29 November 2010

PUTERA DI HATI PUTERI


Hasil Karya: Aelliea
Disenarai Pada: 09 May, 2004
Aku keluar dari kereta lalu membetulkan baju kebaya berwarna biruku dari berkeronyok. Pintu kereta aku kunci lalu menuju ke pintu masuk utama. Namun, langkahku berhenti di belakang kereta Citroen tersebut.Aku membelek plat nombornya.
Sah! Memang kereta dia. Masih setia rupanya dia dengan kereta kesayangannya itu. Aku melangkah perlahan menuju ke restoran.
"Selamat datang. Nell, apa khabar?", tegur Faizal apabila aku sudah tiba di meja penyambut tetamu.
"Terima kasih. Alhamdulillah," ucapku pendek tersenyum melihat teman lamaku yang tidak banyak berubah. Masih sihat berisi macam dulu.

"Enjoy yourself," pelawanya. Aku hanya mengangguk lalu menuju ke dewan makan yang agak sesak dengan bekas-bekas pelajar dari batch yang sama denganku dulu. Dari jauh aku melihat Azman melambai-lambaikan tangannya bersama senyuman gembiranya melihat kehadiranku di majlis itu.
"Nell! Thanks for coming. Man tahu Nell takan hampakan kami," ucapnya gembira dan terharu. Aku hanya tersenyum lalu memohon diri ke ruang dewan apabila melihat semakin ramai yang datang.
"Nell!" Terdengar namaku dilaungkan. Berpusing kepalaku mencari arah suara yang begitu aku kenali. Sedar-sedarnya seorang wanita ayu bertudung kuning sudah berdiri di hadapanku dengan senyuman lebarnya. Tidak berubah langsung kawan aku yang seorang ni.
"Hai, Yan!" tegurku pendek lalu kami berpelukan. Terlalu rindu aku padanya. Sudah lama kami berpisah. Tidak! Sebenarnya aku yang sengaja memisahkan diriku dari mereka. Aku yang pergi membawa diri setelah aku dikhianati oleh teman-temanku sendiri. Walau hanya sebuah cerita lama namun masih segar di ingatanku.
"Rindunya Yan pada Nell. Kenapa jauh sangat bawa diri? Dah tak ingat pada kawan, ke?" marahnya melepaskan geram barangkali. Aku hanya tersenyum.
"Jom, Yan nak kenalkan Nell dengan my beloved hubby." Pangkal lenganku dicapainya lalu menarikku ke sebuah meja di hujung dewan. Kelihatan Farid, Kamarul, Natasha dan Isnaini bersama pasangan masing-masing duduk di meja tersebut. Aku saja yang datang seorang diri. Masing-masing bagaikan tergamam melihatku. Macamlah dah berkurun tak tengok aku.
"Nell!" jerit Natasha dan Isnaini lalu memelukku. Walaupun kami tidak rapat tapi kami tetap teman sekuliah selama dua tahun. Ternyata tidak banyak perubahan pada diri mereka. Aku menyalami Kamarul dan Farid. Aku tahu mereka semua sudah berkahwin. Aku duduk di sebelah Liana.
"Kahwin juga Yan dengan pakcik tu, ye?" usikku sambil menjeling Hazlan di sisi yang hanya ketawa mendengar.
"Dah jodoh, Nell. Nak buat macam mana. Kalau tak nak pun kenalah kahwin juga," sambut Hazlan mengusik Liana mengundang ketawa kami.
"Eleh! Dia yang terhegeh-hegeh nak kat kita, kita pula yang dapat nama buruk," sampuk Liana tidak mahu kalah. Terhibur hatiku sejenak dengan gelagat pasangan tersebut. Gurauan tidak pernah hilang di dalam hubungan mereka.
"Dengar cerita, Nell kerja di bank. Betul ke?" tanya Kamarul.
"Itu lima tahun dulu. Nell dah tak kerja. Duduk rumah buka ladang anggur sendiri sekarang ni," sambutku selamba.
"Ada orang tanggung seronoklah. Eh! Dengar cerita Nell baru balik dari US. Betul ke?" Natasha pula menyampuk.
"Haah. Mama dan Papa dah bising suruh balik. Turutkan jugalah. Kalau tidak nanti ada pula yang report kat duta," jawabku pendek.
"Nell, aku tengok hang ni kan makin lama makin lawalah. Mesti marka hang pun handsome gak, kan? Awat hang tak bawa dia sama? Takkan nak sorok, kot? Hang takut marka hang kena kidnap macam dulu lagi ke?" Farid pula mengusik dengan loghat utaranya yang pekat. Aku hanya mencebik.
"Tuan puterilah katakan. Nama pun Puteri Nalia. Mestilah lawa. Apalah hang ni, Farid. Takkan tak pernah dengar cerita dongeng dulu. Kalau namanya tuan puteri mestilah cantik menawan dan anggun. Sopan-santun dan berbudi bahasa macam Nell ni. Cuma bezanya dia ni ada sikit loyar buruk je. Puteri modenlah katakan," usik Kamarul. Aku hanya menecebik mendengar pujian mereka.
"Tak adalah. Nell baru je kena tinggal dek keretapi. Lagipun siapalah yang sudi kat Nell ni. Dahlah rupa tak ada. Harta pun sekangkang kera je."

Kamarul dan Farid mencebik mengejek. "Tulah. Dulu kami nak ngorat hang jual mahal sangat. Kalau tak hang dah jadi bini salah seorang dari kita orang, tau tak," Farid menyampuk. Kali ini aku pula mencebik mengejek kata-kata mereka. Isteri mereka hanya tersenyum.

"Malaslah nak layan korang. Tak ada modal lain ke nak cerita?" aku mula mengalah.
"Nell, siapa putera tu? Kau masih nak tunggu dia lagi ke? Takkan kau nak tunggu penculik tu pulangkan dia semula?" Kamarul bertanya. Barangkali dia masih ingat tentang ceritaku dulu. Buah hatiku diculik orang. Ada riak tidak puas hati pada wajahnya. Aku hanya menjungkit bahu sambil tersenyum. Biarlah rahsia tetap menjadi rahsia.
"Sampai bila kau nak tunggu dia? Entah-entah dia dah kahwin ke, bertunang ke," Farid pula menduga.
"Bukan ke jodoh tu di tangan Tuhan. Bila kita sayangkan seseorang tu tak semestinya orang tu kena balas perasaan yang kita ada. Nell ikhlas. Asalkan dia bahagia Nell tumpang bahagia," jelasku. Mereka hanya mengangguk faham. Kalaulah mereka tahu siapa putera tu, mesti kecoh dewan ni.
"Kau memang tak berubah, Nell. Kau selalu pentingkan perasaan orang lain dari perasaan kau sendiri. Sudahnya kau selalu kena aniaya dengan mereka," Natasha bersuara tanpa kuduga. Aku hanya tersenyum.
"Dahlah. Jom pergi ambil makanan, Nell. Kalau dilayan diorang ni sampai esok pun tak habis," ajak Liana lalu menarik tanganku ke meja buffet. Aku hanya menurut tanpa bersuara.
Aku hanya mengambil makanan pemanis mulut sekadar mengalas perut. Seleraku telah hilang. Liana masih memilih beberapa jenis makanan ringan dan buah-buahan pencuci mulut. Tiba-tiba deria bauku menangkap haruman minyak wangi yang cukup aku kenali. Tidak mungkin dia. Ah! Bukan dia seorang saja yang pakai jenama itu. Aku berpaling untuk menuju ke mejaku tapi langkahku terhenti apabila melihat seorang jejaka tampan berdiri betul-betul di hadapanku. Tersenyum tenang. Sudah lama aku rindu untuk melihat senyuman indah itu. Sudah lama aku tidak menatap ketenangan yang ada padanya. Sudah lama aku rindu pada si jejaka yang pernah aku sandarkan harapan.
"Nell, apa khabar?" tegurnya.
"Alhamdulillah, baik. Hazrul?"
"Alhamdulillah. You look gorgeous tonight, Nell. Hazrul hampir tak kenal.
Si kecil dulu dah jauh berubah," pujinya. Aku hanya ketawa kecil.

"As time goes by, human change, Hazrul. Sedangkan pantai lagi akan berubah. Inikan pula manusia yang punya akal dan perasaan. Sedangkan bayi lagi membesar, inikan pula Nell," jawabku.
"Kenapa Nell lama menyepikan diri? Merajuk ke?"
"Siapalah Nell nak merajuk dengan orang. Nell bukan merajuk tapi saja bawa diri sebab nak cari kedamaian," jelasku. Hazrul mengangguk lemah. Matanya masih merenungku. Aku jadi rimas.
"Sorry. Nell nak ke sana dulu," pintaku lalu berlalu tanpa menunggunya bersuara.
"Nell borak apa dengan dia?" tanya Liana sebaik aku duduk semula di tempatku.
"Tak ada apa. Sekadar tanya khabar. Dia tak berubah langsung, kan? Cuma makin handsome je." Liana hanya mengiakan saja kenyataan yang kubuat.
"Nell tak nak jumpa Iza?" soal Liana mengejutkanku. Wajah itu kutenung lama.
"Yan nampak dia tadi kat meja hujung sana. Tapi, Yan tengok Hazrul duduk kat meja lain. Mereka tak jadi kahwin ke?" Aku hanya menjungkit bahu.
"Dah tujuh tahun Nell tak dengar cerita pasal mereka berdua. The latest update Nell dapat tahu dia dah balik dari UK. Itupun sebab Nell terjumpa dengan adik dia. Kalau tak haram Nell tahu. Iza pula langsung senyap. Bukan dia tak tahu nombor telefon Nell. Orang dah tak sudi takkan Nell pula pipi tak mancung," jelasku.
"Nell masih harapkan dia andai kata dia memang belum berkahwin?" duga Liana. Aku termenung sejenak.
"Enggang dan pipit boleh terbang dan bertenggek di dahan yang sama, Yan. Tapi, susah untuk pipit hidup di dalam kelompok enggang selamanya. Kalau ada pun mungkin sebab pipit tu antara pipit yang terpilih di kalangan enggang. Kita belajar dari pengalaman, Yan. Jangan memaksa diri kita menjadi sesuatu yang sememangnya bukan diri kita", jelasku lebar. Liana menggenggam jemariku erat.
"Yan tak pernah berhenti berdoa moga Nell adalah pipit yang terpilih untuk hidup bersama enggang."
"Terima kasih, Yan. Kerana memahami dan mengerti apa yang Nell lalui. Hidup kita ibarat percaturan. Sama ada kita berani menanggung risiko atau biarkan hidup kita mendatar tanpa tujuan."
Perbualan kami terhenti apabila suara nyaring Suzila dan Shukri sebagai pengacara majlis kedengaran di atas pentas memberi ucapan. Kemudian diikuti bacaan doa untuk teman-teman dan pensyarah yang telah pulang ke rahmatullah. Aku merenung wajah teman-temanku satu persatu. Kelak, doa itu akan disedekahkan untukku juga, teman. Selesai bacaan doa, kami dikejutkan pula dengan pengumuman khas untuk mereka yang telah berjaya. Turut tersenarai nama Hazrul. Sememangnya dia mampu berjaya. Sifat kepimpinan dan ketegasannya itulah yang memikat hati kecilku sejak dahulu lagi.
Acara diteruskan lagi dengan nyanyian karaoke dari teman-teman. Masing-masing sibuk mengambil kesempatan menayangkan bakat terpendam. Terhibur hatiku sejenak. Sesekali mataku merayap ke sekeliling dewan. Melihat teman-teman yang tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan zaman kuliah dulu. Tiba-tiba, mataku terhenti di sebuah meja. Hazrul tenang merenungku sambil tersenyum. Aku membalas senyuman itu lalu mataku beralih ke meja yang diduduki oleh Afiza. Sudah berkahwin rupanya dia.
"Nell tengok siapa tu?" tegur Liana.
"Tengok kawan-kawan kita dulu. Tak sangka kita boleh jumpa balik kat sini. Lepas ni, kalau dah tak jumpa pun, Nell dah tak kisah. Nell dah tak terkilan", luahku. Jemariku digenggam Liana erat.
"Apa maksud Nell? Yan tak faham. Nell nak ke mana?", tanyanya bertalu.
"Tak ke mana. Manalah tahu masa tu Nell kena outstation ke, pindah jauh ke. Macam mana Nell nak datang?" dalihku. Liana tenung wajahku tajam. Aku tahu dia masih tidak puas hati.
"Nell, are you hiding something from me?" tanyanya curiga.
"Tak adalah", sambutku sambil ketawa kecil. Aku menjenguk jam di lengan. Sudah hampir ke angka sebelas malam.
"Nell nak minta diri dululah," pintaku tiba-tiba. Teman semejaku terkejut.
"Awalnya nak balik, Nell?" Farid bersuara.
"Nell tinggal luar dari KL. Kalau balik lambat nanti mak risau pula. Insya Allah, kalau ada rezeki dan dipanjangkan umur, lain kali kita jumpa lagi." Aku mengerling Liana di sisi. Ada kekeruhan pada wajah itu. Aku bingkas bangun lalu menyalami mereka semua. Liana memelukku erat bagaikan tidak mahu berpisah denganku.
"Nell, jangan sorokkan diri Nell lagi dari Yan, ye?" pintanya. Aku hanya tersenyum lalu mengangguk berjanji.
Langkahku lemah menuju ke pintu masuk utama apabila tiba-tiba namaku diseru. Aku berpaling. Wajah Iza sudah basah dilinangi air mata.
"Maafkan Iza, Nell," pintanya. Berkerut dahiku mendengar ucapan itu.
"Iza tak pernah salah dengan Nell. Kenapa nak minta maaf pula?" tanyaku pelik. Tubuhku dipeluk Iza erat. Terasa bayi di dalam kandungannya turut bergerak bagaikan memberontak memohon kemaafan dariku untuk ibunya. Aku leraikan pelukan Iza.
"Iza bersalah dengan Nell. Iza kawan yang tak pandai menilai kebaikan Nell pada Iza. Iza terlalu ikutkan perasaan sampai Iza jadi terlalu tamak dan kejam," akuinya tanpa kuduga.
"Iza cakap apa ni?".
"Iza tahu Nell baik. Tapi, sebab Hazrul Iza sanggup buang Nell dari hidup kami. Iza cuba jauhkan Hazrul dari Nell. Iza cemburu. Tapi, Iza silap. Kasih Hazrul pada Iza tak sama dengan Nell. Dia sayangkan kita tapi dia terlalu mengingati Nell lebih dari Iza. Iza cemburu. Iza rasa tertekan. Akhirnya, Iza sedar. Sebenarnya Hazrul ada perasaan pada Nell tapi keadaan tak seperti yang kita duga. Perhubungan yang Iza harapkan sempurna rupanya telah cacat sejak Nell jauh dari kami. Nell, Hazrul menyintai Nell," jelasnya. Tersentak aku sejenak.
"Yang lepas biarlah berlalu, Iza. Nell dah tak harapkan apa-apa lagi. Asalkan kita semua hidup gembira, itu sudah memadai pada Nell. Nell ada kehidupan Nell sendiri," akuiku. Iza menggamit seseorang menghampiri kami. Seorang jejaka tampan memeluk bahunya penuh kasih sayang.
"Kenalkan suami Iza, Syafik. Abang, inilah Nell," perkenalnya. Kami bersalaman.
"Maafkan kesalahan Iza. Kalau tidak Nell dah bahagia dengan Hazrul."
"Tak ada apa-apalah. Maaf, Iza. Nell kena balik dulu. Dah lewat ni," pohonku lalu kami berpelukan buat kali terakhir. Aku melangkah deras menuju ke keretaku. Makin lama aku di situ semakin banyak adegan yang harus aku tempuhi. Air mata sudah tidak terbendung olehku lagi.
"Nell!" Sekali lagi namaku diseru. Aku tidak menoleh. Langkahku terhenti. Hazrul berdiri di hadapanku.
"Maaf, Nell nak balik. Dah lewat ni", pintaku lalu memotongnya. Pantas jemariku mencapai kunci lalu membuka pintu kereta tapi tindakan Hazrul lebih pantas mencapai kunci di tanganku sebelum sempat aku membuka pintu kereta.
"Nell, we need to talk," katanya.
"Tentang apa lagi? Dah tak ada apa yang nak diceritakan lagi."
"Nell, please," rayunya. Benarkah ini Hazrul yang aku kenal? Aku merenung wajahnya lama. Wajah iras Azhar Sulaiman itu tidak pernah padam dari ingatanku semenjak sembilan tahun yang lalu. Walaupun, aku sudah miliki pengganti selepasnya, kasih itu tidak pernah padam. Hanya dia putera di hatiku.
"Cakaplah apa dia," akurku perlahan lalu bersandar di sisi keretaku.
"I love you, Nell. From deep inside of my heart," luahnya tanpa kuduga. Aku tergelak kecil mendengarnya. Kali ini mataku tertumpu pada anak matanya. Jujurkah kata-katanya itu?
"Jangan nak merepeklah malam-malam macam ni, Hazrul," ujarku.
"I'm not joking. Hazrul sayangkan Nell. Ikhlas dari lubuk hati Hazrul. Hazrul tak sedar bila perasaan tu datang tapi Hazrul tak boleh tipu diri Hazrul yang sesungguhnya, Hazrul memang sayangkan Nell seadanya Nell," luahnya. Aku berpaling ke arah lain. Air mata yang sudah bertakung di kolam mataku cuba kutahan. Terima kasih, sayang untuk pengakuan ikhlasmu.
"Nell, Hazrul tahu Hazrul bersalah di atas apa yang telah berlaku dulu tapi Hazrul tak berniat nak buat macam tu. Please understand me," rayunya.

Aku membuka pintu kereta perlahan-lahan. "Hazrul, Nell sayangkan Hazrul macam mana seorang adik sayangkan abangnya. Hazrul lupa dulu Hazrul selalu cakap Nell adik yang baik. Hazrul sayangkan Nell macam Hazrul sayangkan adik-adik Hazrul. Sebab tu Nell tak pernah mengharapkan apa-apa.
So, I just can't take it if you said you love me," giliranku pula bersuara.

"Kalau Nell anggap macam tu, kenapa Nell larikan diri dari Hazrul?"
"Siapa yang larikan diri dari siapa, Hazrul?" suaraku mulai tegang dan tinggi.
"Hazrul lupa macam mana layanan Hazrul pada hari terakhir kita di kolej dulu? Hazrul lupa macam mana sikap Hazrul setiap kali Nell telefon? Hazrul lupa, Nell pernah cari Hazrul tapi apa yang Nell dapat? Nothing! Hazrul tahu Nell kerja kat mana tapi pernah ke Hazrul datang jumpa Nell? Hazrul tak pernah peduli nak tanya di mana Nell tinggal. Hazrul tak pernah nak minta nombor telefon Nell. You never bothered about me. Salah Nell juga ke semua tu?" luahku melepaskan segala yang terpendam di hati. Air mata yang mengalir kubiarkan saja. Hazrul meraup wajahnya kesal.
"Nell tak minta banyak. Hazrul tahu apa yang Nell rasa bila Nell dipulaukan dan diketepikan? Nell rasa terkontang-kanting. Nell rasa semua orang menunding jari pada Nell. Semua orang kata Nell tikam kawan baik sendiri dari belakang. Semua tuduh Nell terlalu pentingkan diri sendiri sedangkan Nell sendiri tertanya-tanya sampai hari ni kenapa semua tu terjadi pada Nell. Salah Nell juga ke semua tu?" sambungku kesal. Suaraku yang tegang mulai kendur. Aku jatuhkan pandanganku ke bumi yang kupijak walaupun hanya jalan tar hitam yang kelihatan.
"Kalau betul memang Nell yang bersalah kenapa tidak ditegur apa kesalahan yang dah Nell buat? Kenapa tak ada seorang pun yang peduli bila Nell bersuara? Mana letaknya Nell masa tu? Bawah tayar atau dalam ekzos?" celahku lagi sebelum sempat dia bersuara.
"Maafkan Hazrul," sayu suaranya kedengaran.
"Nell dah lama maafkan Hazrul. Sejak tujuh tahun yang dulu. Sejak Nell sedar siapa diri Nell di samping kalian. Siapalah Nell nak maafkan insan semulia Hazrul."
"Bagi Hazrul peluang untuk buktikan yang Hazrul betul-betul ikhlas kali ini."
"Hazrul carilah orang lain yang lebih baik dan sempurna dari Nell. You deserve a better person."
"Tapi, Hazrul cintakan Nell."
"Buang cinta itu dan semaikan untuk orang lain. Masih belum terlewat untuk mengubah sesuatu yang belum pasti. Jangan sia-siakan masa depan Hazrul untuk orang macam Nell. You will regret some day."
"Apa maksud Nell? Are you hiding something from me, Nell?" tanyanya seperti mengesyaki sesuatu. Aku hanya tersenyum.
"There's nothing to hide, Hazrul. Maaf, Nell nak balik dulu." Sepantasnya pergelangan tanganku sudah dicapainya.
"Hazrul takkan lepaskan Nell kali ni." Aku leraikan tangannya dari lenganku perlahan-lahan.
"Nell doakan Hazrul akan jumpa seseorang yang lebih baik dan sempurna dari Nell. Lupakan Nell sebab antara kita tak pernah tersurat apa-apa hubungan sekadar antara abang dan adik. Maafkan Nell dunia dan akhirat. Halalkan makan dan minum Nell selama ni," pintaku lalu masuk ke dalam kereta.
Sebelum berlalu, aku menatap wajah Hazrul lama. Wajah itu tenang walau dalam apa jua keadaan. Aku hulurkan senyuman paling indah buatnya untuk kali terakhir. Selepas ini, aku akan pergi jauh dan aku tak akan terkilan lagi. Biarpun terlambat aku tahu sesungguhnya di hati putera sememangnya ada kasih untuk puteri kerana hanya putera di hati puteri walaupun nyawa hanya di hujung tanduk.
"Maafkan Nell, Hazrul. Nell sayang dan cintakan Hazrul tapi halangan yang terbentang di hadapan kita tak mampu Nell tepis. Hazrul, ketahuilah sayang. Hanya kaulah putera di hati puteri. Iringi pemergian Nell dengan doa darimu selalu. Andai diizinkan Tuhan, kita jumpa di sana kelak. Nell pergi dulu. Selamat tinggal, puteraku." Sayangnya, kata-kata itu hanya terungkap di hati saja. Tak terlafaz di bibirnya.
Aku memandu kereta perlahan meninggalkan perkarangan restoran. Hazrul masih setia bersandar di sisi keretanya. Maafkan puteri, puteraku.

Aelliea - 

No comments:

Post a Comment