26 January 2013
AGENDA
Hasil Karya: TanpaNama
Disenarai Pada: 28 May, 2004
Dream On.....
Mesti mesej emelnya berakhir dengan perkataan itu. Sinis. Dan aku hanya tersenyum sendiri di depan layar komputer. Mungkin dia juga begitu setiap kali menulisnya.
Berperang dengan perasaannya sendiri.
Memang segalanya bermula dengan main-main. Bermain dengan perasaan. Bernakal-nakal di dunia siber. Bernakal-nakal dengan keadaan. Akhirnya menjadi penagih.
Terperangkap dalam emosi.
Melalui denyutan elektronik, menjalari rongga perasaan. Berbual tanpa suara. Berkomunikasi secara bisu. Mesra menguasai diri.
“Kau mesti pergi ke New Orleans!” Mesej yang kuhantar dengan harapan.
“Tak mungkin, dream on!” Jawabannya ringkas.
‘Ekspo Grafik Sedunia ini paling sesuai untuk projek laman web kau. Segala yang terbaru dan terkini, yang belum dipasarkan pun akan di tunjukkan. Perbincangan oleh
para pakar grafik sedunia pasti membuka minda dan memberi inspirasi” Aku terus saja mencuba.
“Lima hari terlalu lama!” Jawabnya. Menampakkan harapan.
“Lima hari akan berlalu sekelip mata. Faedahnya terlalu besar!” Aku terus saja berkempen.
“Apa lagi?” Tanyanya.
“Aku akan betangkan kertas kerja!”
“Itu yang betulnya bukan?”
“Salah satu dari agendanya!”
“Apa kertas kerja kau?”
“Berkomnikasi cara baru di internet, melalui grafik!”
“Cara baru?”
“Kau kena dengar sendiri di New Orleans!”
“Akan kufikirkan!”
Dan aku tahu dia sudah terbeli pujukanku.
Setahun lamanya ulang-alik emel antara kami. Setiap hari. Bait-bait yang ditulis sudah boleh menjadi sebuah novel. Novel romantik dua jiwa di layar komputer.
Dia yang kukenal di sebuah pameran komputer tempatan. Kebetulan mengunjungi satu booth. Bertanya perkara yang sama. Bertukar kad. Alamat emel. Hantar dan
berbalas. Bertukar-tukar maklumat. Bertukar-tukar pendapat.
Dalam berhujah, kadang-kadang bergaduh. Selalu berperang kata-kata.
Tetapi semakin intim. Semakin serius. Dalam cuba mengelakkan begitu. Dalam cuba berpura-pura tiada kesan apa-apa selama pelayaran emel itu.
Dia juga seorang jurutera sistem seperti aku. Kebetulan. Sebaya. Juga kebetulan suaminya seorang ahli perniagaan. Manakala isteriku peniaga jualan terus. Anaknya
dua dan anakku satu.
“Dia memang jarang berada di rumah. Selalu outstation dengan bisnesnya. Ada kalanya satu dua minggu.”
“Sama dengan isteriku. Sering keluar dengan dealersnya. Kadang dua tiga hari.”
“Mereka dan dunia perniagaan. Memburu wang, kekayaan dan glamour!”
“Dan kita menjadi pinggiran dalam rumahtangganya sendiri.”
“Apakah kau tidak berminat menjadi seorang usahawan?”
“Aku selesa makan gaji!”
“Aku juga!”
Ianya lebih dari itu. Mungkin kami tidak ada banyak masa untuk bercakap dengan pasangan masing-masing. Tidak banyak kesempatan untuk meluahkan perasaan
sesama pasangan. Emel dan teknologi bagai saluran terbaik, ruang alternatif. Pasangan maya.
“Bagaimana dengan Eddie?” Tanyaku sewaktu anak sulungnya demam.
“Semakin sembuh!”
“Anakku Arnie kena selsema” Aduku pula.
“Macam Irwan, aku bawa dia ke klinik. Tak sempat habis ubat, baik!”
“Tengoklah balik nanti, kalau makin teruk, aku akan bawa jumpa doktor”
Anak-anaknya yang aku tidak pernah jumpa dan kenal sudah semakin menjadi sebahagian dari kehidupan seharianku. Semakin mesra. Seakan setiap hari kubelai.
Dramatik. Itulah perasaan yang semakin dibuai oleh keinginan.
“Bagaimana kau boleh mengahwini dia?”
“Bercinta di universiti, dia senior aku! Kau?”
“Isteriku dulu sekretariku..... sebelum kahwin lagi sudah dia berjinak dengan jualan langsung. Nampak semakin hebat. Mungkin pendapatan dia lebih banyak dari aku
sendiri. Aku tak kisah. Dia bahagia, aku bahagia!”
“Suamiku bercita tinggi. Mahu jadi jutawan. Sebab itu berniaga hingga tak kenal anak isteri.”
“Habis, sibuk-sibuk dia pun dapat dua anak juga!”
“Kau nakal!”
“Dia sembahyang?”
“Kalau di rumah tu buat juga. Kat luar, Allahuallam!”
“Macam tak percaya suami sendiri saja!”
“Macam tu perangai dia. Isteri kau?
“Isteri aku macam tu juga. Dia tak mahu beranak. Merancang. Lagipun jaga badan, bila dah jadi agen jualan langsung ni kena banyak keluar, mungkin menyusahkan
dia!”
“Kau tak mahu anak ramai ke?”
“Sudah tentu. Aku sukakan budak-budak. Kau?”
“Macam tu juga!”
“Kau sepatutnya mengahwini aku!”
“Jangan fikir yang bukan-bukan!”
“Apa maksud kau?”
“Tak ada apa-apa”
“Apa maksud kau?”
“Tak ada apa-apa. Mengapa? Sudah perasan?”
“Bukan perasan. Kau juga berfikiran begitu?”
“Kau gila, mahu dibunuh oleh suamiku?”
“Mungkin suami kau pun sudah punya yang lain!”
“Jangan bermain dengan api!”
“Api ini sudah pun membakar, bukan?”
“Apa kau tidak takut pada isteri kau?”
“Aku takut pada Tuhan!”
“Kalau begitu kita hentikan semua ini!”
“Kau mahu?”
“Mahu apa?
“Hentikan semua ini!”
“Tak tahu!”
Ianya terhenti sekadar sehari. Itupun hari minggu. Esoknya, emelnya tiba lagi.
“Kau lihat ini, ada seorang budak lelaki ni asyik menghantar emel, mahu berkenalan denganku!”
“Kau layan dia?”
“Aku beritahu yang aku sudah empatpuluhan, anak lima tetapi dia tak percaya terus saja menghantar emel, malah katanya dia tak kisah, budak ni kelakar juga, jurutera
baru balik luar negeri, menggatal dalam emel!”
“Jangan main dengan api!”
“Kau cemburu?”
“Ya, cemburu”
“Kau lagi kelakar!”
“Aku serius!”
“Dream on!”
Sememangnya bukan mudah untuk bermain dengan perasaan. Segalanya diluar dugaan. Diluar jangkaan. Kalau tidak begitu bahana bermain dengan api.
Dan ianya lebih rumit.
Aku seorang suami.
Dia seorang isteri.
Nusyuz dilayar siber?
“Selamat datang ke New Orleans”. Kota yang lima kaki di bawah paras laut. Kota yang sering kukunjungi atas nama seminar.
Dia yang kelihatan letih sekadar tersenyum. Aku lantas membawa begnya ke teksi yang menunggu.
“Mengapa begitu lambat membuat keputusan untuk datang?” Tanyaku bersama deruan enjin teksi menghala ke kota New Orleans. Melintasi kubur atas tanah dan
Superdome.
“Banyak perkara yang kufikirkan!” Jawabnya sambil menghela nafas.
“Apa kata suamimu?”
“Dia kata okay saja. Aku beritahu yang aku minta kau tolong sebab kau salah seorang pendukung Ekspo ini. Lagipun aku dihantar oleh syarikat. Untuk bekerja. Dia kirim
salam!”
Aku tersenyum. “Dia tak cemburu?”
Dia menggeleng. “Dia macam tak kisah, malah dia suruh aku beritahu kau, jaga aku baik-baik!”
“Dia perli agaknya!”
“Mungkin!”
“Kau tahu, semua bilik hotel di sini telah habis ditempah sejak dua bulan lalu. Ada 15 ribu perwakilan dari seluruh dunia.”
“Bukankah kau salah seorang jawatankuasa antarabangsa. Sudah tentu boleh tolong!”
Aku terdiam. “Aku boleh tolong kalau kau beritahu sebulan lalu!”
“Habis macammana?”
“Kita terpaksa berkongsi bilik!”
Dia dengan terkejut memandangku. “Kau gila?”
“Habis kau nak tidur kat kaki lima? Macam para penduduk yang homeless tu?”
Dia terus diam sepanjang perjalanan hingga ke hotel. Sesekali mendengus, macam menyesal. Nampak dia gelisah. Mungkin pelbagai kemungkinan difikirkannya. Aku
sesekali menoleh padanya. Memang dia maseh cantek. Atau apakah itu pandangan mataku saja?
“Ini biliknya!”
Dia memandangku. “Kau takkan apa-apa kan aku!”
Aku mendiamkan diri. Tersenyum nakal.
“Kau nak aku apa-apakan kau ke?”
“Aku bunuh kau!”
Aku tergelak. Berkongsi bilik? Apa aku sudah hilang akal? Aku tertawa.
“Bilik aku kat sebelah!”
Dan dia mengejar aku keliling bilik itu. Ketawa tak henti. Macam anak-anak. Sebetulnya dia bernasib baik. Biliknya itu telah ditempah untuk seorang lagi ahli
jawatankuasa antarabangsa yang aku minta tolong berkongsi dengan seorang rakan lain. Untuk dia.
“Kau lapar?” tanyaku. Penerbangannya dari Los Angeles memakan masa hampir tiga jam lebih.
Dia mengangguk. Manja.
“Jom pergi French Quarters, kemudian kita pergi ke retorak kegemaranku, Café de Monde, makan Hot beighnets dan minum kopi terkenal New Orleans. Sambil dengar
lagu jazz!”
Kami berjalan kaki beberapa blok. Aku sengaja melintasi Bourboun Street yang terkenal itu. New Orleans di penuhi pengunjung ekspo. Di mana-mana dipenuhi manusia.
Bagaikan pesta.
“Bila kertas kerja kau?” Tanyanya sambil mengunyah donut.
“Besok petang. Di Bilik kuliah 45!”
“Apa yang kau bentangkan?”
“Tunggulah besok!”
“Apa lagi agendanya?” Dia mengingatlan pada janji dalam emel tempoh hari.
Sambil mendengar lagu jazz dari tiupan saksofon, aku memandangnya dengan tajam.
“Mengapa kau merenung aku begitu?”
“Itulah agenda besarnya. Tentang kita!”
Dia diam. Lagu jazz itu mengingatkan aku pada zaman aku diuniversiti. Memang aku meminati irama jazz terutama George Benson dan New Orleans adalah kota jazz.
“Kita tidak semakin muda! Semakin kesuntukan masa. Apakah telah kau fikirkan semuanya?”
Dia masih diam sambil menghabiskan makanannya.
Esoknya, selepas selesai membentangkan kertas kerja di bilik kuliah 45, Ernest N. Morial Convention Center, aku segera mengajak dia menyusuri Sungai Mississippi.
Menaiki kapal steam Delta Queen dari Riverwalk.
Kapal yang belayar perlahan itu memang romantik sewaktu hampir senja. Melihat mentari terbenam dari Mississippi berlatarbelakangkan New Orleans. Bersama iringan
lagu-lagu Jazz. Menikmati makan malam hidangan laut.
Dan berdua dengan dia buat pertama kali sebagai pasangan.
“Wau, hebat kertas kerja kau!”
“Itu kerja mengarut. Pakai tangkap muat. Entah apa-apa Aku buat seminggu sebelum datang.”
“Tapi idea itu bagus!”
“Idea itu pun aku dapat sewaktu ber’emelan’ dengan kau. Kaulah yang memberi inspirasi!”
“Iyalah tu!”
“Iya. Dan aku buat kertas kerja untuk dapatkan tiket dan penginapan yang ditaja. Cuti percuma selain kembangkan bakat aku!”
“Tapi kau hebat, sungguh. Aku terpesona dengan cara kau menjawab setiap soalan. Seakan seorang ahli politik. Bijak kau memberi analogi. Dan gaya penyampaian
kau cukup kemas dan padu!”
“Alhamdulilah dan terimakasih. Kau tidak seperti isteriku. Dia tidak pernah menghargainya dan seringkali menganggap aku membuang masa!”
“Mungkin dia tidak memahami”
“Mungkin kerana dia terlalu menghargai duit, bukan kreativiti, bukan intelektual! Aku sebenarnya ingin kau impressed. Ianya lebih penting dari audien lain! Nampaknya
kau terpesona, jadi aku telah berhasil”
Dia diam. Melihat ke arah sungai yang penuh peristiwa dan sejarah itu.
“Bagaimana dengan agenda kita?”
Dia hanya tersenyum.
“New Orleans ini kota yang romatik. Bersama jazz, Bourboun street, Mardi Grass, Creole dan Cajun, Mississippi, French Quarters, dan antaranya ada kita. Di sini aku ingin
bertanya dan aku memang ikhlas. Apakah kau sudi untuk menjadi isteriku?”
“Kau tidak pernah putus asa dan sentiasa memerangkap!”
“Aku telah lama terperangkap dan aku tidak mahu terjerat!”
“Sukar, rumit, kompleks! Kadang-kadang perasaan mengatasi rasional. Aku ingin bersikap rasional, matang dan terpenting, semua ini bukan sekadar satu escapism!
Satu pelarian dari segala kegawatan alam usia tiga puluhan. Atau trend pasangan dekad sembilan puluhan. Aku keliru”
“Aku telah membuat keputusan untuk memperisterikan kau. Aku telah pun memberitahu isteriku tentang itu. Dia memang menentangnya dan aku telah cukup bersedia
dengan segala kemungkinan. Walau apapun aku tidak mendesak dan jauh sekali memaksa, terpulang pada kau!”
“Berikan aku sedikit masa lagi kerana aku takut tersilap perkiraan. Anak-anak, ibubapa, adik beradik, saudara mara, kawan-kawan! Biarpun mungkin suamiku tidak kisah
dengan apa alasan sekalipun, aku terpaksa juga memikirkan tentang perasaan anak-anakku. Tentang aku bermadu, menumpang kasih dengan suami orang. Atau kita
seharusnya memberi peluang kedua pada pasangan masing-masing! ”
“Ambillah masa sebanyak mana kerana aku sudi menanti sampai bila-bila. Selamanya!”
Dia tergelak. “Selamanya? Apa ini Uda dan Dara versi terbaru? Bercinta secara terlarang dan songsang!”
“Ya, kalau sudah jodoh, ianya tidak kemana. Dunia telah berubah. Yang penting, kita tidak membuat sesuatu di luar batasan agama!”
“Apa ini semua tidak menyalahi agama?” Tanyanya sinis. Soalan yang menikam diri sendiri.
Aku terdiam. Memandangnya yang turut terdiam. Kami berpandangan. Lama.
“Hey, kita kebetulan datang bukan? Aku pun tidak menyentuhi kau!” Cubaku mencari alasan. Walaupun ini semua adalah satu agenda yang telah dirancang.
“Satu hari nanti aku akan meminta maaf dengan suami kau, sebelum aku mati! Oleh itu kena cepatlah kau membuat keputusan sebab aku mungkin mati esok!”
Sambungku dalam keadaan serba salah. Sepastinya aku mesti berbuat demikian.
Tiba-tiba seorang tua perempuan berkulit putih yang datang dari arah deck, menegur setelah melihat kami berbual tanpa menghiraukan majlis yang seakan pesta diatas
kapal itu. Tiupan saksofon cukup mengasyikkan.
“Maaf, anda berdua kelihatan romantik, sambut ulangtahun perkahwinan ke?”
Dia menjadi amat serba salah. Sekadar menggangguk perlahan-lahan. Sememangnya hari itu adalah ulangtahun perkahwinannya yang ke sepuluh. Dan merayakannya
bersama aku!
Perempuan itu mencium pipinya. “Tahniah, semuga bahagia selamanya!”
Aku tersenyum. Mengharapkan begitulah, antara aku dan dia.
Dalam ketawa, cepat-cepat aku membisikkannya sebelum dia sempat mengucapkannya.
“Dream on!”
~TAMAT~
Labels:
Koleksi Novel
"Keturah adalah bonda kami,
wajahnya lembut tiada amarah,
berwatak tenang hilang hanahorragha
Budi pekerti pekerma diraja
Jika bersimpuh,bima diwani
...Jika berkata,
sukkachitta
melapas dukka
sutramawarni
Keturah adalah bonda kami
seroja dilangit
kemboja berlayupan di darat
airmata hidangkan dengan senyuman
mentari jadi salju dedayu
Keturah adalah bonda kami
pelukan kasih seorang ibu
bagai syurgaloka
seri dharma"
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment