Hasil Karya: the AWAY writer
Disenarai Pada: 27 July, 2004
"Assalammualaikum. Hi. Kau apa khabar?"
"Waalaikumussalam. Aku ok jer. Napa?"
Haznina, rakan baik dan juga bekas kekasih aku sewaktu sama-sama belajar di universiti dulu. Tapi aku tamat belajar awal dari tempoh 3 tahun pengajian di universiti dan hanya dapat bekerja secara tetap selepas berbulan-bulan bekerja secara sambilan dalam pelbagai bidang apabila berhenti belajar. Ketika aku nak berhenti belajar tu pun, ramai pensyarah terutama sekali koordinator program kursus aku berat nak melepaskan aku dari berhenti belajar memandangkan aku di antara 5 pelajar terbaik untuk di fakulti waktu itu. Tapi,aku nekad dengan apa yang aku lakukan kerana tidak punya banyak pilihan. Apa yang pasti, aku berhenti belajar dan sebabnya hanya DIA yang tahu. Tentang hubungan aku dengan Nina? Mengapa kami berdua boleh berpisah? Aku tidak ada komen untuk itu. Apa yang aku tau aku masih berkawan biasa saja dengannya dan tidak lebih dari itu. Perbualan aku dan dia singkat saja kerana dia memberikan alasan tidak mahu menganggu aku lantaran dengan kerja aku yang sememangnya banyak. Esok, aku ada sesi fotografi di studio untuk satu majalah. Jadi, aku tidak boleh lewat ke sana kalau tak mahu dileteri oleh penerbit.
*****************************************************
"Ok, cantik. Awak cuba bergaya begini."
Selamba aku mengarah model perempuan yang sememangnya anggun dengan pakaian kebaya labuhnya untuk memperbetulkan gayanya supaya moodnya tidak terjejas.
Sedang sibuk aku mengambil gambar, aku menerima satu panggilan.
"Hi Reza. Tengah buat apa?"
"Hi."
Perempuan itu lagi yang menghubungi aku tatkala aku sedang sibuk begini. Aku tak boleh lama melayannya melalui telefon, memandangkan sesi fotografi belum pun selesai.
"Awak, call saya di lain masa boleh tak?"
"Ok, maaf lah kalau saya menganggu ya."
Aku terus menutup talian telefon bimbitku, bimbang kalau konsentrasi aku akan terjejas.
Aku kalau tengah buat kerja memang cerewet. Aku suka menghasilkan sesuatu yang berkualiti, unik, karya yang dramatik bukan kaku begitu saja tanpa makna dan mesej.
Setiap gambar yang sudah dihasilkan pasti mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri.
Aku kena siapkan sesi fotografi ini segera memandangkan banyak lagi sesi fotografi menanti dan memerlukan khidmat aku. Kalau aku tak bekerja dengan pantas, tak kena gaya,tak berasaplah dapur di rumah bak kata orang-orang tua.
Terkenang detik perkenalan pertama dengan perempuan yang bernama Syafika itu, kadang kala aku rasa lucu juga kerana sudah beberapa kali dia tersilap mendail ke telefon bimbitku yang jelas aku bukan lelaki yang dicarinya. Sampai sekarang aku tidak pernah bertemu dengan Syafika apatah lagi nak mengambil tahu apa yang dia buat kerana bagiku dia bukan siapa, cuma seorang kenalan biasa. Perbualan kami tidak pernah menyentuh soal-soal privasi sebaliknya lebih kepada dunia seni. Apa yang kupasti Syafika sememangnya seorang yang berjiwa halus, tutur katanya bernas apabila berbicara tentang seni. Malah, dia sememangnya berjiwa sentimental dengan gaya bahasa perbualannya yang penuh kemelayuan. Dari hasil perbincangan aku dengan Syafika memperkatakan tentang dunia seni ini, aku dapat memperbaiki cara aku bekerja untuk menghasilkan karya-karya yang baik dan menarik. Ternyata pengetahuan dan ilmu Syafika dalam dunia seni memang luas. Diam tak diam mahupun antara sedar atau tidak, hubungan aku dan Syafika sudah berlanjutan hampir 3 tahun dengan hanya melalui perbualan telefon saja. Tak pernah terlintas di fikiran aku akan paras rupa Syafika cuma aku senang dengan sikapnya yang mengambil berat dan penyayang itu. Aku rasa kalau diketahui orang lain tentu mereka kata aku ini seorang yang kurang akalnya kerana boleh berhubungan sebegitu rupa dalam tempoh yang begitu lama.
Aku tidak kisah dengan apa jua orang nak kata tetapi bagiku ia bukan mustahil kerana kalau semuanya sudah ketentuanNYA apa jua boleh berlaku di luar batasan kita. Realiti sendiri, berapa ramai pasangan remaja yang berumahtangga di usia muda, bercerai selepas 2-3 bulan hidup bersama walaupun perkenalan yang menimbulkan bibit-bibit cinta antara mereka mungkin sejak di bangku sekolah dan sebagainya.
Tapi, pada pandangan aku kalau kedua-dua belah pihak sama-sama bertanggungjawab, merasa dan berkongsi suka duka, tentu perpisahan itu takkan berlaku. Bukan aku memberikan pandangan mengikut naluri tanpa alasan kukuh tetapi beberapa pasangan remaja yang berumahtangga awal masih mampu hidup bahagia. Lihat saja pasangan artis Ajai dan Nurul, mereka memilih untuk hidup bersama di usia muda. Syukur sehingga kini mereka masih bersama. Aku harap jodoh pasangan selebriti kesukaan ramai itu akan berkekalan dengan izinNYA.
Aku bergegas ke studio untuk menyiapkan proses selanjutnya setelah selesai sesi fotografi. Sebenarnya aku tidak menduga yang aku akan diterima bekerja sebagai jurugambar di sebuah syarikat penerbitan majalah tempatan di Kuala Lumpur ini memandangkan aku tidak pun habis pengajian di universiti dulu. Namun,dari bawah aku memulakan karier ini dengan tunjuk ajar dari jurugambar yang lebih berpengalaman. Dengan tunjuk ajar mereka akhirnya aku berjaya ke tahap sekarang. Menjadi jurugambar terkenal hasil kerja keras aku bertahun-tahun. Ya,seperti mimpi bukan?
*****************************************************
Malam itu, aku menerima panggilan dari Syafika.
"Reza, awak tak cerita lagi tentang konsert mini M.Nasir pada saya? Seronok ke apa ke?"
"Saya rasa awak tentu dah tahu kehebatan sifu Malaysia itu kan? Jadi, buat apalah nak cerita panjang lebar sebab dia memang hebat."
"Awak, dah berapa lama kita berhubungan macam ni? Awak tak nak jumpa dengan saya ke?"
Tersentap hati bila aku dengar Syafika berkata begitu. Aku terdiam, bisu dibuatnya.
"Awak tak sudi ke nak jumpa saya?"
"Taklah, cuma saya awak kan tahu saya ni sibuk sangat. Masa untuk diri sendiri pun kurang apatah lagi nak bertemu janji dengan orang hanya untuk keluar dan bersiar-siar?"
Celupar sangat ke aku? Ya,aku ni memang lah bukan seorang jejaka yang romantik, apatah lagi nak bercakap berbunga-bunga. Syafika pulak senyap tiba-tiba. Alamak, aku dah buat dia kecil hati dengan kata-kata aku tu?
"Awak, saya tak berani janji ya. Kalau saya ada masa, saya call awak. Kita jumpa,ok?"
Aku cuba memujuk untuk menyedapkan rasa hatinya tapi kedengaran gagang telefon diletak terus. Sah lah, Syafika merajuk dengan aku. Biarkanlah sebab perempuan sememangnya sinonim dengan merajuk ni. Aku pun nak rasa apa kan? Lagipun lebih elok berterus terang dari jadi hipokrit. Patut ke aku buat macam tu pada Syafika? Atau sebab aku dah berubah dek kerana perangai Nina? Aku kenal Nina bukan sehari dua tapi bertahun-tahun juga dan waktu itu juga aku berkenalan dengan Syafika dalam asyik masyuk berkasih sayang dengan Nina. Syafika juga tahu hubungan istimewa aku dengan Nina waktu itu. Syafika tidak pernah rasa cemburu akan hubungan aku dengan Nina dan dia selalu nasihatkan aku agar menjaga Nina dengan baik. Bak kata pepatah, ia cuma mengambil masa seminit untuk jatuh hati pada seseorang, satu jam untuk menyukai seseorang,satu hari untuk menyintai seseorang tetapi ia mengambil masa sepanjang hidup untuk melupakan seseorang. Itulah yang aku rasakan sampai sekarang.
Tidak terlintas di fikiran aku untuk membezakan antara 2 orang perempuan ini. Namun, secara hakikatnya Syafika jauh lebih molek dari Nina. Sepanjang perkenalan aku dengannya, belum pernah Syafika meninggi suara atau mengawal aku. Tetapi kali ini, belum pernah dia menunjukkan sikap begini. Akukah yang terasa atau siapa makan cili dia yang terasa pedasnya?
Bukan aku tidak ada keinginan nak bertemu dengan Syafika tapi entahlah aku sendiri tak terasa untuk melakukan sedemikian memandangkan aku rasa selesa berhubungan begini.
Tak perlu nak rasa macam-macam termasuklah rasa sakit hati atau cemburu. Aku tidak pernah mengaku yang aku adalah antara lelaki yang terbaik dalam dunia ini kerana bagiku ada lelaki yang jauh lebih baik dan jahat dari aku. Aku bersyukur dengan diri aku seadanya. Aku memang jenis lelaki tak suka dicemburui apatah lagi dikongkong lainlah diri aku telah benar dimiliki hati, kasih sayang dan cintanya. Majoriti pasangan yang hangat bercinta, aku perhatikan lagaknya mengalahkan pasangan yang dah berumahtangga. Masa bercinta semuanya indah belaka tapi bila dah berumahtangga macam lirik lagu senario ‘Suami sebatu di depan, isteri di belakang’. Bagi aku percintaan sebelum berumahtangga seelok-eloknya biar ia mekar sendiri di dalam hati masing-masing dan eloklah dipendamkan dulu dan nikmatilah semasa berumahtangga kerana memang terasa nanti akan perbezaannya.
Bukan aku nak tunjukkan aku lelaki kolot tapi aku rasa itu adalah benar kerana zaman mak bapak kita dulu, mereka dijodohkan melalui pilihan keluarga masing-masing dan ternyata mereka bahagia kerana keserasian dan kebijaksanaan mereka melayari bahtera rumahtangga walaupun mereka tidak pernah kenal mengenali antara satu sama lain sebelumnya. Namun,ajal dan maut adalah ketentuanNYA sejak azali dan kita sebagai hambaNYA tidak punya keistimewaan untuk menentukan qadak dan qadar.
Hubungan aku dengan Nina yang bermula sejak hari pertama mendaftar dan orientasi di universiti berakhir dengan satu tragedi yang memeritkan diri ini. Aku berharap jika aku dipertemukan dengan seorang perempuan yang jauh lebih baik dari Nina, aku akan memperisterikannya dengan segera sekiranya aku telah punya kedudukan yang stabil dalam segalanya. Aku tidak mahu membuang masa bertahun-tahun berhubungan cinta yang belum menjanjikan apa-apa memandangkan aku bukan jenis lelaki yang suka bertukar-tukar pasangan apatah lagi berfoya-foya.
Kalau teman-teman aku boleh berbuat begitu kerana mereka tidak mahu terikat dengan komitmen atau tanggungjawab tetapi tidak aku kerana aku seorang muslim, punya pegangan agama dan mengamalkan cara hidup berlandaskan budaya ketimuran walaupun aku bekerja sebagai jurugambar yang pada tanggapan sesetengah pihak apabila melibatkan diri dalam dunia seni, seseorang itu harus bersandarkan kepada budaya barat, bersikap keterbukaan keterlaluan tanpa batasan dan itu bukan cara aku.
Masalah seni sememangnya merupakan masalah penting kerana berhubungan dengan naluri dan rasa serta dapat membentuk bakat, karakter dan idealisme seseorang. Seni juga dapat dipergunakan untuk kebaikan yang bermanfaat dan dapat pula dimanfaatkan untuk kejahatan. Namun begitu,seni adalah lambang keindahan malah Islam sukakan sesuatu yang indah.Namun seni juga dapat menyeret seseorang di heret kelalaiannya dari khalikNYA. Untuk itu banyak rambu dan kriteria agar sesuatu seni masuk dalam bingkai yang dianjurkan, dibolehkan atau mungkin menjadi terlarang. Bagiku, nawaitu yang ikhlas dan jujur saja dapat memberikan jawapan kepada pencarian jati diri.
*****************************************************
Hampir sebulan dah Syafika tak menghubungi aku sama ada melalui telefon, emel atau sms. Aku tak tahu lah apa dah jadi padanya sekarang. Rasa bersalah menebal dalam diri aku. Boleh dikatakan fikiran aku agak terganggu buat masa ini, memandangkan kalau dahulu hidup aku dipenuhi dengan gelak tawa, suara manja Syafika tapi sekarang semuanya sunyi.
Bila diingat-ingatkan semula semasa aku kecewa bagai nak rak, Syafika juga yang menenangkan aku dengan pelbagai nasihatnya. Tapi, aku ada ambil tahu pasal dia ke?
Dia ada kekasih ke? Aku tak pernah tanya pada dia. Terukkan aku? Mungkin kerana rasa takut ku masih ada. Aku tidak mahu terlalu menyayangi seorang perempuan kerana dahulu aku terlalu sayangkan Nina. Aku sanggup buat saja demi kasih sayang aku pada Nina tapi akhirnya kami berpisah juga kerana Nina yang berubah. Aku jauh sekali tidak pernah berubah. Aku usahakan agar Nina kembali pada aku tapi Nina bertegas dengan keputusannya.
Keputusannya itulah yang menyebabkan aku makan hati sampai sekarang apatah lagi nak berkasih baru dengan perempuan lain. Aku jadi seorang yang anti-perempuan dan mengetepikan hati dan perasaan aku sendiri. Aku serik dan patah hati. Tapi, adakah aku membohongi diri sendiri bahawa aku semakin cinta dengan Syafika yang tidak pernah aku lihat wajahnya, tidak pernah aku jamah akan kasih sayangnya itu walaupun aku kehausan kasih sayang seorang perempuan? Berhakkah aku menghukum seorang perempuan yang tak bersalah lantaran dek kekecewaan aku dengan Nina?
"Reza!"
Menung aku mati terus apabila disergah oleh penerbit aku dan serta merta tripod dan kamera yang aku pegang itu jatuh ke lantai studio.
"Reza,lagi sekali kalau awak macam ni, saya nasihatkan awak ambil cuti panjang dan berehat. Lagipun sepanjang awak kerja dengan saya belum pernah awak cuti panjang atau bermasalah peribadi. Saya tak mahu karier awak terjejas. Ini amaran saya yang pertama untuk awak"
Tegas benar Encik Zulkifli pada aku. Memang aku sengaja cari nahas. Nampaknya aku kenalah buat pilihan Syafika atau karier aku yang semakin meningkat ni atau terus-terusan bersikap macam orang tak sudah? Gilakah aku dengan mengambil risiko untuk memilih satu sebagai penentuan takdir perjalanan hidup aku?
Tengah hari itu, aku cuba menghubungi Syafika yang tak pernah aku buat sebelum ini kerana aku hanya rajin sms saja pada Syafika. Aku tak dapat menghubunginya secara kerap kerana kesibukan kerja aku. Talian Syafika nampaknya tidak ada lagi dalam perkhidmatan. Apa yang harus aku buat? Mana aku nak cari dia? Kenapalah sekarang ni baru aku nak panik macam ni? Semuanya jelas memang salah aku!
Kedengaran deringan dari telefon bimbit ku. Memang kacau daun betul!
“Hello, Reza sini.”
“Reza, mana awak pergi?Awak tahu kan sekarang dah pukul berapa?”
Aku melihat jam tangan ku yang dah menunjukkan pukul 2 petang. Aku dah lewat sebenarnya untuk satu sesi fotografi.Aku bergegas ke sana sementara masa masih awal lagi. Setibanya aku di lokasi, tanpa sengaja aku melanggar bahu seorang perempuan.
“Sorry!”
Perempuan berkaca hitam itu hanya mengangguk saja,kemudian kain biru yang menutup kepalanya itu tiba-tiba saja terbang ke arah aku memandangkan ketika itu angin bertiup agak kuat juga. Apabila aku nak pulangkan semula,dia hilang entah ke mana. Apa yang jelas waktu itu perempuan berkaca hitam itu memang anggun dengan kebaya pendek yang dipadankan dengan seluar panjangnya serta rambutnya yang bersiput rapi. Aku tak boleh termenung macam ni nanti aku lewat lagi.
Sampai saja aku di lokasi, semua dah tercegat dengan gaya bercekak pinggang. Tentu aku akan dimarah seperti biasa. Serta merta fikiran aku yang berkecamuk akan Syafika dan perempuan berkaca hitam itu hilang bersama kerja-kerja aku di lokasi.
*****************************************************
“Reza, aku sebenarnya nak kembali ke pangkuan kau.Aku tahu aku buat keputusan terburu-buru dengan meninggalkan kau. Boleh tak berikan aku peluang sekali lagi?”
“Kenapa sekarang baru kau nak sedar dengan apa yang kau buat? Kau tahu ke berapa lama aku macam orang kurang siuman dan semuanya disebabkan kau?!”
“Maafkan aku Reza,aku nak berbaik dengan kau dan aku nak tebus semua kesalahan aku pada kau.”
“Tebus apa?Tebus atau gila talak macam kau ke?”
Aku terus mencampak telefon bimbitku di atas meja. Geram betul aku dibuatnya dengan kerenah perempuan itu. Aku malas nak melayan Nina awal malam itu sebab fikiran aku memang terganggu dan bercampur aduk dengan kerja-kerja aku yang bertimbun tu.
Aku memang celupar apatah lagi dengan Nina. Aku memang tak suka bila dia cuba nak pujuk aku. Jangan kerana aku masih berkawan dengannya, aku akan terima dia semula seperti dulu. Tidak sama sekali akan aku lakukan. Aku memang teruk, dalam ‘perang mulut’ macam tu pun aku sempat nak berlawak. Nina tak pernah jadi isteri aku pun. Aku jadi macam tu mungkin sebab aku tak nak fikirkan sangat apa yang dah berlaku antara kami. Aku jelak dengan perangainya. Kalau dahulu, aku lelaki penyayang dengan perempuan, melayan apa saja kehendaknya tetapi sekarang aku bukan lelaki sebegitu.
Bagi aku, hanya perempuan yang benar-benar dapat membuka pintu hati aku saja ini yang dapat memberikan aku sinar yang baru. Siapa yang tak mahu dicintai,disayangi dan menyayangi apatah lagi dengan insan bernama perempuan yang penuh dengan misteri, kerenah dan macam-macam lagi. Syafika dan perempuan berkata hitam yang aku temui tengah hari tadi? Siapa mereka? Tapi yang pasti aku sememangnya terpesona dengan kedua-duanya. Tapi pesona itu boleh mencerminkan kezahiran yang sepadan dengan kebatinannya juga ke?
Jam sudah menunjukkan tepat pukul 9.30 malam. Aku segera bergegas ke jejantas kawasan Melawati berhampiran Taman Permata untuk mengambil satu gambar ‘B Stop’ yang di tempah oleh seorang pelajar universiti tempatan. Dah berapa lama aku buat kerja macam ni? Kadang-kadang serba salah kalau tak membantu mereka ni. Aku pernah berada di tempat mereka satu ketika dahulu. Ketika di universiti dulu, bayangkanlah dalam 1 minggu nak siapkan lukisan, fotografi dan kerja-kerja grafik berkomputer memerlukan satu proses masa yang panjang dan kesemuanya nak di hantar pada minggu berikut. Ini tak bermakna aku suka buat kerja di saat akhir tapi penilaian kerja di buat secara mingguan. Pernah hampir 3 atau 4 hari aku berjaga malam, semata-mata nak siapkan kerja dan hantar ikut masa supaya pensyarah-pensyarah yang berkenaan tak mengamuk tapi kerja-kerja tetap dikritik juga tapi itu semua untuk kebaikan diri sendiri demi memajukan dan mengasah bakat yang dah sedia ada.
Menyambung pelajaran semula? Buat masa ni, aku tak terfikir ke arah itu kerana masa masih tidak mengizinkan aku berbuat demikian bukan disebabkan kedudukan kewanganku masih belum stabil. Andai kata kalau aku nak sambung belajar pun aku hanya mampu memohon program pengajian luar kampus. Untuk belajar sepenuh masa aku rasa lebih elok bekerja sambil belajar tapi aku kena pandai bahagikan masa antara akademik dan kerja. Kenapa fikiran aku tiba-tiba melayang kepada perkara ni pulak?
Aku mengangkut tripod dan kamera aku ke atas jejantas. Aku tak mahu ketinggalan babak menarik di bawah jejantas ni memandangkan kereta berpusu-pusu laju di atas jalan raya dan akan mencantikkan gambar ‘B Stop’ yang aku kena ambil ni. Aku mula mengubahsuai ‘speed’ dan ‘aperture’ untuk menghasilkan gambar ‘B Stop’ dan menghalakan lensa ke sudut perspektif yang menarik. Sedang aku sibuk mencari sudut-sudut yang menarik, terasa getaran pada kocek seluar jeans biru aku, tertera satu sms di skrin telefon bimbitku.
Reza, datang ke studio segera.
Gila apa suruh aku datang ke studio malam-malam ni. Lagipun masa begini, studio dah ditutup dan hanya orang-orang tertentu saja dibenarkan masuk ke studio pada lewat malam jika ada urusan yang mustahak. Aku menyemak nombor telefon pengirim. Pelik! Aku tak kenal pun siapa pengirim sms ni. Selain aku yang menyimpan kunci studio, Tajuddin dan Zakri saja yang ada simpanannya. Takkan budak berdua tu nak menghubungi aku dalam waktu begini.
Tanpa melengahkan masa aku, bergegas ke studio. Aku risau juga kalau ada sesuatu yang tak dijangka berlaku di studio walaupun ada pengawal keselamatan yang mengawasi tapi kadang-kadang tak boleh diharap juga.
Sampai di studio, aku tercari-cari pengawal keselamatan. Benar jangkaan aku, seorang pengawal keselamatan pun tak ada entah ke mana pergi, aku pun tak tahu. Teruk betullah mereka ni buat kerja. Lain yang disuruh, lain yang dibuat.
Aku masuk ke studio, aku nyalakan semua lampu. Mata aku terus tertumpu ke sebuah patung wanita yang lengkap berkebaya pendek, berkaca hitam dan bertudung biru. Aku menggosok mata beberapa kali, benarkah apa yang aku lihat ini? Kemudian kedengaran lagu kegemaran aku, dendangan M.Nasir dari radio yang ada. Irama seruling dan akordion memecah sunyi di studio. Apa dah berlaku ni? Tiba-tiba bahu aku ditepuk seseorang. Aku menoleh ke belakang...
*****************************************************
Kacau betul. Semuanya habis begitu saja. Deringan telefon bimbitku membuatkan aku terjaga. Siapa pulak yang buat ‘missed call’ ni? Jam sudah menunjukkan pukul 9.30 malam. Aku tertidur rupanya selepas ‘perang mulut’ dengan Nina. Aku termenung di atas sofa sambil berfikir apa yang aku mimpi. Aku tak jadi keluar malam itu. Baru saja aku hendak masuk ke bilik, kedengaran orang memberi salam di luar pangsapuri aku. Aku ada tetamu tak diundang nampaknya.
“Hi Reza. Kau buat apa? Aku call kau banyak kali tak berjawab. Apahal kau?”
“Sorry lah beb, aku tertidur. Aku penatlah Taj.”
“Ni, aku datang nak beritahu kau. Esok aku, kau dan Zakri kena ke Shah Alam ada discussion sikit.”
“Discussion apa?Setahu aku dalam jadual esok aku tak terlibat apa-apa dan aku cuma di studio jer esok. Apa yang mustahak sangat sampai kau nak aku ikut kau ke Shah Alam?”
“Kau ikut jer aku esok, ok? Urgent ni.”
“Suka hati kau lah Taj.”
“Kau ni kenapa? Macam orang tak sudah je? Gaduh dengan buah hati ke?”
“Aku mana ada buah hatilah.”
”Orang yang ada buah hati je yang mukanya kelat macam buah mengkudu.”
“Jangan kau nak merepeklah. Apa kau kenal ke buah mengkudu macam mana? Aku rasalah satu ketika dulu, buah mengkudu di sangka buah jambu yang ada jerawat. Hehe..”
“A’eleh..”
“Yalah, buah mengkudu pun kau tak kenal!”
Aku seronok menyakat Tajuddin dan aku terus ke dapur, membancuh air kopi untuk kami berdua. Entah tiba-tiba aku terdiam tanpa berkata apa-apa. Kalau tak kerana mamat seorang ni, tak mananya aku nak pergi. Untuk apa ke Shah Alam tu pun aku tak tau.
Keesokan paginya, selesai urusan apa yang patut di studio aku mengikut Tajuddin dan Zakri ke Shah Alam. Aku terkejut juga apabila kereta Satria GTI hitam yang dipandu Tajuddin masuk ke perkarangan pintu hadapan tempat sememangnya aku kenal sangat.
Buat apalah dia bawa aku ke sini? Nak jumpa dengan siapa?
“Reza, aku tinggalkan kau di sini ya. Nanti aku datang semula ambil kau.”
“Jangan kena makan dengan Mak Rimau sudah ya..”
“Kau orang tipu aku ya?!”
“Alah, lawak di pagi hari ni, janganlah marah kawan.”
Zakri selamba menyakat aku dan Tajuddin tinggalkan aku macam ni jer. Apa motifnya dia buat kat aku macam ni? Aku tercegat berdiri sambil melihat mereka berlalu dari situ. Aku masuk ke dalam dan berlegar di ruang bangunan fakulti sambil memerhatikan keadaan sekeliling walhal aku pernah ke tempat itu sebelum ini. Sudah banyak perubahan yang berlaku dan bangunan itu semakin menyerlah dengan dekorasinya.
Kemudian aku didatangi seorang perempuan.Ya,seorang perempuan yang aku pernah lihat tapi di mana?
“Assalammualaikum Reza.”
“Syafika!”
Terpacul terus nama Syafika keluar dari mulut ku waktu itu. Aku ingin memeluk Syafika tapi aku cuba mengawal perasaan aku. Aku betul-betul terkejut. Betulkah Syafika yang berada di hadapan aku sekarang? Aku cuma dapat mengecam suaranya saja.
“Reza, maafkan saya kalau saya tiba-tiba saja menyepikan diri. Saya datang jumpa awak ni untuk menuntut hak saya.”
“Awak nak tuntut hak apa?”
“Hijab saya.”
“Hijab awak? Hijab apa?”
“Reza, kembalikanlah kain tudung biru saya itu.”
“Awak cuma nak jumpa saya semata-mata kerana itu? Fika, awak tahu tak betapa rindunya saya pada awak?”
Syafika hanya membisu apabila aku berkata begitu. Aku tertunduk malu dan lega kerana apa jua yang terpendam di naluri kelakian ini telah telah terluah sudah dan ingatan aku segera tertumpu kepada pertemuan aku dan Syafika sebelum ini. Ya, kain tudung biru itu masih dalam simpanan aku.
“Awak, ingat lagi tak lagu yang awak dendangkan masa malam persembahan pelajar junior untuk semua pensyarah dan pelajar senior di Fakulti ini?”
Kata-kata Syafika itu membuatkan aku terkejut lagi. Ingatan aku segera kembali ke zaman aku sebagai pelajar dahulu. Ya, malam itu aku membuat persembahan diiringi gitar kapuk dan persembahan aku malam itu juga telah menarik perhatian seorang pelajar perempuan yang selamba naik ke pentas lalu memberikan aku sekuntum bunga. Aku tak endahkan kerana hati aku waktu itu hanya untuk Nina. Ekoran dari kejadian itu juga, Nina cemburu tak tentu pasal dengan menyangka aku ada hubungan dengan pelajar perempuan itu. Puas ku pujuk Nina dengan 1000 alasan supaya dia tidak meragui kejujuran aku. Tidak ku sangka, pelajar perempuan itu adalah Syafika, pelajar sefakulti dengan aku.
“Awak, saya nak ucapkan terima kasih banyak-banyak pada awak kerana memberikan ruang pada saya untuk saya mengenali diri awak lebih mendalam dalam tempoh 3 tahun ini. Maaf, kalau selama ini saya berahsia dari awak, tak terlintas di hati untuk saya menodai kepercayaan yang awak berikan pada saya tapi saya faham keadaan awak waktu itu.”
“Fika, saya yang sepatutnya minta maaf dengan awak. Saya tak sepatutnya bersikap begini pada awak. Tak adil untuk seorang perempuan seperti awak. Gara-gara kekecewaan saya yang bertahun-tahun, saya tak endahkan sesiapa. Maafkan saya Fika.”
“Memberi seseorang seluruh cinta anda bukanlah satu kepastian yang mereka akan menyintai anda kembali! Jangan harapkan cinta sebagai balasan. Nantikan sahaja ia untuk mekar di dalam hati mereka tapi sekiranya ia tidak, pastikanlah ia terus mekar di dalam hati anda.”
“Fika,awak marahkan saya ke?”
Pertemuan pada hari itu sangat bermakna buat aku dan Syafika. Ya, seorang perempuan yang sememangnya setia pada kasih sayangnya dan sanggup menunggu aku bertahun-tahun lamanya.
*****************************************************
Di kamar, aku meneliti satu persatu emel yang pernah dikirim oleh Syafika. Salah satu emel yang sememangnya aku tak perasan dari dulu sampai sekarang tertera di skrin komputer aku. Lagu yang sememangnya menjadi kegemaran aku sampai bila-bila. Tersenyum simpul aku dibuatnya bila mengingatkan kembali apatah lagi kalau tak kerana Tajuddin semua ini takkan berlaku. Tajuddin adalah abang angkat kepada Syafika. Wajarlah dia dapat mengetahui perkembangan aku dari semasa ke semasa. Terima kasih pada Tajuddin yang mengaturkan semua ini.
Malam itu, ketika aku sedang berbual dengan Syafika di telefon.
“Hi sayang,tengah buat apa?”
“Napa, Fika tengah melukis.”
“Reza tak ganggu ke?”
“Tak.”
“Fika, Reza nak tujukan sesuatu pada Fika, boleh?”
“Apa dia..?”
“Duhai kasih... hijabmu di sini.... masyhur rupamu di mata kalbi ini.. berbaringan.. diusik rindu azali... Di manakah kekasih.... yang jauh dariku... memakan debu.... Rindu mu..... segenap nafas ku melihat.... renunganmu.... wangi dan harum.... Kau kekasih.... Antara lamunan.... Segala kalimahku ini... siapa yang mengerti.... Menghilang tahun ku tahan dahaga, setelah habis meraung untuk sang puteri pautan kasih.. ku kenal sendiri... teringin ku melihat... di sebalik hijabmu... wajah yang kupuja..”
“Kekasih... lama sudah aku merindu..... larut nan denai... larat nan damai..... haram kelamin untuk kita bercerai.... rasa kasih sayang.... dalam keredhaanMu......”
“Eh, Fika pun hafal ya?”
“Tentulah, itu lagu kegemaran Fika juga tapikan bila awak nak pulangkan semula hijab saya ya?”
“Esok ya dan Reza akan temankan Fika ke Balai Seni Lukis Negara sekali. Reza nak tengok juga karya-karya yang dipertandingkan untuk Anugerah Phillip Morris tu.”
Tak sabar menanti hari esok maklumlah pertemuan pertama tempoh hari, aku masih belum dapat menatap jelas wajah Syafika yang dilindungi kaca mata hitam dan tudung yang menutup kepala ketika itu. Rindu dan kasih sayang yang semakin membara antara kami dan biarkan ia mekar sendiri.
Tengah hari itu, dalam hampir 10 minit aku menunggu Syafika di studio, dia sampai juga di studio dengan baju kurung kedahnya. Syafika nampak ringkas tetapi anggun. Aku semasa itu sudah bersedia dengan tripod, ‘lighting’ dan juga kamera untuk kami bergambar berdua. Syafika tersipu malu apabila aku memujuk lembut supaya dia membuka kaca hitam dan tudungnya.
“Fika, bukalah.Reza nak sangat tengok wajah Fika.”
Apabila Fika membuka kaca hitam dan kain tudungnya itu, aku memang terpesona sekali.
Dia memang semulajadi cantik dan comel tanpa sebarang solekan. Aku betul-betul kagum dengan penampilannya yang sederhana itu. Aku memakaikan Fika kain tudungnya tempoh hari sambil membisikkan sesuatu pada telinganya.
“Teringin ku melihat, di sebalik hijabmu,wajah yang ku puja.”
Aku dan Syafika bergambar ceria di studio hari itu. Tatapan istimewa pada kad jemputan untuk kenalan rapat dan saudara mara terdekat sebelum hari majlis pernikahan dan persandingan kami berdua.
Aku telah mengambil keputusan memperisterikan Syafika secepat mungkin kerana aku tidak mahu membuang masa kerana aku pasti dengan pilihan aku ini. Aku juga akan menyambung pelajaran semula sambil bekerja. Syafika pula ingin meneruskan pengajiannya di peringkat sarjana sambil bekerja sebagai tutor di fakulti kami.
Sesungguhnya dia berterima kasih kepada Tuhan kerana menemukan mereka berdua dalam suasana yang cukup membahagiakan. Di kala itu bagaikan berada di zaman silam dengan dendangan lagu ‘Hijab Kekasih’ dari M.Nasir hangat di telinganya dan semekar hubungannya dengan Syafika.
-tamat-
No comments:
Post a Comment