24 November 2010

SEBENING CINTA


Hasil Karya: Blueprincess3001
Disenarai Pada: 11 May, 2004


Hari semakin galak melabuhkan tirai malam. Saat itu hatinya menangis lagi. Kesedihan yang dilalui setiap hari amat menghantui jiwa.

Dia tersadai lesu di kerusi empuk, namun tidak mendatangkan keselesaan pada dirinya. Pintu itu terbuka lagi dan menambah perencah kesunyian malam.


Pandangan Azam tertumpu padanya namun tidak memberi sebarang makna. Dia berlalu melewati kamar indah itu dan membentangkan tilam berdekatan tingkap lalu berbaring berbantalkan lengan. Perasaan Azah kala itu sungguh terseksa dengan segala tindakannya.
Perkahwinan yang tidak dijangka hanya meninggalkan kesan yang mendalam kepadanya. Itulah yang terjadi pada dirinya dan Azam, lelaki yang baru dikenalinya pada malam jahanam itu. Peristiwa hitam itu menjelma lagi . . .
“Azah, marilah la join sekali. Kau dok melangut kat situ pun bukannya dapat apa-apa!”

Celaka punya Rina, terkejut aku. Tengah syok punya berangan, kacau daun betul. “Woi Rina, kalau tak kacau aku boleh tak! Kau nak main, main jelah. Tak payah ajak aku. Kalau kau nak tahu sangat aku ni tangan bangku. Tak reti tampar bola. Samalah dengan orang yang kaki bangku. Tak reti sepak bola. Faham?” Pernyataanku disahut dengan hilai tawa teman lain. Lantaklah janji aku selamat.

Kesempatan yang ada kuisi dengan menikmati keindahan Pantai Teluk Cempedak itu. Pada ku di pantailah terhimpun segala kedamaian dan keriangan yang tidak terdapat di tempat lain. Setelah penat berjalan, kulabuhkan diri di atas batu yang tercanai indah. Saat itu kulalui dengan menikmati rembang senja yang kurasakan sesuai bagi insan yang hidup dalam kesibukan.

**********************************

“Azah, kau nak balik bilik dah ke? Lepaklah dulu. Kami nak pergi minum kejap lagi,” ajak Rina.

“Kau pergi jelah. Aku tak haus. Lagipun dalam bilik pun ada air kan. Aku minum kat dalam bilik jelah,” katanya menolak ajakan teman.

“Suka hati kaulah. Tapi kalau kau tak sihat ke atau ada problem kau cakap ngan aku yer. Aku pergi dulu. Jumpa kat bilik nanti. Bye,” kata Rina sambil melambaikan tangannya kepada Azah.

Azah menyanyi-nyanyi kecil sepanjang perjalanan ke biliknya. Namun nyanyiannya terhenti tatkala mendengar suatu bunyi di belakangnya. Dia berhenti dan menoleh ke belakang. Namun tiada apa-apa yang mencurigakan. Dia terus melangkah dan sekali lagi dia mendengar bunyi bising yang sama. Hatinya diruntun ketakutan. Dia seperti ternampak bayangan suatu makhluk di sebalik dinding sana. Dia ketakutan dan berniat meminta bantuan. Ternampak satu pintu yang renggang daripada pintu-pintu bilik yang lain. Dia berlari dan memasuki bilik itu. Bukan niatnya menceroboh tapi itu sajalah cara yang dapat difikirkan di saat darurat seperti itu.

Sebaik sahaja memasuki bilik itu, kelihatan seorang pemuda sedang berehat di katilnya sambil menonton televisyen. Kehadiran Azah di situ membuat pemuda itu bangkit dari pembaringannya.

“Eh, siapa awak ni? Apa awak buat kat bilik saya?” dia bertanya bertalu-talu.

“Maaf encik. Ada orang ikut saya tadi. Saya takut, jadi saya pun larilah kat sini.” jawabnya menerangkan keadaan sebenar.

“Ada orang ikut awak? Siapa? Awak kenal ke?” tanyanya lagi dan berlalu ke pintu untuk mengintai keluar.

Sebaik pintu dibuka, terlihat olehnya empat orang yang lagaknya seperti pegawai agama. Dia terpana seketika dan tergamam.

“Awak disyaki berkhalwat. Sila berikan kad pengenalan awak.” kata salah seorang daripada mereka. Tergamam Azam seketika. Dia menoleh ke arah Azah dan mereka berpandangan seketika.

“Kami tak salah cik. Tolonglah dengar dulu penjelasan saya.” kata Azah seperti hendak menangis.

“Betul cik.Kami tak salah,” tokok Azam.

“Semua yang kami tangkap pun mengaku tak salah.Sila ikut kami ke balai.”

Ucapan itu membuatkan Azah meraung dan Azam kepucatan.

********************************

“Awak! Awak! Bangunlah. Dah subuh nie,” kata Azah sambil menggerak-gerakkan bahu Azam.

Dia menggeliat dan tiba-tiba bangun mengejut. “Apa kau buat kat sini? Jangan ingat bila kau dah kahwin dengan aku, aku akan terima kau!” katanya dengan nada marah.

Azah terpana.Tak disangka itu yang diucapkan lelaki tersebut. “Saya cuma nak kejutkan awak bangun je. Bukan apapun,” kata Azah dengan nada perlahan.

“Lepas ni tak payah kejutkan aku! Aku tahu bangun sendiri.Tak payah buat baik depan aku. Meluat aku tengok!” kata Azam dan berlalu ke bilik solat untuk membersihkan diri serta menunaikan kewajipan solat.

Semenjak perkahwinan itu, dia tinggal di rumah Azam. Azam hanya ke bilik apabila tiba waktu tidur sahaja. Masa yang lain banyak dihabiskan di pejabat dan bilik bacaannya di rumah. Azah pula bekerja seperti biasa dan akan ke bilik memerapkan diri selepas pulang dari tempat kerjanya. Azam masih tidak dapat menerimanya. Dia disangka sengaja memerangkap Azam.

You dengarlah dulu penjelasan I!”

“Tak ada apa-apa lagi yang boleh you jelaskan pada I. Patutlah you beria-ria sangat nak pergi hari tu. Rupanya nak berfoya dengan perempuan lain!” kata Ita dengan nada sinis.

You dengarlah dulu. I tak kenal pun siapa perempuan tu. Tiba-tiba je dia masuk bilik I dan bila I buka je pintu kami dah kena tangkap. I tak boleh buat apa-apa lagi masa tu!” katanya cuba menjelaskan kekusutan yang melanda.

You tak payahlah nak perbodohkan I. You pun bukannya baik sangat. Kalau berani buat, beranilah tanggung!” Ita menyiku Azam dengan kasar. “I tak nak ada apa-apa hubungan lagi antara kita.” sambungnya lagi seraya berlalu dari situ.

Azam mendengus kasar dan menumbuk meja pejabatnya dengan kuat. Geram dengan insiden yang berlaku tadi.

“Aku takkan lepaskan kau! Kau yang hancurkan semua kebahagiaan aku! Aku nak kau rasa semua yang aku rasa!” kata Azam sambil mengepalkan tangannya seperti berjanji.

Azah terkejut. Tendangan di pintu mengejutkannya yang sedang menonton televisyen. Dia menutup televisyen dan berlalu ke ruang tamu, kelihatan kelibat Azam di muka pintu dengan mata yang merah menyala.

“Awak rupanya. Ingatkan apa tadi,” katanya mendatar sambil tersenyum. Dia tidak boleh menipu mengatakan dia tidak takut dengan lelaki itu. Renungannya saja boleh membuatkan dirinya dilanda ketidaktentuan.

Azam yang dalam kemarahan bertambah marah apabila terlihat Azah di situ. Dendamnya mesti berbalas. Dia merenung Azah dengan tajam dan menutup pintu rumah dengan kasar.
Azah tahu Azam sedang marah dan mungkin dirinya yang dimarah. Azah kecut perut. Azam menghampirinya dengan perlahan dan menghempas begnya dengan kuat ke lantai. Azah tersentak.

“Kau tahu tak kau dah banyak susahkan aku! Kau perangkap aku sampai aku terpaksa kahwin dengan kau. Dan sekarang kekasih aku pulak tinggalkan aku! Aku tak boleh tengok kau senyum. Kau tak layak senyum atas semua kehancuran yang kau hadiahkan pada aku!” katanya seraya menarik tangan Azah. Dengan ganas dia diheret ke tingkat atas. Bila saja dirinya melawan, kepalanya akan dihantuk ke dinding. Azah berasa amat takut. Dia mengikut saja rentak Azam.

********************************

Azah menangis lagi. Dirinya dirasakan kotor. Dia dirogol dengan kejam oleh suaminya sendiri. Terdapat kesan lebam di sana sini akibat perbuatan Azam. Dia ditinggalkan terkapai-kapai seorang diri selepas dilakukan sesuka hati. Azam sudah hilang entah kemana. Azah berasa teramat pening dan akhirnya pengsan di atas katil.

Sebaik sahaja dia membuka matanya, hari sudah beransur subuh. Badannya berasa amat sakit dan dia bergerak perlahan-lahan menuruni kamar indah itu untuk membersihkan dirinya.

Apabila saja dia berada di hadapan cermin, dia dapat melihat kesan lebam di muka dan tengkuknya. Dia merintih sewaktu butiran air mengenai tubuhnya. Pedih yang dirasai seperti sampai ke tulang sumsum. Kepalanya mula terasa berat dan akhirnya dia rebah ke lantai.
Azam yang baru bangun dari lenanya menaiki tangga untuk ke kamarnya. Pada mulanya,dia berasa segan untuk masuk ke bilik itu namun nasi sudah menjadi bubur. Digagahi juga dirinya berdepan dengan Azah.

Dia berasa amat bersalah kerana memperlakukan Azah sedemikian rupa namun dendam yang bertakhta di hatinya lebih menguasai fikiran tanpa dapat dikawal. Niat untuk menunaikan solat terbantut apabila bilik air itu sedang digunakan Azah.

Dia mengambil keputusan untuk menggunakan bilik air di bilik bawah. Namun hatinya mengesyaki sesuatu yang tidak baik. Dia menekap telinga di pintu bilik air dan hanya terdengar juraian air yang menghentam lantai. Dia berasa tidak sedap hati. Dia mula memanggil-manggil Azah.

“Oii, bukak pintu bilik air nie!” bentaknya sambil mengetuk pintu dengan kuat tetapi keadaan senyap sahaja.

“Bukak pintu nie aku kata!” ulangnya lagi sambil mengetuk pintu dengan lebih kuat lagi.
Keadaan senyap sunyi itu mengundang Azam untuk menendang saja pintu itu. Sebaik pintu itu terbuka, kelihatan kelibat Azah yang terbaring dilantai serta dihujani manik-manik air dari pancuran. Azam tergamam dan pantas memangku Azah yang masih tidak sedarkan diri. Perasaan bersalah menguasai dirinya.

“Awak! Awak! Bangun awak!” katanya sambil menepuk-nepuk pipi Azah. “Awak, bangunlah! Saya tahu saya dah buat silap. Saya berlaku kasar atas diri awak,” ucapannya berbaur penyesalan.

Akhirnya dia mengambil keputusan untuk membawa Azah ke klinik selepas Azah masih tidak sedarkan diri. Dia segera menyalinkan baju Azah dan juga menggantikan bajunya yang sudah basah kuyup itu.

Sepanjang perjalanan ke klinik, perasaan Azam tidak ketentuan. Sesekali dia menoleh cemas ke arah Azah yang masih seperti tadi. Setibanya di tempat yang dituju, Azam segera mengangkat Azah dan mendaftarkan namanya di kaunter. Nasibnya baik kerana pada masa itu tiada pesakit lain. Azah segera dibawa ke bilik rawatan.

********************************

Azam menatang dulang berisi bubur itu perlahan-lahan menaiki tangga. Dia meletakkan bubur itu perlahan di sudut meja dan berlalu ke kamar di mana Azah ditempatkan. Dia menggenggam erat tangan Azah dan mengejutkannya dari lena yang panjang itu.

“Awak! Bangun awak. Saya dah siapkan makanan untuk awak ni. Bangun sayang,” katanya sambil mengelus-elus rambut Azah.

Azah terbangun dari lenanya dan terpinga-pinga apabila terpandang Azam di hadapannya yang menggenggam erat tangannya. Dia segera menarik tangannya dari genggaman itu dan mula menjauhkan diri. Takut dirinya dikasari lagi.

Azam berasa hati dengan tindakan Azah itu. Dia menundukkan kepala dan tiba-tiba kelihatan beberapa titisan air mata jatuh dari kelopak matanya. Azah terpaku.

“Saya tahu saya bersalah pada awak. Saya berbuat sesuka hati tanpa kerelaan awak. Tapi tolonglah bagi peluang pada saya. Saya akan cuba membahagiakan awak. Saya takkan ungkit kisah perkahwinan kita,” katanya dan terus menyembam mukanya ke lutut Azah. Dia teresak-esak menahan perasaan kesalnya.

Azah turut merasai suasana sedih itu. Dia turut menangis hiba melihat keadaan Azam sebegitu rupa. Perlahan-lahan tangannya diberanikan menyentuh dan mengelus-elus rambut Azam yang kehitaman itu. Tidak dinafikan, sebagai perempuan dia turut menyayangi lelaki itu lebih-lebih lagi lelaki itu adalah suaminya. Azam merasai sentuhan itu lalu mengangkat mukanya merenung Azah. Kelihatan wajah Azah sudah dibanjiri manik-manik air mata dan perlahan-lahan jatuh menimpa tangan Azam. Azam mengesat airmata itu dan spontan memeluk Azah. Azah berasa amat selamat berada dalam pelukan itu. Dia melepaskan segala kesedihannya di bahu lelaki itu. Lama mereka berpelukan dan akhirnya dileraikan oleh Azam.

“Awak maafkan saya tak?” katanya sambil memegang kedua bahu Azah dan merenungnya.

“Apa yang saya nak maafkan. Saya yang bersalah pada awak. Kan saya yang memerangkap awak,” katanya sambil teresak-esak.

“Tak…. Saya yang bersalah pada awak. Saya yang menyebabkan awak sakit macam ni,” ucapnya seperti berbisik.

“Awak boleh buat apa yang awak suka kalau itu yang boleh membuatkan hati awak puas,” katanya sambil menundukkan kepala.

“Tak kisahlah siapa pun yang bersalah tapi tolonglah bagi saya peluang untuk membahagiakan diri awak. Saya... saya... akan cuba menyayangi diri awak sampai akhir hayat saya,” Azam terus merayu dengan nada perlahan.

Azah tersentak dengan pengakuan itu. Perlahan-lahan dia mengangkat muka dan membalas renungan Azam. Ada ketenangan di situ. “Awak janji awak takkan persiakan saya?” ucapnya meminta kepastian.

Azam memandang Azah seraya tersenyum dan mengangguk perlahan. Mereka berpelukan kembali. Sesungguhnya, dia berasa damai dengan keadaan itu. Bayu, kau terbangkanlah kedukaan ini jauh dari kami dan berikanlah kami kenikmatan hembusanmu. Sesungguhnya sebening cinta ini amat bermakna bagiku.



No comments:

Post a Comment