17 February 2011

Marshmallow strawberi dan tesaurus cinta

CERPEN

Oleh W.B. RENDRA

RESAH dan memekar sesuatu yang harum dalam perasaan Shiuji apakala Ayumi menghulur cakera padat terkandung irama syahdu Stary-Stary Night.
``Ini versi Julio Iglesias. Dengarlah.'' Kata Ayumi separuh memujuk. Shiuji senyum. Melihat Ayumi bersungguh-sungguh agar Shiuji dapat menikmati setiap gerak rasa dan getar perasaan suara penyanyi Latin itu.
***
``Bayangkan jika bumi tidak ditimpa hujan.'' Kata-kata Ayumi menutup lembar kisah Shiuji. Meski Shiuji langsung tidak bersedia. Shiuji maklum maksud diksi dan frasa itu. Ayumi jujur. Telus. Lebih senang berterus terang. Dia, kadangkala lebih memahami diri Shiuji. Aneh. Dan mengecewakan bagi Shiuji.

Di bawah neon yang berwarna-warni menyinar terang, muda dan garang, beberapa remaja otaku ketawa girang memperkatakan sesuatu sambil membelek-belek barangan di dalam beg plastik bertulis Bandai. Dengan rambut pelbagai corak dan fesyen pakaian yang aneh namun tetap menarik pandangan dan rasa ceria seperti watak-watak kartun popular. Mereka tidak menghiraukan pertanyaan yang barangkali bersarang di dalam mandala minda yang memerhati mereka.
Naruto, Pokemon dan Dragon Ball seperti berada di dunia realiti. `Mereka' lari dari dunia mainan dan fantasi. Yang menyumbang besar dan pesat dalam industri animasi negara geisha itu. Kemudian, berbual dan bergurau bersama teman-teman di kompleks membeli-belah ini.
Ayumi menguntum senyum memerhati gelagat mereka. Shiuji melepas nafas panjang. Seakan-akan mengeluh. Mengalih pandangan ke raut durja Ayumi yang tenang dan redup. Shiuji mencari ketenangan di wajah itu. Wajah Ayumi. Pipinya yang gebu adalah hatinya yang bersih. Bibirnya yang merah merekah adalah pelindung resah dan amarah. Dan matanya. Matanya mentafsir segala kedaifan diriku, bisik Shiuji. Mengeraskan dagu.
Sering kali Shiuji mendengar ungkapan itu. Sebelum berkata lanjut, ``Ya, saya selalu mendengar ayat itu. Selepas hujan akan hadir pelangi. Selepas hujan tanah akan subur. Dan benih-benih baru akan bertunas. Atau barangkali, banjir besar yang bakal melanda?'' Shiuji datar dan sinis menjawab kenyataan Ayumi. Sesekali Ayumi merapi sisirkan rambut yang mengurai menutupi matanya yang sepet dan sayup juga. Rambut diselitkan di telinga kiri.
Shiuji aneh hari ini. Bisik hati Ayumi. Ayumi langsung diam. Membiarkan masa dan ruang mencuri keanehan Shiuji. Selalunya memang begitu. Sifat mengalah Ayumi yang membuat Shiuji terpanar, dan mengharapkan sesuatu daripada seorang maharani bernama Ayumi. Shiuji? Kerana dia berada dalam kuarantin jati diri yang menyulitkan. Sejak pertemuan pertama; selepas saling berbahasa senyum, Ayumi sering menyisip simpati pada lelaki dwibahasa itu. Simpati yang menyubur sayang. Sayang yang memekarkan sakura dan blossom cinta di taman hati Ayumi.
Jika ada tanda-tanda tsunami dalam samudera hubungan mereka, Ayumi yang lebih menenangkan setiap debur ombak dan buihnya. Shiuji segera mengakui kesilapan. Ayumi tidak mahu dirinya umpama bunga yang mekar di Taman Zhongshan Shanghai untuk mencari kumbang yang datang. Kemudian bunga menyerah percuma.
Tidak! Kumbang yang terbang mendaftar, mendatar dan mendarat, mencari kuntum yang serasi atau semata-mata mengisi ruang jiwa yang kosong? Ayumi bukan seperti antara wanita di negara bekas seteru itu. Ayumi akui di mana-mana profesional, wanita dan jodoh seperti serangkai stanza yang bertautan polemik dan retoriknya. Justeru, persahabatan ini terlalu mulia. Fikirannya menerawang di daerah gersang yang meresahkan.
Meninggalkan Ayumi seorang diri dan membatalkan janji minum petang itu - membuatkan Ayumi runsing. Kecewa. Meski Ayumi sedar, dia harus memberikan jeda untuk Shiuji berfikir. Ayumi membuang pandangan jarak dekat kepada menu makanan yang tertera di hadapannya - yakitori, sashimi, tempura udang, teppan yaki dengan foto makanan yang menggiurkan dan menghambat selera. Ayumi menutup senarai menu yang mendada dan gagal memujuk nafsu makannya.
***
Saya mula tertarik melihatnya apa kala salji sedang gugur; perlahan tersangkut di celah rambut melebihi bahu gadis mongel ala pelakon remaja popular Kyoko Fukada. Bermata sepet dan kulit putih gebu, dia membongkok membersihkan hujung seluar berbulu-bulu merah jambu yang menyeret baki-baki butir sejuk dan sedikit basah itu di antara rumput-rumput hijau dan segar. Mengenakan jaket berbulu tebal dengan corak strawberi kecil-kecil dan mafela merah berbelang putih menggamit perasaan saya yang tidak rasa terganggu mengalpakan segala kemungkinan yang mengusik. Dia, lagaknya seperti Utada Hikaru penyanyi pop negara matahari terbit yang terkenal dengan First Love. Sopan. Anggun. Saling berbaur.
Merah hati
Kartu berwarna kuning dengan butang-butang@manik-manik kecil kilat bertaburan seperti bintang mengenyit malu setia menghiasi bingkai berwarna merah hati saya letakkan berdiri di atas monitar komputer yang gagal berfungsi dalam kamar tidur. Saya masih mengingati si comel Taman Rinting. Dan untuk sekian kalinya, setiap pesanan ringkas yang dihantar tidak berbalas. Kali ketiga saya bersua dalam bilik kuliah mengikuti kursus yang sama - dia membawa gambar-gambar konvokesyennya yang pertama di sebuah kolej di bandar raya bersejarah. Saya sulit dan dungu. Tidak mengerti itu tanda-tanda seorang gadis memohon perhatian seorang jejaka. Walang!
Kali terakhir bersua, dia kelihatan lebih comel dengan busana urna ungu muda kegemarannya mengambil surat sokongan melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana. Dia lebih ceria. Dia lebih manis. Dia lebih segala-segalanya di iris saya yang naif. Ketika saya menikmati wajah dan dagunya yang sekuntum itu, rakan sekuliah berbisik bisa, ``Dengarnya selepas konvokesyen, dia akan berumah tangga.''
Begitu.
Shiuji tersenyum memerhati aksi manja - membalas senyum sekuntum bibir yang jauh lebih manis daripada minuman tradisi, sake - yang diusik teman-teman agar mencuba. Shiuji menggeleng, ketawa. Gadis itu senyum sambil memeluk beberapa naskhah buku dan fail. Nyata aksinya itu mewakili sifat spontan kedinginan suhu keliling. Di bawah pohon sakura yang tinggal ranting ketika itu, kami cuma berdua menunggu teksi. Bersuara dengan aura rasa yang sama - semekar senyum itu.
``Saya Shiuji. Shiuji Kimura.'' Shiuji menghulur mesra tangannya.
Ayumi menyambut dengan tangan yang bersarung tebal juga berbenang dan berbulu halus berwarna lembut merah jambu sedondon dengan jaket, sambil tunduk tanda hormat. ``Ayumi.'' Jawabnya ringkas. Mereka berbual rancak dalam satu bahasa kebanggaan negara yang mereka pijak itu - tanah tempat berlari, bumi matahari mula berdiri setiap hari.
***
Hikmah. Kekecewaan akan memangkin penghijrahan - kerana ada benih yang mendorong. Kekecewaan itulah sumbu sesuatu kejayaan? Saya belum pasti. Saya melihat perlahan, longlai dan berat salji mencari datar mendarat. Shiuji merasakan tulang belikat yang mula kaku dan keras. Digerak-gerak bahu kanan dan kiri ke atas ke bawah. Seperti melonggar-longgarkan engsel pintu yang berkarat. Kemudian melabuhkan punggungnya pada kerusi batu kukuh coklat tua di taman.
Matanya memandang berat dua orang tua dengan kedut seribu di dahi, dan kerut kulit di pipi. Terbongkok-bongkok membetulkan kanvas biru laut terlipat yang menjadi atap dan beberapa keping kayu dan papan menjadi dinding pondok mereka berteduh di taman awam itu. Di sisi bandar besar ini. Dengan saiz pintu sekadar muat badan mereka untuk keluar masuk dan paling utama dapat berlindung daripada sejuk salji. Shiuji simpati. Namun, fikirannya sifar dan simpati cuma singgah sebentar.
Di tangan kiri membimbit helaian sudut sastera akhbar arus perdana negara kecintaannya; edisi minggu lepas lewat muat turun dan cetak daripada internet, serta beberapa naskhah buku sastera dan bahasa yang dikirim seorang sahabat di Putrajaya. Sudah lama kami tidak bersua. Berbincang tentang lingkaran itu, di satu sudut dalam bangunan yang menjadi lambang martabatnya di Jalan Dewan Bahasa. Bisik Shiuji. Syahdu.
Shiuji menikmati pemandangan di taman itu. Melihat pohon-pohon putih diselubungi salju. Melihat kanak-kanak berlari-lari sambil mengepal-ngepal ais halus sebelum menyakat rakan-rakan dengan membalingnya. Shiuji sesekali menyelak-baca lembar sastera di genggaman dadanya. Dia benar teruja mengingatkan bahasa dan sastera yang dicintai; yang turut disenarai dalam tesaurus cintanya. Dia dalam kuarantin jati diri?
Kadangkala atau setiap kali mungkin kata-kata ayah menguatkan hidup dan perjuangan saya. Sambil merungkai kembali nostalgia cintanya dengan bonda, ayah tetap mengerti perjuangan anak yang seorang ini. Menulis, belajar. Menulis, membaca. Dan akhirnya ke mari. Jika tidak masakan saya memilih untuk mengikuti program dan latihan di negara yang mewujudkan rindu dingin salju, dan putih kulit penghuninya. Saya benar teruja! Mengingatkan ayah dan ibu yang dicintai. Mengingatkan mereka dalam tesaurus cinta saya.
Terbang pulang
Melepaskan gagasan pemikiran yang sebentar terbang pulang. Sebentar kembali ke selatan. Shiuji enggan membuka peti rakaman suara yang sering mengulang dengar dengan skrip dan dialog klise. Ungkap dan diksi tertutup. Namun peti simpanan suara dalam memorinya sering degil, tetap mahu memutar.
***
Shiuji mesti keluar daripada kuarantin dan kepompong yang menyulitkan. Shiuji mesti disuntik dos kaizen. Ayumi menguatkan semangat Shiuji. Shiuji mesti! Seperti langit malam dan bintang. Seperti pencipta lirik Stary-stary night - saya, mengorbankan sesuatu untuk kesempurnaan hidup orang lain. Tegas Ayumi. Di sisi lain, Ayumi meletakkan rasa salah dosa obasannya kepada nenek moyang Shiuji. Suatu masa dahulu. Tapi, itu semua sejarah. Ayumi kini tidak mahu melihat Shiuji seperti dijajah lagi. Dia dambakan kekuatan Shiuji kembali. Segala-galanya.
Saya diciptakan Tuhan untuk awak, Shiuji. Terbetik kata-kata Ayumi dalam hati. ``Hujan sudah reda?'' Ayumi memulakan. Lembut suaranya seperti sepoi semilir mendukung daun kering yang rebah ke bumi.
``Ya. Awak... Ayumi.''
``Saya?''
``Awak jadi benih dan tunas baru; jadi pelangi hidup saya, ya?'' Tersekat-sekat Shiuji meluahkan.
Ayumi tunduk menyembunyikan segan yang menguntum. Shiuji merenyuk segala sempadan yang memisahkan. Agama. Dan budaya.
``Sekarang, saya perlukan keyakinan untuk membawa Ayumi pulang ke tanah emas saya.'' Fikir Shiuji pula. Meyakinkan Ayumi. Seperti Puteri Sayako meninggalkan istana, meninggalkan status dan pangkat diraja, meninggalkan segala kemewahan keluarga demi suami tercinta. Begitu juga Ayumi meninggalkan tanah kelahirannya, meninggalkan segala sejarah dan keluarga tercinta.
``Cinta adalah perjuangan. Seperti hidup.'' Kata Ayumi mengangkat durja dan berbisik ke telinga kanan saya, yang masih + semakin membesar kesan keloid. Dan kemalangan jalan raya yang sebenarnya menjadi punca. Sedih. Dan magis - syukur, saya masih di sini. Terharu. Amat, apabila Ayumi berkata begitu - cinta adalah perjuangan.
***
Ayumi menyeluk sesuatu ke dalam poket beg bimbit yang masih tidak berubah sejak pertemuan pertama. Kemudian mengeluar dan menghulurkan marshmallow strawberi. Sambil membersihkan butir-butir salji yang menutupi tulisan `marshmallow strawberi' menggunakan jemarinya yang halus. Saya melihat tulus redup matanya yang menyembunyi tesaurus cinta saya selama ini tercicir atau hilang atau entah di mana dan bertemu di mata Farzanah Izzati Abdullah. Petunjuk agung kemuliaan dan kekuatanku. Yang bertubuh kecil, bermata sepet, bersuara halus dan liuk manja yang sentiasa merendah itu. Yang sentiasa mengalah itu. Tesaurus cinta yang rencam sedang meranum, ada dalam dirinya.
``Nanti kita pulang ke Malaysia, padam nama Shiuji Kimura. Gunalah nama Melayu. Gunalah semangat dan bahasanya. Dan, mohon ajarkan saya kesopanan gadis Melayu juga. Ya, abang?'' Ujarnya dalam pelat bahasa Melayu-Jepun merayu sambil membetulkan sutera korea menutupi rambutnya yang wangi. Saya mengesat rembes mengalir di pipinya dengan hujung sutera itu dari dermaga perasaannya yang sayu.

29/01/2006

No comments:

Post a Comment