25 February 2011

Al taubah…



ORANG itu meninjau-ninjau ke dalam melalui celah
jerjak pintu pagar besi larik bentuk kelasik yang
disapu cat hitam. Ditekannya punat suis loceng di
tiang pintu batu bata merah tanpa plaster itu. Jeritan loceng mengocak ketenangan petang jam lima yang kebelakangan ini memenuhi segenap ruang di dalam rumah banglo dua tingkat di pinggir sungai itu. Haji Nik Mansur yang ketika itu sedang berehat di ruang tamu segera menutup bidang akhbar yang sedang ditatapinya. Lantas dia bingkas bangun dari sofa empuk yang menampung punggungnya. Dari celah gril tingkap dia meloloskan pandangannya ke luar. Dia tersentak. Keningnya sedikit berkerutan. Matanya meneropongi tepat sasarannya untuk menangkap kepastian.


"Dia? Diakah yang datang tu?"
Kedatangan tetamu yang tidak dikenalinya itu di luar
dugaannya. Dia merasa kurang senang sekali dengan
kunjungan orang itu. Rasa gelisah mencuit-cuit
hatinya.
Dan dia beristighfar berkali-kali.
"Siapa orang ini? Tiba-tiba saja datang! Kenapa tak
cakap nak datang ketika bersalaman di masjid tadi?"
Orang itu dengan keanehannya sering menggugat
pemikiran Haji Nik Mansur. Dia dan orang itu belum
berkenalan, walaupun mereka sering bertemu di masjid
dan sama-sama sembahyang berjemaah. Selalu pula bersalaman
selepas sembahyang. Memang bertemu dan bersalaman
dengan ahli-ahli jemaah di masjid adalah
perkara lumrah. Akan tetapi keadaan orang itu lain
daripada yang lain. Keadaannya unik . Aneh sekali.
Begitu mencurigakan. Keunikannya itu sering pula
menghantui pemikiran Haji Nik Mansur.
Sebelum ini bayang-bayang orang itu sahaja sering
menjelma dalam kepala. Sekarang dia benar-benar muncul
sebagai tetamu tak diundang dan mencurigakan.
Haji Nik Mansur sudah mula mencurigai orang itu sejak
pertama kali bersalaman dengannya di masjid kira-kira dua
bulan yang lalu.
Sewaktu bersalaman, orang itu terlalu menundukkan
kepalanya. Begitulah selalunya. Kadang-kadang hujung
hidungnya dan misainya yang lebat itu betul-betul
mencecah tangan Haji Nik Mansur. Ternyata sekali, dia
bersalaman dengan Haji Nik Mansur dalam keadaan yang
boleh menimbulkan tanda tanya dan syak
wasangk. Dilakukannya dengan penuh hormat. Penuh
takzim. Penuh perasaan. Kaya dengan gaya yang
mencerminkan rasa rendah hati dan benar-benar
mempamerkan aksi menghinakan diri sendiri. Tetapi
ketika bersalaman dengan orang lain, tidak sedemikan
rupa aksinya. Dia bersalaman dengan
makmum-makmum yang lain dalam keadaan biasa sahaja.
Demikian juga apabila dia bersalaman dengan Tuan Imam.
Ini telah dipastikan oleh Haji Nik Mansur.
"Kenapakah dia berkelakuan begitu denganku? Dia selalu
dan terlalu menghormatiku. Benar-benar terlalu.
Macamlah aku ini seorang wali! Aku hanya orang biasa.
Tak ada sebab dia nak membodek aku
sekarang. Sudah terlambat. Aku bukan pegawai daerah
lagi. Aku sudah bersara sekarang! Nak dikatakan dia
terhutang budi padaku, aku tak pernah berurusan
apa-apa dengannya. Malah, sepanjang ingatanku, tak
pernah pun aku bertemu dengannya sebelum ini. Dia
sungguh aneh!"
Lebih aneh lagi dirasakan oleh Haji Nik Mansur,
setelah dipastikannya, orang itu selalu berada di
belakangnya ketika sama-sama sembahyang berjemaah di
masjid. Hal ini sengaja dilakukan oleh orang itu
setiap hari dan setiap waktu sembahyang, baik siang
maupun malam. Dia seolah-olah bertugas sebagai
pengawal peribadi kepada Haji Nik Mansur semasa berada
di masjid.
Orang itu sungguh aneh. Sungguh mencurigakan.
Ketika mengikuti kuliah agama, kuliah Subuh dan kuliah
Maghrib,Haji Nik Mansur lebih banyak mendapat perhatian orang
itu. Sang penceramah_selalunya Tuan Imam sendiri_kurang mendapat
perhatiannya. Hal ini dibiarkan sahaja oleh Haji Nik
Mansur. Tidak dipedulikannya, walaupun rasa
kurang senang melanda hatinya.

Sekali-sekala Haji Nik Mansur memandang juga orang
itu. Dan, pertembungan pandangan sekilat lalu berlaku.
Orang itu cepat-cepat mengalihkan pandangannya ke lain. Lalu dia tidak akan
memandang tepat lagi kepada Haji Nik Mansur selagi
Haji Nik Mansur masih memandang kepadanya. Dia
semacam tak berani bertentangan mata dengan Haji Nik
Mansur. Paling berani, dia hanya memandang curi dengan
ekor matanya untuk mempastikan sama ada Haji
Nik Mansur masih memandangnya lagi atau tidak.
Ketika itulah Haji Nik Mansur mencuri kesempatan untuk
meneliti orang itu. Dia cuba mentafsirkan apa yang
tersirat di hati orang itu dengan membaca apa yang
tersurat di wajah dan pada ciri-ciri dan aksi fizikalnya.
Orang itu masih muda. Mengikut hematan Haji Nik
Mansur, usianya dalam lingkungan empat puluhan.
Keseluruhan tubuhnya kelihatan lebih besar kerana dia
memakai jubah yang longgar dan labuh. Tetapi imbangannya masih
terpelihara kerana serban di kepalanya juga besar.
Warna jubah dan serbannya juga sama. Kedua-duanya
hijau tua. Mukanya yang lebar kelihatan lebih lebar
kerana jambang, misai dan janggutnya tebal, panjang
dan terbiar. Dari air mukanya yang sedikit keruh,
terpancar tanda keinsafan yang mendalam dan rasa rendah diri di
hatinya. Penuh tawaduk. Warak.
Ternyata, keadaan fizikalnya normal sahaja. Sukar bagi
Haji Nik Mansur hendak menyelami lubuk hatinya. Cuma
dari perlakuannya yang agak aneh dan gerak-gerinya
yang mencurigakan itu, Haji Nik Mansur dapat membuat
tuduhan secara rambang: Dia ada menyimpan rahsia.
Rahsianya ada kaitan dengan Haji Nik Mansur.
Apakah rahsianya? Inilah yang memusingkan benak Haji
Nik Mansur.

"Ah, kenapa difikirkan perkara yang bukan-bukan? Dia
seorang yang warak. Ahli masjid yang setia. Tak baik menaruh
sangkaan buruk kepada orang macam dia. Menaruh
sangkaan buruk kepada orang adalah berdosa!". Haji Nik
Mansur beristighfar memanjang. Dia berusaha mengikis
rasa curiga yang mencerut hatinya. Cuba memulihkan
ketenangan.
"Sekarang dia datang. Sekali gus menjadi tetamuku.
Tetamu wajib dilayani. Hajat tetamu seberapa mungkin
harus dipenuhi. Siapa kata dia membawa niat buruk?"
Haji Nik Mansur memasang butang baju gumbangnya. Cepat
dia melangkah ke pintu rumahnya yang tertutup rapat
dan terkunci dari dalam.
"Al-salamu 'alaikum, Tuan Haji!" Dari luar pintu pagar
yang masih tertutup, orang itu memberi salam dengan
suara yang agak tinggi sambil mengangkat tangan
memberi hormat, sebaik-baik saja Haji Nik Mansur menguak pintu
rumahnya.
"Wa 'alaikumul-salam". Haji Nik Mansur turut
mengangkat tangan, membalas hormat. "Jemput masuk.
Pintu tu tak berkunci. Tolak saja".
"Baik Tuan Haji. Terima kasih."
Mereka saling memadukan senyuman. Di muka pintu rumah,
mereka bersalaman. Cara orang itu bersalaman macam
biasa juga. Penuh hormat. Penuh perasaan.
Miskin dengan keangkuhan. Kaya dengan rasa rendah
diri. Keadaan ini membantu usaha Haji Nik Mansur
memulihkan ketenangan hatinya. Rasa curiga tidak lagi
menjerut hatinya. Cuma lingkaran tanda tanya masih
lagi membelit benaknya.

"Al-hamdulillah, akhirnya sampai juga saya di rumah
Tuan Haji. Maafkan saya karana mengganggu".
Itulah kali pertama Haji Nik Mansur mendengar bicara
orang itu Suaranya lembut lunak. Nadanya rendah tetapi
serius dan mencerminkan keikhlasan.
"Eh, tidak. Saudara tidak mengganggu. Silakan duduk".
Haji Nik Mansur melurut rambut putih di kepalanya yang
sedikit mengerbang kerana dilanda angin dari putaran
kipas yang ligat di siling.
"Petang-petang begini saya bersendirian. Bagus kalau
ada orang datang berbual-bual, bertukar fikiran".
Haji Nik Mansur dan tetamunya duduk bertentangan di
kerusi yang berkusyen empuk. Sang tetamu tunduk
membisu. Cakap tuan rumah disambut dengan anggukan dan
senyuman.
"Maafkan saya. Saya ni pelupa benar. Dah nyanyuk. Saya
tak ingat di mana kita berkenalan dulu. Nama pun lupa.
Sekarang tinggal di mana?"
"Oh, ya. Saya minta maaf. Sebenarnya saya yang pelupa.
Lupa nak memperkenalkan diri tadi. Tuan Haji bukan
lupa. Tuan Haji, sebenarnya sebelum ini kita tak
pernah berkenalan".
Sang tetamu memandang tuan rumah sekali lalu.
Kemudian, dia menundukkan kepalanya kembali. Lantas
berbicara: "Nama saya Rusli, Tajul Rusli bin Ramli.
Saya orang baru di sini. Baru saja dua bulan datang. Saya
bercadang nak menetap di sini, insya Allah".
"Sekarang Encik Rusli tinggal di mana?" Haji Nik
Mansur mengulangi pertanyaannya. Dia gagal menahan
sabar, menahan nafsu ingin tahunya. Pembicaraan Rusli
yang memang lambat itu dirasakanya terlalu lambat.
"Tak jauh dari masjid kita, di kampung Bemban.
Sementara saja saya di situ. Saya nak menetap di
kampung Pinang Tujuh. Sekarang sedang mencari rumah
yang sesuai di situ".
"Oh, begitu, saya harap cepat dapat rumah di sana.
Saya rasa rumah yang paling baik sekali tentulah yang
berdekatan dengan kawasan pondok Tuk Guru Haji Abdul
Syukur. Di situlah rumah idaman Encik Rusli. Begitu
bukan?"
"Ya, begitulah. Saya nak tinggal berdekatan dengan
pondok Tuk Guru yang terkenal tu".
"Al-hamdulillah!"
"Tuan Haji tentu lebih maklum. Orang jahil macam saya
ni dan umur pula semakin tua, patut benar menumpang naungan
orang alim. Selama ini saya banyak membuang masa
dengan sia-sia. Asyik mengejar dunia, memburu hiburan.

Sekarang saya nak gunakan sisa masa yang ada untuk
belajar ugama. Insya Allah."
"Al-hamdulillah, syukur!" Haji Nik Mansur
mengangguk-angguk sambil melurut-lurut janggut
sejemputnya.
Tajul Rusli tunduk membisu pula. Perbualan putus.
Sunyi seketika. Haji Nik Mansur mencari-cari
pertanyaan yang sesuai untuk dikemukakan kepada
tetamunya itu supaya perbualan tidak putus berpanjangan.

"Tadi datang ke sini dengan apa?"
"Dengan beca roda tiga".
"Masya Allah. Di masjid tadi tak cakap nak datang.
Kereta saya kosong saja. Lain kali cakaplah kalau nak
datang. Saya suka benar kalau ada orang datang. Boleh
berbual-bual, menghilangkan rasa sunyi. Petang-petang
begini saya selalu keseorangan. Hari ni orang gaji pun
tak ada. Balik kampung. Ibunya sakit pula. Nak minum
pun susah ni".
"Anak-anak dan isteri Tuan Haji ke mana?"
"Saya tak ada isteri lagi sekarang. Duda, kata orang.
Dah hampir dua tahun isteri saya meninggal. Ketika itu
saya belum bersara lagi".
"Oh, maafkan saya, Tuan Haji. Saya tak tahu."
"Anak-anak saya tak lekat di rumah waktu petang
begini. Dua ke padang bola. Satu lagi, yang bongsu, ke
sekolah. Barang kali berlatih sukan".
Sunyi. Perbualan terputus pula. Dalam kesunyian itu
kedengaran jelas dengung putaran kipas di siling
bercampur dengan desiran angin. Lembaran akhbar
sesekali terselak-selak dan terliuk-liuk menghempas permukaan
meja.Di luar kemahuannya, Haji Nik Mansur tiba-tiba hanyut
dibawa arus lamunan. Di alam lamunan itu dia
teringatkan anak-anaknya.
Setiap petang ketiga-tiga anaknya keluar bermain. Bagi
mereka, amalan ini semacam wajib disegerakan. Pergi
bermain tidak boleh dilengah-lengahkan. Pulang pula
tidak sedemikian. Kepulangan mereka selalu lambat.

Ketika Haji Nik Mansur bertolak ke masjid menjelang
waktu maghrib, bayang-bayang mereka belum nampak di rumah.
Waktu azan maghrib dilaungkan, kadang-kadang mereka
masih di padang permainan, berbual-bual
dengan kawan-kawan. Atau mereka sedang minum-minum di
warung. Apa akan jadi dengan budak-budak itu?
Haji Nik Mansur bukan tidak berdakwah di rumah.
Anak-anaknya telah diberinya bimbingan sejak kecil
lagi. Mereka dibawanya ke masjid.
Sama-sama menunaikan sembahyang berjamaah. Sama-sama
mengikuti kuliah di masjid dan mendengar ceramah agama
di mana-mana. Ketika masih kecil,
mereka warak. Lebai. Tiada apa-apa masalah. Tetapi
apabila sudah besar, sudah mula dewasa, mereka mula
bermasalah. Kawan-kawan pula bertambah ramai,
terdiri daripada berbagai lapisan. Mereka banyak
terdedah kepada pelbagai pengaruh. Akibatnya,
kebelakangan ini, mereka sudah mula meringan-ringankan
suruhan agama.
Adat orang muda begitulah!
Haji Nik Mansur sendiri, pada zaman mudanya, demikian
juga. Apabila sudah tua, barulah rajin berulang-alik
ke masjid, terutama setelah menunaikan rukun Islam
yang kelima dan setelah kematian siteri- nya. Pada
mulanya, gelanggang atau padang permainan
ditinggalkannya langsung. Tetapi apabila disedarinya,
kegiatan mengeluarkan peluh untuk kesihatan juga adalah suatu
ibadah, lalu dia beraksi semula di padang golf.
Kadang-kadang selepas menunaikan sembahyang Subuh, dia
keluar berjoging. Bagaimanapun dia merasakan dirinya
tetap juga menanggung kerugian besar, kerana pada
zaman mudanya dulu dia ketinggalan dalam kegiatan
ibadat di masjid dan dalam kegiatan-kegiatan keagamaan
yang lain. Sebab itulah dia tidak mahu anak-anaknya
mengikuti jejaknya. Tanpa putus asa, dia meneruskan
dakwah kepada anak-anaknya. Malangnya, dakwahnya belum
lagi berkesan sekarang.
Dia mahu anak-anaknya menjadualkan hidup mereka kepada
tiga periode utama. Pertama, waktu untuk menjalankan
kegiatan keolahragaan. Kedua, waktu untuk
mengusahakan kegiatan dalam bidang ekonomi, mencari
nafkah hidup. Dan ketiga, waktu untuk melangsungkan
kegiatan keagamaan.

Ketiga-tiga kegiatan pokok itu harus dijalankan setiap
hari, sepanjang hayat, bukan dijalankan berasingan
mengikut peringkat usia. Ini, bagi Haji Nik Mansur,
merupakan semacam wawasan, khususnya untuk anak-anak. Dan, untuk
mencapai matlamatnya, kesedaran harus disemai di
kalangan anak-anak mulai sekarang. Anggapan liar,
bahawa zaman muda adalah untuk
menempah dosa dan zaman tua untuk bertaubat, menebus
dosa dan menimba pahala, harus dikikis habis-habisan
daripada pemikiran anak-anak.
"Saya datang ni ada hajat, Tuan Haji." Suara Tajul
Rusli bernada lemah. Tetapi berjaya membunuh lamunan
Haji Nik Mansur. Semasa Haji Nik Mansur dibawa arus
lamunan tadi, Tajul Rusli mengambil kesempatan
memberanikan hatinya dan menguatkan semangatnya serta
mencari-cari kata-kata yang sesuai sebagai
mukadimah kepada perbualan pokok yang dirancangkannya
selama ini. Lega rasa hatinya setelah dia berjaya
meluahkan kata-kata itu.
Haji Nik Mansur tersentak kecil. Menyedari dirinya
dihanyutkan oleh arus lamunan tadi, dia tersipu-sipu,
kemudian tersengih. Barisan gigi palsunya yang
tersusun rapi terserlah.
"Ada hajat? Hajat apa, Encik Rusli?"
"Begini, Tuan Haji." Tajul Rusli pelan-pelan
membongkok dan meraba-raba perutnya seperti
membetulkan sesuatu yang terlindung di bawah jubahnya.

"Saya bercadang nak ke Tanah Suci tahun ni. Duit dah cukup. Lain-lain
masalah semuanya dah selesai kecuali soal menyucikan
diri. Kata tuk guru, sebelum kita ke Tanah Suci kita
mesti menyucikan diri dulu, zahir dan batin. Kita mesti
bertaubat_taubatul-nasuha. Kita mesti minta ampun
daripada Allah subhanahu wa taala. Kita mesti minta
maaf daripada manusia yang telah kita khianati".
"Ya, betul tu". Haji Nik Mansur mengagguk akur. "Tak
sempurna kita naik Haji, memohon keampunan Tuhan,
sedangkan dosa kita dengan manusia berlapuk. Hutang
kita dengan orang, misalnya, kita mesti lunaskan semuanya
dulu sebelum pergi ke Mekah. Tak cukup duit, cadangan
nak ke Mekah tu kenalah tangguh dulu".
"Ya, itu soal hutang duit. Tak menjadi masalah. Ada
duit kita bayar hutang tu. Bakinya kalau cukup
bolehlah kita pergi ke Tanah Suci mengerjakan Haji.
Kalau tak cukup kita tangguh dulu. Senang saja, Tuan Haji. Tapi
bagaimana kalau hutang kita tu hutang nyawa? Bagaimana
dengan perbuatan aniaya, perbuatan khianat, yang telah kita
lakukan pada orang? Bagaimana kita nak tebus dosa ini?
Inilah masalahnya, Tuan Haji!"
Tajul Rusli mengeluh panjang. Pelan-pelan dia
menggelengkan kepalanya yang tertunduk lesu.
Haji Nik Mansur terdiam mendadak. Dia tertegun
seketika.
"Saya banyak melakukan dosa dengan Tuhan, dosa dengan
manusia. Dosa dengan Tuhan rasanya tidak berat
walaupun sebenarnya tidak ringan. Saya boleh
meminta ampun terus kepada Tuhan dan Tuhan itu maha
pemurah, maha pengasih, maha pengampun. Tapi, ini dosa
dengan manusia. Berat! Amat berat, Tuan Haji!
Untuk betul-betul mendapat maaf, mendapat keampunan
sepenuhnya, daripada orang yang telah kita khianati
itu, kita mesti menyerahkan nyawa, rela mati di
tangannya. Kalau takut mati, kalau semata-mata minta
maaf saja, dosa kita tak akan tertebus kerana kita
bukan betul-betul meminta maaf dengan sepenuh hati".
Mulut Haji Nik Mansur separuh terlopong. Dia kagum.
Dirasakannya, dia bukan berada di rumah sekarang,
tetapi sedang mendengar ceramah di masjid.

"Saya bersyukur, dan berterima kasih kepada Tuan Haji
kerana menerima kedatangan saya. Dah lama saya
bercadang nak datang. Tapi selalu tertangguh-tangguh.
Hari ni terasa tak boleh ditangguh-tangguh lagi. Saya
mesti datang. Urusan penting ni mesti diselesaikan
dengan segera".
"Urusan? Urusan apa?" Kening Haji Nik Mansur sedikit
berkerut. Benaknya dilingkari tanda tanya.
"Urusan menebus dosa".
"Dosa apa?"
"Dosa saya dengan Tuan Haji".
"Apa yang Encik Rusli lakukan kepada saya? Bukankah
kita baru sahaja berkenalan? Sebelum ni tak ada
perhubungan antara kita. Macam mana boleh berlaku
perkara yang tak baik? Adakah apa yang dilakukan oleh Encik
Rusli di masjid tu dikira dosa juga? Dosa inikah yang
nak ditebus?" Haji Nik Mansur meluahkan pertanyaan
yang bertalu-talu dengan suara yang agak tinggi.
"Kalau apa yang saya lakukan di masjid itu menyinggung
hati Tuan Haji, tentulah dikira dosa juga. Saya harap
Tuan Haji memaafkan saya. Tapi, bukan dosa itu yang
saya nak tebus. Dosa lain. Dosa yang jauh lebih besar
daripada itu".
"Dosa apa?" Suara Haji Nik Mansur kian meninggi.
"Maaf, Tuan Haji. Saya tak boleh cakapkan dosa itu di
sini. Mari kita pergi ke tempat yang sesuai".
"Di mana?"
"Kita pergi dengan kereta Tuan Haji. Nanti saya
tunjukkan tempat-nya".
"Kenapa mesti di tempat lain? Cakaplah di sini saja.
Di rumah ni tak ada orang. Kita berdua saja".
Rasa curiga kembali menjerut tangkai hati Haji Nik
Mansur. Prasangka terhadap tetamunya yang aneh itu
kembali menguasai benaknya. Rasa cemas mermas-ramas
hati dan mendebarkan jantungnya.
"Di rumah ni tak sesuai, Tuan Haji. Tak sesuai dengan
apa yang saya rancangkan tentang taubat saya. Tak
tercapai hajat saya nanti".
"Ah, saya tak faham!"
Suara Haji Nik Mansur sedikit menggeletar dan
mengandungi nada marah yang mula membakar
ketenangannya. Dia bingkas bangun. Pelan-pelan
melangkah ke tingkap. Dan, dengan membelakangi tetamunya, dia
berdiri di muka tingkap dan melemparkan pandangan ke
luar rumah. Gambaran tindak-tanduk tetamunya itu
semasa di masjid tertayang semula di dalam panggung
kepalanya.
"Awak ni penuh dengan mistri. Cakap awak kabur. Awak
tak mau berterus terang. Saya tak mau ikut kehendak awak tu.
Kalau nak cakap apa-apa, cakap saja di sini."
"Tak boleh, Tuan Haji. Di sini tak boleh!"
Suara Tajul Rusli mengandungi nada merayu. Dia turut
bangun dan membetul-betulkan jubahnya.
"Saya bukan tak mau berterus terang, Tuan Haji. Tapi
bukan di sini. Lagi pun di sana ada seorang lagi
sedang menunggu Tuan Haji. Di sana nanti kami akan
mendedahkan segala-galanya. Mari kita pergi sekarang".

Hati Haji Nik Mansur semakin kecut, apabila dia
diberitahu ada seorang lagi sedang menunggunya di
tempat yang entah di mana itu. Gambaran yang
bukan-bukan tenggelam timbul di kepalanya. Entah apa yang akan
dilakukan oleh mereka nanti. Mungkin dia dibunuh atau
diculik.
"Saya minta maaf, saya mengganggu Tuan Haji. Tapi ini
penting bagi kami. Kebetulannya ada kaitan dengan Tuan
Haji. Kami tidak akan melakukan apa-apa
kepada Tuan Haji. Sebaliknya, Tuan Hajilah yang boleh
melakukan sesuatu kepada kami. Tuan Hajilah yang akan
menentukan nasib kami dunia dan akhirat.
Tolonglah kami, Tuan Haji. Mari kita pergi sekarang".
"Tidak. Saya tak mau pergi! Muktamad!"
Tajul Rusli menggleng-geleng kepala, kesal. Dia
menekur kaku dengan matanya tertumpu tetap ke
permaidani tebal yang terhampar di lantai batu marmar
yang licin.

Roda fikirannya berputar ligat. Jarum penentuan
bergoyang-goyang kiri kanan menceri titik pertimbangan
yang saksama. Sekejap dia mengeluh lantas mengangkat
kepala secara mendadak. Sambil mengacip giginya,
semacam geram, dia menyelak jubahnya dan mencekak
sesuatu yang terselit di pinggangnya.
"Maafkan saya, Tuan Haji. Nampaknya, Tuan Haji memaksa
saya supaya saya memaksa Tuan Haji".
Dengan pantas dia menghampiri Haji Nik Mansur yang
masih berdiri membelakanginya.
"Saya tak berniat nak menyusahkan Tuan Haji. Tapi saya
tak ada pilihan lain. Saya terpaksa bermain kasar sekarang".
Sebaik-baik sahaja Haji Nik Mansur berhadapan semula
dengannya, dia segera mengeluarkan pisau lawi ayam
dari bawah jubahnya. Dengan pantas dia menghunus
pisau itu. Dan dengan lagak pendekar handalan, dia
menunding hujung senjata itu ke arah Haji Nik Mansur.
Haji Nik Mansur terkejut besar. Hatinya gempar. Dia
kegugupan dan mukanya pucat lesi.

"Mari kita pergi. Cepat bersiap. Saya mau Tuan Haji
meninggalkan rumah ni dalam keadaan seperti biasa,
seperti keluar ke masjid. Tujuannya supaya orang tak
menaruh apa-apa curiga. Lalu tidak mengganggu urusan
kita di sana. Selesai urusan, Tuan Haji boleh terus ke
masjid".
"Apa yang awak mau ni? Kalau mau duit, biar saya ambil
di bilik atas".
"Tidak! Duit tak perlu! Duit urusan dunia. Tapi ini
urusan akhirat!"
"Awak nak bunuh saya?"
"Masya Allah. Jangan fikirkan yang bukan-bukan. Cepat!
Kita pergi sekarang!"
Dalam perjalanan ke tempat yang hanya diketahui oleh
Tajul Rusli itu, Haji Nik Mansur kaku membisu.
Wajahnya keruh, mencerminkan kemurungan hatinya. Di
antara debaran kencang di dalam dadanya, dia mengingati Allah
yang maha berkuasa dan merafakkan doa ke hadhrat-Nya
supaya Allah melindunginya daripada segala
mara bahaya. Dia membiarkan sahaja Tajul Rusli memandu
keretanya dengan laju. Sesekali dia mengeluh dan
beristighfar panjang dan mendalam. Dia cuba mengingati
kembali detik-detik dalam sejarah hidupnya. Cuba
mengimbasi kembali peristiwa demi peristiwa yang lalu
untuk menilai dirinya, mencari kesalahan dan
kesilapannya.
Tidak ada! Sepanjang ingatannya dia tidak pernah
melakukan apa-apa kesalahan yang boleh menyebabkan
orang menaruh dendam kepadanya. Selama dia
menjadi pegawai daerah, tidak pernah dia melakukan
penyelewengan. Kepada rakyat tidak pernah dilakukannya
apa-apa penganiyaan. Kepada kaki tangan
kerajaan di bawahnya tidak pernah dilakukannya
sebarang kekejaman, ketidak-adilam atau pilih kasih
baik di pejabat, maupun di luar pejabat. Hidupnya aman
sejahtera. Dia dan keluarganya dihormati dan disegani
oleh semua lapisan masyarakat.

Sepanjang ingatannya, cuma ada satu pergolakan kecil
pernah berlaku dalam hidupnya, iaitu pergolakan dalam
rumahtangganya. Pergolakan ini hanya merupakan "ribut
dalam cawan". Ketika itu dia berkhidmat di daerah Gua
Keluang kira-kira dua puluh lima tahun yang lalu.
Rumahtangganya hampir runtuh. Puncanya: Dia telah
mendirikan sebuah lagi rumahtangga. Tetapi rumahtangga
yang kedua ini, bukan sahaja tidak mendatangkan
kebahagiaan, malah menggugat keutuhan rumahtangga yang
pertama. Lalu dia meruntuhkannya enam bulan
kemudian. Semuanya selesai. Tiada ekoran. Tentu tak
ada hubungan dengan gugatan yang dihadapinya sekarang.
Setelah sampai di hujung lorong yang panjang
dan sunyi, Tajul Rusli membelokkan kereta ke tepi
semak dan memberhentikannya di bawah pokok bunut yang
besar dan rimbun.
"Kita dah sampai, Tuan Haji. Mari kita berjalan kaki
pula ke tebing sungai tu. Kereta tak boleh rapat ke
situ. Silakan, Tuan Haji!"
"Awak nak bunuh saya di situ?"
"Masya Allah! Tidak! Tidak, Tuan Haji! Sebaliknya,
Tuan Hajilah yang mungkin akan membunuh kami di situ".

Hati Haji Nik Mansur mendongkol. Marah dan kesal.
Dirasakannya, dirinya dipermain-mainkan oleh Tajul
Rusli. Dengan lemah longlai, dia mengatur langkah ke
arah yang dipandu oleh Tajul Rusli. Tajul Rusli
mengekorinya dengan lawi ayam di tangannya.
Haji Nik Mansur terperanjat pula. Langkahnya mati
mendadak. Dilihatnya satu lembaga macam manusia yang
terlingkup seluruhnya dengan pakaian serba
hitam dan berpurdah sedang duduk di atas batang pokok
tumbang di bawah pokok beringin yang rendang. Suasana
di situ, ditambah dengan remang-remang
senja, menyebabkan Haji Nik Mansur pertama kali
mengalami rasa seram yang hebat.
"Jangan takut, Tuan Haji. Itu bukan pontianak. Dia
manusia biasa.
Sedang menunggu kita. Jum! kita jumpa dia".
Lembaga yang berjubah hitam dan bertopeng dengan
purdah itu bangun dan menadah kedua tangannya, macam
mendoakan sesuatu, apabila Haji Nik Mansur dan
Tajul Rusli hampir kepadanya.

"Perkenalkan. Ini isteri saya. Dia juga mau meminta
maaf dan rela mati di tangan Tuan Haji".
"Apakah makna semuanya ni? Saya tak faham!" Haji Nik
Mansur bertambah bingung dan cemas.
"Izinkan saya berterus terang sekarang, Tuan Haji. Tak
baik berlengah-lengah. Kerja baik mesti disegerakan".
Tajul Rusli menoleh kepada isterinya, seolah-olah
meminta persetujuan. Isterinya mengangguk.
"Tuan Haji. Maafkanlah kami. Dulu kami berzina".
"Masya Allah!" Haji Nik Mansur tunduk mengeluh. "Kalau
itu yang kalian lakukan, kenapa minta maaf dengan
saya? Apa kaitannya dengan saya?"
"Tentulah ada kaitannya, Tuan Haji."
"Kaitan apa? Bagaiamana?"
"Ketika kami melakukan perbuatan terkutuk tu, dia
isteri muda Tuan Haji".
Untuk kesekian kalinya, Haji Nik Mansur terperanjat
lagi. Lebih hebat. Makluman itu, dirasakannya,
bagaikan bunyi letupan petir dari jarak dekat.
Desingan keras menyumbat padat lubang telinga. Alam sekitar
dirasakannya berpusing dan memusingkan kepala dan
badannya.
"Apa? Ini Wan Zaimahkah?" Suaranya meletus keras.
"Saya, Abang Nik. Tolonglah saya, Abang Nik! Ampunkan
saya! Ampunkan kami! Kerana godaan setan, kami
terlanjur melakukan perbuatan terkutuk itu!"
Wan Zaimah melutut di hadapan Haji Nik Mansur.
Suaranya terpecah-pecah berderai, mengandung nada
rayuan bercampur dengan cetusan tangisan kesal yang
mendalam.

"Ya. Ampunkanlah kami, Tuan Haji!" Tajul Rusli turut
melutut di sebelah isterinya. Dan, dengan kedua-dua
tangannya yang terketar-ketar, dia menjulang lawi ayam
yang sedia terhunus itu. "Ambillah pisau ini. Bunuhlah
kami!"
Haji Nik Mansur terpacak kaku persis patung batu di
situ. Sekilau kilat, dia menjeling pisau bengkok yang
boleh mengoyak perut di telapak tangan Tajul Rusli
itu.
"Jangan berlengah-lengah lagi, Tuan Haji. Kerjakanlah
sekarang!
Kami rela mati di tangan Tuan Haji".
"Sudahlah tu", Haji Nik Mansur tersenyum sinis.
"Jangan nak bersandiwara lagi".
"Kami bukan bersandiwara, Tuan Haji. Kami benar-benar
rela dibunuh oleh Tuan Haji. Kami berdosa dengan Tuan
Haji. Kami telah mengkhianati hak mutlak Tuan Haji.
Kami nak tebus dosa itu".
"Saya tau, kalian betul-betul serius. Buktinya, kalian
sanggup membuka rahsia, mendedahkan apa yang kalian
lakukan. Kalian benar-benar rela mati di tangan saya.
Buktinya, sekarang kalian menyerah diri, menyediakan
senjata dan membawa saya ke tempat yang benar-benar
strategik. Kalian memberi peluang seluas-luasnya
kepada saya. Tapi, sebenarnya kalian bersandiwara.
Kalian tau, saya tak akan mengapa-apakan kalian.
Bukankah kita semua tertakluk kepada undang-undang?"
Haji Nik Mansur memandang tajam kepada kedua orang
suami isteri yang tertunduk menyerah nyawa di
hadapannya itu. Tajul Rusli masih
menjulang lawi ayam. Isterinya semakin tertunduk
kepalanya. Dan, sekali- sekali bahunyan terhinggut
digoncang sendu.

"Sudahlah. Sekarang sandiwara dah tamat. Simpanlah
pisau tu. Ini bukan caranya menebus dosa. Dalam Islam
ada hukum hudud_orang berzina disebat seratus kali
atau direjam sampai mati. Yang berkewajipan
menjalankan hukuman itu ialah pihak tertentu yang
diamanahkan oleh masyarakat. Orang lain tak berhak
menjatuhkan hukuman itu".
Haji Nik Mansur meluahkan keluhuan. Pelan-pelan dia
duduk di atas batang pokok tumbang yang diduduki oleh bekas iteri
mudanya tadi.
"Apa yang wajib kalian lakukan ialah bertaubat,
memohon keampunan Tuhan".
"Tapi kami wajib juga memohon keampunan Tuan Haji.
Kami bukan saja berdosa dengan Tuhan, tapi sekali gus
berdosa dengan Tuan Haji". Tajul Rusli masih
menjulang pisau itu. Tetpi tangannya sudah tidak
menggigil lagi. "Kami telah mengkhianati Tuan Haji.
Zaimah, sebagai isteri Tuan Haji, telah menderhaka
kepada Tuan Haji sebagai suaminnya yang sah. Saya
sendiri banyak mempengaruhi Zaimah sehingga rumahtangga Tuan
Haji dengannya runtuh".
Haji Nik Mansur bangun dan memusingkan badannya.
Pelan-pelan dia mengatur tapak selangkah dua ke tebing
sungai. Diperhatikannya air cetek jernih yang mengalir
lembut di celah batu-batu besar di dalam sungai itu.

Senja semakin tua. Udara segar. Muzik alam begitu
merdu menyambut malam yang akan tiba.
Haji Nik Mansur berpaling semula kepada suami isteri
yang masih berlutut dan dan tunduk menekur bumi tanpa
kata.
"Saya juga berdosa". Suara Haji Nik Mansur bernada
sayu, penuh keinsafan. "Dengan wang dan pangkat, saya
mempengaruhi bapa Wan Zaimah. Saya tak tau,
rupa-rupanya Wan Zaimah dipaksa berkawin dengan saya.
Saya juga telah mengkhianati Encik Rusli kerana
mengawini Wan Zaimah, kekasih Encik Rusli".
"Tapi, sebelum mengahwini Zaimah, Tuan Haji tak tau
dia kekasih saya. Jadi, Tuan Haji tak bersalah!"
"Begitupun, saya masih bersalah juga. Saya tak siasat
lebih dulu tentang diri Wan Zaimah".
Senja itu, ketika laungan azan berkumandang di udara,
sebuah kereta Mercedes 230E memasuki perkarangan
Masjid Al-Hilal di bandar Pasir Suasa. Dua orang
lelaki dan seorang wanita tergesa-gesa keluar dari perut
kereta itu.

Dewan Sastera, Oktober 1992

No comments:

Post a Comment