Oleh Dato’ Dr
Hj Mohd Fadzilah Kamsah
1. Semua orang ada
jodoh atau pasangan yang menanti dan biasanya ia berada tidak jauh dari anda.
Jarang orang bertemu dengan jodoh yang berada jauh darinya.
2. Jodoh itu ketentuan
Allah dan kita wajib berusaha. Doa, usaha yang betul dan bersungguh-sungguh
disertai dengan tawakkal, insyallah akan menemukan anda dengan pasangan anda.
3. Ramai orang masih
belum bertemu jodoh kerana mudah patah semangat. Teruskan usaha sehingga anda
bertemu jodoh.
4. Seimbangkan hidup
anda dengan sempurna agar diri anda jadi seperti “magnet” yang menarik bakal
pasangan anda kepada anda.
5. Daya tarikan yang
sebenar berpusat di hati yang murni. Berusahalah untuk mencuci
hati anda daripada semua perasaan yang negatif terhadap semua orang
di dunia ini.
6. Agar mudah orang
sayang, cuci hati dengan jaga ibadah, solat taubat,
beristighfar, baca Al-Quran, maafkan orang lain, meminta maaf, bersedekah dan
berfikiran positif.
7. Sayangi semua orang
di sekitar anda dan anda akan menarik sayang terhadap anda. Jika anda membenci
orang, ditakuti bakal pasangan anda akan membenci anda.
8. Orang yang sedang
mencari pasangan harus sentiasa bersedia untuk bertemu dengan pasangannya pada
bila-bila masa. Justeru, kita perlu sentiasa dalam keadaan yang paling menarik
setiap masa. Tanggapan pertama adalah yang terpenting.
9. Untuk lelaki,
tarikan pertama ialah pakaiannya. Untuk perempuan, wajah dan bentuk badan
menjadi tarikan pertama. Sediakan diri untuk menawan bakal pasangan anda.
10. Buka hati
dan minda anda untuk menerima cinta. Cinta boleh berputik pada
bila-bila masa. Cinta mudah datang kepada mereka yang sentiasa bersedia untuk
menerima cinta.
11. Cinta datang
melalui mata lalu turun ke hati. Justeru, perhebatkan hubungan mata secara
memandang bakal pasangan dengan penuh kasih sayang.
12. Kita boleh
berkomunikasi melalui fikiran. Hantarlah kasih sayang dan hasrat murni anda
terhadap pasangan dengan gelombang fikiran ini secara berterusan hingga
berjaya.
13. Ramai yang
terlepas peluang dan patah hati sebab lewat menyatakan hasrat
kepada bakal pasangan. Perkara yang baik disegerakan (iaitu menyatakan perasaan
anda kepada bakal pasangan).
14. Tidak salah untuk
orang perempuan memulakan usaha untuk berkenalan. Orang lelaki akan sentiasa
merasakan mereka yang memulakan perkenalan walaupun sebenarnya orang perempuan
yang mulakan.
15. Berkomunikasi
dengan mesra dan bersemangat menggunakan lidah, mata, hati dan bahasa badan.
Elakkan bercakap sambil lewa atau kurang sopan terhadap bakal pasangan.
16. Berbual dengan
pasangan mengenai apa yang dia suka. Beri tumpuan kepada minat dan perasaannya.
Elakkan sibuk memberi tumpuan kepada diri sendiri.
17. Layan bakal
pasangan dengan mesra seperti kawan lama walaupun baru berkenalan. Bentuk
suasana keintiman dengan segera agar bakal pasangan rasa selesa.
18. Makin mudah kita
menceritakan hal peribadi yang munasabah kepada bakal pasangan, semakin mudah
dia menceritakan hal dirinya kepada kita.
19. Berdoa dan latih
diri agar kita pandai mendampingi orang lain dan seronok untuk didampingi oleh
orang lain. Buang perangai yang menyebabkan orang benci kepada kita.
20. Beri sayang untuk
mendapat sayang. Orang yang masih ada perasaan benci terhadap sebarang orang
boleh menyebabkan bakal pasangan benci atau tidak tertarik kepada kita. Justeru
buang semua benci.
21. Untuk wanita,
jangan jual mahal terhadap bakal pasangan. Tetapi, nyatakan dengan hikmah
kepadanya yang anda amat sukar untuk berkenalan dengan lelaki lain.
22. Kebanyakan lelaki
mudah tertarik kepada perempuan yang simple, tidak materialistik, mudah
berterima kasih dan redha dengan setiap pemberian lelaki tersebut.
23. Orang perempuan
mudah tertarik kepada lelaki yang memberi perhatian, penghargaan dan
penghormatan kepada mereka. Justeru, orang lelaki janganlah terlalu jimat atau
kedekut.
24. Orang lelaki perlu
belajar mengenal kerenah orang perempuan. perasaan, pemikiran, kehendak,
keperluan, kesukaan dan kebenciannya.
25. Elakkan memberi
tumpuan kepada kelemahan dan kesilapan kecil yang ada pada bakal pasangan.
Jangan sesekali mengutuk atau memalukan bakal pasangan.
26. Senyuman ikhlas,
wajah yang menawan dan bahasa badan yang penuh kemesraan akan menambat lelaki
terhadap wanita.
27. Orang mudah
tertawan kepada bakal pasangan yang ada persamaan dan ada perbezaan sifat,
tindakan dan minat. Terlalu banyak persamaan membosankan. Banyak sangat
perbezaan menyesakkan.
28. Orang mudah
tertarik kepada bakal pasangan yang ada sikap dan sifat yang saling mengimbangi
dan melengkapkan sikap dan sifatnya.
29. Walaupun belum
kenal rapat dengan bakal pasangan, nyatakan yang anda sering merasa atau
berfikir seperti yang dia rasa atau fikir. Keserasian adalah tarikan.
30. Perempuan
membentuk hubungan dengan berbual dan bercakap. Lelaki bentuk hubungan dengan
melakukan sesuatu kegiatan secara bersama.
31. Orang mudah
tertawan kepada bakal pasangan yang mempunyai persamaan daripada berbagai segi
seperti kefahaman politik, aktiviti keagamaan, sikap terhadap harta, wang dan
hobi.
32. Dua orang yang
amat banyak perbezaan boleh serasi antara satu sama lain jika mempunyai satu
atau dua persamaan yang mendalam seperti suka kepada kucing, suka melancong
atau suka ramai anak.
33. Tindakan yang
serentak akan menarik bakal pasangan terhadap anda. Contohnya, serentak
berpaling, serentak angkat gelas, serentak berdiri, serentak nak ke tandas.
34. Tawan hati bakal
pasangan dengan pamerkan emosi yang sama terhadap sesuatu kejadian atau
peristiwa – sama-sama gembira, sedih, terperanjat, benci, simpati dan
sebagainya.
35. Dua insan mudah
serasi jika mempunyai pentafsiran yang sama mengenai hubungan – tahap keakraban,
kebebasan, kebergantungan, pemberian, pengorbanan dan sebagainya.
36. Kenalpasti
ciri-ciri yang disukai oleh bakal pasangan anda. Bentuk ciri-ciri yang disukai
oleh bakal pasangan anda. Bentuk ciri-ciri ini dalam diri anda dan pamerkan
kepadanya yang anda mempunyai ciri-ciri tersebut.
37. Semua orang
mencari cinta sejati tanpa syarat. Bakal pasangan anda akan tertarik kepada
anda jika anda mengasihinya bukan kerana wajah, harta, keturunan atau
glamornya.
38. Bakal pasangan
akan tertawan kepada anda jika anda dapat bantu mengukuhkan imej dirinya,
rangsang semangatnya dan pupuk keyakinan dirinya.
39. Keikhlasan amat
penting dalam memuji atau memotivasi bakal pasangan. Jika kita didapati bohong,
dia akan terus menjauhkan diri daripada kita.
40. Pujian yang
berhikmah dan ikhlas bertindak sebagai magnet yang menarik anda kepada bakal
pasangan. Pujian daripada kawan baru lebih bermakna dan berkesan berbanding
pujian daripada kawan lama.
41. Ulang sebut
perkataan, ayat atau slogan yang digemari bakal pasangan anda. Ini menyebabkan
dia rasa istimewa dan dihargai dan akan tertawan kepada anda.
42. Kenalpasti
keistimewaan bakal pasangan anda yang orang lain tidak nampak. Sampaikan
kehebatan ini dengan bersemangat dan dia akan mudah tertawan kepada anda.
43. Untuk bakal
pasangan yang popular dan sering dipuji , cari pujian yang original untuk
menambat hatinya. Untuk orang yang tidak popular, sebarang pujian amat dialukan
dan dihargai.
44. Beri penghargaan
serta merta kepada setiap pencapaian atau kejayaan bakal pasangan. Ini membelai
dan melembutkan hatinya terhadap anda.
45. Jika bakal
pasangan memuji anda, pamerkan keseronokan anda dengan senyuman dan ucapan
terima kasih dan bersyukur. Dia akan rasa dihargai.
46. Cari keunikan,
kelucuan atau ‘kegilaan’ bakal pasangan anda. Nyatakan yang anda suka kepadanya
sebab keunikan tersebut. Ini buat dia rasa istimewa.
47. Ramai pasangan
sengsara bila isteri terlalu cantik atau suami terlalu handsome.
Justeru, cari bakal pasangan yang setara dan sepadan dengan kita.
48. Orang yang merasa
dirinya hodoh sukar untuk mendapat pasangan. Carilah kecantikan yang ada pada
anda dan bentuk keyakinan diri. Hati yang suci dan keyakinan yang tinggi
menyerlahkan kecantikan anda.
49. Wanita
mudah tertawan kepada lelaki yang gentleman – bersopan santun, suka
membantu, menghormati wanita, berani dan yakin diri.
50. Untuk jadi lebih
menawan, berterusan belajar, perbaiki perangai dan peribadi, baiki kemahiran
komunikasi, murnikan hati, pemaaf dan sentiasa bersangka baik.
51. Lelaki harus mempamerkan
sifat kelelakiannya di samping memasukkan sifat perempuan dalam dirinya seperti
lebih prihatin, memahami emosi , timbang rasa, dan gunakan gerak batin.
52. Perempuan harus
mempamerkan sifat kewanitaan disamping menghayati sifat lelaki seperti minat dalam
politik, sukan, memancing, dan aktiviti macho yang lain. Bertindak bijak tapi,
jangan terlalu bijak.
53. Untuk menambat
hati wanita, kerap bertanya tentang perasaannya, aktiviti yang
dijalankannya, kegemarannya, kebenciannya atau sebarang perkara yang berkaitan
dengan emosi.
54. Sebelum
benar-benar rapat, orang perempuan harus elakkan diri dari bertanya bakal
pasangan mengenai perasaannya mengenai sesuatu perkara, peristiwa atau situasi.
55. Orang lelaki amat
pantang bila bakal pasangan menempelak atau menunjukkan kesilapan atau
kebodohan lelaki tersebut. Ini cara terbaik memutuskan hubungan.
56. Orang perempuan
mudah tertawan kepada lelaki yang boleh mengaku salah, meminta maaf, meminta
bantuan, bertolak ansur, pandai mendengar, bersabar dan lemah lembut terhadap
wanita.
57. Bila bercakap
dengan lelaki, orang perempuan harus fokus kepada fakta dan sampaikan secara
ringkas. Penjelasan yang berjela-jela dan memasukkan unsur perasaan akan
membunuh minat lelaki terhadapnya.
58. Jika orang
perempuan marah, pujuklah dengan kasih sayang. Tanya Kenapa dia marah, dengari
dengan teliti dan jangan komen atau cuba beri nasihat. Orang perempuan mudah
sayang pada lelaki yang pandai mendengar dan sensitif kepada perasaannya.
59. Jika lelaki marah,
jangan sibuk nak tanya Kenapa dia marah. Pamerkan kasih sayang dan bentuk
suasana yang tenang. Doakan dia dan beri masa untuk dia merawat dirinya
sendiri.
60. Fahami bahawa orang lelaki bercakap secara
terus terang, ringkas dan objektif. Orang perempuan sering bercakap secara
berlapik, terperinci dan banyak yang tersirat.
No comments:
Post a Comment