannya hampir terlepas. 
" Kamu ni buat aku terkejut. Nasib baik aku ni tak kena penyakit lemah jantung, " jawab Pak Ngah.Mak Ngah ketawa kecil melihat telatah suaminya. 
" Sejak dari tadi saya tengok abang asyik merenung surat khabar. Saya datang pun abang tak pedulikan." 
" Ni ha, ada berita jihad di Palestin, di Chechnya, di Kasymir dan di Ambon. Saudara seagama dengan kita di sana tu sedang menderita akibat peperangan. Kemudian apa pihak yang menyeru kita memberikan bantuan untuk meringankan penderitaan mereka." 
" Abang nak pergi berjihad ke sana ke?" 
" Abang ni dah tua. Tak mampu lagi nak berjalan jauh. Kalau abang masih muda, abang akan kesana untuk membantu saudara seagama dengan kita. Awak tahu tak betapa besarnya pahala jihad?. Kalau mati mendapat pahala syahid. Masuk syurga tanpa hisab." 
" Tapi bang, kata Ustazah Nazirah semasa berceramah untuk kaum ibu di masjid malam tadi, jihad ada bermacam cara. Memberikan harta, tenaga atau buah fikiran untuk membantu saudara kita yang menderita juga adalah jihad. Besar pahalanya." 
" Abang pun tahu. Allah berfirman dalam al Quran yang maksudnya, perumpamaan mereka yang membelanjakan hartanya ke jalan Allah itu umpama sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai dan tiap-tiap tangkai mengeluarkan seratus biji. Dengan arti kata lain, setiap sen duit yang kita belanjakan untuk jalan Allah akan digandakan menjadi tujuh ratus." 
" Saya pun setuju kalau abang dermakan sedikit duit simpanan abang kepada mereka yang memerlukan." 
" Abang bercadang hendak membantu saudara kita di Chechnya dan palestin." 
" Tapi bang, di negara kita ni pun masih ramai yang sebangsa dan seagama dengan kita yang hidup susah. Ramai anak-anak yatim dan orang miskin yang perlukan bantuan. Saya rasa lebih elok kita utamakan saudara kita yang dekat dulu dari membantu saudara yang jauh." 
" Betul jugak kata awak tu..." Pak Ngah melipat surat khabar. Dia seperti tidak berminat lagi hendak membacanya. 
" Minumlah air tu, bang. Nanti sejuk pulak." perlawa Mak Ngah bila dilihatnya Pak Ngah termenung panjang. 
" Iyalah, mari kita minum bersama," balas Pak Ngah pula. 
" Negara kita ni makmur. Rakyat mudah mencari rezeki. Tetapi kabarnya di negara lain, ada yang rakyatnya kebuluran. Betul ke, bang?" tanya Mak Ngah sambil menuangkan air ke dalam cawan di depannya. 
" Memang benar kata awak tu. Kita patut bersyukur kerana negara kita aman. Kalau di negara lain, hari-hari berperang. Nak cari rezeki pun susah," jawab Pak Ngah sambil menyuap sarapan. Dia nampak berselera menikmati sarapan pagi yang disediakan oleh isterinya. 
" Bila abang makan pulut kuning cecah sambal petai ni, abang teringat kepada anak-anak kita. Dah lama jugak mereka tidak balik. Rindu pulak rasanya," kata Pak Ngah cuba mengalih tajuk perbualan. 
" Mereka tu sibuk dengan kerja dan keluarga masing-masing. Kita doakan saja mereka tu hidup bahagia. Tanggung jawab kita mendidik dan membesarkan mereka sudah selesai. Kita pun sudah tua. Elok kita tumpukan sahaja kepada amal ibadat untuk bekalan akhirat." 
" Oh ya, pagi ni abang nak ke bandar. Kalau awak nak ikut, bersiaplah." 
" Apa halnya bang?" 
" Abang nak pergi ke tabung haji." 
" Abang nak naik haji lagikah?" 
" Kalau boleh tiap-tiap tahun abang nak ke sana. Lagipun kita dah tua. Anak-anak semua dah besar dan berumah tangga. Abang nak gunakan rezeki yang kita dapat itu untuk buat amal ibadat." 
Mak Ngah mengikut saja apa kata suaminya. Dia bersiap dan tidak lama kemudian mereka berdua sudah berada dalam kereta. Pak Ngah memandu kereta dengan tenang menuju ke bandar. Dalam perjalanan itu Pak Ngah teringat tanah suci Mekah. 
Sepuluh tahun yang lalu, buat pertama kalinya dia mendapat kesempatan untuk menjadi tetamu Allah. Dia merasa bertuah kerana diizinkan oleh Allah SWT untuk mengerjakan rukun islam ke 5 itu. Baginya itulah peristiwa paling bersejarah dalam hidupnya yang tidak dapat dilupakan. Akan kekal menjadi kenangan seumur hidupnya. 
Sebenarnya sudah lama dia berhasrat untuk menunaikan haji ke tanah suci Mekah. Tetapi kerana sibuk dengan tugasnya sebagai seorang pegawai polis maka cita-cita itu cuma terlaksana setelah dia bersara. Dengan wang pampasan yang diterimanya dia berjaya menjejakkan kakinya ke tanah suci Mekah. Kini dia sedar bukannya mudah untuk menjejakkan kaki ke tanah suci yang menjadi tumpuan umat islam daripada seluruh pelusuk dunia itu. Tambahan pula jauhnya beribu kilometer dari tanah air. Banyak wang, masa dan tenaga yang terpaksa dikorbankan demi untuk menyahut seruan itu. 
Dia tidak dapat melupakan betapa banyak dugaan serta cabaran yang terpaksa ditempuhnya sebelum menjejakkan kaki ke tanah suci itu. Perjalanan bermula dengan menaiki kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Jeddah selama lapan jam. Kemudian dia menaiki bas selama lapan jam lagi merentasi padang pasir yang kering kontang untuk sampai ke Madinah. 
Dia teringat betapa sayu hibanya hati ketika menziarahi makam Rasullullah SAW. Memang benarlah baginda pemimpin unggul sepanjang hayat. Semasa hidup baginda dihormati dan disayangi dan setelah wafat pun baginda dirindui oleh umat Islam dari seluruh pelusuk. Masing-masing menziarahi makam baginda sebagai menandakan kasih sayang dan penghargaan di atas jasa baginda. 
Dia masih ingat, selama lapan hari dia berada di Madinah, dia dapat mengerjakan sembahyang fardhu sebanyak empat puluh waktu di masjid Nabawi. Dia juga membanyakkan bacaan selawat kerana dia tahu berselawat itu banyak kelebihannya. Dan setiap kali menziarahi makam baginda dia mencari peluang untuk sembahyang sunat dan berdoa di Raudhah kerana dia tahu di situlah antara tempat yang doa mudah di makbulkan oleh Allah SWT. Antara doa yang dipohonnya ialah supaya murah rezeki, sihat tubuh badan dan dapat mengerjakan amal ibadat. Dan alhamdulllah, dia merasakan doanya telah dimakbulkan Tuhan kerana sejak balik dari menunaikan haji rezekinya bertambah. Dusun buah-buahan miliknya seluas tiga ekar itu telah mengeluarkan hasil. Hasil daripada kebun buah-buahan itu akan digunakannya untuk menunaikan ibadat haji ke tanah suci Mekah. Dia ingin mengulangi sekali lagi ibadat hajinya. Banyak kenangan di tanah suci yang tidak dapat dilupakannya. 
Dan paling tidak dapat dilupakannya ketika dia menjejakkan kaki ke Masjidil Haram. Perasaannya sebak dan air matanya berlinangan sebaik pandangannya terhunjam ke arah Kaabah yang menjadi tumpuan arah kiblat umat islam seluruh pelusuk dunia. Masih terbayang di ruang matanya lautan manusia yang berpakaian serba putih yang melambangkan kesucian hati dalam usaha mendekatkan diri kepada Ilahi, memenuhi setiap ruang Masjidil Haram. Tanpa membezakan warna kulit dan darjat keturunan, masing-masing berganding bahu berjalan kesatu arah mengerjakan tawaf mengelilingi Kaabah. 
Di rumah Allah itu tidak ada perbualan hal keduniaan apatah lagi perdebatan politik yang menggugah perasaan kerana masing-masing tekun mengerjakan amal ibadat. Ada yang bertawaf, berzikir, membaca al Quran dan sembahyang sunat. Masing-masing tenggelam dalam ketakwaan. 
Dia juga tidak dapat melupakan peristiwa wukuf di Padang Arafah. Lautan manusia memenuhi padang pasir yang penuh rahsia itu. Di bawah pancaran sinar matahari yang memijar dan boleh merentungkan kulit itu para jemaah dengan pakaian ihram dan rambut kusut melafaskan talbiah, takbir dan tahmid yang bergema ke angkasa. 
Masih terbayang di ruangan matanya bagaimana tetamu Allah itu merebut untuk melontar jamrah di Mina. Masing-masing menghayati peristiwa Nabi Ibrahim yang diperintahkan oleh Allah SWT untuk membuat korban dengan menyembelih anaknya Nabi Ismail. Dalam perjalanan ke tempat korban, mereka dihasut oleh iblis lalu Nabi Ibrahim melontar dengan batu-batu ke arah syaitan itu. Semua kenangan itu menjelma satu persatu dalam fikirannya. 
Walaupun kini sepuluh tahun sudah berlalu, namun kenangan itu tidak dapat dilupakannya. Kaabah seolah melambai kedatangannya, ucapan talbiah, takbir dan tahmid masih terngiang di telinganya. Rasa kusyuk dan tawadduk ketika memanjatkan doa di Raudhah kembali menguasai fikirannya. Kerana itulah dia berazam untuk menunaikan ibadat haji untuk ke dua kalinya. 
" Berhati-hati,bang!" kata Mak Ngah bila dilihatnya ada kanak-kanak sekolah melintas di jalan raya. Lamunannya terhenti. Dia memperlahankan kelajuan keretanya. 
" Alhamdulillah, selama tiga puluh tahun abang dapat lesen memandu belum pernah terlibat dalam kemalangan di jalan raya. Abang amalkan pandu cermat jiwa selamat," katanya sambil ketawa kecil. 
" Jangan takbur, bang. Nanti Allah duga..." balas Mak Ngah mengingatkan. 
" Insyaallah, tahun ini kita akan pergi ke tanah suci Mekah," kata Pak Ngah seolah sengaja mengubah tajuk perbualan. 
" Abang pergi seorang atau kita berdua?" tanya Mak Ngah pula. 
" Kali pertama dulu abang pergi seorang. Kali kedua ini elok kita pergi bersama," jawab Pak Ngah. 
" Duitnya sudah cukup ke, bang?" tanya Mak Ngah lagi.. 
" Alhamdulillah, sudah cukup," jawab Pak Ngah. 
Pak Ngah melahirkan rasa syukur kerana dusun buah-buahannya kali ini banyak mengeluarkan hasil. Pokok durian, rambutan dan langsat semuanya berbuah. Pak Ngah pun berazam hasil dari jualan buah-buahan dari dusunnya itu akan digunakan untuk perbelanjaan menunaikan ibadat haji. Kalau boleh dia ingin menjejakkan kaki ke tanah suci pada tiap-tiap tahun. 
" Wajib haji itu cuma sekali saja seumur hidup. Kali kedua cuma ibadat sunat saja," kata Imam Dolah bila Pak Ngah menyatakan hasrat hatinya hendak menunaikan ibadat haji untuk kali kedua. 
" Saya tahu, Tok Imam," balas Pak Ngah. " Tapi hati saya amat rindu hendak mengunjungi tanah suci Mekah. Saya rindukan kaabah, makam Rasullullah SAW dan padang Arafah. Hati saya bagai ditarik-tarik untuk sekali lagi berkunjung kesana." 
"Alhamdulillah, saya doakan semoga mendapat haji yang mabrur," kata Tok Imam setelah mendengar luahan perasaan Pak Ngah. 
Pak Ngah merasa seolah tidak sabar lagi hendak menjejakkan kakinya ke tanah suci Mekah. Kalau ada sayap ketika itu juga dia terbang ke sana. Dan pagi itu dia mengajak isterinya untuk sama-sama mendaftar diri di Tabung Haji. 
" Kita dah sampai," kata Pak Ngah sambil memberhentikan keretanya di hadapan bangunan Tabung Haji. Pak Ngah dan Mak Ngah terus menemui pegawai yang bertugas. 
" Hajat kami nak mengerjakan ibadat haji tahun ini juga," kata Pak Ngah kepada pegawai Tabung Haji itu. 
" Berapa perbelanjaannya akan kami bayar hari ini juga," kata Mak Ngah pula. 
" Minta maaf, Pak Cik dan Mak Cik," balas pegawai Tabung Haji itu. " Sekarang nak ke Mekah kena ikut giliran. Bukan macam dulu." 
" Apa maksud Encik?" tanya Pak Ngah. 
" Sekarang ini sesiapa yang hendak ke Mekah kena ikut giliran. Siapa yang cepat mendaftar dialah yang pergi dulu," jawab pegawai itu. 
" Habis tu bila kami boleh pergi?" tanya Mak Ngah pula. 
Pegawai muda itu tidak terus menjawab. Jari-jarinya menekan butang papan komputer dan matanya merenung ke arah skrin di depannya. 
" Kalau ikut rekod kami, lima tahun lagi baru sampai giliran Pak Cik dan Mak Cik." 
" Masyaallah, lambat lagilah tu...!" kata Pak Ngah sambil menepuk dahinya. " Pak Cik ni dah tak sabar lagi nak ke Mekah. Kalau boleh hari ini juga Pak Cik dan Mak Cik kamu nak ke sana.". 
" Semua rakyat negara ini yang hendak ke tanah suci mesti ikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak tabung haji," balas anak muda itu. 
Pak Ngah dan Mak Ngah merasa amat kecewa kerana hajatnya hendak berkunjung ke tanah suci pada tahun itu tidak kesampaian. Dia terpaksa menunggu lima tahun lagi. Tetapi bagaimana kalau umurnya tidak panjang?. 
* * * 
Langit masih mendung dan awan hitam berarak di dada langit. Titis-titis hujan yang tadinya kecil kini lebat semula. Jusoh melepaskan sebuah keluhan yang berat. Hajatnya hendak pergi menoreh terpaksa di batalkan. Hatinya redup seredup cuaca akhir bulan Disember itu. 
Sudah seminggu dia tidak dapat menoreh. Sebentar tadi isterinya mengadu beras dalam tempayan hampir habis. Barang-barang lain seperti tepung, gula dan minyak masak dia tahu sudah lama kehabisan. Hatinya semakin runsing bila memikirkan persekolahan anak-anaknya. Sekolah akan dibuka tidak lama lagi. Dia memerlukan wang yang banyak untuk belanja persekolahan 9 orang anak-anaknya. Wang tersebut mesti dicari juga untuk membeli pakaian sekolah, buku, yuran persekolahan dan sebagainya. Bagaimana hendak mendapatkan duit kalau tidak dapat menoreh?. 
Jusoh mencongak anak-anaknya. Adi yang tua akan masuk ke tingkatan enam atas dan akan mengambil peperiksaan STPM. Nurul pula dalam tingkatan lima dan akan mengambil peperiksaan SPM. Aida pula dalam tingkatan 3 dan akan menduduki peperiksaan PMR. Manakala 6 lagi anak-anaknya berada di sekolah rendah. Jusoh tahu semua anak-anaknya rajin belajar. Otak mereka pun cerdik. Setiap kali lepas sembahyang dia tidak lupa berdoa semoga anak-anaknya menjadi orang yang berpelajaran. Dia tidak mahu anak-anaknya mewarisi kemiskinan seperti dirinya akibat tidak berpelajaran. Dia cuma mencari rezeki dengan menoreh getah. Jika menoreh di kebun sendiri boleh tahan juga walaupun cuma seekar dua. Tetapi kerana tidak ada tanah pusaka yang ditinggalkan oleh orang tuanya terpaksalah dia berikhtiar sendiri untuk menghidupkan anak-anaknya. 
Walaupun hidupnya ibarat kais pagi makan pagi, dia tidak salahkan sesiapa. Apatahlagi menyalahkan ayah dan ibunya kerana tidak meninggalkan harta pusaka. Malah dia bersyukur kerana selama ini tubuh badannya sihat dan masih mampu menoreh getah di kebun Ah Seng. Bertahun-tahun lamanya dia mencari rezeki di kebun itu, sejak mula berkahwin dengan Juriah dan kini sudah mendapat 9 orang anak. 
" Buatlah sesuatu, bang. Kita tidak boleh berdiam diri sahaja. Kasihan anak-anak kita tu," kata Juriah sambil melahirkan rasa kasihannya kepada anak-anak yang sedang meningkat remaja itu. 
" Kalau beras dalam tempayan sudah habis, tak tahulah macam mana anak-anak kita tu nak makan," Juriah melepaskan sebuah keluhan. Risau sungguh hatinya bila mengenangkan kesusahan yang dialami oleh keluarganya. Dia merasakan musim hujan kali ini benar-benar mencengkam kehidupann keluarganya. 
" Abang pun risau juga. Abang sedang berfikir apa yang harus abang lakukan," kata Jusoh pula. 
" Cubalah abang berjumpa dengan Ah Seng. Mungkin dia boleh pinjamkan duit. Lagipun abang pekerjanya," kata Juriah memberi cadangan. 
" Abang rasa malulah sebab hutang lama pun belum berbayar. Nanti apa pulak kata Ah Seng," balas Jusoh dengan nada kecewa. 
" Abang menoreh di kebun getahnya. Berjanjilah dengan dia bila musim hujan sudah berhenti nanti abang akan menoreh semula dan hutang itu dibayar beransur-ansur." 
" Baiklah, nanti abang akan cuba." 
Jusoh tidak sampai hati hendak memberitahu isterinya bahawa Ah Seng pernah mengatakan kebun getahnya akan ditebang tidak lama lagi kerana pokok getahnya sudah tua. Bila pokok getah itu ditumbangkan nanti dimana lagi dia hendak menoreh?. Inilah yang merunsingkan hatinya. Dan dia tidak mahu isterinya bertambah runsing. 
" Bila hujan teduh nanti, abang pergi ke rumah Ah Seng," kata Jusoh untuk menyedapkan hati isterinya. 
" Kalau nak tunggu hujan teduh entahkan sampai bila. Sekarang musim tengkujuh. Biasanya bila musim begini hujan tidak akan berhenti. Abang pergilah sekarang. Bawa payung." kata Juriah pula. 
Jusoh tidak ada pilihan. Dia terpaksa menuruti cadangan isterinya. 
* * * 
" Abang merasa kecewa kerana tidak dapat pergi ke tanah suci pada musim haji kali ini," kata Pak Ngah sambil melahirkan rasa kecewanya. 
" Bersabar sajalah, bang. Lima tahun bukannya lama," kata Mak Ngah pula cuba menyabarkan hati suaminya. 
" Abang tak sabar lagi nak menjejakkan kaki ke tanah suci. Kalau boleh hari ini juga abang nak kesana," balas Pak Ngah pula. 
" Nak buat macam mana, bang. Kita kena ikut peraturan yang telah ditetapkan." 
Pak Ngah seperti tidak mahu mendengar kata-kata isterinya. Dia merasa kecewa yang amat sangat. Keretanya dipecut dengan laju kerana dia ingin segera sampai ke rumah. Tambahan pula waktu sembahyang Asyar hampir habis. Dan sekejap lagi Maghrib pula akan menjelang. 
" Perlahankan kereta, Bang. Ada orang melintas di hadapan...!" jerit Mak Ngah. 
Pak Ngah tergamam. Kereta yang dipandunya tidak dapat dikawal lagi. Seketika kemudian kedengaran bunyi dentuman yang kuat. Seorang lelaki separuh umur yang sedang menunggang basikal tuanya terbaring di atas jalan raya. 
Pak Ngah segera mendapatkan lelaki yang dilanggarnya itu. Keadaannya cedera parah dan nazak. Dengan amat payah lelaki itu membisikkan sesuatu ke telinga Pak Ngah. 
" Tolong bawakan barang-barang itu ke rumah saya. Anak-anak saya kelaparan," bisiknya dengan suara terputus-putus. 
Pak Ngah menganggukkan kepalanya dengan wajah yang amat kesal. Dia memangku kepala lelaki itu dan mengajarnya mengucap kalimah syahadat. Sebelum Jusoh menghembuskan nafasnya yang terakhir matanya sempat merenung ke arah beras yang dibawanya berselerak di atas jalan raya. 

* * * 
" Saya kasihan melihat anak-anak yatim yang ditinggalkan oleh Jusoh. Budak-budak tu nampak baik dan cerdik," kata Mak Ngah sambil melahirkan rasa kesal dengan kemalangan yang menimpa Jusoh, jiran terdekatnya. 
" Abang ada satu cadangan," kata Pak Ngah pula. 
" Apa dia?" tanya Mak Ngah. 
" Macam mana kalau kita jadikan mereka tu anak angkat kita?. Setidaknya ini sebagai cara untuk menebus kelalaian abang memandu laju sehingga menyebabkan kemalangan itu." 
" Saya setuju..." 
Malam itu mereka mencapai kata sepakat. Dan mereka tidur lebih awal daripada biasa. Tetapi di tengah malam Pak Ngah terkejut dari tidur bila mendengar suara jirannya meminta tolong. Bila Pak Ngah keluar dilihatnya rumah jirannya terbakar. Keluarga yang malang itu cuma dapat menyelamatkan diri dengan sehelai sepinggang. Api cepat merebak dan dalam masa tidak sampai setengah jam rumahnya hangus dijilat api. Pasukan bomba yang datang cuma mampu mengawal api dari merebak ke rumah lain. 
" Rumah kami dah hangus," kata Juriah sambil menahan perasaan sedihnya. " Di mana tempat kami nak menumpang?" 
" Buku dan peralatan sekolah saya juga habis terbakar," kata anak-anak Juriah pula. 
" Bersabarlah, nak," pujuk Tok Imam. " Insyaallah kami akan cuba membantu." 
Esoknya Tok Imam mengumpulkan ahli kariah dan mereka berbincang mengenai pertolongan yang boleh diberikan kepada keluarga yang malang itu. 
" Juriah baru sahaja kematian suami. Sekarang rumahnya pula terbakar. Nampaknya dia tu sudah jatuh ditimpa tangga," kata Tok Imam sambil melahirkan rasa simpatinya. 
Akhirnya mereka mencapai kata sepakat untuk menjalankan kutipan derma kilat bagi membantu keluarga yang malang itu. Kemudian mereka bermesyuarat sekali lagi. 
" Derma yang terkumpul cuma seribu ringgit sahaja. Tidak cukup untuk mendirikan sebuah rumah," kata Tok Imam. 
" Berapa lagi yang di perlukan?" tanya Pak Ngah pula. 
" Sekurang-kurangnya RM 20,000.00 untuk membeli bahan-bahan membuat rumah. Kemudian boleh kita bergotong royong mendirikannya," jawab Tok Iamm. 
" Saya ada satu cadangan," kata Pak Ngah sambil membisikkan sesuatu ke telinga Tok Imam. 
" Bagaimana dengan hajat kamu nak ke Mekah?" tanya Tok Imam pula. 
" Insyaallah kami pergi lima tahun lagi," jawab Pak Ngah. 
" Duit simpanan itu kami keluarkan untuk membantu keluarga Juriah." 
" Kamu tak menyesal?"tanya Tok Imam lagi. 
" Saya yakin membantu jiran dalam kesusahan itu juga adalah jihad…" jawab Pak Ngah. 


9. SELAGI NADI MASIH BERDENYUT 
Oleh: Abdul Latip Talib 

Dia berdiri di halaman rumah sambil mendongak ke langit. Hatinya sayu bila melihat awan mendung masih menebal menabiri angkasa jagat raya. Sudah satu minggu hujan turun dan selama itulah matahari berwajah suran. Cahayanya tidak mampu menembusi awan mendung di dada langit. Dan pada pagi hari Ahad itu, hujan turun lagi bermula dengan renyai-renyai kemudian semakin lama semakin lebat. Dia merasa kecewa tetapi tidak sampai berputus asa. 
Rezeki ada di mana-mana. Begitu kata hati kecilnya. Ulat dalam batu lagikan boleh hidup, inikan pula manusia yang melata di muka bumi. Dia sedar, yang bulat tidak akan datang menggolek, yang pipih tidak akan datang melayang. Dia pun bertekad; "Selagi nadiku masih berdenyut, aku akan berusaha." 
Dia yakin kedatangan musim hujan bukan bermakna pintu rezekinya tertutup. Walaupun dia tidak boleh menoreh kerana pokok getah basah, dia masih boleh mencari rezeki dengan cara yang lain. Dia boleh memancing ikan di sungai atau mencari pucuk paku, atau paling tidak mencari rebung untuk dibuat gulai. Dia yakin anak-anaknya tidak akan kebuluran dan persekolahan anak-anaknya tidak akan terbantut. 
" Mak tidak dapat menoreh hari ini?" suara Nadia anak sulungnya yang sedang belajar dalam tingkatan enam atas itu menyapa telinganya. 
" Tidak," jawabnya sepatah.. 
" Pokok getah basah. Macam mana mak nak menoreh," Mazni anaknya yang nombor dua pula menyampuk. 
"Hujan itu membawa rahmat," balasnya. " Kalau hujan tidak turun, bumi akan kering kontang. Tumbuh-tumbuhan akan mati. Kita juga akan mati kerana kehausan.". 
" Kasihan Mak. Kalaulah ayah ada…" kata Mazni pula. 
Hatinya sayu mendengar kata-kata Mazni. Dia mendekati Mazni lalu memeluknya. 
" Allah Maha Pemurah lagi Maha mengasihani. Selagi nadi mak masih berdenyut, mak akan berusaha," dia cuba meyakinkan anak-anak kesayangannya. 
Nadia duduk termenung menupang dagu di muka tangga. Sebagai seorang ibu yang akrab dengan anak-anak, dia tahu apa yang sedang melanda fikiran anaknya. Tambahan pula anak-anaknya tidak segan silu menceritakan apa sahaja masalah mereka. Sejak suaminya meninggal dunia kira-kira setahun yang lalu, hubungan dia dengan anak-anak semakin akrab. Dialah ayah dan dialah ibu kepada anak-anaknya. 
" Mak, macam mana dengan duit peperiksaan Nadia?. Tempoh bayarannya cuma satu minggu sahaja lagi. Jika tidak dapat membayarnya, Nadia tidak boleh menduduki peperiksaan," Nadia meluahkan apa yang tersirat di lubuk hatinya. 
" Jangan bimbang, nak. Mak akan ikhtiarkan," jawapan itu mungkin dapat melegakan perasaan Nadia. Namun tidak perasaannya sendiri. Dia masih memikirkan bagaimana hendak mendapatkan duit untuk bayaran yuran peperiksaan anaknya. 
Sepatutnya yuran peperiksaan itu sudah pun dibayar. Dan sepatutnya Nadia tidak perlu lagi risau memikirkannya. Dia boleh menumpukan sepenuh perhatian terhadap peperiksaan STPM yang akan bakal dihadapinya. Tetapi apabila Syafiq, anaknya yang bongsu diserang demam panas dan di tahan dalam wad, dia terpaksa menggunakan duit itu untuk tambang bas berulang alik ke hospital Seremban. Dan dia yakin boleh mendapatkan semula duit itu sebelum tamat tempoh bayarannya. Tetapi dia cuma boleh merancang namun Tuhan yang menentukan. Tanpa diduga musim hujan pun tiba. Hujan turun pada waktu pagi.Kadang-kadang pada sebelah petang. Ada kalanya hujan turun dari pagi hingga ke petang. Akibatnya dia tidak dapat menoreh pokok getah. 
Selalunya jika hujan tidak turun, dia sudah berada dalam kebun getah selepas solat subuh. Dengan berbekalkan sebilah pisau toreh dan sebuah baldi, dia memulakan kerjanya menoreh pokok getah. Dan pada sebelah petang pula dia berada di kebun mengusahakan tanaman pokok pisang, nenas dan ubi kayu. Itulah jadual tugasnya setiap hari. 
Ketika suaminya masih hidup, dia tidak sendirian mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak. Segalanya di kongsi bersama dengan suami. Tetapi sejak suaminya meninggal dunia setahun yang lalu, dialah yang bertanggung jawab menguruskan rumah tangga dan mendidik anak-anak. Dialah ibu dan dialah ayah kepada tiga orang anak-anaknya. 
" Kalau abang sudah tidak ada, jagalah anak-anak kita. Semoga mereka menjadi orang yang berpelajaran tinggi supaya dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara kita." Itulah pesan arwah suaminya sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir. 
Dan berjanji tidak akan menghampakan harapan suaminya. Dia juga mahu anak-anaknya berjaya dalam pelajaran. Malah itulah impiannya sejak anak-anak itu lahir ke dunia. Walaupun kini suaminya sudah tiada, dia berazam untuk mempastikan anak-anaknya berjaya dalam pelajaran. Selagi nadinya masih berdenyut, dia akan berusaha mencari duit untuk menyekolahkan anak-anaknya. Dia sedar hanya ilmu pengetahuan sahaja yang boleh menjamin masa depan mereka. 
" Tepung dan gula sudah habis. Apa sarapan kita pagi ini?" tanya Nadia dengan wajah sedih. 
" Mak akan ke kebun menggali ubi kayu. Pagi ini kita makan rebus ubi cicah kelapa," jawabnya sambil bersiap hendak turun dari rumah. 
" Tunggulah hujan teduh, Mak," kata Nadia pula. 
" Hujan akan berterusan hingga ke petang. Percayalah…" balasnya sambil menuruni tangga rumahnya. 
Dia tahu bukan tepung dan gula sahaja sudah habis. Barang-barang keperluan yang lain seperti beras, Ikan bilis, bawang, susu dan lain-lain juga sudah kehabisan. Baginya itu tidaklah merunsingkan sangat fikirannya kerana dia yakin anak-anaknya tidak akan mati kebuluran. Di kebunnya masih ada ubi kayu dan pisang untuk mengalas perut anak-anaknya. Dia juga boleh memancing ikan di sungai atau mencari pucuk –pucuk kayu untuk dimakan. Tetapi apa yang paling merunsingkan fikirannya ialah yuran peperiksaan Nadia. Jika tidak dapat dijelaskan maka anaknya tidak dapat menduduki peperiksaan. 
Dia tahu anak-anaknya bercita-cita tinggi. Nadia ingin menjadi seorang doktor, Mazni pula nak jadi pensyarah manakala Syafiq pula nak jadi jurutera. Dia berdoa semoga cita-cita anak-anaknya akan tercapai. Kerana itu, Setiap kali lepas Solat dia tidak lupa berdoa semoga anak-anaknya menjadi anak yang soleh dan solehah yang berjaya di dunia dan akhirat. Cuma yang selalu merunsingkan fikirannya apabila hujan turun kerana dia tidak dapat menoreh. 
Hujan yang tadinya melebat kini sudah mula reda. Dia harap hujan akan berhenti. Dia gembira kerana semua anak-anaknya sudah bersarapan pagi. Rebus ubi cecah kelapa membuka selera mereka. Dia nampak Nadia sedang tekun membaca buku. Begitu juga dengan Mazni dan Syafiq. Dia mencapai parang lalu kuikatkan ke panggangnya. 
" Mak nak kemana?" tanya Nadia. 
" Ke rumah Pak Dolah." 
" Apa halnya mak?" 
" Kabarnya Pak Dolah sedang mencari orang untuk membersihkan dusun duriannya. Mak nak jumpa dia. Nanti bolehlah bayarkan duit yuran peperiksaan kamu itu." 
" Tapi mak," Nadia memandang wajah ibunya. " Sekarang musim hujan. Lagipun kerja menebas tu susah. Terdaya kah emak melakukannya?" 
" Insyaallah, Mak yakin boleh." 
" Nadia nak ikut sama." 
" Nadia duduk dirumah dan jaga adik-adik." 
" Baiklah Mak." 
Dengan membaca Bismillah, dia turun dari tangga rumah lalu menuju ke rumah Pak Dolah. Kebetulan Pak Dolah ada di rumah dan tanpa membuang masa dia terus menyatakan hajat kedatangannya. 
" Dusun durian itu tebal semak samunnya sebab sudah lama tidak dibersihkan. Sekarang pokok-pokok durian sedang berbuah, terpaksalah aku mencari orang untuk membersihkannya," kata-kata Pak Dolah itu membungakan harapan di hatinya. 
" Saya sanggup menebasnya…" katanya seakan merayu. 
" Kerja tu berat. Sanggupkah kamu melakukanya?" Pak Dolah seolah melahirkan rasa sangsinya. 
" Insyaallah, saya sanggup," Dia menjawab penuh yakin. 
" Baiklah, berapa upah yang kamu minta?" pertanyaan Pak Dolah membuahkan harapan. 
" Terpulang kepada budi bicara Pak Dolah. Tetapi…" 
" Tetapi apa?" 
" Saya memang perlukan duit untuk membayar yuran peperiksaan anak saya…" 
" Dusun durian itu seluas tiga ekar. Kalau aku bayar satu ekar seratus ringgit, bagaimana?" 
" Saya setuju Pak Dolah, terima kasih," katanya dengan rasa gembira. 
Pada hari itu juga dia memulakan kerja-kerja menebas anak-anak kayu yang tumbuh meliar di dusun durian Pak Dolah. Dia berazam untuk menyudahkan kerjanya secepat mungkin supaya cepat dapat bayarannya. Satu demi satu anak-anak kayu di cantasnya dengan parang panjang. Sedang dia tekun bekerja hujan turun dengan lebatnya. Namun dia terus juga bekerja walaupun seluruh pakaiannya basah kuyup. Setelah merasa letih barulah dia pulang ke rumah. 
" Kenapa Mak lambat balik?. Risau kami menunggunya," kata Nadia sebaik saja dia sampai di muka pintu rumahnya. 
" Mak mencari duit untuk kamu," jawabnya sambil menyalin pakaiannya. 
" Muka Mak nampak pucat. Mak demam ke?" tanya Mazni pula. 
" Mak rasa sejuk sebab kena hujan," jawabnya sambil menyuruh Nadia mengambil segelas air suam untu memanaskan badannya. 
" Mak, janganlah kerja teruk sangat. Kalau jatuh sakit bukan Mak saja yang susah, kami pun sama," kata Nadia sambil menghulurkan segelas air suam. 
Dia meneguk air suam itu namun rasa sejuk masih terasa. Kemudian Nadia menghidangkan makanan kegemarannya iaitu nasi berlaukkan gulai ikan sembilang. Tetapi entah kenapa seleranya tumpul. Cuma tiga suap sahaja yang mampu ditelannya kemudian dia baring dan menyuruh Nadia selimutkan tubuhnya dengan gebar. Dan malam itu badannya panas. Dia menyuruh Nadia dan Mazni memicit kaki dan tangan. Entah pukul berapa baru dia terlena. 
Esoknya dia dikejutkan oleh suara azan yang berkumandang dari menara masjid. Dia cuba bangun tapi kepalanya terasa sakit. Namun dia gagahkan diri untuk bangun mengerjakan solat subuh. Selepas menunaikan kewajipan itu, dia ingin menyambung tidurnya. Tetapi bila teringatkan anak-anaknya yang akan ke sekolah, dia bingkas bangun. 
" Nadia tak ke sekolah hari ni?" dia bertanya kerana Nadia masih memakai pakaian sekolah. 
" Mak sakit. Nadia tak sampai hati nak tinggalkan Mak sendirian," jawab Nadia. 
" Mak cuma demam sikit jer. Tak lama lagi baiklah tu. Nadia pergilah ke sekolah sebab tidak lama lagi nak periksa." 
" Baiklah, Mak," Nadia masuk ke dalam bilik menukar pakaian sekolah. 
Hari itu dia bercadang hendak berehat saja di rumah kerana berasa kurang sihat. Kepalanya sakit dan badannya panas. Tetapi baru saja hendak baring dia terdengar bunyi kereta berhenti di halaman rumah. 
" Oh Pak Haji Dolah dan Mak Haji. Jemputlah naik ke rumah," dia mempelawa tetamu yang datang naik. 
" Nadia kata kamu sakit sebab itu kami datang," kata Hajah Zainon isteri Pak Dolah. 
"Sebab itulah hari ini saya tidak dapat pergi menebas. Esok saya akan sambung semula kerja itu." 
Hajah Zainon meletakkan tapak tangannya di dahi Mak Utih. Terasa panas. 
" Kamu demam elok pergi ke hospital," katanya sambil melahirkan rasa simpati. 
Mak Utih tidak menjawab. Dia cuma termenung sahaja. 
" Kami akan hantar kamu ke hospital," kata Pak Haji Dolah. 
" Tetapi…" dia merasa ragu-ragu. 
" Kita berjiran mesti tolong menolong. Kebetulan pulak kami hendak ke pekan, boleh awak tumpang sama." 
Dia melahirkan rasa syukur kepada Allah swt dan berterima kasih kepada Haji Dolah yang baik hati. Dan esoknya dia sudah rasa sihat dan boleh meneruskan kerja membersih dusun Pak Haji Dolah. Dan petang itu apabila dia balik dari kerja Nadia menyambut kepulangannya dengan wajah gembira. 
" Yuran peperiksaan Nadia sudah di bayar oleh Pak Haji Dolah," beritahu Nadia. 
" Oh Tuhan…" dia merasa amat terharu. 


10. BOM SYAHID 
CERPEN 
BOM SYAHID 
Oleh: Abdul Latip Talib 

KETIKA helikopter kepunyaan makhluk yang dilaknat Allah swt itu terbang rendah dan memuntahkan pelurunya, Nabila sempat menyelamatkan diri lalu berlindung di tempat yang selamat. Wajahnya nampak pucat dan nafasnya termengah-mengah. Sebentar tadi pipinya nampak kemerahan kerana marah. 
" Lontarkan batu ini kepada makhluk yang ganas itu!" Dia berteriak penuh semangat sambil menghulurkan batu-batu kepada kawan-kawannya. 
Dan Nabila bersorak setiap kali batu-batu itu mengena sasarannya. Walaupun dia tahu batu-batu itu tidak memberi bekas kepada tentera yang dilatih untuk membunuh itu namun cukup menggembirakan hatinya. Sekurangnya dunia tahu anak-anak muda palestin sanggup menentang rejim ganas itu walau hanya bersenjatakan batu dan kayu. Namun apabila helikopter tempur dan kereta perisai lapis baja digunakan untuk menentang serangan batu-batu maka mereka terpaksa lari menyelamatkan diri. 
" Kenapa muka kau pucat, Nabila?. Adakah kau takut mati?" tanya Qasim, anak muda yang disuruhnya melontar batu ke arah musuh sebentar tadi. 
" Aku tidak takut dengan kematian cuma belum bersedia untuk mati. Semoga Allah tangguhkan dulu saat kematianku!" 
" Sebaiknya jangan tunjukkan bahawa engkau takut kerana itu boleh merlunturkan semangat kawan-kawan kita." 
" Aku bersumpah bahawa aku tak takut mati. Cuma belum mahu mati di saat ini." 
" Kalau dah sampai ajal kita akan mati juga. Samaada kita mahu atau tidak mahu kematian pasti datang tidak cepat sesaat dan tidak lambat sesaat." 
" Aku berdoa jangan mati di sini." 
" Habis tu kamu nak mati dimana?" 
" Kau akan tahu nanti." 
" Aku tak faham." 
Nabila merenung wajah Qasim lalu berkata. " Aku tidak akan biarkan mereka membunuh kita sesuka hati. Hari pembalasan kepada anjing-anjing laknat itu pasti akan tiba." 
Bagi Nabila, askar-askar Israil yang tidak bertimbang rasa yang menyebabkan darah anak-anak muda Pelastin tumpah ke bumi itu ibarat anjing-anjing liar yang mesti dihapuskan. 
Kerana itu Nabila mengumpulkan anak-anak muda yang sebaya dengannya. Mereka bertemu di satu tempat rahsia yang cuma diketahui oleh mereka sahaja. Ada lima puluh orang pemuda dan pemudi yang menyahut seruan Nabila. Mereka berkumpul dan duduk bersila mengadap Nabila. 
"Anjing-anjing liar yang dilaknat Allah itu telah merampas tanah air kita. Mereka membunuh saudara mara kita dan bersikap kejam terhadap bangsa kita. Mereka lakukan itu sejak lebih lima puluh tahun yang lalu. Akibatnya, ramai diantara kita yang kehilangan Ayah, Ibu, adik, abang atau mereka yang kita sayang. Mungkin hari ini esok ataupun lusa, giliran kita pula akan menjadi mangsa. Adakah kita hendak berdiam diri dan menunggu sahaja anjing-anjing liar itu membuat sesuka hatinya terhadap kita?." 
Ketika mengucapkan kata-kata itu, api kemarahan keluar dari mata Nabila. Dia begitu bersemangat menuturkan kata-katanya. 
" Lima puluh tahun lebih tanah air kita dijajah. Selama itu pula bangsa kita dizalimi. Setiap hari ada saja darah tumpah ke bumi dan nyawa melayang disebabkan angkar anjing-anjing liar itu. Masyarakat dunia berdiam diri. Bangsa kita juga berdiam diri.Apakah kita juga mesti berdiam diri?" 
" Tidak…Tidak…Tidak," teriak mereka dengan penuh semangat. "Kita akan terus lakukan intifadah. Kita akan terus membaling batu ke arah mereka." 
" Senjata Kita cuma batu sedangkan mereka melancarkan peluru berpandu," balas Nabila. 
" Itu sahaja senjata milik kita. Negara-negara jiran menutup pintu sempadannya dengan kita," sahut Qasim anak muda paling berani diantara mereka. 
" sebenarnya kita ada satu senjata yang paling mereka geruni," balas Nabila. 
" Apa dia?" 
" Kamu akan tahu nanti…" 
Alur sinar matahari yang berwajah suram sudah pun luput di ufuk barat. Cahaya merah di kaki langit yang merenungi bukit-bukit pasir sudah mula ditelan kegelapan. Malam itu tiada berbulan. Bintang-bintang berkilauan di dada langit. Qasim menunggu kedatangan Nabila dengan hati yang berdebar-debar. 
" Aku ingin mengucapkan selamat tinggal. Dan pertemuan ini adalah yang terakhir," kata Nabila seakan meninggalkan wasiat. 
" Apa maksudmu, Nabilaku?" 
" Aku akan pergi jauh untuk bertemu ayah, adik lelaki dan saudara kita yang telah syahid." 
" Kau dah gila Nabila…" 
" Ini adalah kemahuanku. Samaada kau setuju atau tidak terserah. Aku tetap dengan keputusanku kerana pintu syahid sudah terbuka untukku." 
Qasim tahu Nabila bukanlah wanita penakut yang cuma layak untuk di dapur. Kematian mereka yang dikasihinya menjadikan dia seorang wanita pemberani. 
Semangatnya seperti warna-warna kelemayar matahari yang membakar debu-debu padang pasir yang bertebaran di serata gurun. Dia rindukan syahid. Baginya mati syahid mempertahankan bumi tercinta serta melawan bangsa yang dilaknak Allah itu adalah setinggi kemuliaan yang tidak ada tolok bandingan. 
Demi mengejar impiannya dia sanggup menamatkan pengajiannya di universiti. Demi mengejar janji Allah dia sanggup menamatkan masa remajanya untuk sebuah keyakinan. Dia rela mempertaruhkan nyawa di usia remajanya demi tanah air yang tercinta. 
Dia berdoa serta berharap dan hatinya tidak pernah terlepas dengan kalimah zikir. Dengan penuh keyakinan dia melangkahkan kakinya menuju ke sebuah perhentian bas di pekan Haifa. 
Allah Maha Berkuasa melindungi hamba pilihan_NYA yang dalam perjalanan ke syuarga Firdaus. Kehadirannya seolah tidak disedari oleh berpuluh anggota keselamatan yang ditugaskan di tempat itu. Mereka mengetatkan kawalan kerana ada maklumat akan berlakunya serangan berani mati oleh pejuang Palestin. 
Dia begitu yakin perjuangannya dibantu oleh Allah swt. Tanpa bantuanNYA dia tidak akan berjaya. Keharuman Syurga Firdaus seolah telah dapat dihidunya. Dia semakin tidak sabar untuk menuju ke matlamatnya. Dia teringat kata-kata ibunya. 
"Wahai, anakku. Sampaikan salamku kepada Rasullullah saw, sahabat-sahabat Baginda Abu Bakar, Omar, Usman dan Ali." 
" Insyaallah Ummi, doakan pemergian saya dan redakan perjuangan saya." 
" Pergilah nak. Kasih sayang seorang ibu tidak dapat menahan keinginan syahid seorang anak. Ibu maafkan kesalahan kamu. Ibu halalkan air susu yang kau minum. Ibu doakan semoga kau akan berjaya." 
Penyamarannya berjaya mengelirukan pihak musuh. Kini dia berjaya menaiki sebuah bas persiaran tanpa dicurigai oleh pegawai keselamatan. Oh Tuhan, betapa berkuasanya Engkau melindungi hambaNya yang ingin menuju ke Syurga. 
Dia terbayang wajah ayah dan adik lelakinya yang di tembak oleh tentera Yahudi. Dia terbayang rumahnya runtuh menyembah bumi di rempuh oleh bolduzer rejim ganas itu. Dia terbayang wajah kawan-kawannya yang ditangkap dan dibunuh oleh anjing-anjing yang dilaknat Allah itu. 
Dia sedar masih ada yang salah anggap terhadap tindakannya itu. Malah ada yang menuduh pejuang berani mati sebagai membunuh diri bukan syahid. Sedangkan Orang yang bunuh diri itu membunuh dirinya untuk kepentingan pribadi. Pejuang seperti dirinya mempersembahkan nyawanya demi untuk agama dan tanah airnya. Orang yang bunuh diri itu adalah orang yang kecewa dengan ketentuan Allah, sedangkan pejuang seperti dirinya mengharapkan rahmat daripada Allah SWT. 
Dia terpaksa membunuh musuh Allah dan musuh bangsanya dengan senjata dan cara terbaru kerana itu sahaja yang mampu mereka lakukan. Dia bertindak ke atas mereka yang telah merampas tanah airnya, menzalimi saudara maranya, merampas hak-hak mereka dan memusnah masa depan bangsanyaa. 
Dia teringat Firman Allah swt yang bermaksud "Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh. Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya karena mencari keridhaan Allah." 
Bas yang dinaikinya berjalan laju menuju ke pusat bandar. Dia tahu kesemua 39 penumpang bas itu terdiri dari orang Yahudi. Mereka menjadi sasaran kerana merekalah yang menjadi pendatang haram yang menduduki tanah rakyat Palestin. Setiap orang awam Israil juga telah dilatih menjadi tentera dan mereka sentiasa membantu tentera Yahudi itu mengganas. 
Nabila tersenyum.Keharuman darah syahid mula terasa. Terbayang di matanya pintu syurga telah pun terbuka untuk dimasukinya. Dia yakin sungguh dengan janji Allah. Nabila mengucap kalimah Lailahailallah lalu menekan fius bahan peledak yang terikat di badannya. Berita syahidnya Nabila di sambut dengan tangisan gembira oleh ibu dan kawan-kawannya.




11. PERTEMUAN 
Oleh: Abdul Latip Talib 

SAMBIL menjinjit beg yang sendat berisi pakaian, Syafiq melangkah dengan tenang melewati pintu pesawat MAS yang akan berlepas dari lapangan terbang KLIA ke Sibu. Seorang pramugari jelita menyambut kedatangan penumpang dengan wajah ceria dan senyuman manis terukir di bibirnya. Apabila Syafiq mempamerkan tiket penerbangannya, Pramugari itu dengan sopan menudingkan jarinya ke arah tempat duduk sambil berkata; " Semoga saudara selesa dengan penerbangan kami." 
Syafiq bersama kira-kira seratus penumpang mengambil tempat duduk masing-masing dalam pesawat yang menjadi kebanggaan negara Malaysia. Sengaja dipilihnya posisi di tepi jendela bagi membolehkan dia menikmati keindahan alam semasa pesawat itu meluncur ke angkasa. Ingin dirakamnya detik-detik yang bersejarah itu dalam mindanya kerana sebentar lagi pesawat itu akan berlepas ke destinasi yang belum pernah dijejakinya. Bumi Kenyalang seolah-olah sedang melambai kedatangannya. Di sanalah dia akan mencari rezeki serta menjalankan tanggung jawab yang telah diamanahkan kepadanya. 
"Hai!" 
Dia terkasima seketika apabila ditegur oleh seorang gadis berkulit putih mulus, berwajah ceria, bermata jeli dengan bulu matanya yang melentik. Menatap wajah gadis anggun itu mengingatkannya kepada Siti Nurhaliza, penyanyi popular yang diminatinya. 
" Hai!" Dia membalas teguran gadis itu dengan sedikit rasa gemuruh. 
" Saya kira saudara tersalah mengambil tempat duduk!" gadis itu bersuara lembut tapi mengesankan. 
" Oh maafkan saya," balas Syafiq lalu berdiri memberi laluan kepada gadis itu untuk mengambil tempat duduk di tepi tingkap. 
Dia tahu tempat duduk itu bukan miliknya berdasarkan nombor yang tertera pada tiket penerbangan. Cuma sebentar tadi dia nampak tempat duduk itu masih kosong lalu menyangka tiada penghuninya. Kerana itu apabila ditegur oleh gadis itu maka dengan cepat dia mengalah. 
" Silalah duduk," pelawa Syafiq sambil memberi laluan. 
" Saya nak letakkan beg ini dalam rak," balas gadis itu sambil cuba menjulang begnya. Dia nampak terkial-kial kerana beg itu agak berat. Syafiq segera membantu memasukkan beg itu ke dalam rak pesawat. 
"Terima kasih kerana sudi membantu," kata gadis itu sambil tersenyum. 
" Sama-sama," jawab Syafiq. Terselit juga rasa bangga di hatinya. 
" Sila duduk kerana pesawat akan berlepas sebentar lagi." 
" Saudara duduklah semula di tempat itu," kata gadis itu sambil menunjuk ke arah tempat duduk di tepi tingkap pesawat. 
" Itu bukan tempat duduk saya." 
" Saya benarkan saudara duduk di situ." 
Syafiq berasa serba salah. Timbul pertanyaan di hatinya kenapa gadis itu boleh berubah pendiriannya dalam masa yang singkat. Baru sebentar tadi dia menuntut tempat duduk itu tetapi kini dia merayu supaya duduk semula di tempat yang sama. 
" Sila duduk, Encik. Sebentar lagi pesawat akan berlepas." Kata Pramugari yang datang seolah hendak menyelesaikan masalah antara Syafiq dengan gadis itu. 
" Kami ada sedikit masalah tempat duduk," kata Syafiq sambil menghulurkan tiket penerbangan miliknya kepada Pramugari itu. 
" Encik duduk di sini dan dia di tepi tingkap," kata Pramugari dan gadis itu terpaksa akur dengan arahan tersebut. 
Ketika Syafiq mengambil tempat duduk bersebelahan gadis itu dia terhidu aroma minyak wangi yang harum semerbak. Bau minyak wangi itu mengingatkannya kepada seorang gadis bernama Azura. Wajah gadis itu tidak luput dari ingatannya. 
" Saya Aghata," gadis itu memperkenalkan dirinya. 
" Saya Syafiq," balas Syafiq sambil mengenakan tali pinggang keselamatan. 
Ketika itu dua orang Pramugari sedang memberi penerangan mengenai langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil oleh para penumpang sekiranya berlaku kemecasan. Selesai penerangan tersebut maka pesawat pun mula bergerak meninggalkan landasan, semakin lama bertambah laju dan akhirnya meluncur ke angkasa. Pesawat itu mengalami sedikit gegaran ketika menembusi awan gemawan yang menabiri jagat raya. 
Syafiq cuba menyusun kata-kata untuk mengajak gadis itu berbual bagi mengatasi rasa bosan sepanjang penerbangan. Namun sebelum dia bersuara, gadis itu mendahuluinya. 
" Barangkali saudara bukan orang Sarawak?" 
" Saya dari Negeri Sembilan." 
" Daerah mana?" 
" Jelebu, mungkin saudari tak pernah dengar nama itu." 
Aghata sedikit terkejut mendengarnya. Dia tidak menyangka ada orang Jelebu dalam penerbangan itu. Hatinya semakin tertarik untuk terus berbicara dengan pemuda di sebelahnya. 
" Saya punya keluarga angkat di Jelebu. Kerap kali saya ke sana bila bercuti. Mereka baik dan saya anggap seperti keluarga sendiri." 
Giliran Syafiq pula sedikit terkejut mendengarnya. Dia tidak menyangka gadis secantik itu selalu ke Jelebu dan mempunyai keluarga angkat di sana. Mungkin pertemuan ini ada rahmatnya. Bisik hati Syafiq. 
" Bagaimana saudari boleh mendapat keluarga angkat di tempat saya?." Tanya Syafiq inginkan kepastian. 
Menurut Aghata, dia pernah mengikuti program masuk ke desa yang dianjurkan oleh pihak Universiti. Untuk menjayakan program yang bertujuan untuk mendekatkan mahasiswa dengan penduduk luar bandar itu, diadakan sesi penyerahan keluarga angkat. 
" Ayah angkat saya seorang Pak Haji. Dia imam masjid," kata Aghata sambil ketawa. " Saya sayang pada keluarga angkat saya kerana mereka melayan dengan baik setiap kali berkunjung ke rumah mereka." 
Menurut Aghata, setiap kali dia berkunjung ke rumah keluarga angkatnya, dia berpakaian baju kurung dan bertudung. Kalau di bulan Ramadan dia sama-sama berpuasa. Cuma dia tidak dibenarkan bersama untuk sembahyang berjemaah. " Mereka tidak pernah menghasut saya memeluk agama Islam," katanya. 
" Siapa nama ayah angkat saudari dan apakah nama kampungnya. Mungkin saya kenal," tanya Syafiq pula. 
" Haji Talib, rumahnya di Simpang Pertang," jawab Aghata. 
" Saya tak mengenalinya kerana rumah saya di Kuala Klawang jaraknya kira-kira 25 kilometer." 
" Saya pernah ke pekan Kuala Klawaang bersama keluarga angkat. Ia sebuah pekan kecil yang kelihatan sunyi apabila waktu malam. Terus terang saya katakan, saya suka tinggal di Jelebu kerana ia mengingatkan saya kepada negeri saya." 
" Saudari memang berasal dari Serawak?" tanya Syafiq inginkan kepastian. 
Menurut Aghata, dia berketurunan Iban. Katanya, dia baru selesai menghabiskan pengajiannya di sebuah pusat pengajian tinggi di Kuala Lumpur. Kepulangannya kini membawa kejayaan yang pastinya akan membanggakan keluarganya. 
" Ayah dan ibu saudari tak datang pada hari konvokesyen?" tanya Syafiq lagi. 
" Saya pasti menangis kalau mereka tak hadir. Cuma mereka tidak dapat tinggal lebih lama di Kuala Lumpur kerana perbelanjaannya mahal. Tambahan pula ayah saya tidak selesa tinggal di bandar. Sebab itu mereka balik lebih dulu dari saya." 
Perbualan mereka terganggu apabila Pramugari jelita yang tadinya menyambut kedatangan penumpang di muka pintu pesawat kini datang sambil menolak troli yang membawa pelbagai jenis minuman. Walaupun tekak masih belum berasa haus tambahan pula pendingin udara yang sejuk dalam pesawat, namun Syafiq tidak akan menolak bila dihidangkan minuman. 
" Minuman panas atau sejuk?" tanya Pramugari masih dengan sikap ramahnya. Mungkin itulah disiplin yang telah diterapkan kepada setiap Pramugari agar bersikap ramah dan bermurah dengan senyuman. 
" Beri saya oren jus," jawab Aghata sambil membuka tali pinggang keselamatan kerana pesawat telah stabil apabila berada di ketinggian 10,000 meter dari paras laut. 
" Beri saya air kosong sahaja," kata Syafiq sebelum sempat Pramugari bertanya. 
Mereka menikmati minuman pilihan masing-masing. Sambil meneguk air yang jernih itu, Syafiq sempat memerhati ke arah para penumpang dalam pesawat. Ada yang sedang berbual, ada yang termenung sendirian dan ada pula yang terlena di tempat duduk masing-masing. 
"Kenapa saudara minum air kosong saja?. Ada penyakit barangkali?" Ternyata gadis di sebelahnya tidak memberi ruang untuk Syafiq mengelamun sendirian. 
" Bukan kerana penyakit atau pantang larang tapi sudah jadi kebiasaan saya minum air kosong sahaja," kata Syafiq cuba menjelaskan kebiasaannya. 
" Kalau saudara berkunjung ke rumah saya dihidangkan air yang manis adakah saudara akan menolaknya?" tanya Aghata sambil memandang tepat ke wajah Syafiq. 
" Saya akan meminumnya sebab bukan kerana penyakit atau pantang larang. cuma kalau diberi pilihan saya lebih suka air suam sahaja," jawab Syafiq berterus terang. 
" Barangkali Saudara juga menjauhi minuman keras?" 
" Minuman yang memabukkan itu ditegah oleh agama Islam. Saya memang tidak pernah menyentuhnya." 
" Saudara juga tidak merokok barangkali?" 
" Iya saya tidak merokok. Walau di kata hilang satu nikmat namun saya rasa bangga kerana tidak merokok." 
Aghata terus merenung wajah anak muda di sebelahnya seolah sedang mencari kepastian. Air mukanya yang jernih dengan matanya yang bercahaya serta bibir yang kemerahan membuktikan kebenaran pengakuannya. Di zaman ini memang payah ditemui pemuda yang tidak merokok dan tidak minum arak apatah lagi di kalangan masyarakat Iban. Ketagihan arak dan kecanduan rokok seolah wabak yang sukar untuk dikawal. 
" Bagaimana pula dengan saudari?. Maksud saya ada pantang larang dalam minuman?" giliran Syafiq pula tidak memberi ruang untuk anak gadis itu mengelamun. 
" Saya pantang jumpa oren jus mesti nak minum!" jawab Aghata sambil ketawa. 
" Patutlah kulit saudari nampak halus dan wajah nampak berseri," balas Syafiq dan mereka sama-sama ketawa. 
Syafiq berasa senang dengan gadis itu. Dia bukan sahaja cantik malah mudah mesra dan bijak berkata-kata. Lidahnya juga fasih menyebut bahasa Melayu mungkin kerana pergaulannya di kampus. Mereka terus berbual dari satu topik ke satu topik yang lain. Walaupun baru berkenalan namun antara mereka sudah wujud kemesraan. 
Tidak lama kemudian Pramugari datang sekali lagi sambil menolak troli yang sarat dengan makanan tengah hari untuk dihidangkan kepada penumpang dalam pesawat itu. 
" Lauk ikan, daging atau sayur?" tanya Pramugari kepada Syafiq. 
" Saya suka daging dan kawan saya ini gemar ikan," jawab Syafiq lalu menyambut trey yang berisi makanan. Satu diberikan kepada Aghata dan satu lagi untuk dirinya. 
" Macam mana saudara tahu saya suka ikan?" tanya gadis itu lalu menyuap makanan ke mulutnya. 
" Naluri saya yang mengatakan begitu." 
" Wow hebatnya naluri saudara dapat meneka dengan tepat lauk kegemaran saya." 
Syafiq ketawa senang hati mendengarnya. Dia tahu lauk yang dihidangkan cuma ayam, ikan atau sayur sahaja. Dia sengaja memilih Ayam dan untuk Aghata dipilihnya ikan. Sekiranya Aghata suka ayam dengan senang hati dia akan mengambil ikan sebab kedua jenis lauk itu menjadi kegemarannya. 
" Boleh saudara teka sekali lagi?" tanya Aghata sengaja ingin menduga Syafiq. 
" Teka apa?" balas Syafiq. Dia sedar gadis itu cuba memerangkapnya 
" Minyak wangi jenama apa yang paling saya suka?" 
" D’Amor dari Mexico!" 
" Wow hebatnya!" 
Aghata semakin kagum dengan kebolehan Syafiq meneka dengan tepat.. Bagi Syafiq, itu bukan sesuatu yang sukar kerana bau minyak wangi yang dipakai oleh gadis itu serupa dengan minyak wangi yang dipakai oleh Azura. 
" Saya suka ikan kerana tidak ada kolestrol," kata Aghata sambil menikmati sajian kegemarannya. 
" Saya suka daging kerana fungsinya memberi tenaga," balas Syafiq pula. 
" Ada satu soalan yang belum saya tanyakan kepada saudara. Apa tujuan saudara ke Sibu?" tanya Aghata seolah cuba mengalih tajuk perbualan. 
" Saya bertukar tempat bertugas ke Serawak. Saya berasa seronok dengan pertukaran ini kerana belum pernah sampai ke Bumi Kenyalang." 
" Oh yer ke?. Saya ucap selamat datang bertugas di Bumi Kenyalang. Semoga saudara akan menyukai negeri kami." 
" Pasti saya suka." 
" Boleh saya tahu saudara kerja apa dan bertugas di manna?" 
" Pengurus ladang dan saya akan bertugas di Tanah Rancangan Felcra Naga Setia di Sibu." 
" Oh Tuhan…" 
" Kenapa?" 
Aghata tidak menjawab. Dia seperti sedang menyembunyikan sesuatu dan ini menimbulkan tanda tanya di hati Syafiq. Kenapa dia terkejut bila mendengar nama Naga Setia?. Mungkinkah dia berasal dari sana?. Kalau benar alangkah baiknya… 
" Apakah saudari berasal dari Naga Setia?" Syafiq benar-benar inginkan kepastian. 
" Saya memang terkejut bila mendapat tahu saudara akan bertugas di Naga Setia. Namun saya bimbang saudara tidak akan menyukainya kerana daerah tersebut jauh di pedalaman. Saudara pasti tidak betah bertugas di sana." 
" Kenapa?. Teruk sangatkah tempat itu?" 
" Letaknya jauh di pedalaman dan tidak ada kemudahan seperti di tempat saudara. Saya rasa saudara akan kesunyian dan pastinya tidak akan bertahan lama bertugas di sana." 
" Itu bukan satu masalah kerana saya boleh menyesuaikan diri." 
" Masyarakat di sana terdiri dari orang-orang Iban yang pastinya berbeza cara hidup dan adat resamnya. Mereka juga bukan beragama Islam." 
" Perkara itu sudah dimaklumkan oleh majikan saya." 
" Kehidupan masyarakat Iban agak berbeza dengan masyarakat Melayu. Saudara pasti berasa terasing nanti." 
" Janganlah nak menakutkan saya kerana saya datang untuk berkerja, bukannya bersukaria. Saya diberi tanggung jawab untuk memajukan tanah dan meningkatkan taraf hidup peserta." 
" Saya menceritakan perkara yang benar agar saudara tidak terperanjat bila sampai kesana nanti." 
" Nampaknya saudari banyak tahu darihal Naga Setia. Mungkinkah saudari berasal dari sana?" 
Aghata tidak menjawab. Cuma senyumannya semakin melerek. Gadis itu semakin menimbulkan pelbagai persoalan di hati Syafiq. Banyak persoalan yang belum terjawab. 
" Saya berasa bertuah kalau saudari tinggal di sana." Kata Syafiq cuma memancing jawapan. 
" Bertuah?. Apa maksud saudara?" 
" Saya sudah ada kenalan di kalangan orang tempatan. Sekiranya ada masalah, sudah ada tempat untuk saya mendapat pertolongan." 
Syafiq teringat pesanan emaknya. Menurutnya, apabila sampai di Serawak nanti carilah kenalan kerana kenalan itu penting bagi setiap orang yang merantau. 
" Saya bukan orang Islam," pengakuan gadis itu tidak memeranjatkan Syafiq. Dia juga sudah dimaklumkan kebanyakan masyarakat Iban bukan beragama Islam. Namun itu bukan halangan untuk dia bergaul dengan mereka. 
" Agama saya menyuruh berbuat baik kepada semua manusia. Saudari tentu faham, bukan?" 
" Saya faham kerana biasa bergaul dengan rakan-rakan beragama Islam ketika di universiti. Cuma saya bimbang saudara tak tahan dengan kerenah kaum saya di rumah panjang." 
" Maksud saudari, mereka tidak senang dengan kehadiran saya?" 
" Janganlah salah sangka sebab sebelum saudara datang sudah ramai pegawai yang berkerja di tempat kami." 
" Habis itu apa masalahnya?" 
" Kebanyakan mereka terikut-ikut cara kami. Bimbang saudara juga akan serupa dengan mereka." 
" InsyaAllah saya tidak seperti mereka sebab saya mendapat pendidikan agama sejak kecil. Ibu dan bapa saya mendidik supaya menjadi orang yang baik." 
" Apakah mereka tidak mendapat pendidikan agama yang baik?" 
" Saya tak tahu sejauh mana perkara yang telah mereka lakukan atau saudari yang emosi." 
" Saudara tahu tak?" tanya Aghata. Dia memandang tepat ke muka Syafiq. " Ada yang sudah berkahwin mengaku bujang supaya dapat memperdayakan anak-anak gadis Iban. Apabila berlaku sesuatu mereka ditinggalkan." 
Syafiq mengalihkan pandangan ke luar jendela. Langit membiru dan angkasa kelihatan kosong. Tidak ada pemandangan yang menarik apabila pesawat berada di paras ketinggian yang maksima. Pesawat itu kini sedang menyeberangi Laut Cina Selatan dengan kelajuan 800 kilometer sejam. 
" Hei, apa yang sedang saudara fikirkan?" Syafiq sedikit terkejut. 
" Saya terkenang ayah dan ibu di kampung. Mereka pasti sedang merindui saya." 
" Mungkin juga teringatkan isteri atau kekasih?" 
" Saya masih bujang." 
Pesawat sedikit bergegar apabila ketingiannya diturunkan. Bumi Kenyalang nampak berbalam. Semakin rendah pesawat terbang, semakin jelas pemandangan. 
" Pesawat akan mendarat sebentar lagi. Siapa yang menunggu saudara di air port?" 
" Saya difahamkan memang ada yang akan menjemput saya di lapangan terbang. Cuma masalahnya antara kami belum kenal. Kalau nasib tidak baik kami tak bertemu." 
" Apa yang akan saudara lakukan jika perkara itu berlaku?" 
" Saya akan ikut saudari!" 
" Jangan kerana itu tidak mungkin." 
" Kenapa?" 
" Sudah ada seseorang yang sedang menunggu kepulangan saya di lapangan terbang. Dia akan cemburu kalau melihat saudara menemani saya. Kerana itu elok kita jangan berjalan beriringan apabila turun nanti dan jika bertemu buat tak kenal saja. Boleh tunaikan permintaan saya?" 
" Boleh," jawab Syafiq. " Mungkinkah yang menunggu itu suami saudari?" 
" Saya belum berkahwin." 
" Atau tunang?" 
" Kami belum bertunang." 
Kami?. Mungkin kekasihnya. Alangkah bertuahnya pemuda itu mendapat seorang gadis yang cantik. Pastinya kekasih gadis itu seorang pemuda yang kacak dan berjawatan tinggi. 
Kapal terbang selamat mendarat di lapangan terbang Sibu. Para penumpang dibenarkan membuka tali pinggang keselamatan. Selain itu mereka juga diminta untuk mempastikan tidak ada barang-barang yang tertinggal dalam pesawat. 
" Saudara masih belum menjawab pertanyaan saya," Syafiq meninggikan suaranya untuk mengatasi dengongan di telinga semasa pesawat mendarat. 
" Saya dah lupa. Ulangi semula soalan saudara." 
" Saudara tinggal di mana?" 
" Saudara akan tahu apabila sampai di Naga Setia. Jangan lupa cari saya jika ada apa-apa masalah di tempat kerja saudara." 
" Boleh kita terus berkawan?" 
" Boleh apa salahnya. Namun saudara mesti berhati-hati takut nanti ada yang cemburu." 
" Siapa yang cemburu?" 
" Buah hati saudara!" 
Syafiq ketawa mendengarnya. Hatinya cukup senang dengan gadis Iban yang baru dikenalinya. Dia bukan sahaja memiliki wajah yang menawan tapi juga bijak berkata-kata. 
Kapal terbang selamat mendarat. Para penumpang dibenarkan turun dari pesawat. Namun Syafiq tidak mahu tergesa-gesa. Dia membiarkan penumpang lain yang turun dahulu. 
" Saya pergi dulu. Semoga kita bertemu lagi." Kata Aghata lalu berdiri mengambil beg di rak pesawat. Syafiq membantunya menurunkan beg itu. 
" Saya memang berharap kita akan berjumpa lagi," balas Syafiq pula. 
Di luar cuaca cerah dengan suhu 38 darjah celcius. Cuaca bulan Mei panas memijar. Bumi Kenyalang turut membahang dimamah mentari. 


12. GERUH  
Oleh: Abdul Latip Talib

Pagi itu ketika cuaca baru terang-terang tanah dan embun masih basah di hujung rumput, Mandar Tuai Pasong sudah turun ke tanah lalu menuju ke hutan yang terletak di belakang kawasan rumah panjang Setia Naga. Dengan hanya berkaki ayam, berseluar pendek dan bersenjatakan sebilah parang panjang, dia meredah semak belukar dengan semangat yang tidak pernah luntur. Tangan kanannya menggenggam erat parang panjang dan sesekali parang itu dilibas ke kiri dan ke kanan mencantas anak-anak kayu di lorong yang dilaluinya. Apabila berasa penat dia berhenti berehat di bawah se pohon Ara sebesar pemeluk sambil membuang pandangan ke puncak Gunung Santubung yang nampak berbalam diselaputi kabus. Gunung yang tersergam megah itu menjadi lambang keteguhan semangatnya. Dia tidak akan berganjak dari keputusan yang telah diambilnya dan itu adalah muktamad. 
" Aku tak akan benarkan anak kita berkahwin dengan pemuda Melayu itu. Keputusan aku adalah muktamad. Dan kau tidak boleh membantahnya!" dia teringat kata-kata yang dihamburkan kepada Bulan, isterinya malam tadi. 
" Saya bukan nak membantah. Cuma ingin kepastian sahaja. Kenapa abang tak setuju?. Adakah kerana Syafiq itu Islam?. Bukan tak pernah gadis Iban memeluk Islam kerana berkahwin dengan orang Melayu. Kalau mereka sudah suka sama suka, biarkan saja mereka berkahwin." 
" Aku bantah bukan saja kerana dia Islam tetapi hendak menjaga keturunan kita. Awak bukan tidak tahu, anak kita hanya Aghata seorang. Sekiranya dia berkahwin dengan orang Melayu habislah keturunan kita. Aku nak keturunan keluarga kita dipertahankan. Kerana itu Aghata mesti berkahwin dengan Ambing. Bukan Syafiq. Tambahan pula kita sudah berjanji hendak mengahwinkan mereka sejak kecil." 
Bulan tidak berkutik lagi. Walaupun dia berasa belum puas lagi meluahkan apa yang tersirat di hatinya namun apalah gunanya kerana dia tahu sikap suaminya yang pantang di sanggah kata-katanya. Tambahan pula adalah satu kesalahan dalam masyarakat Iban bila isteri membantah kemahuan suami. 
" Abang juga menentang usaha pengurus ladang itu hendak membuka hutan untuk di tanam pokok kelapa sawit?" tanya Bulan cuba mengalih tajuk perbualan. 
" Hutan itu menjadi tempat berkumpul roh-roh nenek moyang kita yang telah mati. Hutan itu juga tempat aku dan kawan-kawanku berburu babi, pelanduk, kijang dan sebagainya. Di situlah kami mencari rezeki. Kalau hutan ini dimusnahkan, roh-roh nenek moyang akan menyumpah.Kalau kawasan ini diratakan semua binatang akan lari kerana tidak ada tempat untuk bersembunyi. Kerana itu aku tidak setuju dengan cadangan tersebut. Kawasan hutan itu tidak boleh dimusnahkan. " 
Kata-kata itu bukan saja perlu dipahatkan ke hati isterinya malah kepada semua penghuni rumah panjang Naga Setia. Dia mahu kata-kata itu dipahatkan di dada masing-masing agar mereka bersatu padu mempertahankan hak mereka. Cukuplah setakat 100 hektar sahaja kawasan tanah milik mereka yang di penuhi pokok rumbia telah dimusnahkan untuk diganti dengan pokok kelapa sawit. Dia tidak akan membenarkan projek itu diluaskan lagi. Cukup sekadar yang sudah ada. 
" Tanah di kawasan itu memang sesuai dengan tanaman pokok Kelapa Sawit. Tengoklah projek percubaan kami di kawasan seluas 100 hektar itu telah berjaya. Pokok Kelapa sawit tumbuh subur dan tidak lama lagi akan mengeluarkan hasil. Kerana itu kami bercadang hendak membuka kawasan hutan itu untuk diusahakan dengan tanaman pokok Kekapa Sawit. Tanaman itu lebih menguntungkan berbanding pokok sago " 
Kata-kata yang diucapkan oleh anak muda itu membuat mandar Tuai Pasong tidak lena tidur. Terbayang di matanya hutan yang menjadi kesayangannya itu dimusnahklan. Pohon-pohon kayu sepemeluk, dua pemeluk dan tiga pemeluk akan tumbang menyungkur bumi. Malah anak-anak kayu sebesar jari kelingking juga akan turut musnah. Itulah yang paling menakutkannya. Dia tidak sanggup melihat hutan yang menjadi nadi kehidupannya itu dimusnahkan. 
" Mereka bukan hendak memusnahkan hutan. Tetapi hendak menanam pokok kelapa sawit yang lebih menguntungkan. Hasil dari tanaman itu akan dijual dan keuntungannya diserahkan kepada kita. Kerana itu kita mesti beri sokongan kerana projek itu bertujuan untuk meningkatkan taraf ekonomi masyarakat Iban di sini. Kerajaan tidak mahu kaum Iban ketinggalan dalam arus pembangunan. Kaum Iban di Naga Setia mesti maju seperti kaum-kaum lain di negara ini." 
Kata-kata Aghata itu turut terngiang di telinganya dan menambah rasa cemas di hatinya. Antara kata-kata Syafiq dengan kata-kata Aghata silih berganti. Baginya kata-kata itu terlebih lagi kata-kata anak perempuannya yang disuruh belajar tinggi-tinggi itu hanyalah untuk mematahkan semangat juangnya. Dia tidak akan tersihir dengan kata-kata tersebut. Sebagai penolong tuai rumah panjang dia mesti berpendirian teguh, seteguh Gunung Santubung. 
" Apabila hutan itu di musnahkan, semua binatang akan lari. Kemajuan apa namanya kalau kita tidak dapat lagi menjerat babi atau pelanduk?. Kemajuan apa namanya kalau kita kehilangan sumber rezeki?. Sanggupkah kalian kehilangan hutan yang kita warisi dari datuk nenek moyang kita dahulu?". 
Dia perlu mendapatkan sokongan dari semua penghuni rumah panjang Naga Setia. Tanpa sokongan padu dari mereka maka hutan yang menjadi lambang kecekalan hati orang-orang Iban itu akan dimusnahkan. Berpuluh jentolak akan dihantar untuk membaham pokok-pokok di hutan itu. Monyet, tupai, burung dan semua binatang hutan akan lari jauh ke tengah belantara. Kerana itulah dia tidak rela perkara itu terjadi. Dia sanggup mempertahankan hutan itu walau terpaksa bergadai nyawa. 
" Di zaman moden ini kita tidak boleh lagi bergantung hidup kepada hasil di hutan sahaja. Tambahan pula pihak kerajaan sudah melarang kita memburu binatang di hutan kerana haiwan tersebut dilindungi oleh akta pemuliharaan haiwan liar. Sesiapa yang engkar boleh di tangkap dan di dakwa ke mahkamah." 
Dia hairan kenapa anaknya sendiri tidak menyokongnya?. Sepatutnya Aghata orang pertama yang memberi sokongan dan sanggup bersama mempertahankan hutan itu. Apakah Aghata sudah lupa hasil dari hutan itulah yang membesarkan dia. Rezeki yang dia dapat dari hutan itulah yang digunakan untuk menyekolahkan Aghata hingga sampai ke Universiti?. 
" Aku cakap lain kau cakap pasal lain. Inilah akibatnya kalau hantar anak belajar tinggi-tinggi akhirnya jadi besar kepala. Sepatutnya kau menyokong cakap ayah bukan membantah. Sia-sia sahaja Apai hantar kau belajar sampai ke Universiti!" 
Dia harap Aghata akan sedar dengan terjahan kata-katanya yang tajam itu. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Anak kesayangannya itu masih tidak memahaminya. Kata-kata yang keluar dari mulut anaknya masih mengundang permusuhan. 
" Kerajaan tidak mahu masyarakat kita terus menerus hidup dalam kemiskinan. Makan dan minum kita tak menentu. Masih ramai kanak-kanak yang kekurangan zat kerana tidak mendapat makanan yang seimbang. Begitu juga dengan taraf kesihatan kita masih jauh ketinggalan berbanding kaum lain." 
" Kenapa selama ini mereka tidak ambil peduli tentang kita?. Kita makan atau tidak, kita sakit atau sehat, kita berpanas atau berhujan, mereka lansung tak ambil peduli. Kenapa sekarang?" 
" Corak pemerintahan sekarang sudah berubah. Kerajaan yang ada sekarang lebih prihatin dengan nasib rakyat. Mereka memang bersungguh-sungguh berkerja untuk rakyat bertujuan membela nasib rakyat kerana mereka dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya." 
Pilihan raya?. Mandar Tuai Pasong tersenyum sinis bila mendengarnya. Baginya pilihan raya hanya datang 5 tahun sekali. Musim wakil rakyat datang menunjuk muka meraih simpati supaya keluar mengundi. Dan biasanya selepas pilihan raya mereka hilang entah kemana. 
" Perdana Menteri kita sekarang sudah beri amaran kepada semua wakil rakyat supaya berkerja untuk membela nasib rakyat. Mereka yang tidak menjalankan tugas akan diambil tindakan. Kerana itulah sekarang mereka berkerja siang dan malam untuk membela nasib rakyat." 
" Apai tak akan berganjak walau setapak pun ke belakang. Hutan itu tetap Apai pertahankan. Dan kau jangan lupa bahawa hutan itulah yang menghidupkan kita selama ini. Apai membesarkan kau melalui hasil dari hutan itu." 
Sinar matahari mula menembusi daun-daun kayu di sekitar kawasan hutan itu. Mandar Tuai Pasong merenung sekali lagi puncak Gunung Santubung yang menjadi lambang kegagahan kaumnya. Kini gunung itu akan menjadi saksi di atas perjuangannya mempertahankan hutan itu. Dia meneruskan langkahnya. Kaki berkematu tebal itu diayun mengikut permukaan tanah yang dipijaknya. Kadang-kadang terasa kaki kematu tebalnya memijak permukaan tanah yang rata. Ada kalanya pula terasa berpijak di tanah yang tinggi. Sesekali apabila kakinya tersandung pada tunggul kayu atau tersangkut pada akar liar yang menjalar, langkahnya tersekat. Tubuh tua yang berusia 70 tahun itu terhuyung hayang hampir menyembah bumi. Namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus meredah hutan belantara itu.Sejak dia kecil hutan itu adalah dunianya. Segala ceruk hutan itu telah diterokanya. Di hutan itulah dia mewarisi kemahiran menjejak binatang buruan atau memasang perangkap babi, pelanduk atau yang lebih besar seperti rusa atau seladang. 
Dia terasa baju yang dipakainya lencun oleh peluh. Mukanya berminyak dan sudah berkali-kali dikesat dengan tuala kusam yang dibawanya. Nafasnya kini mula termengah-mengah. Namun Kaki berkematu tebal itu terus dihayunnya. Tetapi pergerakannya kian lemah dan tidak lagi tersusun. Permukaan tanah dirasakan tinggi rendah. Terasa benar kudrat mudanya sudah hilang yang tinggal cuma tenaga tua yang semakin layu. Pun begitu dia tetap tidak akan mengalah. Dengan sisa-sisa tenaga yang masih ada itulah dia akan terus memperjuangkan haknya. 
Pada mulanya dia menyangka projek tanaman Kelapa Sawit itu cuma seluas 100 hektar sahaja. Kerana itu dia bersetuju bila pihak Felcra hendak memajukan tanah terbiar yang terdapat di sekitar kawasan rumah panjang itu. Tambahan pula sebelum itu pihak kerajaan sudah berkempen supaya tanah terbiar yang tidak mampu diusahakan sendiri oleh pemiliknya hendaklah diserahkan kepada ejensi kerajaan untuk memajukannya. Akibat projek yang disokongnya itu, semua pokok Sagu atau rembia di tanah tersebut habis ditebang. Walaupun pada mulanya ada juga anak-anak buahnya yang menentang kerana pokok sagu itu berguna kepada mereka, tetapi dia berjaya memujuk mereka dengan alasan menyahut seruan kerajaan untuk memajukan tanah-tanah terbiar. Tambahan pula itu cuma projek percubaan sahaja. Jika tidak berjaya, mereka boleh menanam semula pokok rembia di kawasan tersebut. 
Memang tidak dapat dinafikan projek percubaan tanaman kelapa sawit itu telah berjaya. Kawasan yang dulunya semak belukar yang hanya ditumbuhi pokok-pokok sagu kini di hiasi dengan deretan pokok kelapa sawit. Pokok itu nampak subur dan kabarnya tidak lama lagi akan mula mengeluarkan hasil. Dia juga berasa bangga kerana ramai anak-anak buahnya yang berkerja di ladang itu sebagai boroh. Dia berpendapat cukuplah sekadar 100 hektar sahaja tanah yang diusahakan dengan tanaman Kelapa Sawit. Buat apa nak ditambah lagi. Janganlah seperti beri betis hendakkan peha. Kerana itu bila ada cadangan hendak menebang kawasan hutan itu dia yang mula-mula membantah. 
Pada mulanya dia menyangka apabila dia tidak setuju maka pihak yang berkenaan membatalkan sahaja cadangan itu kerana dia adalah Mandar Tuai Rumah Panjang. Semasa ketiadaan Tuai dialah yang mengambil alih tanggung jawab itu. Sepatutnya apa kata dia mesti di dengar. Putih katanya maka putihlah jadinya. Kalau hitam katanya maka hitamlah jadinya. Itulah yang biasanya berlaku sejak turun temurun. 
Namun apabila dia membalik-balikkan semula segala percakapan anak-anak buahnya termasuk cakap anaknya sendiri, hati tuanya mula berasa kecut. Dia berasa amat tersinggung dan resah. Kuasanya sebagai penolong ketua Rumah Panjang mula tergugat. Sudah ada yang berani menyanggah kata-katanya. Suaranya tidak lagi digeruni. Kata-katanya sudah ada yang berani membantahnya. Paling menggerunkan hatinya apabila membayangkan kawasan hutan itu akan dimusnahkan. Pokok-pokok kayu sepemeluk dua pemeluk dan tiga pemeluk akan ditumbangkan. Kawasan hutan itu akan diratakan. Bukit-bukit yang memagari kawasan hutan itu akan digondolkan seperti kepala yang baru bercukur rambut. Paling dia kesal kerana anak dari darah dagingnya sendiri yang menyokong cadangan untuk memusnahkan kawasan hutan itu. Dia rasa menyesal hantar anaknya sekolah tinggi-tinggi. Terpaksa keluar duit yang banyak. Terpaksa menangung rindu bertahun-tahun kerana anaknya duduk di asrama. Tetapi bila sudah jadi pandai dia menentang cakap ayahnya sendiri. 
" Apai sudah tua. Elok berehat saja dan serahkan tanggung jawab itu kepada orang yang lebih muda. Mereka lebih berfikiran terbuka dan berpelajaran." 
Mahu saja dia menjerit sekuat hati bila mendengar kata-kata yang diucapkan oleh anaknya itu. Dia mengemam dua ulas bibir tebalnya yuang sudah lisut itu. Kedut di dahinya membayangkan dia benar-benar sedang marah. 
Dia melihat jalur-jalur cahaya matahari semakin banyak menerobos celah-celah daun di sekitar kawasan hutan itu. Bunyi siamang bersahut-sahutan bagaikan irama yang begitu mengasyikkan. Namun dia semakin keletihan. Tambahan pula sudah tiga perangkap yang dilawatinya masih belum mengena. Kemanakah perginya binatang hutan itu?. Dia mengomel sendirian. Terasa ada gigitan di celah jari kaki. Apabila dia tunduk memeriksa kelihatan tiga ekor pacat sedang enak menghisap darahnya. Dengan pantas pacat-pacat itu dicabut dari jari kakinya lalu di cencang dengan parang panjangnya. Dia membayangkan pacat-pacat itu adalah mereka yang datang hendak memusnahkan kawasan hutan itu. Mereka diibaratkannnya seperti lintah yang ingin menghisap darah. 
Mandar Tuai Pasong sampai di kawasan yang agak tinggi. Dari situ dia dapat menghalakan pandangannya ke arah ladang Kelapa Sawit yang nampak di kejauhan. Dulu kawasan itu penuh dengan pokok Sagu yang menjadi makanan mereka sejak turun temurun. Di celah pokok-pokok Sagu itu di tanam pokok lada, terung dan berbagai lagi. Itulah tanaman turun temurun masyarakat Iban di kawasan itu. Walaupun tidak banyak pokok yang ditanam tetap mengeluarkan hasil. Tetap menjadi sumber rezeki masyarakat Iban sejak zaman dahulu. Tetapi kini pokok Sago itu sudah tidak ada lagi. Yang ada cuma pokok kelapa sawit yang buahnya tidak boleh dimakan. 
Kaki kematu tebal yang disalut tanah lecak itu dihayun lagi. Dia cuba sedaya upaya untuk mempercepatkan langkahan kakinya. Jerat-jerat yang dipasangnya perlu diperiksa dengan segera. Langkahnya kian panjang ketika menuruni denai yang ditumbuhi pokok mensiang dan keladi hutan. Selalunya jerat di kawasan itu mengena sebab kawasan itu tempat babi lalu lalang memcari makan. Namun dia berasa hampa bila mendapati jerat itu juga kosong. 
" Kalau Apai dah ada duit tak payah lagi menjerat babi di hutan. Dengan duit itu Apai boleh ke pekan membeli apa saja yang Apai mahukan. Di pasar semuanya ada. Ikan, daging dan sayur semuanya lengkap. Apai tak perlu lagi meredah hutan tebal itu setiap hari." 
Dia cuba mencari kebenaran kata-kata anaknya itu. Memang betul, kalau banyak duit semua boleh dibeli tetapi adakah dia akan dapat banyak duit kalau membenarkan kawasan hutan itu dimusnahkan?. Projek tanaman Kelapa Sawit seluas 100 hektar itu telah berjaya. Tetapi apa yang dia dapat dari projek tersebut?. Menunggu keluar hasil entah bila. Mana tahu apabila buah itu dijual nanti duitnya masuk ke poket orang lain. 
" Apai sudah tua. Duduk berehat sajalah di rumah.Buat apa nak bersusah payah meredah hutan belantara untuk mencari rezeki yang belum tentu dapatnya." 
" Siapa kata Apai sudah tua?. Apai masih kuat. Masih mampu meredah hutan belantara. Masih mampu menjerat babi. Kelmarin bila Apai dapat seekor babi, Apai kandar babi itu seorang diri dari hutan hingga ke rumah panjang. Itu buktinya Apai masih bertenaga. " 
Jerit pekik monyet yang bergayut-gayutan dihujung dahan mengejutkan Mandar Tuai Pasong. Dia rasa terhibur lalu mendongakkan kepalanya untuk menyaksikan drama kejar mengejar lompat melompat sekumpulan monyet itu. Memang benar dia berasa terhibur menyaksikan telatah monyet-monyet itu. Tiba-tiba dilihatnya semua monyet-monyet itu berhenti melompat lalu menyeringai menunjukkan taring ke arahnya. Dia berasa seperti monyet-monyet itu sedang mengejeknya. 
" Mandar Tuai memang dah tua tak mampu lagi mempertahan kan hutan ini. Kalau hutan ini dimusnahkan bukan kami saja yang kehilangan tempat tinggal, Mandar Tuai juga kehilangan rezeki kerana tidak ada tempat lagi untuk berburu.’ 
"Aku berjanji akan pertahan hutan ini. Tidak sesiapa yang boleh memusnahkannya. Percayalah. Aku berjanji akan pertahankan milik kita ini!" 
Mandar Tuai Pasong seolah sedang berbicara dengan pokok-pokok dan monyet-monyet. Namun tidak ada yang memahami kata-katanya. Dia berasa penat lalu bersandar ke sebatang pokok sebesar sepemeluk. Mungkin pokok itu seusia dengannya. Kalau hutan itu di musnahkan maka pokok yang besar itu juga akan musnah. Dia teringat kata-kata seorang pelancong orang puteh yang pernah berkunjung ke rumah panjang. 
" Mereka beriya sangat hendak membuka hutan itu kerana hendak mengambil kayu balaknya. Yang mengaut keuntungan nanti ialah taukeh-taukeh balak dan pegawai-pegawai kerajaan bukannya kaum Iban. Sepatutnya kamu mesti menentang usaha untuk memusnahkan kawasan hutan semula jadi ini. ia sesuatu yang amat bernilai bagi kamu dan generasi kamu. " 
Mandar Tuai Pasong teringat pula kata-kata Ah Seng yang selalu datang ke rumah panjang membeli lada atau apa saja hasil tanaman orang-orang Iban untuk dibawanya ke pekan. Sebagai peraih dia mendapat keuntungan sebagai orang tengah. 
" Apabila hasil kelapa sawit itu di jual di kilang yang mengaut untung ialah taukeh besar. Pegawai besar. Orang-orang Iban akan menggigit jari," begitu pendapat Ah Seng. 
Seorang pelancung yang mengaku sahabat alam sekitar pula mengatakan, apabila hutan itu ditebang cuaca yang sejuk akan bertukar panas kerana tidak ada lagi pokok-pokok kaya yang melindungi muka bumi. selain itu katanya lagi, batang oya, batang Igan dan semua batang-batang di sekitar kawasan itu akan tercemar kerana tanah lumpur akan turun dari bukit-bukit yang telah digondolkan. 
kata-kata yang diucapkan oleh mereka itu bertali arus kedengaran di telinganya. Ini menambahkan lagi kebenciannya kepada mereka yang cuba memusnahkan hutan kesayangannya itu. Dia terus meredah hutan dan menghayun tapak kakinya yang berkematu tebal. 
" Ngaummm!" 
Dia terkejut mendengar suara itu. Apa yang pasti itu bukan suara Aghata. Bukan suara Syafiq. Bukan suara pelancung orang putih. Suara itu tidak pernah didengarnya dalam jarak yang begitu dekat. 
Mandar Tuai Pasong membuka luas pandangannya. Dia memerhati kawasan sekitarnya dengan penuh debaran di dada. Dan bunyi mengaum itu bergema lagi. Kali ini semakin dekat. Ketika Mandar Tuai Pasong menoleh ke belakang dia terkejut apabila ternampak seekor harimau belang sebesar anak lembui jantan berada tidak jauh dari tempat dia berdiri. Mandar Tuai Pasong tiba-tiba berasa takut yang amat sangat. Keberaniannya cair apabila terserempak dengan haiwan yang ganas itu. Dia kini cuma ada dua pilihan. Lari menyelamatkan diri atau terpaksa berhadapan dengan raja rimba itu. 
" Kau bukan musuh aku dan aku bukan musuh kamu. Jangan ganggu aku dan pergi dari sini!" kata Mandar Tuai Pasong dengan nada suara penuh ketakutan. 
Namun harimau itu tidak memahami apa yang diucapkan oleh penolong tuai rumah panjang itu. Naluri haiwannya mengatakan, ketika perut lapar tidak boleh membiarkan rezeki yang ada di depan mata. Harimau itu berkisar lalu berjalan perlahan ke arah kiri. Mandar Tuai Pasong dapat mengagak harimau itu sememangnya berniat jahat hendak menjadikannya mangsa. Dia mengumpul kekuatan. Tanga kanannya kejap menggenggam parang panjang. Dia tidak ada pilihan lain. Demi untuk menyelamatkan nyawanya dia terpaksa bertarung dengan harimau itu. Dia berasakan semangat pahlawan Iban perlahan-lahan menyerap ke dalam tubuhnya. 
Sebaik saja harimau itu menerkam, dengan sekuat tenaga tuanya yang masih ada dia melibaskan parang panjang di tangannya ke arah harimau itu. Dia dapat lihat mata parang itu tepat mengenai bahagian kepala harimau. Namun tidak berjaya melukainya kerana berbulu tebal. Atau mungkin juga libasan parangnya tidak kuat. Dan Harimau itu bersedia untuk menerkam kali kedua. Baru kini dia sedar tenaga tuanya tidak mampu menghadapi harimau itu. Hanya dengan senapang patah sahaja harimau itu dapat ditewaskan. Kerana itu mustahil dia boleh membunuhnya kalau cuma bersenjatakan parang. 
Mandar Tuai Pasong mencuri pandang jika ada pokok yang boleh dipanjatnya. Namun pokok di sekelingnya besar belaka dan dia pasti tidak akan mampu memanjatnya. Ketika itu yang terlintas dalam fikiran Mandar Tuai Pasong ialah melarikan diri. 
Dia mengumpul segenap tenaga lalu melarikan diri dari harimau yang kelaparan itu. Baru beberapa langkah dia berlari, tiba-tiba dia terasa badannya di hempap oleh benda keras dari arah belakang. Tengkuknya seperti di cengkam oleh sesuatu. Dia cuba bangun tapi tidak berdaya. Dia cuba menjerit tapi suaranya tersumbat. Dan pandangannya gelap. 


13. HADIAH PALING BERHARGA 
Oleh: Abdullatip 

SEORANG wanita muda melangkah turun dari sebuah bas yang berhenti di sebuah pekan kecil di Jelebu. Dia menjinjing sebuah beg kecil sambil menapakkan kakinya berjalan menyusuri lorong yang bersambung dengan deretan rumah kedai. Di pekan kecil yang terletak jauh di pedalaman itu tidak ada yang menarik perhatiannya kecuali suasananya yang tenang, udaranya yang nyaman, dikelilingnya pohon-pohon kayu yang subur menghijau. Sengaja dipilihnya daerah yang terpencil itu dengan harapan dapat mengubati jiwanya yang terluka serta melupakan kemelut hidup yang melanda dirinya. Namun dia tidak pasti apakah kedatangannya diterima dengan baik oleh penduduk tempatan atau kehadirannya bagaikan makhluk asing yang tidak disenangi. Namun walau apapun risikonya dia pasrah. 
Wanita muda berpakaian seluar Jean dengan baju T tidak berlengan itu masuk ke sebuah kedai makan lalu mengambil tempat duduk. Dia memesan roti canai dan air kopi kegemarannya. Perut yang tadinya kosong kini sudahpun berisi. Dia berasa segar dan bertenaga semula. Timbul persoalan di hatinya, di manakah tempat hendak menginap?. 
Dia ingin bertanya sesuatu kepada lelaki India Muslim, tuan punya kedai makanan itu. Tetapi dia membatalkan hasratnya apabila sorang pemuda yang sebaya dengannya masuk lalu duduk di meja yang sama. Dia tidak tahu kenapa pemuda itu memilih tempat itu sedangkan masih banyak meja yang kosong kerana pelanggan dalam kedai itu tidak ramai. 
Ternyata kehadiran pemuda itu sama dengan kehadirannya kerana tidak siapa di situ yang pedulikannya kecuali pelayan yang datang bertanyakan menu. Mungkin pemuda itu juga orang luar. Begitu telahan wanita itu. Kalau tidak masakan tidak siapa dalam kedai itu yang menyapanya. 
Pemuda itu memesan Roti Canai dengan Air Kopi. Ternyata selera mereka ada persamaannya. Dia memandang sambil tersenyum namun pemuda itu bermuka selamba sahaja. Mungkinkah ada sesuatu yang tidak kena?. Antara mereka memang tidak pernah bertemu tetapi mahal sangatkah untuk membalas senyuman?. 
Namun dia hendak juga bertanyakan sesuatu kepada pemuda itu. Di manakah tempat hendak bermalam?. Di manakah tempat yang menarik untuk dilawati?. Dan banyak lagi maklumat daerah itu yang perlu diketahuinya. Namun dia membiarkan dulu pemuda itu menghabiskan makanannya. Tambahan pula dia seperti orang yang lapar menyuap makanan dan meneguk minuman tanpa menghiraukan orang lain. Atau pemuda berbadan gempal, berkulit sawo matang itu memang seorang yang pendiam. 
“ Nama saya Hawa,” kata wanita muda itu memperkenalkan dirinya. 
“ Saya Adam,” balas pemuda itu masih tunduk sambil mengunyah makanan. 
“ Saya seorang musafir. Boleh tunjukkan di mana letaknya hotel atau chalet yang sesuai untuk saya bermalam?” 
Kini barulah pemuda itu mengangkat mukanya memandang tepat ke arah muka wanita di depannya. Ternyata mereka memang tidak pernah saling mengenali. Terbetik rasa simpati di hati Adam. 
“ Di pekan kecil ini tak ada hotel atau chalet,” katanya. “Awak dari mana dan hendak ke mana?” 
Wanita itu berasa keberatan untuk berterus terang kerana dia tidak mahu orang lain tahu siapa dirinya. “ Rasanya tak perlu saya beritahu awak dari mana asal saya dan apa tujuan saya ke sini. Saya Cuma nak awak tunjukkan tempat yang sesuai untuk bermalam.” 
Ternyata pemuda bernama Adam itu berasa kurang senang mendengarnya. Dia kembali tunduk menyuap makanannya. Dia seolah ingin mengatakan, aku tidak akan menolong seorang wanita yang tinggi egonya. Melihat sikap dingin lelaki itu maka wanita bernama Hawa itu mula bersikap mesra. 
“ Maafkan saya kalau kata-kata saya tadi menyinggung.. Saya datang dari jauh. Di sini tidak ada sesiapa yang saya kenal. Saudara mara jauh sekali. Saudara tolong tunjukkan di mana tempat untuk saya bermalam.” 
“ Saya dah kata tadi di sini tak ada hotel atau chalet.” 
“ Tolonglah saudara. Saya perlukan tempat untuk bermalam.”. 
Pemuda itu termenung sejenak barangkali sedang memikirkan sesuatu. Kemudian dia merenung muka wanita itu seolah ingin mentafsir adakah dia boleh dipercayai?. 
“ Awak boleh bermalam di Masjid atau Surau. Kalau awak mahu saya boleh tolong hantarkan.” 
“ Sampainya hati awak suruh saya tidur di masjid seorang diri.” 
“ Selain tempat beribadat, masjid juga tempat musafir singgah bermalam.” 
“ Saya tak berani tidur di masjid seorang diri.”. 
“ Pilihan kedua. Awak boleh bermalam di rumah saya. Itupun kalau awak sudi kerana bilik tidur di rumah saya tidak seperti di hotel.” 
Ternyata wanita itu berasa serba salah untuk menerima atau menolaknya. Namun dia tidak ada pilihan. “ Pilihan kedua itu lebih baik dari pilihan pertama. Tapi saya bimbang apa kata isteri awak nanti.” 
“ Saya tak ada isteri dan saya sendirian di rumah itu.” 
Wanita itu seperti ingin ketawa. “ Awak janganlah nak bergurau dengan saya,’ katanya. 
“ Saya tak bergurau. Saya ikhlas.” 
“ Gila!”. 
“ Kalau begitu awak tidur saja di masjid. Tapi elok awak berhati-hati. . Kabarnya masjid itu selalu didatangi oleh makhluk jin. Pernah seorang musafir yang bermalam di masjid itu, bila tersedar pagi esoknya dia berada dalam bilik air.” 
“ Mungkin dia mengigau lalu berjalan ke bilik air.” 
“ Dia diangkat oleh makhluk Jin lalu dipindahkan ke bilik air.” 
Wanita itu berasa takut mendengarnya. Dia melihat jam di tangannya hampir pukul 7 malam. Sebentar lagi senja akan menjelma. Dia tidak ada pilihan. “ Okeylah, saya terima cadangan awak yang kedua.” 
“ Awak jangan buruk sangka kerana saya ingin menolong secara ikhlas. Kebetulan di rumah saya ada bilik kosong. Awak boleh bermalam di situ.” 
“ Terima kasih. Tapi saya tak mahu menumpang secara percuma. Berapa sewa bilik itu akan saya bayar.” 
“ Awak tak perlu bayar apa-apa kerana awak akan jadi tetamu di rumah saya. Tetapi untuk selama tiga hari sahaja. Selepas itu awak bukan lagi tetamu saya.” 
“ Maknanya saya akan dihalau pada hari yang ke empat?” 
“ Awak akan dikenakan bayaran pada hari yang ke empat dan seterusnya.Tapi saya yakin awak tak akan selesa tinggal lama di rumah saya. Mungkin awak Cuma tahan semalam saja.” 
“ Bagaimana pula dengan jiran tetangga?. Tidakkah nanti timbul syak wasangka atau mungkin juga fitnah?” 
“ Rumah saya agak terpencil. Tidak siapa tahu awak ada di rumah saya kecuali kalau awak keluar.” 
“ Awak mahu saya berkurung dalam rumah awak siang dan malam?” 
“ Kalau begitu awak tidur saja di Masjid. Itu lebih selamat.” 
Akhirnya mereka mencapai kata sepakat. Wanita itu bersetuju bermalam di rumah Adam, lelaki yang baru saja dikenalinya. Lelaki itu juga sanggup menerima wanita itu sebagai tetamu di rumahnya walaupun dia tahu berbagai risiko yang akan dihadapinya. Dan sebelum mereka keluar dari kedai makan itu, Adam membayar harga makanan termasuk kepunyaan wanita itu. 
“ Kenderaan saya Cuma sebuah motoisikal buruk. Kalau awak sudi boleh membonceng di belakang atau awak berjalan kaki saja ikut arah saya.” 
Sekali lagi wanita itu berasa serba salah. Tetapi akhirnya dia terpaksa juga membonceng di belakang motosikal Adam kerana tidak sanggup berjalan kaki. Tambahan pula dia tidak pasti berapa jauhkah rumah lelaki itu. 
Bermalam di rumah lelaki yang tidak dikenali memang sesuatu yang menakutkan. Berbagai sangkaan yang buruk melanda fikirannya. Namun apalah yang perlu ditakutkan lagi kerana dia pernah berasa putus asa untuk meneruskan kehidupan. Malah pernah dia berfikir untuk menamatkan riwayat hidupnya dengan menelan berpuluh biji pil tidur. 
Dan pada malam itu untuk pertama kali dalam hidupnya, dia bermalam di sebuah rumah yang sederhana besarnya terletak jauh di kawasan pedalaman. Ketika dia membaringkan dirinya di atas katil yang lengkap dengan tilam, bantal dan selimut, kedengaran suara lelaki itu membaca ayat suci al Quran. Dia berasa tenang dan terlena. 
Tiba-tiba dia terjaga apabila terdengar pintu bilik tidurnya di ketuk berulang kali. Ketukan pada pintu bilik itu masih kedengaran. Walaupun nada ketukan itu tidak keras namun mengganggu emosinya. Tambahan pula dia berasa letih dan mengantuk. Pada mulanya dia berharap ketukan itu akan berhenti apabila dia tidak memberikan apa-apa reaksi. Namun sangkaannya meleset kerana bunyi ketukan itu terus kedengaran. Dia bingkas bangun lalu duduk di birai katil. Di rumah itu hanya dia dengan Adam sahaja yang jadi penghuninya. Mustahil orang luar berani datang mengetuk pintu bilik tidurnya. Apa tujuan Adam berbuat begitu?.. 
Tiba-tiba dia berasa takut. Bulu romanya meremang dan seluruh badannya berasa sejuk. Peristiwa hitam yang berlaku ke atas dirinya kembali menjelma dalam ingatannya. Mungkinkah peristiwa yang amat menyakitkan itu akan berulang lagi?. Dia tidak sanggup lagi merasai kepedihan itu. Dia bukan saja telah kehilangan sesuatu yang paling berharga pada dirinya malah kehilangan keyakinan terhadap orang yang selama ini paling dipercayainya. Sungguh tidak disangka orang yang dianggap seperti ayah sendiri sanggup melakukannya. Dia tidak akan memafkan kesalahan ayah saudaranya itu. 
Bunyi ketukan pada pintu itu kedengaran lagi. Bunyinya sama seperti yang pernah didengarnya pada malam kejadian itu. Dia masih ingat ketika itu dia masih belum tidur kerana asyik membaca sebuah novel kisah cinta yang begitu menyentuh perasaannya. Dia bercadang untuk menghabiskan bacaannya. Kerana cuaca pada malam itu agak panas dia Cuma mengenakan pakaian yang nipis sahaja. Dan tanpa mengesaki apa-apa, dia terus membuka pintu bilik tidurnya. Dan sebaik saja pintu itu terbuka, Bapa saudaranya menerpa masuk. 
Walaupun dia cuba meronta untuk melepaskan diri dari menjadi mangsa lelaki berusia 50an yang sedang mabuk dan di rasuk Syaitan itu namun tidak berjaya. . Apatah lagi bila mulutnya di tekup dengan tapak tangan yang kasar. Dan akhirnya berlaku sesuatu yang amat menyakitinya. Dan peristiwa itu terus menghantui fikirannya. Lamunannya terhenti apabila pintu bilik itu diketuk lagi... 
“ Kalau awak masih belum tidur tolong buka pintu ini,” kedengaran suara Adam dari luar. 
Dia terus mendiamkan diri dengan harapan pemuda itu menyangka dia sedang tidur. Tambahan pula dia memang takut hendak membuka pintu itu. Dia dapat agak apa tujuan seorang lelaki masuk ke bilik tidur perempuan kalau tidak ingin melakukan seperti apa yang pernah dilakukan oleh bapa saudaranya?. Tidak. Dia tidak sanggup peristiwa itu berulang lagi. 
Kerana itu pada mulanya dia berasa keberatan untuk menerima pelawaan pemuda itu untuk bermalam di ruimahnya. Tetapi kerana tidak ada hotel atau rumah tumpangan maka terpaksa dia menerimanya walau dengan hati yang berat. Tambahan pula dia tidak sanggup menumpang tidur dalam masjid seorang diri kerana takut diganggu makhluk Jin seperti yang diceritakan oleh Adam. 
“ Saya tahu awak masih belum tidur!,” kata pemuda itu lagi. ” Tapi kalau tak mahu buka pintu pun tak mengapa. Saya Cuma nak bagi ubat nyamuk sebab di rumah ni nyamuk berkeliaran. Kalau awak perlukan ubat nyamuk saya ada letakkan di balik pintu.” 
Sejurus kemudian suasana sepi. Setelah yakin pemuda itu tidak ada lagi di situ barulah senang rasa hatinya. Benar seperti kata pemuda itu, dalam rumah itu banyak nyamuk yang kelihatan berterbangan di bawah sinaran lampu kalimantang. Beberapa ekor nyamuk yang kekenyangan hinggap di dinding. Kerana keletihan dia tidur nyenyak sehingga tidak sedar digigit nyamuk.. 
Dia bangun menghampiri pintu bilik itu lalu memulas tombolnya. Benarlah seperti kata pemuda itu. ada sebungkus ubat nyamuk dan sekotak mencis api. Dia segera mengambilnya dan menutup semula pintu itu. Setelah membakar ubat nyamuk dia ingin tidur semula. Namun entah kenapa matanya tidak mahu terlena. Di luar rumah itu kedengaran bunyi suara katak dan cengkerik memanggil hujan. Sayup-sayup kedengaran bunyi anjing menyalak. Suasana waktu malam di kawasan pedalaman itu agak menyeramkan. Namun dia berasa selamat kerana berada dalam bilik yang boleh dikunci dari dalam. 
Rumah itu sederhana besarnya diperbuat dari papan dan beratap zing. Kalau di kota tempat kelahirannya, rumah seperti itu banyak terdapat di kawasan setinggan. Dia memang tidak pernah tinggal di rumah seperti itu kerana sejak dilahirkan tempat kediamannya ialah di sebuah Kondominium mewah milik bapanya yang terletak di tengah kota. 
Tiba-tiba dia terbayang wajah ayah dan ibunya. Sejak dilahirkan dia mendapat kasih sayang sepenuhnya dari mereka. Dia amat disayangi oleh ayah dan ibunya. Dia juga mendapat seorang pengasuh bernama Mak Yam yang bersedia pada bila-bila masa menurut arahannya. Dari pengasuh itu dia belajar cara-cara memasak, membasuh kain serta mengemas rumah. 
Namun keadaan hidupnya mula berubah apabila ayah dan ibunya meninggal dunia dalam satu nahas di jalan raya apabila kereta mewah yang di pandu oleh bapanya bertembung dengan sebuah bas. Ibunya yang turut berada dalam kereta itu juga meninggal di tempat kejadian. Hidupnya lebih menderita kerana bapa saudara yang sepatutnya jadi pelindung bersifat tamak serta ingin membolot semua harta yang ditinggalkan oleh bapanya. Kalau ayah dan ibunya masih hidup tentu dia tidak sampai ke daerah yang terpencil itu.. . 
Tiba-tiba dia berasa perutnya sakit. Mulanya sekadar rasa memulas tetapi lama kelamaan semakin sakit. Dia memerhatikan di sekitar bilik itu kalau ada minyak angin atau ubat yang boleh disapukan pada perutnya, Namun hampa. 
Apabila tidak tertahan lagi menahan kesakitan itu dia nekad untuk keluar dari biliknya bagi mendapatkan pertolongan. Dan orang yang diharapkan dapat menolongnya ialah Adam. Dia berasa yakin pemuda itu masih belum tidur kerana lampu di biliknya masih menyala. 
Apabila dia berdiri di muka pintu bilik pemuda itu, timbul pula rasa serba salah di hatinya. Mungkin ketukan itu akan menimbulkan kemarahan. Atau mungkin juga Adam akan mendiamkan diri seperti yang dilakukan sebentar tadi. Namun dia tidak ada pilihan lain lalu diketuknya pintu bilik itu dengan belakang jari tangan. kanan. 
Ketika itu Adam baru saja terlena. Sengaja dibiarkannya lampu dalam bilik itu terpasang. Apabila pintu itu diketuk dia pun terjaga. Sebenarnya dalam lenanya tadi dia bermimpi didatangi oleh seorang bidadari yang cantik jelita. Kerana itu pada mulanya dia menyangka masih di alam mimpi. Lalu digosok tapak tangannya dan dicubit pipinya untuk membuktikan dia memang berada di alam nyata. 
Kenapa wanita muda itu begitu berani mengetuk pintu biliknya?. Dia bertanya pada dirinya sendiri. Sebaik saja pintu bilik tidur itu dibuka, Adam tergamam bila melihat wanita itu tercegat di muka pintu. Mukanya nampak pucat sambil tapak tangan kanannya menekan bahagian perutnya yang sakit. 
“ Kenapa?. Awak sakit?” tanya Adam seolah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. 
“ Mungkin dimasuki angina,” jawab wanita itu. “ Tolong berikan saya minyak angin atau apa saja ubat yang boleh menahan rasa sakit.” 
Adam segera membuka laci meja tulisnya lalu diambilnya sebotol minyak angin dan beberapa biji Panadol. Memang sengaja disimpannya ubat-ubatan itu untuk digunakan apabila diperlukan. . 
“ Telan ubat ini,” kata Adam sambil menghulurkannya kepada Hawa. “ Saya ke dapur untuk mengambil air suam.” 
Sebentar kemudian Adam datang semula sambil membawa segelas air suam lalu diberikannya kepada Hawa. Wanita itu mengucapkan terima kasih lalu menelan 2 biji pil panadol untuk menahan kesakitannya. Kemudian diteguknya air suam itu supaya ubat tersebut masuk ke dalam perutnya. 
“ Terima kasih atas pertolongan saudara,” kata wanita muda itu. “ Saya nak masuk semula ke bilik. Terima kasih sekali lagi.” 
“ Jangan lupa gosok minyak angin itu pada perut awak.. Atau kalau sudi biar saya yang tolong gosokkan,” kata Adam sepereti bergurau. 
Gila!. Jerit wanita itu dalam hati. Namun dia tidak marah, malah senang dengan gurauan anak muda itu. Hawa masuk semula ke bilik tidurnya. Sengaja tidak dikuncinya pintu bilik itu kerana kalau terjadi sesuatu pada dirinya tentulah pemuda itu mudah untuk memasukinya dan memberikan pertolongan. Timbul pula pertanyaan dalam hatinya, bagaimana kalau ditakdirkan dia meninggal di rumah pemuda itu?. Dia yang sudah mati tentu tidak jadi masalah tetapi bagaimana pula dengan Adam?. Pastinya pemuda itu akan disoal siasat oleh pihak polis. 
Dia sedar dirinya kini sedang dicari oleh bapa saudaranya. Mungkin pihak polis juga sedang mengesannya di seluruh Negara. Mungkin esok keluar berita tentang kehilangnnya dalam surat kabar. 
Wanita muda itu masih belum terlena apabila dia mendengar langkahan kaki pemuda itu menuju ke biliknya. Dadanya bergemuruh dan rasa cemas menguasai dirinya. Pintu bilik itu memang tidak dikunci dari dalam dan sebentar lagi pemuda itu pasti akan masuk. Dan selepas itu apa akan terjadi ke atas dirinya?. 
Sebelum sempat dia berbuat apa-apa, Adam sudah membuka pintu bilik itu dan melangkah masuk. Dia hampir menjerit ketakutan tapi mujur dapat ditahan perasaan takutnya. Lalu dia melelapkan mata pura-pura tidur dengan harapan pemuda itu menyangka dia sedang terlena. Dia pasrah namun berharap pemuda itu tidak sekejam bapa saudaranya. 
Dia dapat merasakan kain cadar di hujung kakinya ditarik dengan perlahan lalu tubuhnya diselimutkan. Sejurus kemudian pemuda itu keluar sambil menutup pintu bilik itu. 
posted by Latiptalib @ 7:42 AM   0 comments 
SUNDAY, SEPTEMBER 05, 2004
14. KENSER SERVIKS 
KETIKA aku mula sedar, seluruh badan berasa lemah hinggakan hendak mencelik mata pun amat payah. Namun aku bersyukur kerana masih boleh bernafas dan tubuh ini masih bernyawa. Sekiranya sel-sel di bahagian otakku sudah tidak boleh berfungsi lagi bermakna aku sudah mati. 
sesungguhnya Allah masih memberi peluang kepada aku untuk meneruskan sisa-sisa kehidupan ini walaupun sebagai pesakit Barah Pangkal Rahim atau lebih dikenali sebagai Kanser Serviks, sejenis penyakit yang amat ditakuti oleh setiap wanita. Menurut lapuran perubatan, setiap tahun bilangan pesakit itu semakin bertambah. Dan sekiranya pesakit dibiarkan tanpa mendapat rawatan boleh membawa maut. 
Sudah berbulan-bulan aku menanggung kesakitan ini. Berbagai usaha telah aku lakukan namun masih juga belum sembuh. Ini adalah usahaku yang terakhir. Jika penyakit ini masih tidak sembuh, aku yakin sudah tertutup peluang untuk aku meneruskan kehidupan. Mungkin telah ditakdirkan, penyakit inilah sebagai penyebab yang membawa kepada kematianku. 
Kenapa seluruh tubuhku berasa sejuk?. Adakah ini petanda awal sebelum kematian?. Wahai Tuhan, aku belum mahu mati. Berilah peluang untuk aku meneruskan kehidupan. Lalu aku pun berusaha menggerakkan anggota, bermula dengan tangan, diikuti kaki dan kepala. 
"Alhamdulillah. Dia dah mula sedar," kudengar suara separuh berbisik. Aku dapat mengecam itu suara Doktor Nazrin yang merawat aku. Tetapi, dimanakah suami dan anakku?. 
"Ani…!" Kupasti itu adalah suara suamiku. Di manakah orang yang paling kusayangi itu?. 
"Abang…" aku cuba bersuara sambil mencelikkan mata untuk menatap wajah orang yang aku cinta. 
"Abang ada di sini…" kudengar bisikan di cuping telinga. 
Sesungguhnya suara itu amat menyukakan hatiku. Lalu kubuka pandanganku luas-luas. Terasa tanganku digenggam erat oleh Suamiku. Bola matanya menatap wajahku sambil tersenyum. Perasaanku jadi tenang. 
"Anak kita dimana?" entah kenapa sejak mula sedar, orang yang pertama menjelma dalam ingatanku ialah Nadia, anak kesayangan kami yang baru berusia 5 tahun. 
"Dia ada di rumah bersama neneknya. Mungkin sekejap lagi mereka akan sampai," jawapan suamiku itu semakin menguatkan semangatku untuk melawan kesakitan itu. 
"Adoh sakitnya," aku tidak mampu menyembunyikan rasa sakit di bahagian pangkal rahim. 
"Bersabarlah kerana Ani sudah selamat menjalani pembedahan, Tak lama lagi penyakit Ani akan sebuh dan kita boleh balik," pujuk suamiku dengan nada suara yang lembut. 
"Ya, Ani tahu. Tapi…" aku tidak dapat meneruskan kata-kata kerana dadaku tiba-tiba berasa sebak. 
"Tapi apa?. Cakaplah abang sedia mendengarnya," balas suamiku masih dalam nada suara yang lembut. 
"Abang tahu kan?. Ani tidak boleh lagi melahirkan zuriat kita…" aku teresak-esak dalam tangisan yang panjang. 
"Sebelum pembedahan dilakukan, Doktor Nazrin sudah beritahu abang perkara itu," Jawab suamiku dengan tenang. 
Doktor Nazrin yang sejak dari tadi berdiam diri mula menyampuk. "Yang penting nyawa kakak sudah selamat. Dan kami sudah lakukan apa yang terbaik untuk kakak," katanya. 
Menurut doktor muda itu lagi, penyakit barah pangkal rahim yang membelenggu hidupku kini sudah berjaya dirawat dan aku akan sembuh tidak lama lagi. Dia menasihati aku supaya bersabar dan jangan lupa berehat dan makan ubat. Kemudian Doktor Nazrin meninggalkan kami mungkin untuk meneruskan tugasnya atau sengaja memberi peluang kepada kami untuk meluah perasaan. 
"Berjanjilah bahawa abang tidak akan tinggalkan Ani," kataku meluah rasa bimbang di hati. 
"Kenapa Ani cakap begitu?" soal suamiku pula. 
"Ani sekarang bukan seperti Ani dulu lagi, bang. Bahagian rahim Ani sudah dibuang. Ani sudah tidak sempurna seperti dulu lagi," aku tidak dapat menahan sebak lalu menangis. 
"Ani dah lupa apa kata doktor?" tanya suamiku. Sebelum sempat aku menjawab dia meneruskan kata-katanya. 
"Doktor Nazrin kata, ramai isteri yang menjalani pembedahan seperti Ani. Dan mereka hidup bahagia. Percayalah, kita juga akan bahagia seperti mereka." 
"Ani tahu, bang. Cuma Ani rasa sedih kerana tidak dapat lagi melahirkan zuriat abang," aku meluahkan persoalan yang kerap menghantui fikiran. 
"Kita sudah ada Nadia. Dialah zuriat kita. Dan kita mesti reda dengan takdir Ilahi." Kata suamiku lagi. "Abang lebih sayangkan nyawa Ani kerana itu abang turunkan tanda tangan membenarkan doktor melakukan pembedahan. Tambahan pula abang yakin hanya melalui pembedahan saja nyawa Ani dapat diselamatkan." 
Sebenarnya sudah berkali-kali suamiku mengucapkan kata-kata itu. Dan akhirnya dia berjaya meyakinkan aku hanya melalui pembedahan sahaja nyawaku dapat diselamatkan. Sedangkan pada mulanya memang aku enggan dengan memberi alasan bahawa ajal maut itu hanya Allah yang menentukan. Kalau belum sampai ajal pasti aku tidak akan mati. 
"Sanggupkah Ani menanggung kesakitan ini seumur hidup?" Soal suamiku dan sekaligus berjaya meleburkan kedegilan di hati ini. 
Memang aku tidak sanggup lagi menanggung kesakitan ini. Aku ingin hidup sihat, bebas dan ceria seperti orang lain. Cukuplah dengan apa yang telah kurasai selama ini. 
Akhirnya aku akur dengan desakan suamiku supaya pergi ke hospital. Dan selepas pemeriksaan demi pemeriksaan dijalankan akhirnya doktor mengesahkan aku mengidap penyakit Barah Pangkal Rahim, Suatu penyakit yang telah mengorbankan ramai kaum wanita.. 
"Tuan Doktor, saya tak faham apakah itu penyakit barah rahim dan bagaimana ianya boleh berlaku?" kukemukakan pertanyaan itu kepada Doktor Nazrin. 
"Penyakit itu berlaku akibat pembiakan dan pertumbuhan sel yang tidak teratur dan terkawal sehingga sampai kepada satu tahap dimana sel kenser itu dapat dilihat sebagai satu ketumbuhan. Kalau gejala penyakit ini dapat dikesan sejak awal kemungkinan mudah untuk merawatnya. Tapi kalau dibiarkan boleh membawa maut," jawab Doktor Nazrin dengan tenang. 
"Boleh saya tahu apakah yang menyebabkan penyakit barah rahim?" tanyaku lagi kerana perasaan ingin tahu menjeluak di sanubari ini. 
"Penyakit barah rahim atau kanser servik mungkin disebabkan faktor biologikal, kimia dan fizikal. Contohnya, kanser paru-paru disebabkan tabiat merokok dan pencemaran udara. Kanser kulit disebabkan radiasi daripada sinaran matahari. Namun banyak kanser yang belum dikenalpasti puncanya. Dan apa yang pasti puan mengidap kanser Barah Pangkal Rahim…" hampir pitam aku buat pertama kali mendengarnya. 
"Apakah penyakit saya boleh disembuhkan atau sudah tidak ada harapan?" tanyaku sambil menanti jawapan dengan penuh debaran. 
"Sebagai orang islam kita wajib percaya hanya Allah sahaja yang berkuasa menyembuhkan penyakit dan kita cuma berikhtiar sahaja. Kerana itu Allah memberi kita akal fikiran untuk berikhtiar. Allah juga yang memberi ilmu perubatan kepada manusia untuk mengubat penyakit. Percayalah kakak bahawa setiap penyakit pasti ada ubatnya melainkan mati," kata-kata Doktor Nazrin itu terpahat dalam ingatanku. 
"Tuan doktor, tolonglah usahakan supaya penyakit kakak ini sembuh," rayuku dengan penuh harapan. 
"InsyaAllah, dengan kemajuan ilmu sains dan teknologi sekarang, selalunya penyakit barah rahim boleh diubati. Tetapi…" 
"Tetapi apa doktor?" 
"Kakak terpaksa menjalani pembedahan. Jika tidak dibedah sel-sel barah itu boleh merebak ke bahagian lain melalui sistem darah atau limpa. Ia tentu lebih mudah diubati kalau kakak datang ke hospital sejak peringkat awal." 
"Manalah kakak tahu yang kakak mengidap penyakit barah pangkal rahim." Doktor Nazri hanya tersenyum mendengar alasanku. 
"Sebenarnya kak, barah pangkal rahim atau Kanser Servik mengambil masa bertahun-tahun untuk berkembang. Sebelum barah pangkal rahim berkembang ia disebut peringkat pra-kanser. Kerana itulah, wanita berumur antara 20 hingg 65 tahun perlu menjalani ujian PAP Smear." 
"Apakah yang dimaksudkan ujian pap- smear, tuan doktor?" aku bertanya kerana aku memang tidak tahu. 
Kata doktor Nazrin, pap smear ialah satu ujian khusus yang boleh mengesan barah rahim di peringkat awal. Ujian itu sangat mudah, tidak sakit dan tidak mahal. Caranya doktor akan mengambil sel melalui lendir atau cecair yang keluar dari rahim bertujuan untuk mengetahui apakah terdapat tanda-tanda awal penyakit barah pangkal rahim. Kerana itu sebaiknya ujian PAP Smear hendaklah dilakukan 3 tahun sekali. Dan Ujian PAP Smear terbaik sekali dijalankan pada pertengahan pusingan hald atau 10 hari selepas kedatangan haid. Sekiranya terdapat randa-tanda awal maka mudah diubati. 
Lalu aku bertanya apakah tanda-tanda awal gejala barah pangkal rahim? Menurutnya, terdapat lelehan yang berair dan berbau busuk. Rasa sakit semasa melakukan perhubungan seks. Dan keluar darah atau lain-lain benda mengalir yang luar biasa. 
Benarlah seperti kata Pakar Sakit Puan itu kerana beberapa bulan sebelumnya, aku mengalami gejala-gejala tersebut. Namun aku diamkan saja kerana menyangka itu cuma perkara biasa tambahan pula pusingan haidku tidak menentu. 
Selain itu aku juga berasa terdapat ketulan-ketulan kecil pada bahagian buah dada. Bila ditekan terasa sakit. Pada mulanya aku menyangka ia cuma ketulan bisul atau jerawat yang boleh sembuh dengan sendirinya. Kerana itu tidak kuhiraukan. 
"Selain itu pesakit juga mengalami kudis yang tidak mahu sembuh" kata doktor Nazrin lagi. 
Kuakui kebenaran kata-kata itu. Entah kenapa kulitku mudah berkudis terutama apabila terluka. Dan luka yang menjadi kudis itu tidak mahu sembuh walau puas kububuh ubat. Antara kudis yang paling sukar untuk sembuh ialah di bahagian celah jari-jari kaki. 
Menurut Doktor Nazrin lagi, barah pangkal rahim seperti lain-lain jenis barah adalah terdiri daripada sel-sel luar biasa yang semakin berganda banyaknya. Sel-sel itu membesar menjadi tumor yang menyerang tisu-tisu biasa yang berhampiran. Akhirnya memusnahkan organ di tempat ia membiak. Dan jika dibiarkan, barah rahim akan merebak terus ke faraj, pundi-pundi dan hujung usus serta terus ke paru-paru. 
"Saya juga mengalami masalah selalu buang air besar dan air kecil," kataku mengadu hal. 
"Itu juga salah satu tanda penyakit barah pangkal rahim. Selain itu sering batuk dan serak. Ketidak hazaman makanan dan susah hendak menelan makanan." 
"Ada satu lagi, tuan doktor." 
"Mungkin juga kakak mengalami masalah kurang pendengaran dan selalu terdengar bunyi bising dalam telinga yang sama." 
"Benar, tuan doktor," kataku dengan rasa kagum kerana dia memang seorang pakar. 
Lalu doktor Nazrin menerangkan sebab-sebab terjadinya Barah Pangkal Rahim. Antaranya kerana melakuan perhubungan seks pada usia muda atau selalu bertukar pasangan. Tidak menjaga kebersihan diri dan menghisap rokok. 
"Tuan doktor, saya kahwin ketika berumur 25 tahun. Saya tidak pernah bertukar pasangan selain dengan suami saja. Dan saya tidak merokok. Tapi kenapa masih terkena barah pangkal rahim?" 
"Mungkin juga kerana keturunan. Maksud saya mungkin dalam keluarga kakak ada yang mengidap penyakit barah." 
"Barangkali, Tuan Doktor." 
Lantas aku teringat bagaimana pertama kali aku menjalani ujian pap-smear. Pada mulanya aku berasa amat malu namun Doktor Nazrin berjaya meyakinkan aku bahawa setiap pesakit mesti menutup rasa malu demi untuk mengubati penyakitnya. Tambahan pula aku bukanlah wanita pertama yang menjalani ujian seperti itu. 
Menurut doktor Nazrin, ujian ini amatlah perlu bagi setiap wanita kerana tubuh kita sentiasa menggugurkan sel-sel yang telah mati dan menggantikannya dengan sel-sel hidup. Sel yang digugurkan oleh rahim boleh didapati dalam lendir atau cecair yang keluar. Dan sel-sel ini boleh menunjukkan tanda-tanda barah atau gejala awalnya, 
"Jika pemeriksaan dan ujian yang dijalankan menunjukkan adanya sel-sel yang disyaki maka langkah kedua ‘diagnosis’ (penentu penyakit) akan dijalankan. Doktor akan mengambil sedikit tisu untuk diperiksa dengan selanjutnya dan proses ini dinamakan 'biopsy' satu kaedah bagi menentukan penyakit barah. Setelah penyait barah diketahui barulah ia akan dirawat dengan cara pembedahan ataupun pancaran (radiation) atau kedua-duanya sekali. Dan kakak akan menjalani pembedahan." Begitu panjang penerangan yang diberikan oleh Doktor Nazrin. 
Seingatku sejak kecil tidak pernah masuk wad apatah lagi menjalani pembedahan. Entah kenapa aku begitu takut dengan hospital. Aku juga berasa gerun bila melihat doktor yang berpakaian serba putih memegang jarum suntikan. Sebab itulah ketika melahirkan anak pertama, aku nekad hendak bersalin di rumah sahaja. Kerana itu apabila sudah ada tanda akan melahirkan barulah aku suruh suamiku menjemput jururawat desa datang ke rumah. Dan alhamdulillah aku selamat melahirkan anak cara biasa tanpa di bawa ke hospital. 
Kerana itu bila doktor Nazrin mengatakan aku akan dibedah untuk 
menyembuhkan penyakit barah pangkal rahim, hatiku tersangat bimbang. Berbagai fikiran yang menghantui aku. Namun doktor Nazrin berjaya memujuk. 
"Matlamat pemberdahan ialah untuk membuang semua tisu yang telah terkena barah. Ia mungkin merupakan satu pemberdahan kecil bagi penyakit barah yang baru menyerang atau atau pembedahan besar bagi barah yang telah merebak." 
"Apakah saya akan menjalani pembedahan besar?" tanyaku ingin penjelasan. 
"Penyakit kakak sudah merebak. Pembedahan besar terpaksa kami lakukan. Yakinlah kakak bahawa pembedahan ini akan berjaya." 
Aku tidak punya pilihan selain bersetuju sahaja dengan apa yang akan dilakukan oleh doktor Nazrin dan rakan-rakannya terhadap diriku. Suamiku juga telah menurunkan tanda tangan sebagai menyatakan persetujuan isterinya akan menjalani pembedahan. 
Aku cuba mengangkat tangan kananku namun amat payah. Baru aku sedar rupanya bahagian kura tanganku di suntik dengan jarum yang agak besar dan diperkokohkan dengan plaster. Kulihat ada hos plastik bersambung dengan botol putih tersangkut pada besi di sisi katil. 
Aku tidak pasti berapa lama tidak sedarkan diri. Namun aku masih ingat ketika diangkat dengan katil beroda menuju ke bilik pembedahan. Masih kuingat lagi suami dan anakku mengiringi pemergianku dengan pandangan sayu pilu. Suamiku terpaksa mengambil cuti selama 3 hari. Sebenarnya cuti tahunnya sudah habis kerana kerap mengambil cuti kerana aku sakit. Namun atas budi baik ketua jabatannya maka diluluskan juga cuti kecemasan. Lagipun tugasnya sebagai seorang kerani tidaklah terlalu sukar untuk diambil alih oleh kawan-kawan sepejabatnya. 
Itulah pertama kali aku dibawa masuk ke bilik pembedahan. Suasana nampak sunyi kerana doktor dan pembantunya sibuk dengan tugas masing-masing. Pendingin udara kurasa terlalu sejuk sehingga badanku rasa menggigil. Tambahan pula aku tidak dibenarkan makan sejak semalaman. 
"Surat jaminan sudah di tanda tangan oleh suaminya," kata seorang jururawat kepada seorang doktor yang datang memeriksa aku. 
Aku juga sudah tahu suamiku telah membenarkan aku menjalani pembedahan. Bermakna kalau apa-apa berlaku ke atas diriku pihak hospital tidak boleh dipersalahkan. Tiba-tiba aku terfikir, bagaimana kalau…ah, tiba-tiba aku teringat Nadia, satu-satunya anak kami yang baru berusia 5 tahun. Dia akan jadi anak piatu kalau sesuatu terjadi ke atas diriku. Namun ada seperkara lagi yang aku risaukan. Amalanku masih kurang. Belum sanggup rasanya mengadap Ilahi dengan amalan yang sedikit. 
"Saya bagi satu injection. Lepas tu awak bilang satu, dua, tiga sampai berapa yang awak suka," kata doktor yang akan menjalankan pembedahan ke atas diriku. 
Aku tidak pasti sampai berapa yang mampu aku bilang. Bila tersedar aku sudah berada di wad semula. 
"Kakak jangan bimbang sebab penyakit barah kakak sudah di buang. Sehari dua lagi kakak boleh pulang," kata doktor Nazrin yang melawatku pada keesokan harinya. 
Aku berasa amat gembira mendengarnya. Rasa hilang segala kesakitan yang aku tanggung sekian lama. Oh Tuhan, aku ingin menjalani kehidupan seperti orang lain. Sudah bertahun lamanya aku menanggung kesakitan ini. Kadang-kadang benci juga aku dengan tubuh yang sakit ini. Alangkah baiknya kalau anggota badan ini boleh ditukar ganti seperti bahagian kereta, apabila rosak boleh ditukar ganti. 
"Apakah rahim saya yang sakit ini boleh ditukar ganti, tuan doktor?" pernah soalan bodoh itu kutanyakan kepada Doktor Nazrin. 
Dia ketawa kecil kemudian berkata, "Buat masa sekarang hanya pemindahan jantung, mata dan buah pinggang saja yang pernah dilakukan. Pemindahan rahim belum pernah dilakukan dan mungkin tidak akan dilakukan." 
Seorang kawan pernah membisikkan ke telingaku, kemungkinan ada orang yang dengki atau sakit hati lalu mereka gunakan ilmu sihir kepada aku. Katanya, perkara seperti itu biasa berlaku dalam masyarakat kita. 
Bila aku sampaikan perkara itu kepada suamiku, dia lansung tidak percaya. Katanya, "Sebagai orang yang beriman kita wajib percaya hanya Allah sahaja yang Maha Berkuasa. Kita juga wajib percaya dosa pahala, Syurga dan Neraka." 
"Tapi, bang. Bukankah ilmu sihir itu sememangnya wujud?" tanyaku pula sekadar ingin berhujah. 
"Sihir sememangnya ada. Namun iman yang kuat boleh menangkis sihir," jawab suamiku penuh yakin. 
Aku yakin iman suamiku sememangnya kuat. Semangatnya juga kental. Memang kuakui hakikat itu. Mungkin kerana itulah dia sentiasa kelihatan sihat dan ceria. 
"Mungkin ilmu sihir itu memang ditujukan kepada abang tapi kerana 
iman abang kuat maka saya yang lemah jadi mangsa." Kataku. 
Suamiku ketawa sambil berkata " Agaknya malaikat pun segan nak mencabut nyawa abang." 
Semasa aku terlantar di hospital, ramai kawan dan saudara yang datang. Masing-masing membawa buah tangan. Ada yang bawa roti, biskut, buah-buahan dan sebagainya . Semuanya nampak menyelerakan. Fikirku, kalaulah masa aku sihat mereka bawakan makanan tersebut, alangkah baiknya. 
Sebelum aku mengambil keputusan menyerahkan untung nasibku kepada kebijaksanaan pakar perubatan di hospital, ada kawan mencadangkan aku berubat secara tradisional. Menurut kata kawanku itu, ada seorang dukun kampung yang pandai mengubat. Berbagai jenis penyakit sudah berjaya disembuhkannya. Paling baru kata kawanku itu, seorang pengidap sakit jantung telah berjaya disembuhkannya tanpa melalui pembedahan. Suamiku percaya lalu kami pun pergi ke rumah dukun tersebut yang terletak di Jelebu Negeri Sembilan. 
Rumah dukun itu jauh di pedalaman. Sebelum sampai kami terpaksa melalui Bukit Tangga yang jalannya berliku-liku. Pening kepalaku dan hampir termuntah aku dibuatnya. 
Seperti yang diceritakan oleh kawanku, ramai pesakit yang datang untuk berubat dengan dukun tersebut. Ada yang patah tangan dan kaki akibat kemalangan. Ada pula yang mengadu kononnya termakan santau malah yang mengidap penyakit kencing manis dan darah tinggi pun ramai yang datang. Kerana ramainya pelanggan kami terpaksa diberi nombor giliran. Dan setelah lebih 3 jam menunggu barulah giliranku masuk. 
Kulihat dalam bilik dukun itu cuma ada sebuah katil bujang, tiga batang lilin yang sentiasa terpasang, sebuah tempat bakar kemenyan dan senaskhah al Quran lama. Dukun yang berusia 60an itu berpakaian serba hitam. 
Setelah aku dan suami menyatakan maksud kedatangan kami dan setelah menceritakan penyakit ganjil yang kuidapi maka dukun itu membacakan jampi serapah pada sebotol air yang jernih. 
"Bawa air ini balik ke rumah dan minum sebelum tidur dan selepas bangun dari tidur," pesan dukun itu. 
Suamiku yang begitu yakin mempastikan setiap malam sebelum tidur dan setiap pagi selepas bangun dari tidur, aku mesti meneguk air jampi dukun tersebut. Namun setelah habis air itu aku minum, sakitku masih tidak juga sembuh. 
Pada suatu hari seorang kawan lama yang datang menziarahi aku mencadangkan pergi ke hospital untuk mendapat khidmat nasihat Pakar Sakit Puan. Kata temanku itu ada kemungkinan aku mengidap Penyakit Barah Rahim. 
Katanya "Zaman sekarang banyak penyakit berpunca dari rahim. Ada pula yang banyak dapat duit melalui rahim." 
Aku tidak faham apa maksudnya namun apa yang pasti sudah berbulan-bulan aku menderita penyakit aneh yang amat menyakitkan. Pada zahirnya aku nampak sihat kerana boleh makan dan minum serta berjalan ke sana ke mari. 
Cuma satu saja yang tidak boleh aku lakukan iaitu menunaikan tanggung jawab sebagai seorang isteri kepada suami. Kami tidak boleh bersama kerana aku berasa sakit yang teramat sangat di bahagian rahim. 
Barangkali benar juga kata doktor Nazrin bahawa keturunan juga boleh menjadi penyebab berlakunya penyakit Barah Pangkal Rahim. Aku pun hairan kenapa keluargaku selalu jadi mangsa berbagai jenis penyakit. Nenekku meninggal dunia akibat mengidap penyakit barah perut. Ibuku meninggal dunia kerana penyakit yang sama. Paling baru kakakku meninggal akibat penyakit barah payu dara. Mungkinkah aku juga akan menerima nasib yang sama seperti mereka? 
Aku berasa pelik kerana semakin maju dunia ini semakin banyak penyakit yang membunuh manusia. Ada penyakit darah tinggi, kencing manis, lemah jantung, hiv/aid dan yang terbaru SAR dan Selsema Burung. . 
"Aku yakin penyakit berpunca dari bilik tidur," kata jiranku pula. Dia seorang Pakar Motivasi. 
"Kenapa pulak?" soalku hairan. 
"Ramai diantara kita yang mengabaikan kebersihan bilik tidur. Kita sanggup mengambil masa berjam-jam untuk membersihkan kereta tetapi kita mengabaikan kebersihan di bilik tidur. Akibatnya bilik tidur kita kotor, berabuk dan udara bersih tidak masuk. Semasa tidur segala kotoran itu masuk ke dalam tubuh kita melalui pernafasan," jawab jiranku yang baik itu. 
Mungkin kata-kata Encik Kamal itu ada kebenarannya. Kuakui memang jarang membersih bilik tidur.. Suamiku sanggup berjam-jam membersih keretanya. Aku pula lebih suka menjaga kebersihan ruang tamu dan halaman rumah. 
Kuakui secara jujur bilik tidur kami bukanlah tempat yang menyenangkan. Bantal dan tilam belum pernah bertukar sejak perkahwinan kami sepuluh tahun yang lalu. Pada tahun pertama perkahwinan kami, memang kuakui kamar itu dihias indah dengan kelambu dan cadar yang bersih dan baru. Namun setelah anakku lahir ditambah pula dia selalu berak dan kencing maka kebersihan bilik tidur kami mula terabai. 
Sebenarnya bilik tidur kami tidaklah besar sangat. Ukurannya cuma 12 meter panjang x 12 meter lebar.. Dalamnya cuma ada sebuah katil besar, sebuah almari baju dan sebuah almari solek. Baru kusedar bilik tidur kami tidak cukup udara dan cahaya kerana cuma ada sebuah tingkap kayu sahaja. Dari situlah debu dan udara masuk. 
Bilik tidur kami menghadap ke halaman rumah. Bila tingkap di buka boleh nampak pokok-pokok bunga yang beranika jenis. Dulu bunga-bunga itu nampak cantik dan subur tetapi kini terbiar diganti rumput yang tumbuh meliar. Dulu setiap pagi aku membersihkan halaman rumah. Daun-daun rambutan yang gugur disapu, dikumpulkan lalu kubakar. Tapi sejak kebelakangan ini, halaman rumahku juga bersepah dengan daun-daun yang berguguran. Mungkin nyamuk dan lalat bertelur dan membiak dalam tin dan botol kosong yang bersepah di sekitar rumah kami. Nyamuk bukan saja bebas bergerak dalam rumah malah juga banyak terdapat dalam bilik mandi. Kami seolah tidak menghiraukan kehadiran nyamuk yang suka menghisap darah dan membawa penyakit.. 
"Penyakit berpunca dari makanan dan minuman. Kerana itu jagalah kebersihan makanan dan minuman," pesan doktor Nazrin. 
Menurutnya, makanan dan minuman selalu terdedah dengan pencemaran. Sayur-sayuran yang kita makan disembur dengan racun kimia. Air yang kita minum bercampur klorin dan berbagai bahan. Kuakui kebenaran kata-kata Doktor Nazrin. 
Pagi itu aku berasa sihat dan selesa. Cuma hatiku saja yang terlalu rindu kepada Nadia dan rumah yang hampir dua minggu kutinggalkan. Ingin rasanya untuk segera pulang... 
"Boleh saya balik , tuan doktor?" tanyaku bila doktor Nazrin datang melawat. 
"Iya, petang ini kakak boleh balik," jawab Doktor Nazrin sambil tersenyum. 
Oh Tuhan, betapa gembiranya hatiku. Aku bersyukur kerana Tuhan memberi peluang untuk aku memulakan kehidupan baru.




15. ILUSI                                           
Setelah genap sebulan kami berkenalan dan menjalin kemesraan di alam maya, aku dan dia pun bersetuju untuk bertemu di alam nyata. Kau pilihlah tempat yang sesuai. Katanya. Akupun mencadangkan kami bertemu di Restoran esastera. Dia bertanya, apa istimewanya restoran tersebut?. Di sana selalu berkumpul para penulis dan penyair terbilang malah sesekali kalau bernasib baik ada artis yang menjamu selera di situ. Jawabku. Aku setuju, balasnya. Di situ kita menjamu selera sambil bertentang mata. Aku senanghati dengan gurauannya. Kukenali dia di alam maya. 
      + Namaku, Tinta. 
          Perempuan
          36 tahun. Sudah bersuami
          Setiausaha
          Ingin mencari kenalan lelaki berusia 40 tahun ke atas
          Stop.
        Aku menatap kata-kata yang muncul di scren komputer. Adat di alam maya sukar ditemui yang jujur. Apatahlagi kalau menyentuh peribadi. Ada suami mengaku bujang. Ada isteri mengaku anak dara. Tetapi agak berlainan dengan yang ini. Dia berterus terang tentang umur dan status dirinya. Kupasti dia seorang yang jujur kerana biasanya umur dan status diri yang paling dirahsia oleh perempuan di alam maya. Aku tersenyum bila mengetahui keinginannya untuk mencari kenalan lelaki yang berusia. Dan aku boleh membuat pelbagai tafsiran.
        Kujelaskan padanya, tujuanku melayari internet sekadar ingin mencari kawan untuk berbual-bual. Aku tak kisah siapa orangnya dan apa statusnya. Yang penting dia sudi jadi temanku untuk berbual.
          Sebenarnya aku ingin melepaskan diri dari tekanan di tempat kerja. Berbulan-bulan lamanya aku terperangkap dengan kesibukan kerja yang tak kutemui jalan penyelesaiannya. Selesai satu masalah timbul lagi dua masalah. Kupasti kemelut di tempat kerja tidak akan selesai selagi aku dibayar gaji.
           Alam maya ini seperti lautan yang luas tak bersempadan. Aku bagaikan sebuah kapal singgah dari satu pelabuhan ke satu pelabuhan. Dan aku terus belayar dengan harapan dapat melupakan seketika bebanan kerja yang aku hadapi.
            Aku perlukan seseorang untuk diajak berbual. Dan orang itu sudah tentu bukan rakan di tempat kerja. Bukan juga saudara mara yang rapat. Dia mesti orang yang baru dalam hidupku. Malah aku tak kisah kalau dia isteri orang dan umurnya lebih tua dari aku. Dan aku berasa beruntung dapat berkenalannya.
           Setiap kali ada kesempatan kami akan bertemu di alam maya. Kuceritakan masalahku dan dia menceritakan masalahnya. Tapi biasanya akulah yang sering meluah perasaan. Dan dia pendengar setia.
          Di alam maya dia kukenali sebagai Tinta. Aku tidak tahu namanya yang sebenar. Aku juga tidak pasti benarkah usianya 36 tahun. Dan aku tak peduli kalau dia sudah bersuami. Bagiku semua itu tidak penting. Yang pasti kini telah wujud kemesraan antara kami. Malah kami saling merindu sekiranya sehari tidak bertemu di alam maya. Kerana itu tidak hairanlah masing-masing ingin bertemu di alam nyata.
        + Tinta kesepian. Suami jauh di mata dan jauh di hati.
        Kukira dia memang seorang isteri yang bermasalah. Dan telahanku benar apabila dia berterus terang. Kata Tinta, suaminya bertugas di Pantai Timur sedangkan dia bertugas di Kuala Lumpur. Kami cuma bertemu sekali sekala sahaja. katanya.
        + Kau adalah lelaki pertama di alam maya yang berjaya memujuk aku untuk bertemu. Mungkin kau tak percaya tetapi itulah kenyataannya.
           Perlukah aku menbalas kata-katanya?. Oh tidak. Biarkan dia terus meluahkan perasaannya. Kini giliranku pula menjadi pendengar yang setia.
         + Ramai lelaki di alam maya ini mempelawa aku untuk berjumpa tetapi aku enggan. Entah kenapa aku tidak berdaya menolak pelawaanmu.
           Apakah aku gembira mendengarnya?. Tidak. Malah aku mula rasa gementar. Tujuanku melayari Internet hanya sekadar ingin mencari kawan untuk di ajak berbual. Benar aku yang mempelawa dia bertemu tetapi sekadar untuk melihat wajahnya sahaja. Kerana itu aku memilih untuk bertemu di Restoran esastera. Pasti tidak ada yang syak wasangka. Tambahan pula aku biasa dengan restoran tersebut.
         + Kau tahu kenapa Tinta bersetuju untuk bertemu?.
         + Kenapa?.
         + Tinta kesepian.
           Katanya, kali ini dia ingin meluahkan sesuatu yang selama ini belum pernah diluahkannya. Sebagai kawan aku bersedia untuk mendengarnya.
          Aku melangkah masuk ke dalam restoran itu dengan dada yang berdebar. Kupasti aku yang mendahuluinya. Lantas kucari tempat duduk yang agak tersorok di tepi dinding bahagian belakang.
        " Encik nak minum apa?" tanya pelayan Restoran esastera sebaik sahaja aku duduk.
        " Milo ais dua gelas besar…" jawabku sambil tersenyum.
        " Nak makan apa?" tanya pelayan restoran itu lagi.
        " Sate arnab…" jawabku.
         " Berapa?"
        " 200 cucuk."
        " Bungkus atau makan di sini?"
         " Makan di sini."
        Kulihat dahi pelayan restoran itu berkerut. Mungkin dia hairan, kenapa aku membuat pesanan yang begitu banyak sedangkan aku datang sendirian.
        + Di Restoran esastera ada Sate Arnab.
        + Tinta suka.
         + Aku belanja.
         Kurasa tidak perlu menjelaskan kepada pelayan restoran itu kenapa membuat pesanan sate arnab yang begitu banyak. Kata Tinta, seratus cucuk tak jadi masalah. Kalau dia mampu habiskan sebanyak itu, aku juga.
         Kulihat pelanggan Restoran Esastera masuk dan keluar silih berganti. Mereka masuk dengan wajah yang lapar, bila keluar terbayang kepuasan kerana puas menjamu selera.
         Restoran Esastera memang terkenal kerana menyediakan bermacam jenis makanan dan minuman. Paling aku suka ada masak lemak cili api yang menjadi kegemaranku. Tetapi kali ini aku cuma memesan Sate Arnab kerana itulah janjiku dengan Tinta.
          Aku mula resah. Hampir setengah jam menunggu, Tinta masih belum datang. Aroma sate arnab yang dihidangkan di depanku mengecurkan air liur. Walaupun ketika itu perutku lapar dan tekak kering namun tidak kujamah juadah yang terhidang. Aku hanya akan menikmatinya bersama Tinta. Entah kenapa tiba-tiba aku berasa perjalanan masa begitu lambat. Benarlah kata orang penantian itu satu penyiksaan.
          Tinta masih belum datang walau sudah satu jam aku menunggu di restoran itu. Air minuman dan sate arnab yang tadinya panas berasap kini terbiar sejuk.
           Malam itu aku datang ke Restoran Esastera semata-mata untuk menikmati kelazatan sate arnab bersama Tinta. Katanya, dia boleh habiskan seratus cucuk dan aku juga berjanji akan habiskan sebanyak itu. Bagaimana kalau dia mungkir janji?. Ah, kalut aku memikirkannya. Mungkin benar kata kawan-kawan perempuan di alam maya sukar untuk dipercayai.
          " Minta maaf, Incik. Sekarang sudah jam 12 malam. Restoran ini akan ditutup!" beritahu Irwan, tuan punya Restoran Esastera.
          " Baiklah…" 
          Lalu kubayar harga minuman dan sate arnab yang sudah sejuk di atas meja. Di luar lampu berkerlipan. Malam itu kota Kuala Lumpur bermandi cahaya. Namun pemandangan itu tidak lagi menarik perhatianku. Aku perlu balik ke rumah untuk tidur kerana esok aku akan kembali ke tempat kerja.
          + Maaf tak dapat datang. Gigi Tinta sakit macam mana nak makan sate arnab?.
            Lantas kumatikan suis komputer.
16. SEKALI SEUMUR HIDUP 
                       Oleh: Abdul Latip Talib 
Beriktiqaf di Masjidil Haram dan bernaung di bawah lindungan Kaabah adalah sesuatu yang amat menyenangkan kerana hati berasa tenang dan fikiran jadi tenteram. Aku mengucapkan rasa syukur kepada Allah swt kerana dengan izinNYA aku berada dalam masjid agung yang menjadi tumpuan umat islam dari seluruh pelusuk dunia. Di hadapanku tersergam Kaabah yang menjadi kiblat umat islam ketika bersembahyang. Namun tidak semudah itu perjalanan yang terpaksa aku lalui kerana terpaksa merentasi benua dan lautan dengan pesawat selama lapan jam dan merentasi padang pasir yang kering kontang dengan menaiki bas selama lapan jam, barulah aku dapat menjejakkan kaki ke tanah suci ini. 
         Sesungguhnya menunaikan fardu haji ke tanah suci Mekah bukan seperti berkelah atau melancung yang disediakan pelbagai kemudahan dan beranika keseronokan. Di Mekah buminya kering kontang dan kepanasan cuacanya boleh merentungkan kulit dan menghisap air dalam badan. Berjuta umat Islam dari seluruh pelusuk dunia berkumpul di situ menjadikan kedaan penuh sesak hinggakan terpaksa berkongsi bilik tidur, bilik air dan tandas. Setiap ruang dalam Masjidil Haram penuh sesak dengan manusia hinggakan sukar meletakkan dahi di tempat sujud ketika sembahyang.
        Tetapi demi keyakinan dan kecintaan itu tidak kukesal walau beribu harta yang terpaksa kukorbankan. Walau banyak dugaan yang datang. Walau banyak air mata mereka yang menyayangi diriku tumpah sewaktu mengiringi keberangkatan orang yang telah merelakan dirinya jika ditakdirkan mati ketika mengerjakan rukun islam ke 5 itu.
       Aku rasa bertuah menjadi tetamu Allah ketika usia masih muda. Jika usia sudah lanjut bagaimana akan kutempuhi perjalanan yang begitu banyak menagih kesabaran dan perngorbanan ini?. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana, di bumi yang kontang dan terasing ini Allah perintahkan Nabi Ibrahim membina Kaabah kemudian menyeru manusia mengunjunginya. Jikalau tidak ada Kaabah di Mekah dan makam Rasullullah saw di Madinah pasti tidak ada siapa yang sanggup datang ke daerah asing yang kering kontang ini.
         "Wajib haji cuma sekali sahaja seumur hidup," kataku kepada ayah mertuaku.
        Dia nampak termenung seketika. Entah apa yang difikirkannya hanya Allah swt sahaja yang mengetahuinya. Setelah melepaskan sebuah keluhan maka dia pun berkata.
         Ayah pun ada juga terlintas di hati hendak pergi ke tanah suci tetapi masih belum sampai seru."
        " Belum sampai seru?" aku tersenyum mendengarnya. " Sebenarnya seruan haji sudah lama disampaikan oleh Nabi Ibrahim. Ini dijelaskan oleh Allah swt dalam al Quran surah al Haj ayat 27 yang bermaksud; Serulah manusia untuk mengerjakan haji Nescaya mereka datang dengan berjalan kaki atau menunggang berbagai kenderaan. Mereka datang dari seluruh pelusuk rantau yang jauh."
         Ayah mertuaku tidak menjawab. Dalam hati aku berdoa semoga Allah akan membuka pintu hatinya untuk menunaikan rukun islam yang ke 5 itu. Tambahan pula dia lebih dari mampu samaada di segi tenaga atau pun harta. Di segi tenaga dia masih sihat walaupun usianya sudah 65 tahun. Di segi harta dia punya simpanan di bank dan saham yang beratus ribu jumlahnya. Sebagai seorang ahli korporat dia tergolong sebagai orang kaya.
        " Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud, barangsiapa yang berkemampuan tetapi sengaja tidak mahu menunaikan ibadat haji maka apabila meninggal dunia maka dia mati sebagai Yahudi atau Nasrani kerana engkar perintah Allah," kataku lagi yang akhirnya membuatkan ayah mertuaku naik berang.
        " Aku tahu dan awak jangan cuba nak berkhutbah," katanya dengan nada suara yang tinggi. Kemudian dia keluar dari rumah lalu naik kereta mewah kesayangannya.
          " Sampai di Mekah nanti tolonglah berdoa semoga Allah membukakan pintu hati ayah kamu," kata ibu mertuaku sambil mengesat air mata.
           Dia juga sedih dengan sikap suaminya yang lupa daratan setelah menjadi kaya raya. Kalau dulu suaminya rajin ke masjid tetapi bila sudah kaya asyik mengumpulkan harta sehingga lupa beramal ibadat. Aku berjanji dengan ibu mertuaku akan berdoa di depan Kaabah semoga Allah membuka pintu hati ayah mertuaku supaya insaf dan kembali ke pangkal jalan.
         Kepada saudara mara dan sahabat handai aku memohon maaf jika ada salah silap samaada yang disedari atu tidak kusedari. Maklum sajalah pergi menunaikan ibadat haji belum tentu balik atau tidak. Jika ditakdirkan bersemadi di tanah suci maka dosa-dosa dengan saudara mara sudah dimaafkan.
       Ketika berada dalam perut kapal terbang dan ketika kapal tersebut bergerak meninggalkan lapangan terbang aku sempat melambaikan tangan ke arah orang ramai yang mengiringi keberangkatan kami. Walaupun aku tahu lambaian tangan melalui tingkap cermin kapal terbang itu tentu tidak dapat dilihat oleh isteri dan anak-anakku namun hatiku berasa puas melakukannya.
        Penerbangan dari KLIA ke Jeddah selama lapan jam dan sepanjang perjalanan yang begitu lama itu aku isi dengan membaca al Quran, berzikir dan berfikir. Aku teringat kata-kata sahabatku.
         " Umur masih muda buat apa pergi naik haji. Bila sudah tua baru bertobat dan minta ampun kepada Tuhan," kata Kudin yang memang terkenal seorang yang suka berfoya dengan perempuan dan kaki botol.
         " Adakah kau pasti boleh hidup sampai tua?. Bagaimana kalau kau mati sebelum sempat bertaubat?" Kudin nampak serba salah mendengar kata-kataku. Aku berdoa semoga dia juga akan insaf.
         Oh Tuhan, betapa gembiranya hatiku apabila menjejakkan kaki ke dalam Masjidil Haram yang menjadi tumpuan umat Islam dari seluruh pelusuk dunia. Kulihat lautan manusia yang berpakaian serba putih melambangkan kesucian hati berusaha mendekatkan diri kepada Ilahi. Tanpa membezakan warna kulit atau darjat keturunan masing-masing memenuhi masjid agong untuk beramal ibadat. Ada yang bersembahyang sunat, berzikir atau membaca al Quran. Masing-masing tenggelam dalam kerinduan dan ketakwaan. Aku turut berganding bahu berjalan kesatu arah mengerjakan tawaf mengelilingi Kaabah sambil melafaskan ucapan talbiyah; "Labbaikallahumma, Labbaik, Labbaika, La syarika laka, Labbaik, Innal Hamda, wan nikmata, Laka wal mulk, La syarika lak".
         Selesai mengerjakan tawaf, aku memanjatkan doa di Multazam kerana yakin disitulah antara tempat yang doa mudah dimakbulkan. Bermacam doa yang aku pohonkan untuk diri dan keluargaku. Dan aku tidak lupa berdoa semoga Allah swt membuka pintu hati ayah mertuaku dan sahabatku Kudin supaya insaf dan bertaubat.
         Kemudian aku mengerjakan sembahyang sunat di makam Ibrahim dan selepas itu aku berusaha untuk mengucup Hajaratul Aswad. Apabila berasa dahaga aku meneguk air di telaga zam-zam. Begitulah yang aku lakukan selama berada di tanah suci Mekah kerana ingin merebut ganjaran pahala yang disediakan.
          " Sekali bersembahyang di Masjidil Haram sama pahalanya dengan mengerjakan 100,000 kali sembahyang di tempat lain."
         Masih kuingat kata-kata Ustaz Zaki yang memberi bimbingan ibadat haji sebelum aku berangkat ke Mekah. Kerana itu aku menggunakan kesempatan yang ada untuk beramal ibadat kerana tujuan kedatangan aku ke tanah suci hanyalah untuk beramal ibadat.
         Ketika wukuf di Padang Arafah, kulihat lautan manusia memenuhi padang pasir yang penuh rahsia itu. Di bawah pancaran sinar matahari yang memijar, dan boleh merentungkan kulit itu para hujjaj dengan pakaian ihram dan rambut kusut masai melafaskan takbir dan tahmid yang bergema ke angkasa. Sesungguhnya cuaca di sini sememangnya panas namun kubisikkan ke hati ini bahawa kepanasan cuaca di padang arafah tidak sama dengan kepanasan di padang mahsyar dimana matahari berada sejengkal jaraknya di atas kepala.
         Apabila tiba hari-hari Tasrik, aku dan ribuan para jemaah haji melakukan ibadat melontar jumrah di Mina. Ketika membuat lontaran aku teringat peristiwa Nabi Ibrahim diperintahkan oleh Allah Swt untuk membuat korban dengan menyembelih anaknya Nabi Ismail. Dalam perjalanan ke tempat korban, mereka di hasut oleh iblis, lalu Nabi Ibrahim melontar dengan anak-anak batu ke arah syaitan tersebut.
          Selesai wukuf di Padang Arafah, bermalam di Mina dan melontar tiga jumrah maka semua jemaah haji balik ke tanah suci Mekah. Dengan itu selesailah ibadat haji. Para jemaah haji yang datang awal, mereka mula bersiap untuk pulang ke tanah air. Aku yang datang dalam penerbangan akhir terpaksa menunggu giliran untuk pulang. Sementara menunggu tarikh pulang ke tanah air aku teruskan dengan melakukan ibadat dan berdoa di tempat-tempat yang doa mustajab.
           Kemudian kami di bawa ke Madinah untuk ziarah makam Rasullullah saw dan mengerjakan sembahyang 40 waktu. Ketika berkunjung ke makam Rasullullah saw di Madinah perasaanku terharu dan air mata bercucuran. Kulepaskan rindu dengan menziarahi makam Rasullullah saw berkali-kali Serta mengucapkan selawat berpuluh ribu kali. Ketika berada di Raudah kupanjatkan doa-doa kerana aku yakin disitulah antara tempat yang doa-doa dimakbulkan. Dan sekali lagi aku berdoa semoga ayah mertua dan sahabatku Kudin mendapat hidayah daripada Allah swt. Dan aku bersyukur dapat mengerjakan sembahyang sebanyak 40 waktu di Masjid Nabawi.
         " Barangsiapa yang dapat melakukan sembahyang 40 waktu di Masjid Nabawi nescaya diampunkan oleh Allah swt akan dosanya." Begitu kata ustaz zaki sewaktui memberi ceramah haji kepada kami.
          Aku berdoa semoga dosa-dosaku diampunkan oleh Allah swt . Aku sedar tanpa keampunan daripadaNYa tentu aku tidak dapat melepaskan diri dari siksaan api neraka yang kepanasannya 70 kali ganda daripada siksaan api dunia.
          Akhirnya sampailah saat yang dinantikan bilamana aku kembali ke tanah air. Aku terpegun apabila melihat ayah mertuaku dan Kudin sahabat baikku turut menunggu kepulanganku di lapangan terbang KLIA.
          " InsyaAllah, ayah akan pergi ke tanah suci Mekah tahun depan," kata ayah mertuaku sambil mendakap erat tubuhku.
        " Saya juga telah insaf dan bertaubat. InsyaAllah, saya juga akan ikut jejak langkah kau, Syafiq." Kata Kudin pula ketika bersalaman dengaku.
         Aku mengucap rasa kesyukuran kerana doaku telah dimakbulkan oleh Allah swt. Aku juga berharap ibadatku diterima serta mendapat haji yang Mabror.







No comments:

Post a Comment