18 December 2010

PANDUAN SUNNAH DALAM BERBUKA PUASA

 MENYEGERAKAN BERBUKA PUASA Adalah sunnah mensegerakan berbuka puasa, kerana mengikut sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaih wa-sallam dan para Salaf as-Soleh yang menjunjung sunnah, mereka mengambil kelebihan (fadilat) berpuasa dengan mensegerakan berbuka (tidak melambat-lambatkan), iaitu “Setelah matahari terbenam, maka baginda terus berbuka”. Dan sunnah hukumnya melewatkan makan sahur sehingga menghampiri waktu fajar. Dalilnya adalah hadis-hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوْا الْفِطْرَ “Manusia akan sentiasa dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka (puasanya)”. (HADIS RIWAYAT Bukhari 4/173. Muslim 1093) لاَيَزَالُ الدِّيْنُ ظَاهِرًا مَا عَجَّلَ النَّاسُ الْفِطْرِ ، لأَنَّ الْيَهُوْدَ وَالنَّصَارَى يُؤَخِّرُوْنَ “Agama ini (Islam) akan sentiasa zahir selagi umat manusia menyegerakan berbuka puasa, kerana orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasara melambat-lambatkannya”. (HADIS RIWAYAT Abu Daud 2/305 dan Ibnu Majah 224, sanad hadis ini hasan)
. لاَ يَزَالُ أُمَّتِيْ عَلَى سُنَّتِيْ مَالَمْ تَنْتَظِرُ بِفِطْرِهَا النُّجُوْمَ “Ummatku akan sentiasa di atas sunnah selagi tidak melambatkan (menunda) puasanya sehingga terbit bintang”. (HADIS RIWAYAT Ibnu Hibban 891 dengan sanad yang sahih) عَنْ عُمَر رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِذَا أَقْبَلَ اللَّيْلُ مِنْ هَاهُنَا ، وَأَدْبِرَ النَّهَارُ مِنْ هَاهُنَا ، وَغَرَبَتِ الشَّمْسُ فَقَدْ أَفْطَرَ الصَّائِمُ “Dari Umar radiallahu ‘anhu berkata: Telah bersabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam: Apabila malam telah menjelang dari arah sini dan siang telah berlalu dari arah sini, serta matahari pun telah terbenam, maka berbukalah orang yang berpuasa”. (HADIS RIWAYAT Bukhari 4/171- 199. Muslim 1100. Ahmad 4/381. Abu Daud 2352. Abdulrazzak 4/226). DOA KETIKA BERBUKA PUASA Antara waktu-waktu berdoa yang paling makabul (mustajab) atau diterima oleh Allah Azza wa-Jalla, ialah berdoa dimasa berbuka puasa. Sebagaimana hadis dari Abu hurairah radiallahu anhu, beliau berkata: ثَلاَثٌ لاَ تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ : الصَّائِمُ حِيْنَ يُفْطِرُ ، وَاْلإِمَامُ الْعَادِلُ ، وَدَعْوَةُ الْمَظْلُوْمِ “Tiga orang yang tidak ditolak doanya: Orang yang sedang berpuasa diketika dia berbuka, pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi”. (Hadis Riwayat Tirmizi 2528. Ibnu Majah 1752. Ibnu Hibban 2407) إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa, diketika berbuka nescaya doanya tidak akan ditolak”. (Hadis Riwayat Ibnu Majah 1/557. al-Hakim 1/422. At-Tayalisi 299. al-Busairi (2/81) mengatakan: Sanad hadis ini sahih dan rijalnya siqah) ثَلاَثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ : دَعْوَةُ الصَّائِمِ ، دَعْوَةُ الْمَظْلُوْمِ ، وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ “Tiga jenis doa bagi orang yang berdoa akan dikabulkan (mustajab): Iaitu doa orang yang berpuasa, doa orang yang dizalimi dan doa orang yang sedang musafir”. (Lihat: ad-Du’afa 1/72. al-‘Uqaili) Antara sebaik-baik doa yang boleh dibaca yang warid/tsabit dari Rasulullah s.a.w. ialah: ذَهَبَ الظَّمَاءُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوْقُ ، وَثَبَتَ اْلأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللهُ “Telah hilang kehausan, telah basah urat-urat dan telah ditetapkan pahala insyaAllah”. (H/R Abu Daud 2/306. an-Nasii dalam Amalul Yaum wa-Lailah, 269. al-Baihaqi 4/239. al-Hakim 1/422. Menurut Imam ad-Daraqutni (2/185) sanad hadis ini bertaraf hasan) اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِيْ وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِيْ. “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMu dengan rahmatMu yang meliputi segala sesuatu, supaya memberi ampunan atasku.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah 1/557. Sahih menurut Al-Hafidz Ibnu Hajar dalam Takhrij al-Adzkar, lihat Syarah al-Adzkar 4/342) 038 - TUNTUTAN BERSAHUR MENURUT PETUNJUK RASULULLAH S.A.W. Tuntutan Bersahur Para ulama telah ijmak tentang keutamaan dan berkenaan sunnahnya bersahur. (Fathul Bari 4/139. Ibnu Hajar) Rasulullah bersabda: عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ : تَسَحَّرُوْا فَاِنَّ فِى السَّحُوْرِ بَرَكَةً “Dari Anas berkata: Bersabda Rasulullah: Bersahurlah kamu sekalian, kerana dalam bersahur itu terdapat barakah”. (Hadis Riwayat Bukhari 4/120. Muslim 1059. Diriwayatkan juga oleh Tirmizi, Nasaii dan Ibn Majah) Keutamaan Bersahur تَسَحَّرُوْا وَلَوْ بِجُرْعَةٍ مِنَ الْمَاءِ “Bersahurlah walaupun hanya dengan meminum seteguk air”. (Hadis Riwayat Abu Ya’la 3340. Ibnu Hibban No 884. Hadis Hasan) اَلسَّحُوْرُ أَكْلُهُ بَرَكَةٍ ، فَلاَ تَدَعُوْهُ وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ اَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ فَاِنَّ اللهَ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّوْْنَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِيْنَ “Bersahur makanannya diberkahi, janganlah meninggalkan sahur walaupun hanya meminum seteguk air kerana Allah dan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang bersahur”. (Hadis Riwayat Ibnu Abi Syaibah 2/8. Ahmad 3/12,44) اَلْبَرَكَةُ فِى ثَلاَثَةٍ ، اَلْجَمَاعَةُ ، والثَّرِيْدُ ، وَالسَّحُوْرُ “Keberkatan itu pada tiga perkara: Jamaah, Sayuran dan makan sahur”. (Hadis Rriwayat Thabrani (dalam al-Kabir) 6127. Al-Khatib (dalam Mawadah) 1/263) اِنَّهَا بَرَكَةٌ أَعْطَاكُمُ اللهُ اِيَّهَا فَلاَ تَدَعهُ “Sesungguhnya bersahur itu adalah berkah yang Allah berikan kepada kamu maka janganlah kamu tinggalkannya”. (Hadis Riwayat Nasaii 4/145. Ahmad 5/270. Sanadnya sahih) إِنَّ اللهَ جَعَلَ الْبَرَكَةَ فِى السَّحُوْرِ وَالْكَيْلِ. “Sesungguhnya Allah telah memberi keberkatan pada makan sahur dan takaran (timbangan)”. (Diriwayatkan oleh Asy-Syirazi. Lihat: Jami’ as-Sagir 1715) هَلُّمَ اِلَى الْغَدَاءِ الْمُبَارَكِ : يَعْنِيْ السَّحُوْرُ “Marilah menuju ke makanan yang berkah: Iaitu bersahur”. (Hadis Riwayat Ahmad 4/133. Ibnu Hibban 223. Nasaii 4/146. Sanadnya sahih) Perbuatan Bersahur Membezakan Dengan Puasanya Ahli Kitab فَضْلَ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَرِ “Perbezaan puasa kami dan puasa Ahli Kitab ialah bersahur”. (Hadis Riwayat Muslim, 1096) Bersahur Dengan Kurma Jenis makanan sahur yang afdal/utama ialah buah kurma. Rasulullah bersabda: مَنْ أَرَادَ أَنْ يَصُوْمَ فَلْيَتَسَحَّرْ بِشَيْءٍ “Barangsiapa mahu berpuasa hendaklah bersahur dengan sesuatu”. (Hadis Riwayat Abi Syaibah 3/8. Ahmad. 3/367. Abu Ya’la 3/438. Al-Bazzar 1/465) نِعْمَ سَحُوْرُ الْمُؤْمِنِ التَّمْرُ “Sebaik-baik makanan sahur seorang mukmin ialah kurma”. (Hadis Riwayat Abu Daud 2/303. Ibnu Hibban 223. Baihaqi 4/237. Sanadnya sahih) Melewatkan Makan Sahur Adalah sunnah mensegerakan berbuka dan melewatkan makan sahur, kerana ‘Amr bin Maimun al-Audi dia berkata: كَانَ أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ صَلَّىاللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّى أَسْرَعَ النَّاسِ إِفْطَارًا وَأبْطَاءَ هُمْ سَحُوْرًا “Para sahabat Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam adalah orang-orang yang paling cepat berbukanya dan yang paling lambat makan sahurnya”. (Hadis Riwayat Abdulrrazzak, dalam al-Musannaf, 7591. Hadis ini disahihkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fathul Bari 4/199. Dan Al-Haitami dalam Majma’ Zawaid 3/154

No comments:

Post a Comment