24 November 2010

TIRAI BAHAGIA




Seandainya aku dapat membahagiakan dia, sudah lama aku tidak melepaskan peluang itu. Sedari awal perkenalan aku sudah mula menyenangi sikapnya. Dia yang begitu tenang dan berkarisma membuatkan aku terpaut dengan dirinya. Budi bicaranya yang begitu sopan dan teratur menjadikan tidur malamku sering dibayangi oleh wajahnya. Dalam perhubungan ini kami lebih senang bersahabat. Perasaan itu kusimpan erat jauh di lubuk jiwa ini kerana aku bimbang bertepuk sebelah tangan. Manakan tidak.... dia menjadi pujaan ramai perempuan. Dengan mudah mana-mana perempuan cantik boleh jatuh ke tangan dia. Sungguhpun demikian dia tidak mengambil kesempatan itu. Lantaran aku yang sentiasa bersamanya sering hubungan kami disalah anggap. Aku menerima tamparan yang cukup hebat apabila mendengar mulut-mulut orang yang cukup merobekkan hati aku. Hampir menangis aku diperlakukan sedemikian. Mujur dia bertindak memberi semangat kepada aku.


“Mulut orang, Kay. Manalah boleh kita tutup. Lainlah mulut tempayan.”
Memang mudah kau berkata tapi aku yang menerimanya. Sering saja aku dilayangkan berpucuk-pucuk surat yang menghina aku. Aku sedar siapalah diri aku. Aku ibarat gagak di rimba sedangkan dia ibarat merak di kayangan. Kadang kala ingin saja aku memutuskan persahabatan ini. Tapi apabila mengenangkan perhubungan yang kami bina sedari sekolah lagi menyebabkan aku sayang membiarkan ikatan tulus ini terlerai begitu saja. Hakikatnya aku mahu perhubungan ini lebih dari seorang sahabat. Namun apakah daya aku sebagai seorang perempuan. Tak kan perigi pula yang mencari timba.

“Kay, aku nak minta tolong kau?”

“Apa dia?”

“Tolong tengok-tengokkan perempuan ini.”

Bagaikan halilintar membelah bumi,berdesing telinga aku mendengar permintaannya.
“Siapa budak ni Iki?”

Junior kolej ni. Kau tak pernah nampak ke? Cun tak?”

“Entahlah. Aku tak perasan kut. Cantikkkk. Sesuai untuk kau.”

“Ye ke Kay. Kalau kau dah kata macam tu lagi lah aku suka. Tolong ye Kay. Aku dah gila bayang ni.”

Dalam keterpaksaan aku menunaikan permintaannya. Biarpun aku tahu sebenarnya aku melukakan hati aku sendiri. Kurisik-risik gadis idaman Ikhwan. Memang bertuah Ikhwan mengenalinya. Dengan kecantikan yang dia miliki, dihiasi pula dengan kesopanan dan kelembutan tutur bicara memberikan pakej yang lengkap kepada dirinya sebagai gadis idaman Ikhwan. Teringat aku kata-kata Ikhwan tentang gadis impiannya.

“Aku kalau bolehlah… aku nak yang sederhana pun dah cukup. Tapi sopan santun, lemah lembut, manis, ayu.”

“Banyaklah kau. Cermin sikit muka tu.”

Aku cuba mencari kritiria gadis idaman Ikhwan dalam diri aku. Adalah sedikit walaupun tidak sesempurna mana. Setiap kali aku bertemu dengan Ikhwan, setiap kali jugalah dia mendesak aku supaya merisik gadis itu sama ada belum berpunya atau sebaliknya. Kuturutkan juga permintaannya. Gadis itu masih tidak berpunya. Lapang dada Ikhwan mendengar jawapan aku. Tapi dia tetap gusar bimbang bunga di taman dipetik orang. Sekali lagi aku turuti permintaannya menyampaikan hasrat di hatinya kepada gadis itu. Lagak aku tidak ubah seperti meminang anak gadis orang. Dengan wajah yang manis aku cuba meluahkan isi hati Ikhwan kepada gadis itu. Walhal dalam diri ini, aku cuba mencari kekuatan menghadapi dugaan yang memedihkan hati sendiri. Tidak kusangka gadis itu menerima huluran cinta Ikhwan. Bahagianya Ikhwan saat itu. Lantaran itu bermulalah episod baru dalam hidup Ikhwan.

“Bila dah ada girlfriend ni, pandai-pandailah jaga ye. Aku dah penat-penat adjustkan untuk kau.”

“Terima kasih Kay. Kaulah sahabat aku dunia dan akhirat.”

“Lepas ni kita tak boleh rapat seperti selalu, Iki. Nanti apa pula kata girlfriend kau. Perempuan ni penuh dengan cemburu.”

“Kita masih boleh jadi kawan baik. Jangan pula sebab aku dah ada girlfriend kau nak jauhkan diri dari aku.”

“Aku tak mahu mencari masalah, Iki. Cukuplah setakat ini kita menjadi rapat. Selepas ini masing-masing buat hal masing-masing. Aku harap kau gembira bersamanya.”

Selepas itu aku mula menjauhkan diri darinya. Kami tidak lagi menelaah bersama seperti dulu. Aku kini keseorangan. Kadang kala ditemani juga oleh kawan-kawan sekuliah yang lain. Dia pula gembira bersama dengan gadis impiannya. Sebenarnya aku terasa kehilangannya. Ramai kawan-kawan mula mempersoalkan hubungan kami tidak serapat dahulu. Setiap kali aku diajukan pertanyaan, aku cuba mengelak dari memberi jawapan. Namun rakan sebilikku, Thira cukup memahami kemelut yang aku hadapi.

“Aku lihat kau senyap saja sejak akhir-akhir ni. Tak macam dulu, gembira, ceria. Ada masalah?”

“Tak adalah. Aku seperti biasa. Kenapa? Aku lain macam sangat ke?”

“Jangan tipu aku, Kay. Kau antara dilema antara perasaan kau dan kehendak seorang sahabat. Berterus terang sajalah yang kau tak dapat lari dari Iki.”

“Aku tak mampu. Aku tak boleh! Aku tak layak dengan Iki. Dia tak pernah menganggap aku lebih dari seorang sahabat. Aku hanya kawan biasa saja di mata dia.”

“Kau takut hendak hadapi kenyataan yang dia akan menolak cinta kau?”

“Ya lah.”

“Buka minda kau, Kay. Mungkin selama ini dia tak sedar yang ada terselit perasaan kasihnya lebih dari seorang sahabat dalam dirinya. Kau sendiri yang kena bukan jalan itu.”

“Siapalah aku ni. Dulu masa kami rapat ramai mulut yang mengumpat. Aku tak layak untuk dia. Rupa pun tak ada. Kadang kala aku terfikir biarlah semua perempuan yang dia cintai mati.”

“Sabar, Kay. Kau kena berani hadapi ini semua. Tanpa keberanian, impian kau tak akan jadi kenyataan.”

Aku mengakui kata-kata Thira. Namun apalah daya aku seorang perempuan. Biarlah masa yang menentukan. Jodoh dan pertemuan di tangan Allah. Andai aku ditakdirkan dengan Iki, suatu masa nanti akan bertemu jua. Andai sebaliknya, aku pasrah.

Semakin lama aku semain jauh dengan Ikhwan. Tambahan pula kesibukan menghadapi peperiksaan akhir yang bakal tiba tidak memberi ruang untuk aku leka. Ini peperiksaan terakhir yang bakal menentukan hasil usaha aku selama 4 tahun di universiti ini. Iki kulihat semakin leka dengan dunianya. Aku malas hendak masuk campur dengan urusannya. Biarlah dia gembira dengan kehidupan barunya.

Masa berlalu begitu pantas meninggalkan zaman universitiku. Masing-masing membawa haluan sendiri dalam mengejar cita-cita. Begitu juga dengan aku yang kini bergelar sebagai seorang pensyarah muda. Sebaik saja aku tamat konvokesyen, aku ditawarkan melanjutkan pelajaranku peringkat sarjana di luar negara. Aku menerima tawaran itu dengan hati yang terbuka kerana itu memang impian aku. Hanya Thira saja yang tahu berita gembira itu. Saja aku membawa diri di tempat orang kerana aku mahu mencari pengalaman. Lagipun siapalah yang berhak menghalang aku kerana aku tiada sesiapa di dunia ini. Hidupku hanya sebatang kara.Sebelum aku berlepas,kujengah dahulu rumah anak yatim yang banyak memberi kenangan dalam hidup aku.

Pulang ke tanah air sesuatu yang mengembirakan aku kerana di sinilah lubuk aku yang sebenarnya. Puas mengenali tempat orang, aku rindukan suasana di tempat sendiri. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Aku cukup merindui kawan-kawan seperjuangan. Thirah terutamanya. Perhubungan kami terputus begitu saja selepas aku berlepas ke luar negeri. Salah aku juga yang lupa meminta alamat terakhirnya. Iki???? Entahlah. Aku tidak lagi mengambil tahu tentang dirinya lagi. Walaupun begitu hati aku masih kuat mengingatinya. Cuma kupujuk saja hati ini supaya redha saja dengan takdirnya.

Petang itu hujan turun dengan lebatnya. Kilat sabung menyabung diselangi dengan petir yang berdentum bunyinya. Aku mengambil keputusan menanti hujan reda. Bimbang memandu kereta dalam keadaan cuaca buruk ini kerana aku tidak biasa lagi dengan Kuala Lumpur. Lagipun jalan raya di Kuala Lumpur ketika hujan cukup sesak.

Jam hampir ke pukul 7.00. Hujan masih belum reda. Lama sudah aku menanti di dalam pejabat. Rakan sekerja yang lain sudah lama pulang. Aku mengambil keputusan untuk pulang. Tambahan pula hari ini aku terkena selesama. Berat kepala selepas mengambil ubat selesema. Aku memang alah dengan cuaca sejuk. Walaupun bertahun-tahun di negara atas angin aku tetap mudah alah dengan selesema. Kepala terasa semakin berat. Menyesal pula mengambil ubat selesema. Entah kenapa pandanganku tiba-tiba berpinar. Aku hilang kawalan dan tumpuan.

Kubuka mata ini. Kepalaku terasa berat lagi. Suasananya bukan di rumah aku. “Cik di hospital.Cik alami kemalangan.Tapi jangan risau Cik tak cedera,” terang jururawat yang berwajah manis itu lembut.

“Siapa yang hantar saya ke sini?”

“Seorang pemuda. Dia ada di luar.”

Aku terpempan apabila melihat satu wajah yang aku kenali masuk.

“Kay selamat di sini. Kereta kau aku dah hantar ke bengkel. Aku tak sangka kita dipertemukan sekali lagi.”

“Terima kasih. Kau nampak lain.” Iki nampak lebih matang dari dulu.

Pengalaman benar-benar mendewasakan kita. Sejak pertemuan itu kami menyambung kembali persahabatan.Iki masih lagi bersendirian. Cintanya yang dahulu tidak kekal lama. Hanya bertahan beberapa bulan sahaja.

“Kau hadir di saat-saat aku memerlukan seorang teman untuk berbicara. Mendengar suara hati aku. Aku rindukan kita seperti dulu, Kay. Lepas konvokesyen aku sebenarnya mencari kau. Tapi aku gagal. Aku rasa bersalah kerana membiarkan kau selepas aku dapat apa yang aku nak.”

“Bukan salah kau. Aku yang minta kau jauhkan diri dari aku. Aku tak mahu dianggap sebagai pengacau dalam hubungan kau.”

“Kadang-kadang aku terfikir kenapa kau mesti menjauhkan diri dari aku? Adakah sebenarnya terselit satu naluri dalam jiwa kau terhadap aku? Aku tercari-cari jawapan itu. Thira beritahu segala-galanya pada aku. Kenapa kau tak berterus terang pada aku Kay? Kenapa kau mesti korbankan diri kau hanya kerana kebahagian aku?”

“Cukup,Iki. Itu semua cerita lama. Aku tak nak kita bangkitkan kisah silam kita. Kita tetap kekal sebagai sahabat,”

“Kau tak perlu menipu aku, Kay. Kau tipu aku malah kau tipu diri kau sendiri. Dari sinar mata kau, aku tahu masih terselit lagi perasaan itu. Katakanlah, Kay. Aku sedia mendengarnya. Dan aku mengakui hakikatnya aku mempunyai rasa yang sama. Cuma aku bimbang kau tak menerima aku. Lebih jelas bila kau sedikit pun tak kecewa bila aku memiliki perempuan lain. Sebenarnya aku cuma menguji kau. Tapi aku tak sangka kau sanggup pendam perasaan itu. Kau korbankan kehendak kau hanya sekadar mahu lihat aku gembira.”

Aku terkejut mendengar pengakuan dari Iki. Aku tidak menyangka pertemuan kami kali ini membuka tirai yang sekian lama tertutup kerana masing-masing takut berterus terang. Tirai baru kubuka bersama Iki. Hidup aku dan dia lebih bahagia.

-tamat-

No comments:

Post a Comment